Wajah seorang pembunuh yang kejam dalam keadaan berlumuran darah dan membawa pisau bergentayangan di mata membuatkan dia hampir menjerit nyaring kerana terlalu takut.
Apabila daun pintuk terbuka dan terpacul wajah suaminya, dia terus menerpa dan memeluk lelaki itu sambil menangis semahu-mahunya.
“Kenapa sayang? Menangis macam bayi? Rindukan abang sangat ke?” Zaquan cuba mengusik tanpa mengetahui keadaan tertekan isterinya itu.
Hamiza terus menarik tangan suaminya masuk ke dalam rumah tanpa menghiraukan pertanyaan Zaquan. P
intu dan gril dikunci dengan secepatnya. Dia membawa suaminya ke ruang tamu. Dia sempat melihat komputer riba suaminya yang terpasang. Matanya sempat mencari kelibat Zainol.
“Mana Zainol, abang?”
“Ada dalam bilik, tidur.”
Hamiza kemudiannya meminta diri untuk membersihkan diri apabila melihat Zaquan kembali menghadap komputer ribanya. Ketika dia berada di dalam bilik air, dia sedikit terkejut apabila melihat pisau cukur suaminya yang terpalit darah. Dadanya mula berdebar.
Figura lelaki kejam dan berlumuran darah muncul sekilas dalam kepala. Namun, selepas difikirkan semula, itu perkara biasa jika suaminya mencukur misai. Hamiza menggelengkan kepala untuk mengusir bayangan itu.
Dia terus keluar dari bilik air dan memakai pijama merah jambu sebelum berlalu ke dapur. Tekaknya terasa kering dahagakan air sejuk.
Ketika Hamiza sudah membuka pintu sejuk, matanya terhala pada sisi almari dapur. Pintu yang terbuka dibiarkan begitu sahaja. Dia lebih berminat untuk mengetahui tentang tompokan cecair merah pekat di atas lantai.
Dia mencalit sedikit dan menghidu. Dia terpempan. Dia menelan liur apabila mendapati bahawa cecair itu adalah darah!
Share this novel