GILA 1

Mystery & Detective Series 37353

BANG!

Bunyi pintu besi yang tertutup rapat itu tidak sedikit pun menyentap tubuh Emir. Riaknya kosong.

Matanya juga tidak melilau ke kiri dan kanan seperti kebanyakkan orang yang memasuki bilik itu.

Sejak tadi, anak matanya terpancung pada dinding hadapan saja. Entah apa yang asyik sangat dengan dinding berlatar putih itu, tidak pastilah.

Keadaannya tidak bebas. Kaki dan tangannya diikat kemas. Bahaya kalau dilepaskan kata ketua rumah sakit.

CREEEKK!

Pintu besi yang tadinya tertutup terbuka kembali, Emir masih juga tidak berganjak atau mengerak - gerakkan tubuhnya. Diam saja di kerusi. Budak baik.

" Emir Ibrahim. Suspek pembunuhan seorang anggota polis, Leftenan Hariz Zainuddin.." Belum habis ayat Firdaus, Emir menghambur tawa.

" Pffttt... Leftenan... Hahaha.,” gelaknya semakin keras. Berbaris cantik giginya yang putih melepak itu.

Emir geleng kepalanya beberapa kali, membuang rasa lucu yang bersarang di bawah hempedunya. Geli.

" Pada... 20 September 2016 bertempat di Kediaman beliau di Taman Sentosa, Kajang..."

Suara Firdaus berselang seli dengan tawa Emir yang semakin kuat namun Firdaus tidak nampak seperti mahu berhenti. Dia terus saja membaca laporan yang berada di dalam tangannya.

" Senjata yang dia gunakan sebilah pisau mata runcing berukuran panjang 4 inci, lebar 2 inci. Cara pembunuhan…,” serentak Emir dan Firdaus membaca laporan jenayah itu.

Sudah dia hafal laporan yang dibacakan berpuluh kali itu. Muak! Bila Firdaus berhenti membaca, Emir dengan besar hati menyambung.

" Kelar dan potong alat sulitnya sebelum mayat mangsa ditanam di tanah perkuburan cina, Rompin Pahang,” Emir menarik satu senyuman sambil kepalanya terlentok mencari - cari wajah Firdaus yang berkerut seribu.

Berang, Firdaus mencampakkan laporan yang berada dalam tangannya ke meja. Muka surat 15 terbuka luas. Terpampang gambar mayat hitam putih di hadapan Emir. Lama dia merenung,

" Hmm... jurugambar ni tak boleh ambil gambar ni bagus sikit ke?" Emir berkerut dahi. Tidak puas hati dengan kualiti gambar yang diambil pasukan forensik. Buruk sungguh dimatanya.

Firdaus mengeluh, skrip yang sama lagi.

" Kau jangan main - main boleh?" Firdaus memberi amaran bersama satu cerlungan tajam.

Tali leher yang menjerut kemas di leher, dilonggar - longgarkan. Begitu juga dengan lengan bajunya yang sudah siap disingsing sampai ke lengan.

Dadanya mula membidang tinggi.

Geli hati, Emir mula mengerling ke arah Firdaus dengan senyuman,” ah! Macam ni la, baru betul... jadi ‘bad cop’,” Emir kenyit matanya sambil ketawa kecil. Sengaja dibisikkan perkataan "bad cop" itu.

" Apa motif kau bunuh dia?" Jari telujuk Firdaus tegak ke arah gambar.

Emir menjatuhkan pandangannya ke arah jari Firdaus, kemudian dia mendengung.

" Hmmm... Entahlah. Tak ingat. Banyak sangat dalam kepala aku ni." Jawab Emir seperti yang selalunya. Tapi kali ini lebih malas bunyinya.

" Apa dalam kepala kau? Sampah?" Firdaus yang sudah tidak punya sabar itu mula menunding jari pada dahi Emir.

" Hah? Ada apa?" Makin menjadi - jadi jari Firdaus menolak - nolak kepala Emir. Geram mungkin.

Mana tidaknya, sudah tiga minggu dia membicarakan hal ini tapi Emir tetap tak membuka mulut. Dasar orang gila.

“ Baik kau cakap sekarang sebelum aku pecahkan muka kau!”

Tiba - tiba saja, belahan bibir Emir tampak terbuka dan seperti mahu menuturkan ayat. Tapi, bukan pengakuan yang keluar dari mulutnya tapi lagu Doraemon pula yang dia menyanyikan hari ini. Kuat pula tu sampai ke luar ruang bersegi empat kedengarannya.

Firdaus sudah naik sakit kepala. Kerusi lipat yang berada di sebelahnya, ditendang jatuh. Bergema satu bilik bunyinya. Emir tetap tak terkejut, malah makin rancak pula dia menyanyi lagu itu riang.

" Diam!" Herdik Firdaus sudah tidak sabar namun Emir masih juga tetap dengan nyanyiannya berselang selikan tawa nyaring.

" Kaulah diam!" Pekik Emir tiba - tiba dengan satu cerlungan tajam pada Detektif Firdaus. Melihat riak terkejut yang terpamir di wajah Detektif Firdaus, Emir sekali lagi meletus tawa.

Tercabar, Firdaus meluru keluar dari bilik bicara. Lama - lama dengan Emir, dengan dia - dia boleh jadi gila.

Ziyad di luar bilik bicara hanya mampu menggeleng saja. Firdaus tak patut naik tangan pada Emir. Itu sudah menyalahi prosedur kerja.

" Aku-nak-orang-gila-tu-ditransfer-ke pulau Aman sekarang!" Arah Firdaus pada Ziyad. Kalut tangannya membetul - betulkan tali leher dan lengannya dek amarahnya yang ditahan - tahan.

" Baik tapi tuan... itu mungkin ada masalahnya dan, saya nampak tuan naikkan tangan pada Emir tadi,” seraya itu, Firdaus membidik pandangan berbisanya pada Ziyad.

" Salahguna kuasa dalam prose—.”

Ziyad tak jadi menghabiskan ayatnya, ia tertingga di rengkung dan kembali ditelan di perut.

" Maaf, tuan! Ya, arahan diambil. Transfer Emir ke pulau sekarang,” ujar Ziyad ketakutan. Firdaus memang terkenal dengan sikap terlampau tegasnya. Kalau sesiapa yang ingkar, matilah jawabnya.

Firdaus sempat menoleh kepalanya ke arah cermin gelap. Hampir saja jantungnya nak terjatuh dari sangkar bila Emir yang duduk di kerusi memandang tepat ke arah cermin gelap. Seperti dia sedang merenung dua bola mata Firdaus.

Celaka betul si Emir ni.

***

" Saya Humaira. Humaira binti Kamal. Pelajar lepasan uni—,” belum sempat Humaira menghabiskan ayatnya, panel sudah angkat tangan suruh dia berhenti.

Alamak, tak lepas lagi ke? Bisik hati kecilnya. Humaira memaku pandangannya pada panel tengah.

Gugup rasanya bila dia nampak bibir panel itu mula bergerak - gerak. Sekejap - sekejap mereka saling berkongsi pandangan antara satu sama lain.

Debar di dadanya semakin menjadi - jadi.
" Bila awak boleh mula bekerja?"

Oh. Dah agak mesti kena tolak— Eh! Kejap!
Melopong mulut Humaira bila dia mendengar perkataan mula itu.

Dia terus bangun melompat dari kerusi. Tangannya ditepuk ke dada beberapa kali. Lagatnya macam orang baru menang hadiah Bonanza! Dia ketawa. Ketawa kerana gembira yang amat.

Mana tidaknya, masuk yang ini saja, sudah kali 34 dia ditemuduga dan kesemuanya ditolak. Sejak dari tamat latihan menjadi seorang pakar psikiatrik di sebuah hospital, dia tak putus - putus ditolak.

Naik menggerutu kepala memikirkan nasibnya yang semakin lama semakin membusuk.

Apa bala yang dia heret entah. Kadang sampai rasa nak tercabut kepalanya. Sampaikan ada yang menyuruhnya pergi berjumpa bomoh mengambil tangkal.

Tapi hari ini, dia seperti terpijak tuah pula. Mungkin sebab tadi dia ada menolong seorang mak cik mengutip buah limau yang bergolek atas jalan kot?
Mungkin kot.

Ya la! Belum sempat dia memperkenalkan diri sudah diterima bekerja. Rezeki ayam memang nampak di kaki, rezeki manusia marhaen macam dia, siapalah yang tahu.

Dek kerana seronok amat, dia terlupa pula memberi jawapan kepada panel. Setelah hampir tiga minit setengah dia meraikan kegembiraan itu di hadapan panel - panel yang masih bingung dengan perlakuannya serupa beruk dapat coklat itu, akhirnya Humaira mendehem keras.

Pipinya yang kemerahan itu sudah tidak dapat berselindung, " hari ni pun boleh Encik! Saya janji, saya akan buat betul - betul,” janji Humaira dengan penuh semangat sambil sedaya upaya dia menutup rasa malunya.

" Baik. Esok siapkan beg pakaian awak. Bot ke Pulau Aman akan bertolak pukul 7.30 pagi,” arahan dikeluarkan serta - merta sebelum panel tadi menyerahkan sekeping kertas putih pada Humaira.

Usai borang itu bertukar tangan, sempat Humaira bertemu mata dengan panel tadi. Aneh.

Kenapa dia tak perasan, bola mata panel ni hitam pekat. Fikirannya mula merewang bukan - bukan. Macam— Ish! Humaira mulut tu jangan celupar sangat! Getus hati kecilnya.

" Sign,” tambal panel itu tanpa riak. Humaira hanya mengangguk saja sebelum dia menandatangan borang tadi tanpa dia membaca isi - isinya.
" Baiklah, Cik Humaira. Nice meeting you,” panel tadi menghulurkan tangannya.

Walaupun Humaira teragak - agak tapi dia tetap juga menyambut salamnya. Terasa sejuk semacam tangan panel itu hingga membuatkan Humaira cepat - cepat melepaskannya.

Pelik... aircond bukan sejuk sangat pun. Terasa pun tidak. Tapi, macam mana tangan dia boleh sejuk semacam ais? Gumam hati kecil Humaira lagi.

Tersedar, Humaira mengucapkan terima kasih pada panel - panel tadi sebelum dia mengiringi mereka keluar dari bilik temu duga. Humaira menunggu sedetik dua, memberi jarak pada panel - panel yang berjalan mara keluar.

" Terima kasih!" Humaira menjerit sekali lagi dengan satu tunduk hormat sambil dia memerhatikan batang tubuh panel - panel tadi hilang di sebalik pintu separa lut sinar.

Entah kenapa, perasaan tidak sedap hati mula singgah pada tangkal hatinya. Hilang semua keterujaannya yang tadinya membuak - buak. Diperhatikan lama cop 'Approved' berwarna hijau pada borang aplikasi kerja yang dipegangnya.

" Ah! Tak ada apa, Maira! Kau je yang fikir bukan - bukan!" Dia menggeleng beberapa kali cuba membuang perasaan aneh yang bersarang lalu dengan senyuman dia melangkah keluar dari bilik itu.

***

Malam itu, saudara mara Humaira datang ke rumah dek kerana cepat amat tersebar berita Humaira bakal bekerja. Ini pasti gara - gara mulut becok ibunya yang pantang sungguh dengar berita sensasi begini. Pasti sekejap saja disebarkannya.

Kadang - kadang dia terfikir, kalau dia viralkan kebolehan ibunya ini, boleh masuk rancangan Motif Viral tak?

Akhirnya, Humaira gadis yang ditolak 34 kali dalam temuduga berjaya mendapatkan kerja! Begitulah bunyinya bila ibunya mengumumkan tuahnya hari ini. Nasib baik tak ada speaker, kalau tidak satu taman ni boleh tahu. Eee.. buruknya!

" Ha... Humaira. Tak sangka dah hilang bala kau. Alhamduillah, dapat juga kamu kerja tu ya? Orang lain pun jadi doktor juga, cepat je boleh kerja. Kau sampai 34 kali interview, baru dapat. Doktor pakar pula tu! Ish, kasihan kau ni,” hamun perli Pak Uda merangkak adik kepada ayahnya. Mulut dia memang tak reti nak beli insurans, main rempuh saja bila bercakap.

Humaira hanya mampu sengih nampak gigi. Malas nak membalas nanti dicop kurang ajar pula. Walhal hatinya, menyampah sebenarnya tiap kali telinganya terpaksa ditadahkan mendengar buah keras Pak Uda.

" Kerja apa?" Tanya isterinya Pak Uda pula.

Yang ini pun satu, kain oranglah paling dia suka jaga. Kain dia yang dah separuh bogel tu, tak mahu pula dia sibuk. Gumam hati Humaira bila bola matanya melurut turun naik melihat gaya isteri Pak Uda yang berlagak muda itu. Pakaiannya seksi semacam saja.

" Itulah... Kau kerja apa Maira?" Soal ayah yang masih belum tahu pekerjaan Humaira. Rokok yang mahu dicucuh api, tidak jadi terbakar. Bola matanya tertunak pada anak perempuan sulungnya itu.

Humaira yang menjamah lauk yang dimasak istimewa ibunya itu, tak jadi mengunyah. Alamak! Aku tak bagitahu lagi pasal tu.

Makanan yang masih di dalam mulut, dikunyah seperlahan yang boleh. Biar dia fikir kejap, ayat apa yang sesuai dan patut dia bagitahu seisi keluarganya yang hadir.

Saudara mara yang lain nampak macam tak sabar ingin tahu pekerjaan apakah yang dia bakal galas. Masing - masing memaku pandangan mereka ke arah Humaira.

Lambat - lambat Humaira angkat kepalanya. Malu bercampur gugup juga bila dia lihat wajah - wajah teruja sanak saudaranya. " Err, doktor pesakit gila."

" APA?!" Bergegar dinding rumah teres murah itu bila mendapat tahu pekerjaan Humaira.

SAYA SAJIKAN ANDA DENGAN CERITA TERBAHARU SAYA PSIKOTHRILER yang penuh debaran. Semoga cerita ini dapat memenuhi cita rasa anda semua. Sila la komen kalau anda suka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience