Chapter 40

Mystery Completed 14901

Bab 40

“Kau yakin ke dia takkan tahu kita pasang alat perakam video di bilik ni?” tanya Affendi.

“Jangan bimbang. Cip ni sangat kecil. Aku pasang di empat penjuru bilik. Setiap pergerakan dan suara perbualan akan terakam. Kau hanya perlu melihatnya dari dalam bilik kau, melalui laptop!”

Affendi tergelak di atas kelicikan dan kepintaran kawannya itu. Dia memang pakar komputer dan dia mahir dalam hal-hal intip mengintip begini.

“Terima kasih!” ucap Affendi sambil menepuk bahu kawannya.

Tidak sia-sia dia dan Leo datang lebih awal daripada orang lain. Affendi punya kunci setiap bilik yang diperolehinya dari bahagian sekuriti. Sebagai orang yang ‘paling berkuasa’ di syarikat itu dia mendapat apa yang dia inginkan. Tiada sesiapa pun yang berani mempertikaikannya.

“Kerja aku dah siap. Aku balik dulu!” kata temannya setelah dia memeriksa laptop Affendi. Segalanya sempurna. Affendi dapat melihat setiap sudut dalam bilik Puan Suriati dengan jelas.

“Sekarang, kita sudah tahu siapa musuh kita. Kita sudah tahu setiap tindakan musuh kita!” kata Affendi sambil tergelak. Dia memandang Leo yang juga rasa senang hati.

“Ya. Kau betul. Idea kau nak mengintip aktiviti Puan Suriati memang bijak.”

“Kau ada satu tugas baru. Jadi spy!” kata Affendi, senyum masih menguntum di bibir.

“Okey. No problem.”

Gila! Gerutu Airiel sambil berjalan keluar dari bilik Puan Suriati. Dia tidak sangka Puan Suriati akan melakukan satu lagi jenayah. Tidak cukup-cukup lagi ke? Bisik hatinya tidak keruan. Sanggup dia menganiayai Zakuan dan Datuk Omar. Sekarang Affendi. Entah-entah suatu hari nanti dia akan mengenakan aku pula! Airiel rasa tidak keruan. Timbul rasa takut dan kecut dalam hatinya. Perempuan tu memang tak ada perasaan…

Wanita itu nekad, ingin menghapuskan sesiapa sahaja yang menghalang cita-citanya. Selama bertahun-tahun rahsianya tersimpan kemas. Hanya mereka berempat sahaja yang tahu segala yang dirancang. Irfan sudah tiada. Kini tinggal Hamzah dan Airiel yang memegang rahsia itu.

Airiel tidak setuju dengan rancangan Puan Suriati agar menganiaya Affendi. Dia tidak bermusuhan dengan Affendi. Dia lebih marah dan benci pada Leo. Airiel tidak terlalu berdendam dengan Affendi biarpun terkadang lelaki itu agak lancang. Dia lebih cenderung hendak membalas dendam pada Leo, bukannya Affendi.

Namun Puan Suriati berkeras ingin melakukan sesuatu terhadap Affendi, supaya lelaki itu melepaskan jawatannya dalam OMARA Holdings.

“Malam ni kau ada apa-apa rancangan?” tanya Affendi setelah diam beberapa saat.

“Aku nak pergi rumah bakal mak mertua,” jawab Leo sambil mengenyitkan mata.

“Wah! Selamat berjaya menawan hati mereka.”

“Insya Allah.” jawab Leo sambil tersengih panjang.

Sebagaimana yang dijanjikan, Leo mengunjungi rumah ibu bapa Amalina. Sebelum itu dia membeli sebakul bunga mawar putih yang sudah siap digubah. Bunga itu hadiah untuk Puan Salimah. Turut dibawa bersamanya tiga pasang sutera juga buah tangan untuk bakal si ibu mertua. Dia berharap wanita itu menyukai sutera Korea yang dibelinya itu.

Amalina yang sudah menunggu di rumah ibu bapanya, membuka pintu apabila Leo sampai. Terkejut dia melihat Leo membawa bakul bunga yang cantik itu.

“Ini bukan untuk kau, tapi untuk bakal mertua aku.”

“Ya Tuhan Leo! Tak pernah kau belikan aku bunga begini. Tapi untuk mak.”

“Sayang, kalau kita kahwin nanti, lebih dari ni yang aku akan berikan. Malah satu bilik penuh bunga pun aku sanggup beli!” bisik Leo ke telinga Amalina.

Alin! Alin! Takkanlah dengan emak sendiri pun nak cemburu! Leo menggelengkan kepala.

Amalina meletakkan bakul berisi bunga segar itu di atas meja beserta dengan bungkusan kain yang berbalut cantik.

“Mak kat dapur, tengah masak untuk makan malam. Kau duduk dulu, aku pergi panggil abah. Abah ada kat bilik,” kata Amalina meminta diri.

Leo duduk sendiri di ruang tamu. Matanya memerhati sekeliling. Rumah orang tua Amalina amat cantik dan kemas. Segalanya teratur, sedap mata memandang. Tidak lama kemudian Amalina turun bersama dengan seorang lelaki berusia awal enam puluhan. Amalina segera memperkenalkan bapanya, Encik Hamdan kepada Leo.

“Abah… Ni kawan Alin, Leo…”

Leo menghulur tangannya ke arah Encik Hamdan dengan tertib. Encik Hamdan menyambutnya, tanpa senyuman. Wajah lelaki itu serius sahaja. Dia merenung Leo tidak berkelip, dari mata hingga ke bawah buat Leo rasa tidak selesa. Dapat dia rasakan Encik Hamdan tidak menyukai. Apalagi dia memandang rambut Leo yang panjang itu dengan tenungan yang tajam dan lama. Walaupun Leo mengikat rambutnya dengan kemas, namun tidak dapat menyembunyikan hujung rambutnya terjurai ke belakang.

“Jadi ni lah dia lelaki yang kau cinta separuh mati tu, Alin?” kata Encik Hamdan.

...bersambung

Bab akan datang:

Adakah Encik Hamdan tidak menyukai Leo? Bagaimanakah keadaan sewaktu makan malam di rumah keluarga Amalina?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience