HARI KIAN GELAP. Perjalanan kedua orang gadis itu hanya diterangi oleh cahaya bulan dan juga lampu LED dari telefon bimbit mereka.
“Lya, aku tahu kau kecil hati dengan perangai Ain tu. Banyakkan bersabar, ya,” Suhada cuba memujuk Alya. Namun gadis itu terus membisu. Matanya hanya difokuskan di hadapan sambil kedua belah tangannya memeluk tubuh.
“Alah, Lya… kau takkan tak kenal dengan perangai Si Ain tu. Kita berkawan sejak di semester satu lagi, takkan kau masih tak faham lagi dengan dia?” Suhada terus memujuk.
“Asyik aku aja nak kena faham orang, tapi orang tak nak faham aku,” ucap Alya perlahan.
“Janganlah cakap macam tu, Lya. Aku kan ada? Hana pun okey apa? Kita orang ni akan sentiasa bersama dengan kau walau dalam apa jua keadaan sekalipun.”
“Habis tu, Ain tu pulak macam mana?”
“Ain? Lya, kami bertiga ni dah berkawan sejak di bangku sekolah lagi. Aku dan Hana dah masak sangat dengan perangai Ain tu. Dia tu memang dari dulu lagi dah macam itu. Mengelat, cerewet, bossy! Terus-terang aku cakap yang aku dan Hana pun dah bosan dengan dia. Tapi kita orang tak sampai hati nak putuskan persahabatan yang dah lama terjalin ni. Kalau kita orang boleh bersabar, aku yakin kau jugak boleh…” Suhada terus-menerus menenangkan Alya biarpun gadis itu hanya membisu seribu bahasa.
“Lya, kau yakin ke ada rumah dekat-dekat sini? Aku tak rasa ada orang nak berumah kat tempat terpencil macam ni. Jom kita balik semula ke kereta…” sambung Suhada dan memandang ke sebelah. Namun dia terkesima. Alya tiada di sebelahnya. Bermakna sebentar tadi dia hanya bercakap seorang diri. Ke manakah Alya?
“Lya?” panggilnya. Namun tiada sahutan.
“Lya, kau kat mana?” pekiknya lagi.
“Lya, this is not funny, okay!” Sepi lagi. Dia mulai seram. Tambahan pula dengan suasana jalan yang amat gelap tanpa lampu.
“Alyaaa….” Jeritnya. Namun Alya tetap tidak muncul hatta mendengar suaranya sekalipun menyahut panggilan sahabatnya itu. Suhada mulai tak keruan. Bulu romanya berdiri tegak. Mungkin Alya disorok oleh mahluk halus? Fikirnya. Spontan dia menangis teresak-esak dalam keadaan ketakutan.
“Lya…! Lya! Di mana kau…” Suhada bersuara lemah. Rasa takut dan seram kian menebal menyelubungi dirinya.
Lantas dia mengambil keputusan untuk patah balik ke kereta. Di saat dia mengundurkan sedikit tubuhnya, tiba-tiba dia bagaikan terlanggar seseorang di belakangnya. Spontan dia memusingkan badannya kerana begitu yakin yang dilanggar itu adalah Alya.
“Lya, kau pergi mana…” Kata-katanya mati di situ.
Rupa-rupanya yang dilanggar tadi bukan Alya, tetapi satu lembaga yang berselubung dengan kain hitam. Tanpa berfikir panjang dia terus lari dengan lajunya tanpa disedarinya dia telah berlari masuk ke dalam hutan belantara berhampiran jalan gelap itu.
Di saat itu terasa seperti kakinya tidak menjejak ke tanah kerana terlalu pantas berlari. Suaranya juga tersekat di celah-celah kerongkong hingga dia tak mampu untuk menjerit meminta tolong.
Sehinggalah dia terpijak sebuah lubang kecil menyebabkan tubuhnya terjelapuk dan kakinya pula terseliuh. Di saat ini terasa yang dirinya benar-benar tak berdaya.
Dia menoleh ke belakang. Lembaga hitam itu kini benar-benar di hadapannya. Dia mengesot ke belakang, namun lembaga itu makin mara ke hadapan. Sebilah pisau belati dikeluarkan dari selubung hitamnya lalu diangkat tinggi. Suhada kecut.
Dia menjerit sekuat hati. Sekelip mata, satu tusukan bias telahpun menembusi tubuhnya dan jeritannya makin kuat akibat kesakitan.
Aaarrrrrggghhhh!!!
Share this novel