BAB 8

Romance Series 8815

MALAM itu hujan lebat. Kilat sambung menyambung. Bunyi guruh kedengaran keras dan kuat. Termasuk hari ini, sudah tiga hari hujan lebat menimpa bumi.
Jawdan meletakkan G-pen di atas tablet digitalnya. Dia memandang ke arah tingkap. Di luar sudah gelap. Malah bunyi hujan membuatkan dia keresahan. Apabila melihat kilat terpancar lagi, Jawdan berdiri. Dia menapak ke pintu berhadapan dengannya. Sejak dari tadi dia melukis sambil menghadap ke arah pintu itu.
Bimbang.
Bimbang sakit Jeeyan datang semula. Sudah dua hari berturut-turut Jeeyan bertindak mencederakan diri sendiri. Semalam, Jeeyan menghentak dahinya di bucu meja dapur semasa Jawdan sedang mandi. Berderau jantung Jawdan apabila melihat wajah Jeeyan berlumuran dengan darah.
Cepat-cepat adiknya itu dirawat dan dibawa ke hospital. Jeeyan ditahan semalaman untuk memastikan emosinya kembali pulih. Kerana itu juga pagi tadi Jawdan kelewatan turun bekerja.
Pintu bilik Jeeyan diketuk beberapa kali sebelum ditolak. Mata Jawdan meliar mencari kelibatan Jeeyan yang tiada di atas katil. Sudah pukul 11 malam, selalunya Jeeyan sudah tertidur. Dan hatinya rabak melihat Jeeyan sedang meringkuk di atas lantai berdekatan dengan almari, tempat yang paling tersembunyi di dalam bilik itu.
Jeeyan kelihatan terlalu takut. Wajahnya basah dengan air mata. Tubuh Jeeyan menggigil-gigil setiap kali bunyi guruh berdentum.
“Jee...”
Jawdan mendekati adiknya. Dia tahu sangat Jeeyan trauma dengan hukum alam yang tidak mampu ditahan oleh orang biasa. Hujan, kilat dan guruh. Sejak kejadian pahit menimpa Jeeyan, gadis itu tidak lagi mampu berfikiran rasional dan normal. Ketakutan yang Jeeyan rasai bukan ketakutan yang biasa-biasa. Jika Jeeyan tidak tahan, adiknya itu bakal melakukan perkara yang berbahaya. Bukan sekali dua Jeeyan cuba mencederakan diri, hampir setiap hari!
“Jangan dekat! Jangan dekat!” Jeritan Jeeyan bergema di segenap ruangan.
“Abang ni...” Jawdan duduk dalam jarak semeter daripada Jeeyan. Bimbang emosi Jeeyan semakin tidak stabil apabila dipaksa-paksa.
“Jangan dekat!”
“Jangan takut. Abang ni. Abang nak tolong Jee,” pujuk Jawdan.
Jeeyan harus sedar yang dirinya abang. Dengan itu saja dia mampu mendekati Jeeyan dan meujuk gadis itu.
Jeeyan menggeleng kepala berkali-kali.
“Okay, abang duduk kat sini temankan Jee. Abang tak dekat.” Jawdan duduk sambil merenung Jeeyan yang menghentak-hentak dahinya dengan kedua-dua tapak tangan.
Keadaan itu sudah acapkali berlaku. Jawdan tidak punya kuasa untuk menghalang kerana dengan cara itu saja Jeeyan tidak menjadi agresif. Jika Jeeyan mengamuk, dia tidak akan mampu mengawal Jeeyan lagi.
“Jee nak abang bacakan surah tak?” soal Jawdan.
Walaupun Jeeyan tidak membalas, Jawdan mula mengalunkan beberapa surah pendek dengan nada perlahan.
Mata Jeeyan yang berair-air itu masih tajam menikam wajah abangnya seolah-olah tidak senang dengan kehadiran Jawdan. Balutan luka di dahi Jeeyan entah hilang ke mana. Luka Jeeyan yang agak besar dapat dilihat walaupun tertutup oleh rambut.
Hati Jawdan lumat berkali-kali.
Dulu, Jeeyan bukan begini.
Dulu, Jeeyan seorang yang petah berbicara. Jeeyan seorang yang periang. Jeeyan suka menyakat...
Jawdan masih membaca surah al-Insyirah dengan berdoa di dalam hati agar diberi kelapangan buat Jeeyan menghadapi dugaan-dugaannya. Jawdan pernah memaksa Jeeyan untuk kembali dengan kehidupan lama, tapi Jawdan silap. Akibatnya, Jeeyan cuba terjun dari bangunan lima tingkat. Dan setelah peristiwa itu, dia sedar, memaksa Jeeyan untuk kembali ‘normal’ bukan penyelesaian masalah. Jawdan perlu masuk ke dunia Jeeyan agar adiknya itu tidak semakin tertekan.
Wajah pucat Jeeyan membuat mata Jawdan jadi kabur. Dia gagal menjadi seorang abang dan pelindung. Dialah yang menyebabkan masa depan Jeeyan hancur!
Kalaulah dia sedar lebih awal...
Kalaulah dia mampu membimbing Jeeyan sebelum segala-galanya berubah dan terlambat!

“APA KAU buat sampai sekarang tak tidur-tidur?” soal Naemah sebaik saja ternampak Misya yang sedang duduk di ruang tamu. Dia keluar dari bilik kerana panggilan tandas. Terkejut sebentar Naemah apabila Misya masih duduk di ruang tamu dalam keadaan gelap.
Misya tidak menjawab. Sebaliknya kekal termenung menghadap televisyen yang tidak terpasang.
Naemah menggaru kepala spontan. Tak dengar agaknya Misya. Jauh sangat mengelamun. Ke dah tidur? Tidur dalam duduk tegak macam tu?
Dahi Naemah berkerut-kerut. Hilang rasa kantuknya apabila melihat Misya seperti patung yang tidak bernyawa.
Naemah mengurut dada cuba menenangkan diri sendiri. Bimbang yang dilihat bukan Misya. Manalah tau saka Misya ke.
Naemah terus ke depan pintu dan membuka suis lampu.
Terang benderang setiap sudut olehnya.
Naemah segera memandang ke arah Misya.
Allah...
Masih tegak duduk tanpa sebarang reaksi.
Berdebar-debar jantung Naemah. Pelbagai andaian merasuk dalam fikiran. Dia cepat-cepat menghampiri Misya dan menepuk bahu Misya.
Apabila bahunya ditepuk, barulah Misya mendongak menatap wajah Naemah yang agak berserabut.
“Kau buat apa tidur duduk dekat ruang tamu? Tidurlah kat dalam bilik. Dahlah mata terbuka tak kelip-kelip. Mujur aku ni kuat semangat tau.” Naemah menggeleng-geleng kepala sementara masih merenung wajah Misya yang terpinga-pinga.
Naemah menilik ke arah jam yang tersangkut di dinding di atas TV. Pukul 3 pagi!
“Pukul 3 pagi dah tau!” Dia tunjuk jam di dinding kepada Misya.
Misya melemparkan pandangan ke arah jam dinding itu.
“Allah...” Keluhan tipis terbit dari bibir Misya.
“Ke kau tak tidur lagi ni? Termenung sampai pukul 3 pagi? Ada benda yang mengganggu fikiran kau ke, Misya?” soal Naemah sambil mengambil tempat duduk di sisi Misya. Dia bukan nak menyibuk. Tapi manalah tahu Misya mahu bercerita tentang masalah yang dihadapi.
“Tak de. Aku nak tidur dulu.” Misya angkat punggung.
Cepat-cepat Naemah menahan tangan Misya.
“Beritahu aku apa yang buat kau jadi macam ni,” desak Naemah. Dia percaya ada perkara yang membuat Misya duduk di ruang tamu ini berjam-jam lamanya tanpa berbuat apa-apa.
Entah kenapa, firasat Naemah mengatakan yang Misya sedang memikirkan Jeeyan. Tapi melampaulah sampai tak sedar pukul 3 pagi!
“Aku... jumpa Jeeyan tadi pagi.”
Naemah membulatkan mata. Walaupun suara Misya perlahan, tetapi dapat didengari dengan jelas.
Misya dah jumpa Jeeyan!
Tepat sangkaannya, Misya sedang memikirkan perihal Jeeyan. Tapi dia tidak menyangka secepat ini Misya bertemu empat mata dengan Jeeyan.
“Kau pasti ke itu Jeeyan?” soal Naemah dengan suara yang agak bergetar.
Misya mengangguk.
“Dia kurus sangat. Banyak luka kat muka dan tangan dia. Aku takut...” Misya meluahkan perasaannya sebenar pada Naemah. Masih terakam kemas dalam mindanya ketika pertemuan semula dia dan Jeeyan. Walaupun ketika itu Jeeyan tidur pulas, namun hatinya masih terkesan dengan pertemuan itu. Sebaik saja Jawdan muncul, Misya terpaksa keluar dari kereta lelaki itu. Walhal dia teringin sangat menunggu Jeeyan sedar. Mahu berbual dengan Jeeyan. Mahu memohon maaf pada gadis itu. Mahu mengakui bahawa segala yang terjadi adalah berpunca dari kekhilafan dirinya sewaktu remaja.
“Macam mana kau jumpa dengan dia?”
“Jawdan minta aku temankan adik dia sebab dia kena jumpa writer untuk sign perjanjian. Dalam setengah jam.”
“Jeeyan kenal kau tak?” soal Naemah ingin tahu.
“Aku tak tahu. Dia tidur masa tu. Jawdan kata, Jeeyan makan ubat sebab tu dia tengah tidur.”
“Allah...” Naemah menggosok dadanya setelah mendengar cerita daripada Misya. “Teruk sangat ke keadaan dia, Misya?”
Misya angguk kepala. “Aku rasa dia masih self harm. Kepala dia luka, pipi dia bengkak. Aku tengok lengan dia yang kurus tu, lebam-lebam... Aku rasa aku dah musnahkan masa depan Jeeyan.” Misya meraup wajahnya.
Air mata yang ditahan-tahan bertakung berat. Kerisauannya sejak pagi tadi membuat Misya seperti kehilangan roh sepanjang hari. Sampaikan Kak Nour menegur ketika waktu balik gara-gara dia termenung di hadapan komputer tanpa berbuat apa-apa.
“Memanglah kita ada buat silap kat Jeeyan. Tapi bukan silap kita seratus peratus. Hidup kita ni, kita yang pegang. Kalau hidup kita musnah atau gagal, kau nak salahkan orang lain ke, Misya?” Walaupun Naemah sendiri rasa bersalah terhadap Jeeyan, tetapi dia masih mampu mengawal rasa bersalah itu. Memanglah kalau boleh dia mahu membetulkan kesilapannya, tapi bukan dengan cara murung dan mengenang perkara itu seperti tiada kesudahan seperti yang Misya sedang lakukan.
“Sebab kau tak tengok keadaan dia...” Mata Misya terpejam rapat. Berkali-kali dia usir memorinya bersama Jeeyan tadi, tetapi gagal!
“Lets say kau rasa bersalah, kau dah minta maaf pada dia, betul tak?”
Misya terdiam dengan soalan Naemah.
“Kalau kau tetap rasa bersalah, kau patut jumpa dengan abang dia. Beritahu apa yang kita dah buat kat adik dia.”
Misya menatap wajah Naemah. Sedikit terkejut dengan cadangan temannya itu.
“Aku bimbang, kalau aku jumpa dengan Tuan Jo dan dia dapat tahu tentang perkara ni, dia tak akan bagi aku jumpa dengan adik dia lagi. Mesti dia bimbang emosi adik dia terganggu. Aku belum sempat nak minta maaf pada dia. Masa aku minta maaf tu, dia tengah tidur. Dia tak sedar. Dia tak dengar suara aku...”
Mata Naemah redup memandang wajah Misya yang sedang sarat dengan emosi.
“Sebab tu lah kau kena kuat. Kau tak boleh mengalah. Kau dah sampai fasa ni, kau kena teruskan sampai berjaya jumpa Jeeyan dan beritahu yang kau rasa bersalah dengan apa yang dah kita lakukan pada dia dulu. Tapi dalam proses kau nak jumpa Jeeyan tu, jangan hukum diri kau begini. Bila kau tak tidur, kau resah, kau stres dan tertekan, aku bimbang nanti kesihatan mental kau pula yang terkesan.”
Misya hela nafas dalam-dalam. Ada benarnya kata-kata Naemah itu. Dia tidak boleh terbawa-bawa dengan perasaan negatif.
“Kalau kau tak boleh tidur, masuk aje bilik. Pasang ayat-ayat ruqyah. Mula-mula susah, nanti lama-lama tertidur sebab badan dan otak kita ni jadi tenang. Sekarang, kau ambil air sembahyang, solat sunat taubat. Lepas tu tidur. Esok pagi-pagi kena kerja. Kena hadap Tuan Jo kau tu.” Naemah menepuk lengan Misya.
“Aku cuba...” Misya bangun dari duduknya dan melangkah masuk ke bilik air.
Naemah segera bersandar pada sofa. Sementara menunggu Misya menggunakan bilik air, dia memandang ke arah cermin.
Hujan masih juga lebat. Orang lain, bila hujan lebat akan lena. Tapi Misya pula jadi burung hantu sampai ke pagi.
Naemah menghela nafas dalam-dalam. Bukan dia tidak faham perasaan Misya. Adakalanya, dia juga dibayangi perkara silam. Perkara yang membuat tidur malamnya ditemani mimpi-mimpi ngeri...

ig @rinsyachasiani

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience