SUDAH dua jam lebih di kurung di dalam bilik meeting. Tapi tiada tanda mesyuarat tersebut akan berhenti untuk rehat seketika. Aku menenung buku note yang aku bawa masuk tadi. Entah apa kegunaan aku membawa buku note tersebut. Satu note pun aku tak tulis. Sebab kalau diteliti buku itu lebih banyak ukiran lakaran. Otak pun tak berapa nak masuk agenda meeting kalau aku dah mengukir lakaran. Melayang jauh ke bilik ofis ku. Itu yang aku rasa sekarang. Bagus aku berkurung di dalam ofis ku buat lakaran, daripada mendengar ulasan meeting bulanan yang di depan ku ini.
Fokus, Grace! Desis hati ku. Memberi diri suntikkan semangat untuk lebih fokus kepada meeting yang sedang berjalan sekarang.
Tapi tetap juga aku mengeluh kecil. Di dalam hati aku menjerit. Mahu balik ke bilik ofis ku.
Hari pertama setiap bulan, memang akan sentiasa di kurung di dalam bilik meeting. Menghadap dia orang boss. Biasanya, dia orang nak dengar pasal hasil project yang telah siap. Nak tahu hasilnya. Adakah project tersebut melebihi peruntukkan pada mula-mula dibahas dan dibincangkan? Yang anggaran terdahulu dari segi kewangan dan masa, ada yang melampaui peruntukkan budget ke tak. Itu yang ingin di lihat dan dinilai.
Setiap bulan memang akan ada project yang telah siap. Kalau bukan project yang aku kendalikan, ada dia orang interior designer ataupun assistant interior designer lain yang telah siap. Jadi, itu faktor utama meeting ini diadakan setiap bulan.
Usai habis mesyuarat aku ke masuk ke dalam bilik ofis ku. Ingin re-cas tenaga dalam badan. Walaupun sekadar mendengar bukan yang buat ‘presentation’ tapi aku terasa hilang separuh tenaga dari dalam diri ku.
Terlebih drama kan…
Jam di dinding bilik ofis hampir nunjukkan pukul 2 petang. Ah…daripada dua jam lebih kepada 4 jam lebih meeting berjalan. Sekarang ini, terasa malas pula nak keluar makan lunch walaupun perut ku dah ‘keting-ketong’ berbunyi sebab lapar.
Tadi bukannya dia orang boss tak ajak makan sekali, aku ini tergopoh melarikan diri. Sebab dia kalau aku mengikut, aku pasti akan ambil masa dua jam lebih berada dekat luar maka tak tersiap lah kerja ku nanti. Lagipun, ku perlukan rest minda sekejap sebelum aku memulai melakukan kerja ku balik.
Aku menundukkan kepala ku di atas meja. Mata di pejam seketika. Namun, hanya seketika bila pintu bilik ofis ku diketuk berapa kali daripada luar.
Baru nak masuk alam mimpi. Desis hati ku.
Sebalik sahaja pintu dibuka terpancul wajah Jessica. Dia tersengih bila melihat kening ku berkerut, penuh tanda tanya dengan kehadirannya.
Jangan dia datang bagitahu aku ada appointment dengan client hari. Tapi selalunya, Jessica tahu hari pertama awal bulan aku tak boleh ada appointment. Di kosongkan sepanjang hari slot untuk jumpa client.
“ Sorry ganggu Miss.. saya ada belikan makanan untuk miss tadi. Kalau miss masih nak berehat sekejap, nanti miss boleh makan dekat pantry. Saya letak situ.. Just jangan biarkan perut miss kosong… ”, kata Jessica. Penuh lembut tutur bahasa Jessica. Mungkin dia merasakan dia menganggu diri aku saat itu.
“ Oh..ye ke? Susahkan awak je…By the way thanks Jess…” ujar ku. Senyuman terukir dibibir. Terasa beruntung pula aku dapat PA yang bagus seperti Jessica. Malah, dia sentiasa mengambil berat. Ini mungkin kes aku yang sentiasa tak tentu makan. Padahnya aku selalu mengadu gastrik dengan dia.
“Saya pergi sekarang. Awak dah makan ke? Kalau belum jom join sekali…” Aku bangun daripada kerusi dan menghampir Jessica yang masih berada di depan pintu.
“ Saya dah makan Miss.. Miss pergi lah. Masih ada orang dekat pantry…” balas Jessica. Pintu di buka luas supaya aku boleh lalu.
Aku berlalu ke pantry, dan Jessica kembali ke tempat duduknya. Meneruskan kerjanya.
Bila ku sudah menghampiri pintu pantry, aku mendengar deraian ketawa dari dalam. Seperti suara Abigail Martha dan Kimberley Marie. Entah apa yang mereka bualkan sampai begitu sekali ketawa. Ini mesti bergosip. Entah siapa yang digosip oleh mereka berdua. Aku menyandar di tepi dinding sebelah pintu, memilih untuk dengar gosip yang dibualkan oleh rakan ofis ku.
“ Nak dengar gosip pasal miss Grace tak…?” Semakin lebar cuping telinga ku bila nama disebut saat itu. Aku tak pasti suara siapa berkata begitu. Tapi rasanya seperti suara Kimberley Marie. Siapa tak tahu kalau dalam bangunan ALPHA Holding, boleh di katakan dia sama level dengan radio bergerak. Namun peliknya, kalau pasal boss dia Mr Eric, tak pula dia nak bergosip ataupun mengumpat. Pandai mulut dia tertutup rapat kalau ada mengajak dia ‘menganyam ketupat’ tentang Mr Eric. Pandai dia melarikan diri untuk mengelak.
“ Eh.. miss! Kenapa tak masuk?” sergah suara di tepi ku. Terkejut punya pasal sampai aku mengusap dada. Muka terasa panas. Sebab sudah tertangkap. Itu lah, mengintip lagi. Curi-curi dengar lagi perbualan orang. Rungut hati pada diriku.
Aku melihat Jessica dengan memegang gelas ditangan, berdiri sebelahku. Bersama dia Kak Daphne, secretary Mr. Mark. Dia yang telah pun tersenyum melihat gelagat terkejut ku over seperti melihat hantu. Sedangkan bukannya kuat pun Jessica menyapaku. Aku melihat dia menggeleng kepala. Mungkin sudah masak dengan perangai aku yang sedikit terover kadang-kadang kalau dah terkejut.
“ Shhh…” Tangan ku sudah terletak di bibir, memberi isyarat supaya dia jangan berbual dengan ku dulu. Masih berniat ingin memasang telinga, mendengar gosip tentang diriku. Kalau tak, tak tahu lah aku apa mereka gosip tentangku. Mana lah tahu kot-kot mereka tak puas hati dengan aku.
“ Apa yang menarik sangat sampaikan miss perlu sembunyi-sembunyi seperti Charlie Angel dekat luar ini?”
“ Ahaa… Akak pun nak tahu juga Grace?”
“ Pasal hidup dan mati saya…” ujar ku bersahaja dengan tersengih. Di wajah Jessica penuh dengan tanda tanya. Penuh ingin tahu apa kaitan hidup dan mati ku dengan apa yang sedang aku lakukan. Sebaliknya pula dengan wajah Kak Daphne yang berkerut seperti tidak senang.
“Boleh tak Grace jangan main-main dengan perkataan hidup dan mati ini…” tegur Kak Daphne, tangan dia lancar menepuk bahu. Terkejut aku, tapi tidak mampu berkata apa.
Ala..! Serius pula Kak Daphne ini. Bergurau sedikit pun tak boleh. Omel ku di dalam hati Aku mengusap-usap bahu ku yang ditepuk oleh Kak Daphne tadi. Habis bergegar lemah yang aku miliki di saat tangan dia hinggap di bahu. Drastik pula perasaan emo kakak Daphne bila orang bermain dengan perkataan hidup mati.
“Dia orang buat apa dekat dalam? ” soal Kak Daphne lagi dengan memandang wajahku sekilas.
“Orang dalam itu mengata miss ke??” serkap Jessica dengan kening terangkat.
Kali ini, aku terpana dengar soal yang keluar dari Jessica. Terdiam. Terkebil memandang dua orang didepan ku silih berganti. Takkan aku nak kata ya. Aku belum dengar apa-apa. Mereka berdua dah sergah aku masa itu. Nanti boleh buat berita palsu kalau aku bagitahu lebih-lebih. Sedangkan aku belum mendapat kepastian lagi.
Belum sempat nak bersuara untuk menerangkan apa terjadi, tanganku di tarik oleh Jessica. Dan aku ke posisi belakang. Dia pula ke depan pintu. Untuk mendengar. Dia seperti dapat mengagak apa yang terjadi. Nampaknya tindakkan aku mendiam itu seperti mengiakan pertanyaan Jessica tadi. Reaksi Kak Daphne sedikit terkejut apa awalnya, tapi sekarang dia memberi isyarat supaya aku tidak mengeluarkan bunyi. Dia berdiri tepi Jessica.
Amboi! Sekarang siapa yang over. Aku mengeleng kepala dengan tangan berlipat melihat reaksi rakan ofisku.
“ Tak dengar apa-apa pun…”
“ Jess, sergah je…tolak je pintu ini…”
Aku sudah tersenyum melihat perangai Jessica dan Kak Daphne yang beria sungguh berbisik antara satu sama lain. Macam main-main perisik pula ku tengok. Tapi suara boleh tahan kuat. Tak patut juga orang di dalam tak mendengar ataupun sedar kehadiran mereka. Sudah telinga mereka melekat betul di dinding pintu. Teruk betul perangai.
Jessica memandang Kak Daphne yang berada di belakangnya dengan wajah berkerut. Tangan Kak Daphne sudah pun menyentuh ganggang pintu. Bersedia untuk menolak pintu tersebut. Tapi dihalang oleh Jessica. Ku lihat tangan Jessica menggenggam erat serta kuat ganggang pintu. Dia mengeleng kepala, isyarat dia supaya Kak Daphne jangan tergopoh-gapah menolak. Dengan tangan sekali dia beraksi. Selepas telinga di dekat kembali di dinding pintu. Jessica berbisik sesuatu dekat Kak Daphne, yang aku sendiri tidak dapat dengar. Kakak Daphne mengangguk sahaja daripada tadi seperti mengerti dan faham.
Apa yang mereka berdua buat ini? Kalau nak buka, buka sahaja lah pintu itu. Main bisik-bisik…macam aku tidak wujud pula. Desis hati ku.
Bahu mereka berdua ku tepuk dan pegang. Mereke berdua memandang wajah ku serentak. Ganggang pintu terlepas oleh mereka berdua saat itu.
Tapi tidak di sangka pula orang di dalam sedang menarik ganggang pintu tersebut. Terjadi lah kemalangan yang tidak di sangka. Tersungkur/tertolak ke belakang tubuh si penarik pintu dari dalam saat itu. Bergema lah juga pantry bila dia terjerit kecil. Bersungguh Kimberley Marie berpegang dekat pintu supaya badannya tidak terjatuh. Tergantung. Sungguh lucu keadaan ketika itu untuk dilihat mereka yang melihatnya. Aku menutup mulut menahan diri daripada tertawa. Jessica mahupun Kak Daphne sudah terkehek-kehek ketawa. Tidak tanda mereka menunjukkan rasa simpati kepada ‘mangsa’.
Orang di dalam pantry jangan nak cakap, memang ketawa tak di kontrol. Tak ada perasaan kasihan. Hiburan diri sendiri diutamakan dulu sebelum wujudnya terniat nak membantu sang kawan yang wajahnya sekarang merah padam. Menahan perasaan marah ataupun malu kali.
“ Korang ha…?? Korang memang sengaja…” hendik Kimberley Marie yang sedikit geram. Tapi masih dikontrol perasaan di dalam dirinya.
Aku mendekati Kimberley Marie yang sedang mengatur baju. Begitu juga dengan Abigail Martha yang bangun daripada kerusi, mungkin sudah sampai seruan niat dia untuk membantu kawannya itu. Dia yang sememangnya dari awal bersama dengan Kimberley Marie di dalam pantry itu mendekati dengan ketawa yang masih berbaki.
Jessica dan Kak Daphne pula main limpas lalu di depan Kimberley Marie. Bukan nak membantu malah diberinya sengihan memperli. Membuak dan makin panas mendidih perasaan kawan itu, jelas sangat diwajah dia sebab wajah Kimberley Marie putih, makin merona merah.
Aku tak mampu menegur. Sekadar mengeleng kepala melihat kelakuan serta tindakkan mereka sebegitu. Sebab mereka-mereka ini dah layak jadi ibu-ibu anak-anak kecil dan isteri orang. Bukan layak, tapi sememangnya dah jadi ibu orang. Kak Daphne terutama sekali dah ada anak besar remaja tapi perangai masih macam budak-budak. Nak marah mereka pun hanya mampu dibenak fikiran ku. Kerana masing-masing sudah tua untuk mengerti.
" Eh..eh…Tak apa Sis Grace…biarkan sahaja…biar saya bantu dia..” pintas Abigail Martha bila tanganku ingin menyentuh bahu Kimberley Marie. Dia terlebih dahulu memeluk bahu tersebut dan membawa Kimberley Marie kembali duduk di tempat dia tadi. Tindakkan dia seperti memujuk kawan itu yang kelihatan masih geram.
Terpinga-pinga pula aku dengan tindakkan pantas Abigail Martha yang menolak tangan ku lembut. Lagi-lagi bila aku yang ditinggalkan sebegitu, masih berdiri di depan pintu, terkebil-kebil. Lantas itu membuatkan aku mengaru kepala walaupun tak gatal.
“ Betul itu Grace…biarkan dia sahaja…meh sini! Jangan berdiri dekat situ…” ujar Kak Daphne yang telah duduk dengan selesa di kerusi. Dengan tangannya melambai memanggil ku supaya duduk di sebelahnya
Aku melangkah masuk ke dalam pantry.
“ Aha..makanan miss ada di atas meja itu ha. Nanti sejuk pula makanan itu…” ujar Jessica pula bila aku sudah melabuhkan punggung di kerusi. Dia yang sedang membasuh mug minuman yang dibawanya, memandangku sekilas.
Belum sempat aku mengampai makanan tersebut, Abigail Martha sudah pun menghidang makanan untukku. Siap diberi hulurnya sudu sekali yang berada di bekas berhampiran dia.
Amboi..ada maksud tersirat lah ini. Kalau dah tersengih-sengih seperti kerang busuk tentu ada buat salah. Omel hatiku.
Aku mengampai sudu dengan mengucap terima kasih. Bibir terukir senyuman.
“Miss Grace sahaja kau orang kisah kan?! Aku yang hampir nak terjatuh terduduk terbaring tadi kau orang tak kisah..” Kimberley Marie menunjukkan wajah kurang senang dengan apa yang sedang berlaku depan matanya. Dia yang hampir jatuh tapi masih tak dilayan baik.
“Belum jatuh kan…? Kalau jatuh baru kita orang tolong..” balas Kak Daphne dengan wajah selamba.
Abigail Martha sudah sengih. Aku kira-kira berada ditengah-tengah jadi serba salah. Tak patut juga mereka berbuat begitu dekat Kimberley Marie. Ini bukan sebab kes Kimberley Marie nak mengata aku ini. Ini dah kes lebih daripada itu kalau dilihat daripada tindakkan mereka. Perangai tak sebulu Kak Daphne dan Jessica dengan Kimberley Marie telah lama berlaku. Cuma aku kurang pasti apa yang telah terjadi di belakang ku, yang menyebabkan mereka berdua sering tak sependapat dengan Kimberley Marie.
Dan aku akui mereka berdua selalu menyindir Kimberley Marie kalau berjumpa. Lebih-lebih lagi kalau berdua bersama. Bergabung, meletop bak benih jagung yang sedang di bakar. Jadilah popcorn. Begitu mereka kalau berjumpa.
“ Sampai hati akak cakap gitu…kecil hati saya” ujar Kimberley Marie dengan nada sedih. Riak muka dia berubah. Mendung. Seperti cuaca yang tadi panas tapi sekarang berubah mendung.
“ Hati awak memang kecil… Kalau hati awak besar, awak takkan mengata pasal Ms.Grace. Sebab orang yang berhati besar ini sejenis memiliki hati yang baik…” balas Jessica bersahaja. Yang membuat wajah Kimberley Marie semakin suram. Dia duduk di kerusi sebelah ku. Mug yang berisi kopi panas di letak di sebelah ku. Entah bila dia membacuh air kopi tersebut. Tidak pula aku mendengar bunyi coffee machine. Ajaib betul. Tiba-tiba ada coffee sudah siap di sebelah ku.
“ Korang ‘on the way’ nak kutuk Grace kan tadi?” sergah Kak Daphne yang membuatkan Abigail Martha terbatuk kecil. Tersedak kali. Terkejut. Aku sendiri yang mangsa ini pun terkejut mendengar soalan direct begitu. Ini kan pula mereka yang disoal. Aku nampak air muka Kimberley Marie berubah, wajahnya merona merah. Kekalutan dia disembunyikan dengan meneguk air minuman di mug nya.
“ Orang bersalah memang macam ini. Kalut dan gelisah dia semacam…” ujar Jessica memandang Abigail Martha dan Kimberley Marie silih berganti. Tajam renungan mata dia merenung mereka berdua.
Aku yang memerhati sekadar mengeleng kepala. Aku menumpukan makanan di depan ku.
“ Ini hah…Kim ini. Dia yang mula kan dulu”
“ Apa pula saya…saya dengar daripada Felicity…”
“ Apa yang awak dengar dari Felicity?” soal ku was-was sambil merenungnya. Saja nak provoke dia. Hendak bergurau.
Aku sebenarnya seperti dapat mengagak apa sebenarnya yang telah Felicity kabarkan dekat Kimberley Marie. Mungkin kejadian hari itu. Waktu Noah Harvin datang ke ofis. Cerita macam ini memang panas kalau di jadikan cerita dekat ofis. Tambah pula aku yang sememangnya bebas daripada gosip. Tak pernah ada lelaki datang ofis mencari ku kecuali client yang sememangnya ada appointment. Tapi hari itu tiba-tiba ada lelaki datang mencari ku bukan client dan tiada appointment. Siap peluk-peluk, manja-manja mana tak mengundang gosip yang panas.
“ Felicity bagitahu yang miss dah boyfriend…” balas Kimberley Marie, sedikit kedengaran. Dia menunduk wajah. Bermain dengan jemari.
Memang tak salah tekaan ku sekarang ini. Aku mengeluh sedikit. Perkara ini memang tak dapat lari. Akan diketahui semua dekat ofis juga suatu saat. Saat ini aku takkan salahkan sesiapa. Sebab gosip itu memang benar.
“ Macam mana awak tahu…?! Kalau cerita itu tak benar makna akan jadikan awak sebarkan berita palsu tau..” tegas suara Jessica menyoal serta menanya. Aku melihat dia merenung wajah Kimberley Marie seperti ingin mencari kebenaran.
“ Sumpah Felicity yang ceritakan dan dia yang nampak dengan mata kepala dia sendiri.. yang boyfriend Ms Grace datang ofis jemput dia lunch…” Bersungguh Kimberley Marie mengangkat tangan tanda bersumpah.
“ Cerita itu ke yang awak nak cerita tadi, Kim?”
“ Aha…cerita itu lah. Gempak kan?!”
Abigail Martha mengangguk mengaikan. Amboi..Gempak lah sangat. Aku tak tahu nak beraksi bagaimana. Hanya mampu temenung renung air di dalam mug di depanku.
“ Sebenarnya kan, Felicity ada juga ceritakan dekat akak pasal Grace dan boyfriend Grace…” ujar Kak Daphne, bernada penuh suspen. Semua mendiam. Aku pula mulai kembali nyuap makanan ke mulut. “ Tapi kan akak nak bertanya juga, agak-agak bila lah boleh dapat makan free dekat majlis nie… ” usik Kak Daphne pula kali ini. Terbatuk aku mendengar. Hampir hendak keluar pula makanan di mulut ku.
“ Kalau nak makan free besok pun boleh Grace belanja” jawab ku bersahaja. Tersengih-sengih. Sengaja ingin bergurau dengan mereka yang berada di depan ku.
“ Maksud akak majlis…”
“ Nanti Grace buat majlis makan free dekat rumah. Jangan pula tak datang,” usik ku lagi. Ku lihat wajah Kak Daphne merona merah, Bertambah geram.
“ Ya Tuhan ku…majlis perkahwinan Grace. Akak nak makan free dekat majlis perkahwinan Grace” ujar Kak Daphne dengan nada geram. Satu tamparan lembut hinggap dibahu ku.
“ Kalau yang itu kena tunggu…Yang itu tak tahu lagi bila…”
“ Harap-harap tahun ini…Kalau Sis buat tahun ini, makna ada tiga orang yang bakal kahwin dekat compani ini tahun ini…tiga kali kita pergi majlis. Nak kena buat tempahan 3 pasang baju juga lah kalau macam nie” kata Abigail Martha tiba-tiba bersuara. Bersungguh ceria nada dia membuat plan yang aku sendiri tak pasti.
“ Yer juga. Betul itu.. Mr Eric dengan Ms Marry, lepas itu Jess and last sekali Grace…akak tumpang gembira untuk semua orang..” riak wajah Kak Daphne sedikit teruja. Yang membuatkan aku tersengih. Seperti lucu bagi ku. Takkan lah secepat itu aku dengan Noah Harvin akan mendirikan ‘mahligai’ bersama. Bagi ku, kami berdua masih dalam peringkat untuk mengenali hati budi dan diri masing-masing dengan lebih mendalam.
“ Ish… tak nak komen apa-apa. Tapi kalau dia jodoh saya yang ditentukan Tuhan, kalau dia memang telah tertulis ditakdirkan untuk saya…maka ada akan saya jemput semua nanti…” kata ku dengan mengenyit mata. Terasa malu pula bila ayat begitu keluar daripada mulut ku walaupun aku bernada sekadar bergurau dengan mereka.
“ Amboi…buat pengakuan kah ini Ms. Grace? Jadi betul lah yang di ceritakan oleh Felicity..” usik Kimberley Marie.
Aku sekadar tersenyum. Kemudian meneguk air minuman ku. Bahu diangkat, agak kekok pula aku ingin mengakui bahawa aku sedang membuat pengakuan seperti yang dinyatakan oleh Kimberley Marie itu.
“ Jadi boyfriend Ms Grace itu kerja apa? ” soal Kimberley Marie pula kini. Terbatuk kecil aku di sergah dengan soal begitu.
“ Sibuk pula awak ini Kim nak tanya boyfriend orang kerja apa..” bentak Jessica. Wajahnya menunjukkan tidak berapa senang dengan pertanyaan Kimberley Marie.
“ Kerja biasa-biasa jer…” jawab ku dengan senyuman. Membetulkan posisi aku duduk.
“ Oh..bukan apa si Felicity itu cakap boyfriend Ms Grace guna motosikal ke ofis kita. Itu lah nak tahu, kot-kot Felicity itu menipu…” kata Kimberley Marie, mulai mencerita apa yang dia dengar daripada mulut Felicity. Aku mendiam diri. Mulut ku seperti dikunci pula kini.
“ Eh.. biar lah itu hak dia… dia nak guna apa” bentak Jessica lagi. Aku melihat dia merenung wajah Kimberley Marie, sebelum mengalih pandangan dia ke arah Kak Daphne, memberi isyarat.
“ Tak.. bukan apa….”
“ Bukan apa… bukan apa daripada tadi….awak ini Kim, kecoh betul kan dengan boyfriend Grace nak guna apa kenderaan…” ujar Kak Daphne pula.
“ Saya bukannya berniat tak baik Kak… saya cuma tak nak Ms Grace tersalah pilih… bukannya tak ada client yang lebih berpangkat dan berdarjat nak dekat dia.. tapi last-last lelaki yang bawa motosikal dia pilih..” nada suara Kimberley Marie yang sedikit mendatar tapi kedengaran ditelinga ku seperti sedang memperli diri ku sahaja bunyinya. Tapi kerena tidak mahu mengikut emosi sangat, aku menunduk.
Panas pula rasa hati mendengar kata-kata Kimberley Marie begitu. Aku cuba mengawal perasaan di dalam hati. Cuba untuk berfikiran waras dan tidak peduli dengan apa yang aku dengar sekarang ini. Hina sangat ke orang yang menunggang motosikal ini? Tidak kan?
Aku bukan kisah sangat pun Noah Harvin menunggang motosikal. Kalau itu yang dia hanya mampu beli. Dan dia membeli mengikut apa yang dia mampu, itu namanya dia bijak. Lihat sahaja sesetengah orang yang tidak sedar diri, walaupun tahu limit kemampuan diri setakat mana, tapi tetap juga nak membeli melebihi kemampuan. Akhirnya hutang juga yang banyak. Setiap bulan merana menanggung hutang. Semuanya, hanya kerana ingin mengikut trends ataupun ingin bergaya.
Bukan sebab aku ingin mempertahanan Noah Harvin, tapi difikir logik aku yakin mungkin ada sebab Noah Harvin memilih untuk menunggang motosikal. Bagiku, mungkin dia ada banyak commitment yang ditanggung. Aku pasti Noah Harvin mampu beli kereta. Kalau dilihat daripada gaya dia, dia memang mampu. Dengan jawatan yang dia sandar, aku tahu dia mampu.
Namun, kalau aku ingat balik, dia memang selalu bertukar kereta juga kalau keluar dengan aku. Mereka yang tidak tahu, pasti akan menganggap itu miliknya. Tapi semua kereta berjenama mewah itu, milik kawan-kawannya yang murah hati untuk meminjam kepdanya. Dia sendiri yang mengakui serta berterus-terang dengan ku, dia hanya memiliki motosikal. Tapi kalau tak silap compani tempat dia bekerja ada lah juga menyediakan kereta untuk kegunaannya.
“ Kereta mewah…berpangkat tinggi dan darjat itu bukan penentu kebahagian orang yang berkasih, Kak Kim oit.…ada banyak aspeck lain yang boleh jadi penentu…Takkan Kak Kim kita tak tahu tentang itu…” ujar Abigail Martha yang mengejutkan lamunan ku. Aku melihat Abigail Martha tersenyum sinis memandang Kimberley Marie.
“ Agree…! And lagi satu orang guna motorbike tak semestinya tak ada kereta kan… So, jangan buat assume yang benda kita tak tahu…Kalau dia baik dan menyanyangi kita, bukan itu penentu kepada satu kebahagian juga?!” kata Jessica, menyokong kata-kata Abigail Martha.
Aku tersenyum. Tidak mampu untuk bahas kebenaran kata-kata Jessica mahupun Abigail Martha. Adapun semuanya telah aku bahas di benak minda ku.
Aku kembali mengimbas kembali saat Noah Harvin yang menunggu ku di bilik pameran hari itu. Tak ada kurangnya dia di mataku. Tetap buat aku berdebar dan berbunga ketika menatap wajahnya yang sememangnya tampan di mataku. Layanan dia yang sentiasa romantik dan baik itu selalu membuat perasaan ku dibuai. Seperti berada di awangan.
“ Miss jangan lah ambil kisah kata-kata orang sekeliling miss. Sekarang ini semuanya terletak dihati miss…miss lebih tahu perasaan miss dekat dia. Kadang-kadang kita perlu percaya yang kita rasa berbanding dengan ambil kisah apa yang orang kata…” ujar Jessica lagi. Tangan ku ditepuk-tepuk dia lembut seperti dia menyokong setiap keputusan yang aku pilih. Membuatkan aku tersenyum senang.
“Betul itu Grace…jangan dengar bunyi langau… nama pun dah langau, memang kuat bising…” tambah Kak Daphne pula. Matanya menjeling Kimberly Marie. Tidak senang duduk pula orang yang dijelingnya itu, sampai orang tersebut pura-pura meneguk air minumannya.
“ Ms Grace jangan ambil hati aa.. lagipun saya dengar apa mereka yang lain gosip… Anggap jer saya sekadar cakap-cakap kosong…” ujar Kimberley Marie sambil meletak mugnya di atas meja kembali. Nada suaranya dikecilkan.
“ Tak apa…saya tak ambil hati…lumrah hidup di dunia ini. Lagipun saya bukan jenis yang memiliki hati yang kecil…jadi saya tak ambik hati”, balas ku dalam intonasi bersahaja. Tersengih. Namun dalam barisan ayat itu ada isi tersirat. Yang aku sedar mereka faham.
Kimberley Marie diam membisu. Yang lain tertawa seperti mengerti baris ayat yang aku ucapkan tadi.
Share this novel