BAB 1

Humor Completed 631

Bagai mahu tersembul keluar matanya saat menerima perkhabaran itu.

‘’Seriuslah?!’’

“Yang Noni terlebih excited tu kenapa?” Aku ketawa kecil melihat adik
perempuanku yang baru berusia 18 tahun. Lagi dua minggu akan mendaftar
di IPTA sebagai pelajar tahun 1.

Noni sudah tersengih lebar. Biskut cornflakes dalam mulutnya bagaikan
cair tanpa dikunyah lagi.

“Yalah… Noni dengan mak sebenarnya dah tak sabar tunggu along tu kahwin.
Ni sampai dua orang pula yang nak datang merisik. Haish!” Noni menggeleng.

Belum sempat aku menampar Noni , ibuku pula sudah masuk ke dapur. “Telinga
mak salah dengar ke tadi?”

Aku dan Noni saling memandang. Itulah cakap pakai sedap mulut sahaja.
Dadaku mula berdebar kerana hal itu belum aku khabarkan kepada ibu. Aku
fikir hendak menunggu pagi esok, rupa-rupanya tidak sempat.

“Bukan salah dengarlah mak walaupun mak curi-curi dengar,” jawab Noni .

“Siapa nak merisik kamu tu Noni ? Kamu tu belajar pun tak habis lagi.”
Mulut ibu mula riuh.

Aku sudah tergelak melihatkan muka Noni yang berubah merah padam. Padan
muka Noni . Sibuk lagi hal orang, kan sudah dapat ceramah percuma?

“Siapalah lelaki malang yang nak merisik Noni kan, mak? Ish! Ish! Ish!”
Noni menggeleng lagi.

“Memang malang. Kalau berani datang, mak tahulah nak mengejarnya dengan
apa,” balas ibuku. Wajahnya masih lagi tegang, dek salah faham itu.

Aku memandang tajam ke arah Noni . Noni segera faham untuk menghentikan
salah faham itu sebelum tekanan darah ibu mencanak naik. Nanti tidak
fasal-fasal, kami semua kena menghantar ibu masuk wad pula malam itu.
Kuih ke mana, raya ke mana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience