Chapter 7

Mystery Completed 14816

Bab 7

Hujan lebat menyambut kedatangan Amalina sebaik sahaja tiba di tebing Sungai Berakit. Tebing sungai itu landai, dipenuhi pepasir dan batu-batu kecil. Leo keluar dari Pajero biarpun hujan lebat sedang menggila. Dia mencari tempat yang selamat untuk membina khemah. Tanpa disuruh dia mulai membuat kerjanya, menurunkan barang-barang perkhemahan yang terikat di atas bumbung Pajero Amalina.

Leo memang tangkas membuat kerjanya, biarpun di dalam hujan lebat. Amalina tidak berani turun daripada Pajero. Dia memerhati sahaja Leo memasang kanopi di dalam hujan yang kian lebat, disertai guruh dan kilat. Lelaki itu memang tahan lasak.

Aneh! Dia langsung tidak membawa pakaian untuk ditukar. Gila! Memang gila lelaki ni… Takkan dia tidak ingin memakai baju pada waktu malam? Fikir Amalina sambil memerhati Leo yang sedang memasang kanopi berukuran 6 kaki kali 9 kaki sebagai tempat memasak. Sehelai kanvas besar dibentang sebagai lantai. Amalina seperti tidak percaya Leo telah selesai mendirikan dua buah kanopi dalam keadaan hujan yang sedang lebat menggila.

Sebuah lagi kanopi, akan digunakan sebagai tempat berehat. Di situ Amalina akan meletakkan meja kecil, kerusi dan katil besi beralas kanvas yang boleh dilipat.

Leo menggoyang-goyangkan kepala hingga rambutnya yang panjang beralun lembut dalam derai hujan.

Amalina cepat-cepat turun membawa dapur dan peralatan memasak yang lain. Perkara pertama yang harus dia lakukan adalah menjerang air bagi memanaskan badan. Leo pasti memerlukan minuman panas setelah berhujan. Dia akan menyediakan nasi dan sup ayam untuk santapan petang itu. Waktu makan tengahari sudah lama berlalu. Perut memang sudah terasa lapar.

Selepas makan Leo turun ke sungai. Hujan sudah kian reda. Amalina termenung memerhati air hujan yang masih menitis dari atap kanopi. Mengapa mesti hujan yang menyambut kedatangan aku ke sini? Bisik hatinya. Tadi semasa bertolak daripada perkampungan orang asli cuaca baik sekali.

Hashim berpatah balik ke luar sebaik sahaja Amalina bertolak ke Sungai Berakit bersama Leo.

“Tak sejuk ke?” tanya Amalina apabila melihat Leo naik ke darat dengan seluarnya basah lejut. Selepas makan dan minum kopi, Leo turun mandi.

“Kau tak bawa baju, seluar lain?”

Leo menggeleng. Dia duduk di hadapan unggun api yang marak menyala.

“Sekejap lagi kering,” jawabnya tanpa memandang wajah Amalina.

Kenapa dia tak mahu pandang muka aku bila bercakap? Soal Amalina sendiri. Dia takut ke? Atau aku yang takut sebab hanya berdua saja di sini dengan dia?

“Kau selalu membawa orang luar masuk ke hutan?”

Leo hanya mengangguk. Dia tidak suka soalan yang terlalu banyak. Dia tidak gemar orang lain mengetahui tentang peribadinya. Jika boleh dia mahukan perbualan yang sesingkat mungkin atau tiada perbualan langsung. Melalui perbualan yang panjang akan membuat manusia mencipta perhubungan, sedangkan dia tidak inginkan sebarang perhubungan apalagi dengan seorang wanita seperti Amalina.

Dia tidak tahu apakah jenis manusia seperti Amalina. Dia tidak pernah menemui perempuan seperti gadis ini. Walaupun sejak bertemu petang semalam, rasa ingin tahunya menebal sekali. Mengapa gadis ini terlalu berani? Mengapa dia sanggup ditemani seorang lelaki asing yang bukan daripada kalangan bangsanya sendiri. Mengapa dia begitu bersemangat hendak menjejalahi dan mengetahui isi hutan belantara ini. Hutan ini bukan tempat seorang wanita.

Namun itu semua tidak terluah dari bibirnya. Dia tahu kehadiran wanita itu bermakna dia punya sumber kewangan. Tapi apa guna duit yang ada. Dia tidak memerlukannya. Duit upah yang didapati, selalu diberikan kepada neneknya, Mak Upeh. Mak Upehlah yang membelanjakan wangnya mengikut keperluan dan kehendak wanita yang telah banyak berjasa kepadanya.

...bersambung

Bab akan datang:

Apakah perasaan sebenar Amalina kepada Leo?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience