BAB 2

Horror & Thriller Completed 33313

Aku menapak ke dalam rumah besar bertangga batu, sebiji macam rumah orang Melaka. Aku lihat sekitar rumah. Banyak perhiasan antik disusun cantik di ruang tamu. Set kerusi rotan pula elok diletak di tengah rumah mengadap jendela kayu.

Tidak ubah seperti rumah lama-lama macam dalam cerita Semerah Padi. Aku mula bersalam dengan tetamu yang hadir. Masing-masing bersila di atas tikar mengkuang.

Aku pula tak jadi nak duduk atas kerusi rotan. Terpaksalah bersila sama. Nanti orang ingat aku tak hormat orang tua pula. Maklumlah dari pemerhatian aku, aku seorang saja yang muda di situ.

"Silalah makan!" Wak Leman datang membawa dulang air kopi panas bersama dengan pulut kuning dan sambal kelapa. Ada sepiring kulat sisir yang digoreng turut dihidang bersama pulut kuning.

Aku pandang pulut kuning yang dibuat bulat-bulat atas pinggan. Gulp! Aku menelan liur. Tak pernah aku tengok pulut kuning dikepal bulat-bulat sebegitu rupa. Cukup-cukup untuk lapan tetamu termasuk aku.

Selalunya pulut kuning dibubuh dalam mangkuk dan terpulang kepada tetamu untuk mengambilnya banyak mana. Sambal kelapa pula dibubuh dalam mangkuk. Hanya satu piring.

Kenduri apa macam ni? Dahlah dari pagi aku tak makan. Gulp..sekali lagi aku menelan liur. Tangan kiri mula menekan perut. Nampaknya aku kena makan nasi lemak sambal kerang Limah Janda di kedai makan tepi jalan masuk kampung.

"Err..pakcik..ni je ke makanan yang ada?" Aku berbisik ke telinga seorang pakcik yang duduk di sebelah aku.

Pakcik itu hanya mengangkat bahu. Para tetamu mula menjamah pulut kuning yang dicecah dengan sambal kelapa dan kulat sisir goreng. Aku hanya melihat. Pulut kuning bukan makanan kegemaran aku. Wak Leman turut menikmati pulut kuning dan air kopi panas bersama tetamu.

Aku pula melilau mata memerhati sekitar rumah. Mana tahu gadis manis yang aku jumpa itu ada di situ. Mana tahu gadis manis itu nyata anak Wak Leman.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience