"Kak, ustaz tanya tadi. Pernah tak kakak pakai pakaian yang bukan kakak atau Yeh?"
"Camne tu mak? Yelah, aku memang selalu pakai pakaian penaja ketika bertugas.
"Orang bagi hadiah atau kakak pinjam tapi lupa nak pulang".
"Ada", kataku menelan air liur, perit.
"Apa dia? Ada kakak bawa?"
"Kain batik. Semua kain batik dalam almari kakak".
"Kau pakai kain batik? Angah ketawa besar. Menyampah aku.
"Pakai la. Belajar. Sebab masa berpantang kena.pakai kain batik kan mak?"
Berubah air muka mak.
"Bagi mak kunci rumah kau kak. Nak suruh angah pergi ambil. Ustaz tu nak".
"Sekarang?"
"Ye la. Sekarang. Angah singgah kejap je ni, dah kebetulan ada program kat daerah sebelah".
Aku keberatan untuk berikan kepada angah.
"Kalau jumpa Arif, jangan kau tumbuk dia lagi Ngah", pesanku bila kunci rumah sudah berada dalam genggaman angah.
"Tak. Aku barbeque terus", selorohnya namun aku tetap rasa tak tenang.
Malam itu, peluhku berjuraian bak air paip. Aku gelisah. Mak perasan lalu mak lap dengan tisu. Hatiku pun rasa gundah.
Mak dan kak Zah berbual di sebelah aku. Aku menyampuk sekali sekala. Tekak terasa makin kering, aku minta pada mak untuk memberikan aku minuman. Dalam pada itu, terdengar alunan bacaan yassin dari ruang tengah rumah.
"Ada kenduri ke malam ni mak?", tanyaku mencungap. Kepenatan meminum air. Agak banyak juga aku minum kali ini. Lebih banyak dari kebiasaan.
"Along buat kenduri sikit. Panggil anak takfiz sekolah datang", jawab kak Zah bagi pihak mak. Aku menganguk kelemahan.
Entah mengapa malam ini aku begitu penat sekali. Mungkin dek keindahan alunan ayat suci, aku terlena dalam keadaan tak selesa.
"Puas tidur malam tadi kak?", soal kak Zah yang masuk ke dalam bilik menatang sedulang makanan - susu suam dan roti kukus untuk sarapanku.
"Best. Badan pun rasa ringan. Lapar ni", jawabku ringkas. Dah lama aku tak rasa lapar begini. Dulang tersebut kak Zah letakkan di atas meja bersebelahan katil. Memang di atas meja itu, bermacam benda ada. Tin biskut, termos, botol air dan gelas untuk keperluanku.
Kak Zah menarik langsir dan membuka tingkap sebesarnya. Kemudian dia duduk di sebelahku, tepi katil.
"Kenapa ada humidifier? Bukan maklang punya ke tu?". Pelik juga aku. Rasanya pagi tadi bangun solat subuh tiada lagi. Usai solat aku terlelap sambil berzikir.
"Eh... baru perasan baju dengan selimut pun dah tukar? Bila masa kak zah dengan mak tukar? Tak sedar pun", tambahku lagi.
"Agak dah. Semalam masa muntah tu, kakak tak sedar ye?". Aku menggeleng dan merenung kak Zah.
"Mana ada kakak muntah. Kak Zah buat cerita ni", nafiku.
"Kakak muntah. Nak penuh baldi tau. Dah la berbau busuk muntah tu", kata kak Zah sambil membuat muka jijik dan memualkan.
"Apa dalam muntah tu kak Zah?", tanyaku ingin tahu.
"Macam macam kak. Nak cerita pun tak sanggup. Sampai hati orang tu buat kat kakak". Luah kak Zah yang mula bergenang air mata.
Kak Zah menyuakan straw ke mulutku bagi memudahkan aku untuk minum air susu suam. Ada lelehan susu di hujung bibir setelah kak Zah mencabut straw dari mulutku. Aku kesat dengan tapak tangan. Kak Zah tiba tiba merenungku, kaku. Buntang matanya.
"Kenapa?"
"Mak!!! Tangan kakak dah boleh gerak", jerit kak Zah. Bagai nak pecah gegendang telingaku. Aku kaget seketika. Telapak tangan aku genggam dan buka. Aku lipat tanganku. Aku bersyukur kerana ianya sudah seperti biasa. Walaupun masih lemah dan pergerakan perlahan, aku tidak lagi keras kaku seperti dulu.
Yang mak pun sepantas The Flash tiba di depan pintu bilik. Terus mak mendekati kami. Aku terus mencapai tangan mak dan kubawa ke bibir. Aku kucup puas puas. Biarlah tangan mak berbau belacan, mesti mak nak buat nasi goreng belacan untuk sarapan mereka. Aku tetap cium.
"Alhamdullillah". Mak memeluk aku. Sementara kak Zah terus bersujud syukur di situ.
"Call along, angah. Bagitahu diorang", kata mak pada Kak zah. Kegembiraan terpnacar di wajah mak dan kak Zsh.
"Tutup api dapur sekali, Zah".
*********
Usai kenduri kesyukuran lewat asar itu, aku duduk di pangkin tempat biasa melihat anak anak Nuha mengejar anak ayam.
Khemah depan rumah pun dah hampir kosong. Hanya tinggal saudara terdekat kami bersembang di situ. Hampir sebulan aku di rumah mak, tak sekali pun Arif menelefonku apatah lagi menjengah.
Menurut angah, semasa dia pergi ke rumah aku tempoh hari Arif tiada. Rumah kami pun seperti sudah lama ditinggalkan. Gelap, berdebu dan penuh habuk. Aku kehairanan, tak lama pun rumah itu ditinggalkan tapi sudah dalam keadaan begitu.
"Sorry kak. Aku takde dengan kau selama ni", kata Nuha melabuhkan punggung di sebelahku. Dah berkali dilafazkan ayat yang sama sejak tiba ke rumah mak.
"Tak pe la. Kau kan jauh. Lagipun, anak anak kau kecil lagi. Kang nampak pula benda tu bergayut kat palang rumah, menyorok balik pintu. Menangis melalak, kan susah", kataku dengan niat menyakat Nuha.
"Betul ke kak?", tanya Nuha dengan mata buntang.
"Apa?". Sengaja aku buat buat tak faham. Aku tahu dia penakut.
"Bergayut gayut tu. Aku tanya mak, mak tak jawab. Kak zah pun senyap. Along dengan angah zip mulut terus". Aku hanya mengangkat bahu dengan soalan Nuha.
"Kak...", panggil angah.
"Apa ngah?", sahutku.
"Paan datang dengan bini dia".
Aku menoleh ke arah khemah yg berada di laluan masuk kawasan rumah kami. Along mengiringi along Paan dan kaklong masuk ke rumah. Aku menarik nafas sedalam dalamnya sebelum menghembus semuanya sekaligus.
Nuha menolong aku bangun sebelum angah menyambut tanganku dan memapah aku masuk ke dalam rumah. Aku masih belum pulih sepenuhnya. Untuk berjalan, aku masih perlu dipimpin. Kini aku sedang menjalani rawatan fisioterapi. Walaupun begitu aku bersyukur kerana tubuhku tidak lagi keras kaku.
Sewaktu aku masuk ke ruang tamu, kaklong dan along Paan bangun. Wajah mereka sedih, sugul. Kaklong terus mendapatkan aku. Aku hulurkan tangan kanan untuk bersalam. Mak, along dan kak Zah sudah berada di tempat masing masing. Setelah aku duduk, along Paan dan kaklong turut melabuhkan punggung. Along Paan berdehem sebelum memulakan bicara.
"Maaf jika selama ni kami tak bertanyakan khabar Nura". Aku diam membisu.
"Ayeh pun tak bertanya khabar isteri. Macam tu ke poligami? Dah dapat isteri baru, yang lama dilupa. Dibiarkan? Tiada khabar langsung. Kau ni abang apa An?". Tinggi suara angah membalas kata kata along Paan.
"Tiada ada yang berubah. Nura tetap satu satunya isteri Yeh. Masa kau datang tu, Yeh belum sempat lafaz akad. Yeh minta pernikahan dibatalkan tapi disebabkan semua dah siap, bonda tetap teruskan majlis untuk menutup malu. Itu pun Anor yang beriya nak. Dia malu bila Yeh keluar dari dewan macam tu saja tanpa kata. Yang ikut Yeh masa tu, suami Fauziah. Dia bawa Yeh pergi emergency. Lepas tu Yeh minta hantar balik rumah. Habis majlis kami balik, Yeh dah takde di rumah. Lama Yeh menghilang. Tiba tiba baru ni, ada lelaki mengaku kawan Yeh call aku. Dia minta aku datang amik Yeh kat Terengganu".
"Yeh sihat long?", soalku yang teruja nak tau keadaan suami tercinta. Aku rindu sangat padanya.
"Nura datang la rumah, boleh tengok Yeh dan bonda", pujuk kaklong.
"Tak payah. Kalau Yeh nak jumpa Nura, Yeh datang sini. Nura baru sihat ni. Maklong tu macam macam pulak. Dah lama Nura kat sini, langsung tak jenguk", ungkit angah.
"Nura, kaklong merayu. Datang la jumpa Yeh. Kami tak tau langsung Nura ada kat sini. Yeh kata Nura temankan kawan nak bersalin. Bila tanya kat mana, Yeh kata nanti Nura balik. Yeh kecewa bila Nura langsung tak call dia lepas dia kena tumbuk hari tu. Nura tak tanya khabar dia".
"Hah.. kira diri sendiri je. Kau tau apa jadi kat Nura masa tu?", tanya along pada kaklong. Kaklong dari riak memujuk aku terus menundukkan kepala.
"Aku dah agak. Aku nak kau mengaku je. Aku tak nak menuduh walau hati aku berat mengatakan kau pun terlibat".
"Kaklong minta maaf. Kaklong terpaksa atas permintaan bonda", ujar kaklong perlahan. Along menggelengkan kepala.
"Yeh kat mana sekarang?", soalku. Persetan hal lain. Arif lebih penting.
"Yeh ada kat rumah. Dah seminggu. Kalaulah kami tau Nura ada kat sini, dari dulu kami datang". Hati aku ditarik tarik untuk pergi ke rumah bonda. Aku nak jumpa Arif. Aku nak sentuh dia dari hujung rambut hingga hujung kaki. Aku nak mohon ampun dari Arif kerana membuat dia terluka. Aku nak bercerita apa yang aku lalui selama kami terpisah.
"Makndak, izinkan kami bawa Nura ke rumah". Mak menggeleng tanda menolak permintaan along Paan. Aku kecewa tanpa sedar air mataku mengalir. Aku tak mampu untuk bersuara. Mak telah bersusah payah selama ini, aku tak berdaya untuk melawannya seperti dulu.
"Dah lewat ni Paan. Nura tak boleh berada di luar mula dari maghrib hingga ke subuh. Dia masih dalam proses berubat. Masih belum sembuh sepenuhnya. Nak berjalan pun perlu dipimpin", beritahu along kepada along Paan tentang keadaanku.
"Aku merayu Noh, datanglah. Bonda aku nak jumpa Nura sangat".
"Esok la. Esok kami akan melawat". Along memberi keputusan. Sungguhpun aku teruja bila tahu Arif ada di sini, aku harus bersabar. Setiap saat berlalu dengan lambat malam tu. Di hujung solat, lama aku berdoa untuk kesejahteraan dan kebahagiaan kami.
Paginya, mak menyarungkanku sepasang baju kurung berserta tudung sarung. Aku rela saja apa yang berikan padaku, asal aku dapat berjumpa Arif dengan cepat.
Paklong Man menyambut kami di pintu di ruang utama rumah. Kami dipelawa untuk duduk di sofa dan berbual. Suasana ketika itu seperti tiada sengketa sebelum ini. Paklong Sudin ramah melayani mak, bertanya khabar adik beradik. Senyuman tak lekang dari bibirnya.
"Long, hajat kami ni..."
"Aku tau Ndak. Aku betul betul minta maaf atas apa yang berlaku. Sungguh aku tak sangka keadaan jadi begini. Anak kau sakit, anak aku sakit, orang rumah aku sakit. Aku pun jadi sakit bila jadi macam ni", luah ayah.
Mak sekadar mengangguk perlahan tanpa sebarang kata. Langsung tak membuka mulut tentang apa yang terjadi padaku. Malah yang lagi aneh, ayah sendiri tak bertanya tentang perubahan aku.
"Nura". Ada suara berbisik dan mengusik kakiku. Aku terperanjat. Aku menunduk memandang kaki.
"Bonda???". Aku benar benar terkedu.
"Bonda rindu Nura. Bonda nak minta maaf kat Nura", katanya dengan nada perlahan dan manja. Kepalanya digeselkan pada lututku.
"Kaklong, macam mana bonda boleh keluar ni?", panggil ayah dengan nyaring. Kaklong terkocoh kocoh keluar dari dapur, berlari kepada bonda.
"Tadi bonda tidur. Tu yang kaklong tinggalkan, nak buat air", jawab kaklong menarik bonda supaya jauh dariku.
"Jangan tarik aku la bodoh. Aku dah lama tunggu Nura", kata bonda garang dengan tangannya seperti mahu mencakar kaklong.
"Dia dah datang, tak payah la awak nak gesel gesel kat dia. Buang tebiat ke apa ni?", tegur ayah.
"Yam, kau sihat?", tanya mak sambil mencuit bahu bonda. Spontan bonda seperti menepis tangan mak.
"Biah, maaf. Aku sakitkan kau ya? Aku sakitkan ayah dan mak kau. Aku minta maaf. Aku tamak".
"Apa yang kau cakap ni Yam?", tanya mak keras.
"Mak ayah kau mati sebab aku yang hantarkan santau. Aku marah sebab Sudin kecewa tak dapat tanah tu", kata bonda menundukkan kepala sambil menguis kaki sofa.
"Awak yang buat Yam?? Ya Allah. Apa lagi yang awak buat?", tengking Paklong Sudin.
"Yam buat sebab Yam tak nak abang sedih sedih. Dengan Nura, semua Yam buat nak bagi Yeh tinggalkan dia. Yam nak dia mati. Yam tak suka Nura ni. Tok Mamat kata ada sial kat badan Nura. Kalau Arif kawin dengan Anor, kita bertuah. Kita makin kaya, harta berganda ".
"Ya rabbi. Yam!!! Tok Mamat tu kalau kita tak sara hidup dia, dah lama dia tidur bawah jambatan tau. Itu pun awak tak boleh fikir?", jerkah ayah seolah tak mempedulikan kami di situ.
"Ayah, boleh Nura jumpa Arif?". Aku memotong kata kata ayah. Aku tak sabar nak menemui Arif. Aku rindu, teramat rindu dia.
"Boleh. Tapi Yeh tak sihat Nura. Kata kawan Arif, dia banyak menderita dalaman. Kawan dia ada bawa dia berubat di pondok. Ada perubahan, cuma katanya Arif terlalu rindukan Nura. Pergilah".
Aku lihat Arif duduk di tepi katil, termenung memandang ke luar tingkap. Pandangannya kosong. Kak Zah menutup pintu bilik setelah aku masuk. Perlahan aku berjalan mendekati Arif.
Aku sentuh bahunya lembut dan aku lalunya di sepanjang lengannya hingga ke jari jemarinya. Arif menoleh padaku. Berkali kali dia mengerdipkan mata seolah tak percaya aku di situ.
"Abang", panggilku.
"Sayang", balas Arif memegang tanganku dan diletak ke pipinya. Mungkin nak memastikan aku benar benar ada.
"Maaf Nura tak hubungi abang langsung". Aku mengucup tangannya lama.
"Abang pun nak minta maaf. Abang terlalu ikut emosi masa tu. Sepatutnya abang cari sayang. Tapi masa tu abang rasa sayang tak perlukan abang lagi sebab tu sayang biarkan abang kawin dengan Anor", luah Arif. Tanganku diletakkan di bibirnya kemudian digenggam erat di atas pada. Kami saling berpandangan.
"Tak langsung. Tak sesaat pun saya lupakan abang. Tiap saat hati ni mengingati abang".
"Makin abang cuba lupakan, makin abang rindukan sayang. Makin cinta. Hidup abang seolah olah untuk sayang".
"Abang sihat?", tanyaku. Tanganku mula menyentuh pipi Arif kemudian bibirnya. Bibir yang sentiasa aku rindui.
"Sihat bila sayang di sisi", ujar Arif dengan senyuman manisnya. Matanya sepet. Mata yang memikat hatiku.
"Rasa seperti hilang semua rasa sakit bila abang di depan mata". Kami tertawa kecil. Arif mendakapku erat. Perlahan kami baring di atas katil. Aku rindu bau Arif. Arif mencium ubun ubunku lama. Aku berbaring di lengan Arif dengan tanganku melingkari perutnya yang semakin kempis. Rasa rindu sudah terubat.
********
"Maklong, mak. Jom kita balik. Dah mula rintik ni", ajak angah dengan memegang dua payung besar yang biasa digunakan semasa kejohanan golf.
"Biah, aku minta maaf. Aku tak sangka anak kita jadi macam ni", luah maklong Yam penuh sesalan. Tangisannya tiada henti. Basah habis tudung yang dipakainya.
Makndak Biah diam tanpa suara. Sudah tiada air mata untuk ditangiskan lagi. Semuanya sudah dihamburkan tatkala melihat dua jasad terbujur kaku di atas katil. Di wajah mereka terukir senyuman. Pengakhiran yang cukup indah buat mereka berdua tapi pahit untuk ibu yang sepatutnya dimandikan oleh anaknya bukan dia yang memandikan mereka.
Share this novel
macam tergantung je.. cerita best dah..
Dh 5-6 kali repeat bc. Tiap kali bc meleleh ayq mata. Menjiwai sgt2. Tahniah author best sgt.
what an ending...