Bab 4

Romance Completed 91912

MIA memandang telefonnya untuk seketika sehingga skrin panggilan telefon dan nama ‘Lemon Zest” hilang dari skrinnya. Fikiran Mia keliru. Sarat dengan pelbagai soalan yang menjadi tanda tanya. Kenapa Aina yang menjawab panggilannya? Rudy masih berada di tempat kerjanya lagi atau suaminya itu keluar bersama kawan baiknya, Aina? Tak mustahil mereka sekarang sedang bersama jika tak, macam mana telefon bimbit Rudy boleh berada dengan Aina.

Mia cuba hubungi Rudy semula. Tadi dia terlalu kaku untuk bersuara kerana rasa tergamamnya apabila mendengar suara perempuan lain yang menjawab panggilannya walau akhirnya Mia boleh mengecam suara itu adalah suara Aina.

“Abang…angkat la…” omel Mia.

Mia mahu kali ini panggilannya dijawab oleh Rudy sendiri.

Hampa!

Bukan sahaja tidak berangkat tapi kali ini masuk dalam peti pesanan suara.

Mia lihat jam di dinding. Sudah lepas waktu makan malam mereka dan ini kali pertama Rudy pulang lewat dari kebiasaannya.

Rudy sendiri telah menetapkan rutin kehidupan rumah tangga mereka dan dipersetujui Mia seperti makan malam pada pukul 7 malam. Rudy akan sampai rumah pada pukul 6.30 petang setiap hari. Manakala Mia pula akan balik pukul 5 petang.

Ini bukan sahaja pertama kali Rudy pulang lewat tapi Rudy juga tidak maklumkan pada Mia langsung membuatkan Mia tertunggu-tunggu suaminya pulang. Awalnya Mia mahu tahu keberadaan suaminya itu, jadi Mia cuba menghubungi Rudy tapi lain pula yang berlaku.

“Hmmm… dah la tak update kita apa-apa… lepas tu buat kita fikir bukan-bukan pula,” omel Mia dengan geram.
Siapa yang tak fikir bukan-bukan walau Aina tu hanya kawan baik semata. Kawan baik Rudy bukan kawan baiknya. Lagi-lagi Mia memang tahu rutin Rudy sebelum kahwin yang memang suka melepak dengan Aina lepas waktu bekerja. Mana tahu suaminya itu gian nak melepak. Sampai hati buat dia tunggu di rumah kalau betul apa yang Mia fikirkan.

“Habis tu makanan kat meja tu.” Sekali lagi Mia bercakap sendirian.

Mia berjalan ke arah meja makan.

Menu pada malam ini sudah siap dimasak termasuklah kerabu maggi yang diminta oleh Rudy. Rudy sangat suka dengan kerabu maggi yang dibuat oleh Mia. Sudah menjadi kegemaran Rudy sekarang ini.

Mia tengok jam sekali lagi. Sudah pukul 7.45 malam. Masih lagi tak nampak bayang Rudy akan pulang.

“Simpan jelah dulu. Karang panaskan balik je.” Mia buat keputusan untuk menyimpan lauk-pauk yang tersiap hidang di atas meja makan.

Sedang Mia sibuk menyimpan lauk-pauk, tiba-tiba Mia terdengar bunyi enjin kereta di luar. Rudy sudah pulang. Mia terus pergi buka pintu rumah. Rasa geramnya tadi cuba disorok. Mia lebih rasa lega dari teruja dengan kepulangan Rudy ketika itu.

“Lambatnya abang balik hari ni,” tanya Mia setelah Rudy masuk ke dalam rumah.
Mia lihat raut wajah Rudy seperti kepenatan jadi Mia simpan rasa hatinya. Kalau boleh Mia tak nak cari pasal dengan Rudy ketika suaminya itu keletihan. Mia cuba bersikap bertimbang rasa.
“Hmmm… jalan jem la sayang… penat hadap jem je,” rungut Rudy manja yang sudah tersandar di bahu sofa.
“Ye ke…” pendek saja Mia sahut.
Memanglah jalan sesak. Sebab itu kena terus balik rumah. Bukannya merayap!
“Tadi saya ada call abang tapi masuk voicemail pula. Saya bukan apa…Cuma risau je sebab hari ni pula abang balik lewat tiba-tiba,” ujar Mia.
Rudy terus seluk poket seluarnya. Telefon bimbitnya dikeluarkan.

“La… phone saya mati rupanya. Patutlah sayang call tak dapat,” jawab Rudy bersahaja.
Mia terdiam. Jadi Rudy tak tahu yang dia ada hubungi sebelum itu. Mia cuba mengekalkan wajah tenangnya.

“Abang rehat la dulu. Saya pergi hidangkan lauk semula ya. Lepas ni kita dinner sama-sama,” cadang Mia.

Rudy pandang Mia.

“Hmmm… errr… bolehlah.”

“Kenapa? Abang dah makan ke?” soal Mia bila Rudy seperti teragak-agak sekarang ni.

“Saya masih kenyang lagi. Tadi abang teman Aina makan dulu sebelum balik. Hari ni kita orang kena siapkan kerja last minute sampai tak sempat Aina nak lunch. Alang-alang dah balik lambat, abang ikut jelah Aina pergi makan. Makannya kejap je. Hadap jem je lama,” cerita Rudy bersahaja tanpa memikir reaksi Mia ketika itu.

Jadi itulah alasannya kenapa Rudy pulang lewat. Kenapa tidak maklumkan Mia dari awal. Lepas tu bercerita pada dia macam tiada apa-apa je. Mia tahankan saja rasa geramnya. Adakah ini satu sifatnya Rudy?

“Saya temankan sayang makan je eh. Perut saya dah penuhlah.” Rudy gosok-gosok perutnya sambil tersenyum.

“Hmmm… tak payahlah. Sekarang pun dah pukul berapa. Abang pergilah jelah mandi. Nanti terlepas pula maghrib,” ujar Mia bersahaja. Sebenarnya Mia boleh saja tunggu Rudy selesaikan hal dirinya dulu dan Rudy boleh temankannya makan kemudian tapi Mia tak mahu.

“Haahlah. Dah nak pukul 8.”

Baru Rudy rasa kelam kabut bila jam di dinding sudah menginjak ke angka 8.

“Saya pergi mandi dulu la. Malam karang kita supper sama-sama eh.” Rudy lekas bangun dan meninggalkan Mia di ruang tamu. Rudy perlu segera membersihkan dirinya sebelum menunaikan solat.

Mia hanya melihat langkah Rudy dengan pandangan yang kosong. Rudy yang menetapkan rutin kehidupan rumah tangga mereka dan Rudy juga yang melanggar rutin tersebut. Mia cuba positif. Anggap saja Rudy tidak sengaja atau terlupa mahu maklumkan padanya. Mia akan lupakan saja rasa geramnya sebelum ini.

MALAM hari Jumaat selalunya adalah waktu yang ditunggu-tunggu ramai selepas seminggu penat bekerja. Namun tidak buat Rudy kerana dia terpaksa membawa pulang kerja-kerja pejabat dan menyiapkannya di rumah.

Jam menunjukkan tepat pukul 9.00 malam. Mia sedang melipat baju di atas sofa sambil menonton televisyen. Rudy masuk ke ruang tamu dengan membawa beg komputer riba. Meja makan yang kosong menjadi tempat pilihannya untuk membuat kerja.

“Kerja lagi ke, abang?” tanya Mia, mengalih pandangan dari memandang televisyen ke Rudy yang sedang membuka komputer riba di atas meja.

“Haah. Macam biasalah, Encik Razi suka bagi kerja last minute dekat saya.” keluh Rudy. Dia menyusun beberapa fail dokumen di atas meja untuk memudahkan kerjanya kemudian. Rudy memandang sekilas ke Mia.

“Banyak ke baju nak kena lipat, sayang? Sorry la saya tak tolong buat kerja rumah lately ni…” ujar Rudy, kesal.

“Lah, takpe… Kerja rumah ni sekejap je. Abang punya kerja tu dah berhari-hari saya tengok abang buat. Ada apa-apa yang saya boleh tolong ke?” soal Mia. Tangannya berhenti dari melipat kain. Dia memberikan sepenuh tumpuan kepada Rudy. Mana tahu mungkin Rudy ada memerlukan bantuan darinya.

“Uish, kalau boleh, nak je saya mintak sayang tolong tapi semua kerja saya ni complicated. Kalau saya yang dah hadap berhari-hari ni pun pening, apatah lagi sayang. Cukup lah saya sorang je yang pening dalam rumah ni,” seloroh Rudy, sibuk mengeluarkan pengecas komputer ribanya.

“Mana la tahu kalau boleh tolong, saya tolong.” ujar Mia, bersahaja. “Abang nak buat kerja ni lama ke?”

“Hmm… Rasanya lama. Kenapa sayang tanya? Sayang nak tidur dah ke?” soal Rudy, mengalih sepenuh perhatian ke Mia.

“Belum lagi, kain tak siap lipat lagi ni. Saya tanya sebab kut la abang nak tidur lambat lagi, saya boleh buatkan kopi. Nak tak?”

Lama Rudy berfikir sampai terpejam-pejam matanya. “Boleh jugak la. Takpe ke?”

“Takpe.” jawab Mia sambil meletakkan baju tidur yang baru dilipat ke tepi sebelum bangun dari sofa. “Buatkan kopi je, bukannya saya kena pergi menuai biji kopi dari pokok dulu,” usik Mia.

Rudy tertawa mendengar balasan Mia. “Sempat ya mengusik saya…”

Mia ketawa kecil sambil melangkah masuk ke dapur. Beberapa minit kemudian, Mia kembali semula ke ruang tamu dengan secawan kopi panas. Cawan itu diletakkan di atas meja tempat Rudy sedang menyiapkan kerja.

“Hati-hati. Panas ni,” Mia memberi amaran kepada Rudy.

“Terima kasih, sayang…”

Mia kembali ke sofa menghabiskan beberapa lagi helaian pakaian untuk dilipat. Rudy sempat menghirup kopi panas yang dibuat Mia. Sekali hirup, terus segar matanya yang mula terasa layu.

"Abang nak tengok TV ke? Saya nak masuk bilik dah ni."

"Sayang dah nak tidur ke? Hmm... Takpelah, biar je TV tu bukak. Nanti saya tutup." ujar Rudy dengan senyuman penat. Terlalu fokus merenung skrin komputer riba. Kalau boleh, dia melompat masuk terus dalam skrin.

Mia mengangkat lipatan baju yang sudah siap dilipat. "Okay la kalau macam tu, saya masuk bilik dulu ya?"

"Eh, eh.."

Langkah Mia terhenti tiba-tiba. "Kenapa?" tanya Mia, risau.

"Good night kiss?" soal Rudy.

"Eh dia ni..." senyum Mia sambil melangkah menghampiri Rudy. Perlahan dia memberi satu ciuman pada dahi Rudy. "Kerja elok-elok ya? Kalau penat, masuk la tidur dulu. Good night." manis suara Mia memberi pesanan kepada Rudy.

“Good night, sayang.”

Walau Mia sudah hilang dari pandangan, Rudy masih tersenyum lebar. “Untungnya la aku dapat bini secantik, sebaik, selembut dia…”

BADANNYA terasa kurang selesa.

Dirinya saja direntap bangun dari mimpi lena. Di dalam bilik tidur yang gelap tanpa sebarang cahaya menyinari, Mia terasa keseorangan. Tangan diraba ke sebelah.

Kosong.

Rudy masih belum masuk tidur. Mia melihat skrin telefonnya. Jam menunjukkan pukul tiga dua puluh tiga minit pagi. “Tak masuk tidur lagi ke…” gumam Mia, menguap.

Perlahan, Mia bangkit dari katil dan berjalan keluar dari bilik tidur. Laju matanya dipejam rapat bila cahaya dari luar bilik menyapa. “Allah… Silaunya…” keluh Mia perlahan.

Langkah kakinya perlahan melangkah. Mengantuknya masih belum hilang. Perlahan kaki diseret menghala ke tingkat bawah. Kedengaran suara Rudy sedang bercakap dengan seseorang. Langkah Mia terhenti. Suara perempuan?

“Aku tak tutup TV ke tadi…?” Mia mengorak langkah menuruni tangga.

“Tak, sekarang ni. Kau buat macam contoh yang aku bagi tu.” satu suara wanita kedengaran sedang bercakap dengan Rudy.

Mata Mia terus membulat. “Suara siapa tu…” perlahan Mia turun, mengintai dari tangga. Kelibat Rudy masuk ke ruang penglihatannya. Tiada wanita disekeliling Rudy.

“Kau dah bagi link ke belum, masalahnya? Cuba kau tengok.”

“Wei, belum siot. Jap aku hantar. Kau la ni, call memalam, aku dah la ngantuk.” bebel suara wanita itu. Mia duduk di tangga untuk mengamati suara tersebut. Otaknya ligat berfikir sambil melawan rasa mengantuk yang masih belum hilang.

Dalam masa yang sama, Rudy dan Aina rancak berbual di dalam panggilan itu. Bukan saja berbual soal kerja, mereka juga turut berborak tentang pekerja lain di pejabat.

“Ye la, siot betul Zafran tu. Bini tengah sarat mengandung, dia boleh keluar dengan perempuan lain.” laju Aina bercerita.

“Sumpah la?”

“Ye wei, haritu Damia budak department marketing tu nampak. Kecoh la sekarang dekat office tu. Habis semua staff lelaki yang dah berbini kena pandang serong dengan semua orang.”

“Gila la… Bini dia yang katanya ada butik sendiri tu kan?”

“Iye! Yang tu! Bini dia punya lawa, boleh pulak dia pergi dekat perempuan yang muka macam singa laut.”

“Eh, tak baik lah kau ni cakap dia macam singa laut,”

“Lah, betul la! Kau tu jangan nak buat macam tak tahu apa-apa eh? Kau tu pun mangsa ‘bombastic side-eye’ orang dekat office tau tak?”

“Wui! Apehal pulak?” terkejut Rudy.

“Sebab kau dah ada isteri la, sengkek. Kau jangan nak macam-macam. Mia tu wanita idaman ramai lelaki tahu tak?”

Rudy hanya tersengih. Sedikit bangga.

“Tapi aku kenal kau macam mana orangnya Rudy. Kau takkan buat hal sebab takde perempuan lain pun nak dekat kau ni selain Mia. Dan aku je kawan perempuan yang kau ada.”

Mia bangkit dari tangga dan berjalan turun. Mata Rudy tertangkap gerakan Mia dan pantas dia memotong kata-kata Aina. “Okaylah wei, aku nak siapkan kerja dulu. Apa-apa nanti aku mesej kau.”

“Ha, kirim salam dekat Mi…” belum habis lagi bercakap, Rudy sudah pun mematikan panggilan video antaranya dengan Aina.

“Sayang, kenapa tak tidur lagi?” soal Rudy, bangun dari kerusi.

“Saya terjaga tadi tengok abang takde,” ujar Mia, pendek. “Abang video call dengan Aina ke?” Terasa sangsi tetapi ekspresi wajahnya sukar dibaca. Dia masih silau dengan kehadiran cahaya yang menerangi kedua ruang tamu dan ruang dapur.

“Haah, bincang pasal kerja.”

Mia mengangguk lemah. Mata digosok. “Tak nak tidur kejap ke? Dah dekat pukul empat ni. Tidur la kejap.” pujuk Mia. Suaranya kedengaran lebih manja disebabkan mengantuk.

“Takpelah. Saya belum mengantuk lagi.” jawab Rudy, mengusap pipi Mia dengan penuh kasih sayang. “Sayang pergi la tidur balik.
Esok saya janji saya tak stay up malam-malam macam ni.”

“Kenapa abang video call dengan Aina tadi?”

“Oh… Hmm… Dia pegang data, so abang kena tengok contoh lama untuk buat kerja. Sebab tu abang video call dengan dia terus.” jelas Rudy. Mia mengangguk lemah lagi.

“Dah, pergi masuk tidur.”

“Saya nak minum kejap. Lepas tu baru nak tidur balik.” kuap Mia.

“Sayang, boleh abang mintak tolong buatkan kopi lagi tak? Sedap kopi yang sayang buat tadi tu. Habis dah.” Rudy menghulurkan cawan yang telah kosong kepada Mia.

Mia membawa cawan tersebut ke dapur dan mula membancuh kopi yang baru untuk suaminya. Sempat juga dia meneguk air sejuk untuk menghilangkan rasa dahaganya dari tadi.

“Abang, banyak lagi ke kerja yang tak siap tu?” tanya Mia. Dia mengangkat kopi panas yang siap dibancuhnya dengan berhati-hati. Mahu segera diberikan kepada Rudy supaya suaminya dapat menikmati kopi yang masih hangat berasap itu.

“Banyak lah juga, Aina.” balas Rudy tanpa memandang Mia.

Langkah Mia terhenti dengan mendadak. Terkejut dengan nama yang keluar dari bibir suaminya itu. Akibatnya kopi panas yang dibawa itu tertumpah pada tangannya. Air panas jika terkena pada kulit pastinya sakit. Pedih. Tapi pedih lagi rasa di hatinya sekarang ni!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience