BAB 3

Thriller Completed 3138

DALAM PADA ITU, Ain dan Hana masih menanti di dalam kereta dengan perasaan yang berbaur. Sesekali Ain merungut sambil menyumpah-nyeranah kedua orang sahabatnya itu.

“Hisy, manalah mangkuk ayun dua orang ni pergi? Jangan-jangan dah kena baham dek binatang buas tak?” Ain bersuara.

“Hei, Ain! Tolong jaga sikit mulut kau tu boleh tak? Celupar betullah mulut kau ni! Langsung tak insurans,” marah Hana. Ain hanya menarik muka. Benci dengan situasi seperti ini. M

enyesal tak terkata kerana menyertai aktiviti Treasure Hunt yang telah dianjurkan oleh kelab kembara kolej mereka. Kalaulah dia tidak menyertai penyertaan bodoh ni, agaknya dia kini sedang bersenang-lenang di rumah sambil berguling-guling atas katil, layan internet dan VCD.

“Ain, perut aku tak sedaplah! Jom temankan aku pergi lepaskan hajat,” pinta Hana setelah keadaan menyepi buat seketika.

“Ah, malaslah! Tak kuasa aku nak menunggukan melabur! Lagipun kat luar tu banyak nyamuk. Kau kan tahu kulit aku ni allergic?” ucap Ain.

“Alah, temankanlah aku sekejap. Gelap kat luar tu. Jomlah!” Hana merayu.

“Tak mahulah, Hana! Kau faham tak aku kata tak mahu, tak mahulah! Tak faham bahasa ke?” marah Ain. Hana hampa.

“Ada kawan pun tak guna!” bentak Hana lalu membuka pintu kereta.

“Kalau kau rasa ada benda yang kacau kau, kau jerit aja nama aku. Nanti aku datanglah!” Ain mendengus.

“Apa-apalah, Ain. Kalau kau dengar jeritan aku…” marah Hana lantas menghempas pintu kereta.

Terpaksalah dia berjalan seorang diri dalam keadaan pasrah. Namun dalam hati, hanya Tuhan saja yang tahu betapa seramnya dia. Akhirmya dia mengambil keputusan untuk tidak berada jauh dari tempat kereta Alya tersadai.

Dihampiri semak berdekatan. Namun ketika itu, dirasakan ada sesuatu sedang mengikutinya dari belakang. Malah bagaikan terdengar bunyi dengusan nafas sesuatu. Hatinya mulai rasa tak tenteram.

Terus dia membatalkan hasratnya yang satu itu dan bertindak untuk pulang semula ke kereta. Namun di saat itu tiba-tiba terasa ada seseorang menelangkup hidung dan mulutnya dari arah belakang.

Dia ingin menjerit menyahut nama Ain, namun dia tidak terdaya kerana mulutnya telah ditelangkup kuat, malah pernafasannya turut tersekat. Dengan kudrat yang masih bersisa, dia meronta-ronta untuk melepaskan diri namun tetap tidak berjaya.

Akhirnya dia terkulai juga akibat ketiadaan udara. Selepas itu, dia sudah tidak tahu apa yang telah berlaku.

Apa yang dia tahu, sebaik dia sedar, dirinya telah tersandar pada sebatang pokok. Dia cuba mengamati suasana gelap itu. Tiba-tiba dia merasakan lehernya dijerut kuat pada batang pokok itu.

Terbatuk-batuk dia sambil meronta-ronta akibat terlalu lemas dengan jerutan itu. Lidahnya turut terjelir dan akhirnya dia menjadi lemah. Di saat itu juga satu lembaga serba hitam keluar dari balik pokok tersebut.

Lembaga itu lalu membuka kain hitam yang menutupi wajahnya, namun gadis itu tetap tidak dapat melihat akan wajah lembaga itu kerana pandangannya kian kabur dan akhirnya menjadi gelap.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience