Penat semalam masih belum pudar. Selepas bermalam dan bersarapan di Dewan Malaysia yang terletak di 2A Alison Road, Randwick, New South Wales, aku terus bergegas ke Univesiti Sydney kerana perasaan ingin tahu mengenai O.I. semakin membuak-buak. Sedang leka menunggu sambil membelek-belek telefon pintar, seorang wanita menyapaku.
“Assalamualaikum, Dr. Mahran?”
“Waalaikumussalam.. err, ya?” Aku tak cam wajah wanita ini. Bukan Marjinah, bukan juga Maknunah. Tetapi dia berkerusi roda. Malaeka?
“Doktor ke yang datang sini sebab nak jumpa saya?” Soalnya lembut, sahlah ini Malaeka. Subhanallah, indah betul ciptaanNya. Disebalik kekurangan, dikurniakan kelebihan pada bahagian lain. Aku mengangguk sambil tersenyum.
Malaeka membalas senyumku. Manis sungguh, rasa tidak jemu untuk menatap senyuman itu. Tetapi dengan pantas aku mengalihkan pandangan, aku sedar imanku tak kuat. Khuatir jika menjadi zina mata.
“Macam mana boleh kenal muka saya?”
“Fac kan ada,” seloroh Malaeka. Aku turut tersengih.
Kami bertiga menuju ke Perpustakaan Unity Library (The Unity Books Library) atas ajakan Malaeka sendiri. Bertiga bersama sahabat sekuliah Malaeka, Michelle Meharunnisa Abdullah. Meharunnisa sudah berkahwin dengan lelaki Melayu yang baru sahaja bermastautin disini.
Malaeka kata kelasnya sudah tamat untuk hari ini. Jadi aku boleh tanya seberapa banyak soalan mengenai O.I. .
“Sejak bila awak sakit?” Tanyaku memulakan mukadimah. Meharunnisa awal-awal lagi sudah meminta izin untuk pergi ke fakulti yang tidak jauh dari sini dengan segera kerana ada pensyarah memanggilnya.
“Sejak lahir,” balasnya tenang sambil mengukirkan senyuman. Terus-terang katakan, aku sungguh lemah ketika melihat senyuman itu. Mungkin lebih afdal aku menundukkan pandangan. Aku buat-buat sibuk mencatat sesuatu di dalam buku nota.
“Boleh kongsikan pengalaman awak sebagai pesakit O.I.? Maksud saya, mungkin awak lebih memahami tentang penyakit ini?” Soalku berhemah, aku kena menjaga adab dalam komunikasi agar pihak yang menjawab tidak terasa hati dengan kekasaran pertuturanku.
“Nanti ada masa saya akan baca buku-buku dari abad ke-15 ini. Nampak macam menarik..” katanya perlahan. Eh, jawapan jenis apa tu? “Err maaf doktor, saya merepek saja tadi.” Jelas Malaeka dengan nada gurau sambil tersengih. Aku juga turut ketawa dengan telatahnya yang spontan itu.
“Sebenarnya penyakit O.I. ni merupakan penyakit keturunan yang mana anak boleh menghidapnya jika si ibu atau bapa adalah pembawa. Tetapi ada juga pesakit yang menghidapinya sendiri tanpa melalui keturunan, seperti saya. Takdir Allah, siapa tahu.”
“Macam mana nak tahu kalau tulang patah?”
“Sakit tak terkata, tapi saya tak menangis tau.” Jawabnya seraya ketawa. “Orang yang dekat dengan pesakit pun boleh dengar bunyi tulang patah. Bunyinya lebih kurang macam masa kita main sendi-sendi di jari tangan.”
Aku terdiam, kenapa dia asyik mempamerkan wajah yang ceria ketika menceritakan akan penyakit yang dihidapinya? Aku pernah jatuh motor pada usia belasan tahun dan patah pada bahu kiri. Memang sakit tak terkata!
“Kecilnya tulisan, macam mana nak baca manuskrip ni?” Tiba-tiba Malaeka mengeluh perlahan. Aku perhatikan dia sedang menatap manuskrip dari Boniface VIII pada abad ke-14. Aku cuba bersabar dengan sikapnya yang seolah-olah tidak mengambil serius perbualan kami.
“Maaf! Kali ni saya betul-betul tak sengaja.” Malaeka membuat tanda ‘ampun’ padaku. Serta-merta aku terhibur melihat kerenahnya. “Tak apa, Malaeka. Jadi, apa tindakan pesakit O.I. bila tulang patah?”
“Seeloknya balut pada bahagian yang patah supaya tulang tidak ‘lari’ dari tempat asal. Penghidap O.I. akan mengalami kecacatan fizikal ketika tulang patah kerana tulang tersebut akan membengkok dan tidak dapat membentuk kembali seperti asal.” Aku mengangguk faham, sambil mencatat apa yang dikatakan Malaeka tadi, pandangan aku dihalakan pada gadis itu seketika.
“Boleh saya tengok tangan dengan kaki awak?” Malaeka terdiam. Aku juga terkejut dengan permintaanku. Aku tahu, agak keterlaluan bunyinya. Malaeka tersenyum seraya mengangguk. “Boleh doktor, tapi tengok macam ni sahaja ya? Saya tak boleh tunjuk lebih-lebih.”
Share this novel