BAB 8

Fantasy Completed 10501

Nafas Ariana terhenti tiba-tiba. Dia menoleh ke sekeliling arah seperti mencari sesuatu. Rakan-rakannya yang lain sudah tidak senang duduk melihat perlakuan Ariana. Bimbang berlaku pertempuran dasyat seperti tadi.

“Ari… Ada apa?” Fariha memberanikan diri bertanya dengan teman sebiliknya itu. Ariana diam buat beberapa ketika sebelum bersuara.

“Tuan rumah datang menjenguk.” Kata-kata Ariana mengundang kerutan di wajah semua kecuali abang Man meski dia tidak mempunyai keistimewaan seperti Ariana.

Sebentar kemudian, kelihatan kepulan asap putih berarak dari celahan pepohon hutan. Dari kepulan asap itu keluar seorang lelaki tua tetapi bertubuh tegap sambil memegang tongkat kayu. Di bahagian pemegang kayu itu terukir kalimah Allah yang memancarkan warna keemasan. Ariana menarik nafas lega. Lega kerana makhluk ini juga islam sepertinya. Ariana memerhati lelaki tua itu. Seraut wajah tua itu kelihatan tenang dihiasi jambang yang panjang beruban. Serban dan jubah serba putih yang membaluti tubuh lelaki itu berkibar ditiup angin yang Ariana tidak rasai. Mungkin angin didunia mereka.

Ariana menundukkan sedikit kepalanya sebagai tanda hormat. “Assalamualaikum tuk.” Ariana membuka bicara. Fariha yang berdiri di sebelah Ariana sudah pucat. Apa lagi yang Ariana nampak yang mereka tidak dapat melihat dengan mata kasar. Dia menggoncangkan tubuh Ariana perlahan namun Ariana hanya memandang sekilas ke arahnya.

“Waalaikumussalam, cu.” Balas suara itu tenang. Lelaki tua itu merenung wajah-wajah yang berada di sisi Ariana satu persatu sebelum matanya dipejamkan dan mulutnya terkumat-kamit tanpa suara yang jelas. Kemudian bibir tua itu dimuncungkan seolah meniup ke arah mereka. Sebaik lelaki tua itu membuka matanya, semua yang ada di situ tersentak. Kini mereka melihat apa yang Ariana lihat. Mereka semakin merapat sesama sendiri melihat wujud yang muncul entah dari mana.

“Assalamualaikum, tuk.” Ujar abang Man pula setelah bayangan telus wajah itu jelas di matanya.

“Waalaikumussalam…” Lelaki tua itu berjeda. “Panggil hamba Tuk Pujangga. Tuk adalah ketua di kampung bunian ini. Kampung yang tidak terlihat di mata kalian sepertimana kalian yang tidak terwujud di mata penduduk tuk kerana hijab yang Allah S.W.T tabirkan antara kita.” Ariana mengangguk. Mata Tuk Pujangga terarah pada Ariana. “Namun ada antara kamu yang punya anugerah. Bisa melangkau tabir hijab sepertimana tuk.” Ariana tersenyum mendengarnya.

“Mungkin ini anugerah. Namun mungkin juga ini ketidaksempurnaan. Kerana ini bukan fitrah asal kejadian.” Perkataan Ariana berjaya membawa senyuman di bibir Tuk Pujangga.

“Kamu bijak bermadah bicara, cucu.” Puji Tuk Pujangga.

“Puji-pujian hanya bagi Allah. Apa yang terfikir di akal ini dan yang terlafaz di bibir ini semuanya kurniaan Allah.” Lembut suara Ariana merendah diri. Rakan-rakannya yang lain sudah memandang kagum ke arahnya. Adakah ini Ariana yang sama? Gaya percakapannya berubah. “Tuk… Maaf cucu bertanya. Adakah tuk tahu di mana Hakim, sahabat kami?” Soal Ariana.

“Itu jugalah yang membawa tuk kemari. Tuk melangkaui hijab ke duniamu kerana sahabatmu itu telah melangkaui hijab ke dunia tuk. Puteri ratna bertujuh yang telah membawanya.” Kata-kata Tuk Pujangga jelas membuat Ariana merasa gelisah.

“Puteri ratna bertujuh? Bukankah mereka dari kalangan tuk yang punya kuasa hitam? Saya pernah mendengarnya dari guru saya, Ratna Seri Dewi. Ibu mereka.” Ariana terbayang wajah Ratna Seri Dewi yang bercahaya. Itulah kali pertama dia bertemu makhluk lain yang seindah ciptaan. Kelembutan yang ditunjukkan telah membantu diri Ariana memanfaatkan kelebihan yang dia ada sebaiknya. Kelebihan matanya yang wujud sejak dari lahir lagi. Kelebihan yang semakin diasah berikutan peredaran masa.

“Benar, mereka tersasar kerana sikap haloba mereka. Menginginkan kecantikan abadi dan kuasa yang tiada tertanding.” Ariana sudah menghela nafas sedalamnya.

“Apa tujuan mereka membawa Hakim?” Walau Ariana sudah mengetahui jawapannya, dia tetap menggagahkan diri bertanya.

“Sebagai korban pemujaan mereka.”

“Saya akan berentap dengan mereka.” Ariana sudah melurutkan pelukan Fariha di lengannya. “Mulai saat ini, akan ku jadikan nyawa Hakim di bawah tanggungjawabku. Amanahku!” Selesai kata-kata itu, Ariana berlari laju ke arah kabus dan tidak semena-mena batang tubuhnya hilang ditelan kabus yang semakin pekat.

“Ada darah srikandi sepertimana Ratna Dewi.” Tuk Pujangga bersuara sebelum kelibatnya juga hilang dari situ.

Fariha sudah melorot di tanah dengan esakan yang pecah. Yang lain-lain seperti masih terkedu memandang kehilangan Ariana. Bagaimana mereka mahu membantu? Akhirnya masing-masing dirudum duka. Hanya di hati tidak habis berdoa untuk keselamatan dua sahabat mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience