Bab 9

Romance Series 297502

HAYL keluar daripada perut kereta. Langkah terus dibawa masuk ke dalam rumah. Pagi tadi dia ada urusan kerja di luar.

“Sayang...” panggilnya.

Senyap.

“Sayang,” panggil Hayl lagi. Mata melilau mencari kelibat Aileen.

Langkah dibawa ke tingkat atas pula. Mungkin isterinya itu berada di bilik.

“Sayang...” Daun pintu bilik ditolak. Pandangannya jatuh pada Aileen yang sedang berbaring di atas katil.

Bibirnya mengukir senyum. Patutlah panggilannya tidak bersahut. Aileen tengah tidur rupanya.

“Sayang...” Hayl membaringkan tubuhnya di sebelah Aileen. Pinggang isterinya itu dirangkul.

Perlahan-lahan Aileen membuka mata. Senyuman kecil terbit di bibir saat wajah Hayl menyapa pandangan matanya.

“Abang dah balik. Sorry, Leen tertidur.”

“It’s okay sayang. Mengantuk ya?” Pipi Aileen dielus perlahan.

“Leen bosan. Tak tahu nak buat apa. Sebab tu Leen tidur.”

Hayl ketawa kecil. Ditarik tubuh Aileen ke dalam pelukannya. “Sorry. Sekejap lagi kita pergi jalan-jalan nak?”

Aileen mengangguk. Mata dipejamkan kembali. Cuba menyingkirkan segala memorinya tentang kanvas yang dia jumpa tadi. Berpura-pura seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Setiap kali melihat wajah Hayl, dia tak sampai hati nak melayan lelaki itu dengan teruk walaupun Hayl menyakiti hatinya. Ini kerana Hayl melayaninya dengan sangat baik. Lelaki itu tidak pernah berkasar dengannya.

“Sayang.”

“Hmm,” sahut Aileen. Matanya masih lagi terpejam.

“Abang minta maaf.”

Aileen terus membuka matanya. Hayl tahu ke yang dia dah buang lukisan gambar Dhia tu?

“Kenapa tiba-tiba minta maaf?” soal Aileen.

“For everything I’ve done to you. Maafkan abang sebab dah lukakan hati Leen.”

Aileen tersenyum nipis. Pipi Hayl dipegang. “I love you so much. Leen akan tunggu sampai pintu hati abang terbuka untuk mencintai Leen setulus hati abang.”

Hayl mengangguk. Puncak dahi Aileen dikucup lembut. Dia kagum dengan kesabaran isterinya itu. Kalau perempuan lain yang berada di tempat Aileen belum tentu boleh menghadapi semua dugaan ini setenang ini. Melihat wajah tenang Aileen membuat dia rasa dirinya sangat teruk. Sungguh dia beruntung kerana memiliki Aileen Syifa.

***

“KAU biar betul Leen?” soal Tia tidak percaya. Lepas apa yang kawan baiknya itu ceritakan padanya, Tia macam tak percaya yang Hayl sanggup lakukan Aileen begitu.

Hari ini Aileen keluar bersama dengan Tia. Setelah sekian lama dia tidak berjumpa dengan kawan baiknya itu. Kebetulan Tia ada kerja di kawasan perumahannya. Jadi dia mengajak Aileen keluar. Hayl pula tidak kisah Aileen
meluangkan masa dengan kawan baiknya. Sesekali isterinya itu perlukan 'me time' juga.

“Dia tak cintakan aku. Dia masih cintakan bekas kekasih dia.” Suara Aileen kedengaran bergetar menahan sebak di dada. Lega sedikit hatinya apabila menceritakan segala beban yang ditanggung kepada Tia.

Sebelum ini dia simpan semuanya sendiri. Tiada siapa yang tahu tentang masalah rumah tangganya itu.

“Jadi kenapa dia kahwin dengan kau kalau dia tak cintakan kau?” Menggigil tangan Tia mendengar cerita Aileen. Dadanya berombak-ombak menahan geram. Berani betul Hayl buat macam tu dekat kawan baiknya!

“For the sake of moving on.”

“Tak guna!” Tia mengetap giginya kuat. Kalau Hayl ada depan dia sekarang, memang dah melayang penumbuk dekat muka lelaki tu.

“Tapi dia masih layan aku dengan baik. Dia tunaikan tanggungjawab dia sebagai seorang suami. Dia tak pernah berkasar dengan aku. Dia layan aku baik sangat. Dia pun tak pernah jumpa lagi dengan bekas kekasih dia tu. Jadi aku tak kisah sangat. Lagipun perempuan tu dah kahwin. Yang aku kisahkan, dia masih tak boleh nak lupakan perempuan tu sepenuhnya.”

Tia menghela nafas berat. Dia bersimpati dengan nasib yang menimpa Aileen. Dia silap menilai Hayl selama ini.

“Leen, aku tak ada dekat tempat kau. Jadi aku tak tahu apa yang rasa.” Tangan Aileen digenggam seakan memberi semangat.

Aileen tersenyum nipis. “Doakan aku. Aku cintakan Hayl. Aku sayangkan rumah tangga aku.”

“Aku sentiasa doakan kebahagiaan kau Leen. Jangan mengalah. Kau kena buat Hayl lupakan perempuan tu.”

Aileen mengangguk. Itulah yang cuba dia lakukan.

“Lepas kita makan ni, ikut aku.”

Dahi Aileen berkerut. “Nak pergi mana?” soalnya.

“Kata nak pikat Hayl kan. Ikut je lah aku. Aku akan pastikan lepas ni Hayl cuma sayang kau seorang je.”.

***

AILEEN mengambil beg kertas yang diberikan oleh Tia tadi. Bibirnya tersenyum kecil mengenangkan kawan baiknya itu. Bersungguh-sungguh Tia memilihkan pakaian itu untuknya.

Baju tidur nipis itu dikeluarkan daripada beg kertas. Aileen ketawa sendiri. Macam manalah dia nak pakai baju ni depan Hayl nanti? Entah kenapalah dia setuju dengan idea Tia tadi.

“Ni, aku belanja kau baju ni. Malam ni kau pakailah.” Sehelai lingerie berwarna merah jambu terang dihulurkan pada Aileen.

Terbuntang mata Aileen melihat baju tidur itu. Laju-laju dia menggeleng. Memang taklah dia nak pakai baju macam ni. Malu oi!

“Ish, kenapa pula tak nak? Kalau kau pakai baju ni, confirm Hayl terus lupakan perempuan tu. Dia asyik teringatkan kau je.” Tia tersengih nakal.

“Malulah Tia.”

“Eh, apa yang kau nak malukan? Hayl tu suami kau. Apa salahnya pakai baju haram ni depan suami sendiri. Aku ni kalau ada suami nanti pun aku akan pakai baju macam ni. Barulah suami kita angau dekat kita.”

Terletus tawa Aileen. Ada-ada saja perangai kawannya yang seorang ini. Terubat kesedihan di hatinya dengan gelagat Tia.

“Pakai baju ni... Depan Hayl...” Aileen menggumam sendiri.

Dia bangun daripada duduknya. Beg kertas yang berisi barang-barang yang dibelinya tadi dibawa naik ke tingkat atas.

Sampai di bilik, Aileen terus menukar pakaiannya. Saja mahu mencuba memakai baju tidur itu. Lagipun Hayl masih belum pulang. Lelaki itu ke rumah keluarganya. Tadi dia keluar bersama dengan adiknya, Hani. Hani akan menyambung pengajian tidak lama lagi. Itu yang dia ajak Hayl menemaninya membeli barang-barang keperluannya.

Aileen melihat pantulan cermin. Dia ketawa sendiri melihat dirinya yang memakai baju tidur seksi itu. Ini kalau Hayl lihat, mahu dia cakap Aileen buang tabiat.

Ting! Telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada mesej masuk. Aileen terus duduk di atas katil sambil membalas mesej daripada Tia.

Tak sempat nak menukar kembali bajunya, akhirnya Aileen terlelap.

***

“SAYA..” Terkedu Hayl dibuatnya sebaik melangkah masuk ke dalam bilik.

Kenapa tiba-tiba Aileen pakai baju tidur seksi macam ni? Perlahan dia mendekati isterinya yang sedang nyenyak tidur itu.

“Sayang...” Lengan Aileen ditepuk perlahan. Telan air liur dibuatnya melihat keadaan isterinya itu. Terseksa jiwa raganya.

Terpisat-pisat Aileen bangun daripada pembaringannya. “Abang dah balik?” soalnya. Matanya digosok-gosok.

“Dah. Maaf buat sayang tertunggu-tunggu. Jalan sesak tadi waktu abang nak balik. Ada accident.”

Aileen mengangguk. Dia rasa sejuk semacam. Bila tunduk memandang dirinya, barulah dia perasan yang dia belum tukar lagi baju tidur tadi. Aileen! Patutlah mata Hayl sedari tadi tak lepas daripada memandangnya. Ah, malunya!

Hayl senyum segaris. “Kenapa pakai baju ni?” soalnya.

“Err... Bukan Leen yang beli baju ni. Tia. Tia yang bagi dekat Leen. Leen tak nak pakai pun. Leen saja-saja je pakai tadi. Lupa pula nak tukar semula.” Aileen terus menarik selimut menutup tubuhnya yang terdedah itu.

Terletus tawa Hayl. “Kenapa tutup?”

Aileen hilang diksi. Entah apa yang Hayl fikir tentang dia agaknya.

“Sayang malu?” soal Hayl lagi.

Lambat-lambat Aileen mengangguk. Sungguh dia rasa macam nak menyorok bawah katil je sekarang ni.

Hayl senyum. Dia merapatkan jarak mereka. “Abang suka sayang pakai macam ni. Cantik,” bisiknya perlahan.

Terasa membahang wajah Aileen. Dia tidak dapat menahan bibirnya daripada tersenyum. Jadi idea Tia itu berjayalah. Terima kasih Tia!

“Kalau sayang tak pakai macam ni pun, abang tetap suka,” tambah Hayl lagi.

“Abang nak tidur tak?” soal Aileen.

Tak menunggu waima sesaat, Hayl lantas mengangguk. “Tapi abang nak mandi dulu. Sayang tunggu sekejap okay.”

“Okay.” Aileen mengangguk.

Hayl turun daripada katil. Sempat dia mengucup pipi Aileen. “Tunggu abang tau.”

Aileen ketawa lantas mengangguk. “Jangan lama-lama.”

“Wait for me sayang!” laung Hayl daripada kamar mandi.

Aileen menggeleng perlahan dengan sisa tawanya. Telefon bimbit terus dicapai. Laju jarinya menaip pesanan untuk dihantar kepada Tia.

***

AILEEN tersenyum puas melihat bilik itu. Gambar lukisan Dhia semuanya sudah dibakar dan digantikan dengan lukisan wajahnya yang Hayl lukis tempoh hari. Gambar-gambar perkahwinan mereka juga diletakkan di dalam bilik itu.

Dia tidak mahu Hayl terus mengingati Dhia lagi. Kalau Hayl tidak mahu membuang semua kenangannya bersama wanita itu, biar dia yang lakukannya.

Selagi barang-barang kenangan ini masih ada, selagi itu Hayl tidak dapat melupakan Dhia. Selagi itu juga lelaki itu terus hidup dalam masa lalu.

Dua hari Hayl tiada di rumah. Dia perlu ke luar negeri atas urusan kerja. Kesempatan inilah yang Aileen gunakan untuk mengemas bilik rahsia Hayl. Puas juga dia mencari kunci bilik itu. Nasib baiklah dia jumpa.

Sekarang ini Aileen tidak sabar menanti kepulangan Hayl. Dia mahu membuat kejutan pada lelaki itu.

Dengar saja bunyi enjin kereta Hayl memasuki halaman rumah, Aileen berlari anak menuju ke muka pintu. Lebar senyumannya saat melihat wajah sang suami yang dirinduinya.

“Abang!”

Hayl keluar daripada perut kereta. Dia terus mendapatkan Aileen.

“Hai sayang.” Terus ditarik Aileen ke dalam pelukannya.

“I miss you abang.”

“I miss you more.”

Pelukan dileraikan. “Abang, Leen ada suprise untuk abang.”

“Suprise?”

Aileen mengangguk. Tangan Hayl terus ditarik masuk ke dalam rumah. Tidak sabar mahu melihat reaksi suaminya itu.

Hayl terkedu apabila Aileen membawanya ke bilik yang selama ini dikatakan bilik kerjanya.

“Suprise!” Pintu bilik itu dibuka.

Terus berubah roman wajah Hayl sebaik melihat isi dalam bilik itu. Tiada lagi potret wajah Dhia. Tiada lagi barang-barang Dhia. Semuanya sudah digantikan dengan lukisan wajah Aileen dan gambar perkahwinan mereka.

“Aileen Syifa... Mana gambar-gambar Dhia?” Hilang terus panggilan sayang. Wajah Hayl berubah tegang.

“Leen dah buang. Leen dah bakar semuanya,” jawab Aileen tenang. Namun hanya ALLAH yang tahu betapa gugupnya dia sekarang ini.

Mencerlung mata Hayl sebaik mendengar jawapan Aileen. Wajahnya diraup kasar.

“Kenapa? Abang tak suka? Leen dah tak sanggup tengok abang terus hidup dalam kenangan lampau abang. Dah tiba masa untuk abang keluar daripada masa lalu abang.”

Buk! Dinding bilik itu ditumbuk kuat. Terangkat bahu Aileen kerana terkejut dengan tindakan Hayl. Dia tidak pernah melihat Hayl marah sepanjang dia mengenali lelaki itu. Lereng matanya bergenang.

Hayl marah sebab dia buang semua kenangannya bersama dengan Dhia? Salahkah apa yang dia lakukan? Sampai bila Hayl mahu terus hidup dalam kenangan silam?

Happy reading! Sesiapa yang belum follow orked boleh follow orked untuk dapatkan notification setiap kali orked update.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience