KOTA Bharu, Kelantan
Hospital Raja Perempuan Zainab II
Bau antiseptik menusuk hidung. Dingin penghawa dingin menusuk ke tulang. Zulaikha menarik nafas perlahan, matanya tertancap pada lencana nama yang baru disematkan di dada. Zulaikha Jururawat Pelatih.
Diatas bahunya kemas terletak jalur berwarna biru, menandakan dia sudah di Tahun Dua semester 1. Hari ini dia bersiap lebih awal. Seperti biasa dia sendirian melalui jalan yang hanya sejengkal untuk sampai ke Hospital. Kolejnya hanya beberapa meter sahaja di depan Hospital tersebut.
Langkahnya perlahan, seiring degup jantung yang entah kenapa terasa lain pagi itu. Sunyi lorong wad ortopedik. Cuma kedengaran derapan kasut putih jururawat yang berselisih dan suara samar pesakit dari bilik-bilik yang tersusun kemas.
Dia berdiri tegak di hadapan kaunter jururawat, melapor diri dengan senyuman manis yang cuba dipaksa-paksa. Dalam kepala, dia sudah bersedia untuk hari pertamanya. Sudah berlatih senyum, sudah latih skrip ramah-tamah. Tapi semua itu hilang sekelip mata apabila satu suara dari belakang membuatkan tubuhnya membeku.
"Awal datang? Wah... semangat betul nak belajar ya?"
Nada itu sinis. Tenang. Tapi cukup untuk menghentak segala ingatannya ke suatu lorong masa yang cuba dikunci rapat.
Zulaikha berpaling perlahan.
Di situ dia berdiri.
ZHAFRAN.
Doktor pelatih tahun akhir. Rambutnya sedikit serabai, wajahnya seperti biasa.. penuh keyakinan dan tak pernah tunduk. Seragam putih itu melengkapkan gaya ‘bad boy’ yang pernah menghancurkan hati banyak gadis. Tapi bagi Zulaikha… dia bukan lelaki idaman. Dia adalah mimpi ngeri yang disangka sudah mati dalam kenangan.
“Kau…?”
“Oh. Kita kenal ke?” Senyum sinisnya terukir.
Zulaikha mengerutkan dahi. Mulutnya hampir menyahut, tetapi dia cepat-cepat menunduk dan menahan diri. Bukan di sini. Bukan di hadapan orang lain. Sekaligus satu jelingan tajam terpanah di hujung matanya.
Jangan lupa siapa kau sekarang, Zulaikha. Bukan lagi budak degil di sekolah. Sekarang jururawat. Profesional.
“Apa pun, selamat datang ke zon ortopedik. Harap kau bertahan lama,” Zhafran menyambung. Nadanya santai, tapi ada kilatan mencabar dalam matanya. Seolah-olah mahu mengungkit semula kisah lalu.
Dia berlalu dengan langkah panjang, meninggalkan jejak wangi kolonnya yang sangat dikenal Zulaikha kerana itu juga kenangan.
Zulaikha tegak kaku.
Kenapa mesti dia? Kenapa mesti hari ini?
Dunia terasa sepi. Bunyi mesin ECG di hujung wad seolah-olah bertukar menjadi degupan jantungnya sendiri yang kini berlari-lari tanpa hala tuju.
Dan dalam diam, dia tahu… ini bukan kali pertama mereka berjumpa semula. Cuma ini kali pertama mereka harus berpura-pura seperti tidak pernah saling mengenali.
“Ya Allah… tolong kuatkan aku,” bisiknya perlahan.
Kerana di sebalik semua ini, ada rahsia yang tak boleh pecah. Bukan sekarang. Mungkin bukan selama-lamanya.
Zulaikha menunduk, jari-jemarinya menggenggam erat pen di saku uniform. Nafasnya ditahan seketika, kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Dia tahu, setiap langkah selepas ini bukan sekadar tugas sebagai jururawat pelatih. Ia adalah pertarungan antara masa lalu dan dirinya yang sekarang.
"Zulaikha ya.. tolong ambil bacaan vital signs pesakit dekat kubikal lima," suara jururawat senior memecah lamunannya. Lembut, tapi tegas.
Dia mengangguk dan bergegas. Waktu bekerja bukan ruang untuk emosi. Tetapi Tuhan seakan mahu mengujinya hari ini. Katil enam. Entah kenapa jantungnya berdegup kencang lagi.
Langkahnya terhenti beberapa inci dari kubikal tersebut. Dan di situ... sekali lagi, seolah takdir sedang bermain-main dengannya, berdiri Zhafran, sedang menyemak fail pesakit.
Dia angkat muka. “Cepat betul dapat arahan pertama. Patutlah cikgu-cikgu dulu bangga sangat dengan kau.”
Zulaikha tidak menyahut. Dipegangnya tangan pesakit tua yang sedang tidur, kemudian perlahan-lahan diletakkan alat tekanan darah di lengan lelaki itu.
Zhafran mendekat sedikit, menunduk sambil berbisik.. cukup rendah hanya untuk telinga Zulaikha, “Masih macam dulu. Diam. Tapi mata kau tak pernah pandai berbohong.”
Zulaikha menggigit bibir bawahnya. Sakit itu datang bukan dari kata-kata Zhafran. Tapi dari kenangan. Dari kisah lama yang dia sendiri tak mahu buka, kerana kalau dibuka… luka itu berdarah semula.
Dia menyudahkan bacaan vital, mencatat tanpa sepatah bicara. Tapi saat dia ingin melangkah pergi, tangan Zhafran sempat menahan pergelangan tangannya. Lembut, tapi cukup untuk membuatkan tubuhnya mengejang.
"Kalau kau ingat kita masih dalam kisah dulu... aku dah lama keluar dari bab tu, Zulaikha."
Dia menatap Zhafran. Mata itu masih sama.. penuh yakin, sedikit angkuh, tapi kali ini ada sesuatu yang lain. Mungkin dendam. Mungkin kecewa. Atau... rasa bersalah?
Zulaikha menarik tangannya perlahan. “Baguslah. Sebab aku pun tak nak masuk semula dalam kisah tu.”
Dia melangkah pergi tanpa menoleh, tanpa sekelumit getar dalam suara. Tapi dalam dadanya, badai sudah mula mengamuk
FLASHBACK
Sekolah Menengah Sains Tuanku Jalil (SMSTJ), Kuala Lumpur
Tahun 2003
Angin pagi Kuala Lumpur tidak pernah cukup sejuk untuk menenangkan hati Zulaikha hari itu. Langkahnya pantas menyusuri koridor Blok C, tangan menggenggam erat sebuah sampul surat berwarna krim yang dihiasi tulisan tangan yang agak comot. Warkah cinta. Atau lebih tepat: sampah.
Surat itu ditemui terselit dalam laci mejanya di kelas 5 Sains 2. Dan nama yang tertulis di bawah coretan ‘Untuk Zulaikha, pengawas kesayangan sekolah’ itu cukup untuk buatkan hatinya membuak menyampah.
Zhafran.
Pelajar 5 Sains 1. Atlet bola keranjang. Selalu lewat ke perhimpunan. Antara nama yang paling kerap ditulis Zulaikha dalam buku laporan pengawas. Wajahnya hensem, senyumnya licik, dan gaya ‘cool’nya cukup buat ramai pelajar perempuan senyum sampai ke pipi. Tapi bagi Zulaikha, Zhafran cuma satu.. masalah yang dibungkus dengan ego.
Dia jumpa Zhafran di hadapan dewan terbuka. Lelaki itu sedang berbual dengan rakan-rakannya. Suasana bising dengan suara tawa. Tapi semuanya perlahan diam bila Zulaikha muncul.
Langkahnya terhenti tiga tapak dari Zhafran.
"Ini kau punya?" soal Zulaikha tegas, sambil mengangkat surat itu dengan dua jari seolah-olah ia sampah dari longkang.
Zhafran tersenyum sinis. "Kalau ya?"
"Buang." Sepatah. Padat. Tegas.
Ada yang menyampuk dari belakang Zhafran.
“Weh, gila ah. Baru sekali try, terus kena humban!”
Zhafran masih tersenyum. Tenang, macam biasa. “Apa salahnya mencuba? Tak salahkan, Cik Pengawas?”
Zulaikha menggeleng perlahan. “Salah bila kau buat benda yang kau sendiri tak ikhlas. Aku tahu kau bertaruh dengan kawan kau. Siapa dapat buat aku balas surat dulu.”
Kali ini, senyum Zhafran terhenti. Wajahnya berubah sedikit. Namun dia cepat menutupnya dengan ketawa kecil.
"Tak sangka cepat kau dapat tahu. Tapi kalau pun betul... kau tak rasa rugi ke? Sebab tak bagi peluang kat aku tunjuk yang aku mungkin ikhlas?"
Zulaikha menatapnya tajam. “Aku tak ada masa untuk orang yang hidupnya penuh pura-pura. Kau nak main cinta budak sekolah? Main dengan orang lain. Aku ada prinsip, Zhafran. Dan aku tak akan gadaikan diri aku untuk hiburan lelaki yang anggap perempuan macam trofi."
Dan di situ, Zulaikha koyakkan surat itu perlahan-lahan di hadapan Zhafran. Setiap helai kecil kertas itu gugur di kaki mereka, seperti runtuhnya harga diri seorang lelaki yang menyangka dia boleh menakluk semuanya.
“Lain kali, jangan cabar orang yang kau sendiri tak faham,” kata Zulaikha sebelum berpaling dan berlalu.
Di belakangnya, tiada lagi sorakan atau gelak tawa. Hanya senyap. Dan untuk kali pertama, Zhafran tunduk.. bukan kerana malu, tetapi kerana tercabar.
Dan dari hari itu… bukan cinta yang tumbuh antara mereka. Tapi dendam. Dan mungkin… sedikit rasa yang tak terjelaskan.
Perkhemahan Badan Beruniform, Tingkatan 5
Hutan Rekreasi Bukit Laksamana, Gombak
Hari ke-2 Perkhemahan
Langit kelabu berbalam. Suara cengkerik makin galak, diselang-selikan kicauan burung senja yang mula mencari dahan berteduh. Tapak perkhemahan sudah jauh tertinggal di belakang. Zulaikha menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan dada yang turun naik dengan emosi dan kelelahan.
“Boleh tak kau berhenti jadi bossy sangat? Semua benda kau nak tentukan!” jerkah Zhafran sebentar tadi, sebelum dia memintas jalan dan menghilang ke celah belukar.
Zulaikha tak jawab. Dia marah. Tapi juga keliru. Kenapa lelaki itu menyuruh rakan-rakan mereka bergerak dahulu? Kenapa dia sendiri seperti mahu mencetuskan pergaduhan? Kenapa dia tak pernah sama macam orang lain?
Langkah Zulaikha longlai. Dia cuba cari semula jejak kumpulan yang ditinggalkan tadi. Tapi semakin jauh dia melangkah, semakin sunyi kawasan sekeliling.
Hening.
Pohon-pohon tinggi seperti dinding. Tiada suara manusia. Tiada denai. Tiada bayang sesiapa.
“Tak… tak mungkin aku sesat…” bisiknya, menelan liur. Tetapi tubuhnya sudah mula gelisah.
Dia berpaling. Menoleh kiri dan kanan. Hutan itu seolah-olah memeluknya dalam senyap, menjadikan dia mangsa kesombongan dirinya sendiri. Dan saat dia ingin berundur, kakinya tersadung akar besar, tubuhnya hilang imbangan.
“Aaaahhh—!”
“ZULAIKHA!” suara lelaki kedengaran kuat dari belakang.
Bunyi ranting dan daun patah bergesel pantas. Zhafran terjun ke cerun yang sama tanpa fikir panjang. Dia sempat menarik lengan Zulaikha sebelum gadis itu jatuh lebih jauh ke lembah kecil yang dipenuhi batu dan akar menjalar. Mereka tergolek sedikit, tapi dia pastikan tubuh Zulaikha dilindungi.
Nafas Zulaikha tercungap. Lututnya bergetar.
Zhafran cepat bangun, mencangkung di sebelah. “Kau okay?!”
Zulaikha mengangguk kecil. Tapi apabila cuba berdiri..
“Ahh!” Dia terduduk semula. “Kaki aku…”
Zhafran cepat-cepat melihat pergelangan kaki Zulaikha yang mulai membengkak. Terseliuh. Tangannya pantas membuka beg galas kecil yang dibawanya.. skill pertolongan cemas, seperti yang diajar semasa kursus kadet.
Dia balut pergelangan itu kemas dengan pembalut elastik. Sentuhannya cekap, profesional, dan untuk pertama kali.. tanpa nada menyindir. Hanya suara serius dan mata yang fokus.
Selesai, dia menghulurkan tangan. “Jom. Aku tolong.”
Namun Zulaikha tidak menyambut. Tangannya kekal di sisi. Wajahnya berpaling ke arah lain.
“Kau nak terus duduk sini sampai malam ke?” tegur Zhafran, kali ini dengan nada lebih lembut.
Zulaikha gigit bibir. Malu. Sakit. Bengang.
Akhirnya dia angkat mata. Pandang Zhafran lama. Tapi bukan mata itu yang mengganggu hatinya, senyap ikhlas yang dia tak pernah lihat selama ini. Tiada ‘cool’, tiada ‘nakal’. Hanya seorang remaja lelaki yang… mungkin, untuk kali pertama, benar-benar peduli.
Perlahan-lahan, tangan Zulaikha terangkat.
Dan genggaman itu berlaku.
Namun tiada siapa bersuara.
Mereka hanya saling diam, saling membantu, saling cuba faham apa yang sedang berlaku antara mereka di celah pohon-pohon rimba yang tak pernah berpihak pada siapa-siapa.
Share this novel