Bab 28: Aku Terima Nikahnya

Romance Series 20066

"AKU terima nikahnya Nur Damia Qistina Binti Hassan dengan mas kahwinnya 75 ringgit tunai."

Dengan terlafaznya akad pada waktu petang di pejabat agama tadi, kini Damia sudah sah menjadi suri hati kepada seorang lelaki yang amat dicintainya. Betapa syukurnya dia rasakan sekarang ni kerana setelah pelbagai rintangan dan cabaran yang dia dan Syafiq hadapi, akhirnya cinta mereka terikat jua.

Biarpun pernikahan tadi sememangnya tidak diterima baik oleh ibunya, tetapi alhamdulillah ibunya tidak buat hal yang bukan-bukan. Tetapi itulah, muka ketat sentiasa ditayang sepanjang proses akad tadi. Sewaktu Syafiq mahu menyalami ibunya sahaja, seperti dalam jangkaan jabat tangan itu tak terbalas.

Damia sugul. Dia yang memilih jalan ini tetapi Syafiq yang terima padahnya. Sampai bila ibunya itu mahu terbuka hati untuk menerima Syafiq? Dia tahu pernikahan ini tak direstui dan dia berharap sangat yang ibunya itu akan berubah. Tapi tak mengapa, sedangkan pantai boleh berubah, inikan pula hati manusia. Damia cuba menyedapkan hati.

Kedengaran pintu diketuk beberapa kali sebelum ada seseorang menguaknya. Daun pintu ditolak perlahan-lahan sebelum tubuh Syafiq kelihatan sepenuhnya.

Rambut basahnya yang sedikit berjuntai menutupi dahi membuatkan Damia pegun. Baru selesai solat agaknya. Tak pun, mandi? Tapi mandi apanya dengan waktu lewat sebegini. Lagi satu jam mahu masuk ke hari baru pulak tu.

"Assalamualaikum ..." Turut lelaki itu lorekkan senyuman kepada Damia yang masih membatu.

"Waalaikumussalam." Damia membalas senyuman. Tiba-tiba rasa gugup memukul diri. Ini ke perasaan normal bagi seseorang yang bergelar pengantin baru?

Syafiq terus menutup pintu sebelum langkahnya ditujukan ke arah katil. Dia labuhkan punggung betul-betul di sebelah Damia. Masing-masing terus senyap. Ini kalau dibiarkan, sampai keesokan harilah mereka tak bercakap.

"Syafiqah tidur dah ke?" tanya Damia cuba menghalau kejanggalan.

"Haah. Baru je tidur."

Damia angguk. Patutlah beria-ia masuk bilik. Si adik dah masuk tidur rupanya.

"Bilik ni okey tak? Maaflah sebab sempit sikit." Syafiq teruskan berbual.

"Eh, okey je awak. Selesa je," jawab Damia.

Biarpun bilik Syafiq sedikit kecil jika mahu dibandingkan dengan biliknya, tetapi tidaklah sesempit seperti yang dikatakan. Katil pun boleh tahan besar juga. Cukuplah untuk tidur berdua.

"Haih ... tadi kata dah janji tak nak guna perkataan awak lagi dengan abang. Takkan dah lupa?"

Damia tepuk dahinya. Alamak! Gugup punya fasal sampaikan lupa janji sewaktu baru melangkah masuk ke dalam rumah tadi. Petang tadi, mereka sama-sama sudah bersepakat dengan perkara tersebut. Cik isteri dipanggil sayang, encik suami pula dipanggil abang. Yalah, mereka sudah menjadi pasangan suami isteri, nak jugak guna panggilan mesra.

"Maaf, abang." Damia tersenyum nipis. Syafiq turut membalas senyum. Tak apalah, bukan hal besar pun. Lagipun masing-masing masih cuba menyesuaikan diri dengan suasana dan status yang baru.

Keadaan menjadi senyap semula. Mata Damia meliar cuba mengamati seluruh pelosok bilik. Padahal dari petang tadi dia berkurung dalam bilik itu. Keluar dari bilik tadi pun sekali je. Itu pun sewaktu makan malam tadi.

Kelihatan mereka seperti susah hati tetapi sedaya upaya cuba menyembunyikannya. Mungkin masing-masing sedang memikirkan nasib yang bakal menimpa pada masa hadapan. Nasib tentang perkahwinan mereka. Tetapi mahu fikirkan jauh-jauh pun, bukannya boleh buat apa. Mereka berdua yang bersetuju sendiri dengan pernikahan ini tanpa adanya paksaan.

"Umm ... abang." Damia berani memandang tepat mata suaminya.

"Ye, sayang. Kenapa?"

"Terima kasih sebab sudi terima saya jadi isteri abang. Saya tahu abang tak bersedia untuk tanggung semua ni. Maaf sebab saya pentingkan diri sendiri." Wajahnya tertunduk semula. Damia mengusap perlahan jari-jemarinya. Matanya hampir-hampir bocor dengan setitis air tetapi dia cuba tahan.

Derita yang Mak Siti beri kepada Syafiq selama ini membuatkan Damia runtun. Bagaimana lagi mahu nasihatkan ibunya untuk terima Syafiq dan perkahwinan ini?

Syafiq yang terperasan dengan wajah sayu Damia segera memaut dagu isterinya. Kini mata mereka tepat memanah antara satu sama lain. Langsung jari-jemari Syafiq usap lembut pipi Damia.

Kehangatan yang terasa di pipi Damia biarkan. Amat selesa. Entah mengapa, air matanya terasa ringan untuk mengalir.

Syafiq langsung menyeka air matanya itu. "Janganlah sedih, sayang. Sayang tak salah pun dalam hal ni. Kita berdua dah setuju kan nak bina masjid sama-sama. Abang cintakan sayang. Sayang pun cintakan abang, kan?"

Damia laju mengangguk. Tangan Syafiq yang masih melekap di pipi diturunkan. Kini, giliran jari-jemari mereka berdua pula saling bertaut dan digenggam erat.

"Abang pun nak ucap terima kasih kat sayang. Sayang sanggup lari dari kahwin semata-mata nak luahkan perasaan kat abang. Bagi abang, cara sayang tu salah tau. Tapi kalau sayang tak buat macam tu, tak kahwinlah kita hari ni. Bila teringat balik, masa sayang naik teksi datang sini macam adegan dalam filem pulak waktu tu," ucap Syafiq panjang lebar. Turut dia selitkan gurauan agar hati Damia tenang semula.

Damia terus lepaskan tawa kecilnya. Sedikit sebanyak rasa bersalah dirinya dicantas sedikit dari tadi.

"Tapi apa-apa pun, restu mak kita kena dapatkan jugak. Selagi kita tak dapat restu, selagi tu perkahwinan kita tak berkat," sambung Syafiq lagi. Nadanya kini kedengaran serius.

Damia terus menatap wajah Syafiq. "Tak boleh ke kita duduk kat rumah ni sampai bila-bila? Buat apa kita nak berbaik dengan mak? Mak pun dah tak mahu layan kita. Nak bercakap pun dia tak nak. Kalau nak berbaik dengan dia, tu mustahil, bang."

Syafiq gelengkan kepalanya. "Tapi mak tak buang kita, kan? Abang tahu mak masih sayangkan sayang. Sayang masih lagi anak dia."

Damia terdiam. Benar juga apa yang dikatakan Syafiq. Ibunya memang sejak-sejak ini dingin kepadanya. Seminggu sebelum dia bernikah, mahu dengar suara ibunya pun susah. Jelas sangat yang ibunya sudah tawar hati dengannya.

Tetapi apabila difikirkan semula, ibunya tak pernah pula menghalau dirinya itu. Bahkan, baju-baju dan barang-barang miliknya pun masih banyak yang ditinggal di rumah sana. Tak ada pun yang diusik sesiapa. Kalau ibunya memutuskan untuk menghalau, mungkin biliknya itu dah licin dan kosong agaknya.

"Hmm ..." Malas-malas Damia menjawabnya. "Tapi saya tak yakinlah, bang. Saya tahu mak tu macam mana. Saya tak rasa yang saya boleh pergi sana semula." Keraguan menusuk diri.

"Mahu tak mahu kita kena buat macam tu jugak. Satu hari nanti, kita kena jugak berhadapan dengan mak. Kita sama-sama usaha untuk dapatkan hati mak, ye?" pujuk Syafiq lagi.

Air jernih mengalir dari tubir mata. Damia semakin sedu-sedan. Semakin bertambahlah rasa bersalahnya yang terkurung dari tadi.

"Saya mintak maaf, bang. Sebab saya, abang terpaksa hadap semua ni."

"Janganlah macam tu, sayang. Sekarang ni kita sama-sama berdoa semoga Allah lembutkan hati mak. Abang tak nak isteri abang ni bermusuh dengan mak sendiri disebabkan abang."

Syafiq terus mengusap lembut kepala isterinya itu. Perlahan-lahan dia tarik kepala Damia dan disandarkan kepala isterinya itu ke bahunya.

Ini kali pertama dia lakukan perkara sebegitu. Tipulah jika tiada perasaan gugup tetapi dia kisah apa. Dia dan Damia sudah halal di sisi agama.

Damia masih mengongoi. Tetapi kepalanya elok melentok ke bahu Syafiq. Terasa tenang. Sedikit sebanyak, sekarang ini dirinya ada suami di sisi yang bersedia menempuh rintangan bersamanya kelak.

Kerana terlalu banyak melayan perasaan, kantuknya kian mengganas. Akhirnya, dirinya dibuai dengan lena asbab terlalu penat.

Syafiq senyum nipis lalu perlahan-lahan dia baringkan isterinya itu di atas katil. Sempat dia kucup sekali dahi isterinya itu sebelum merebahkan dirinya pula di sebelah Damia.

Hari pertama sebagai suami isteri banyak dihabisi dengan air mata. Tapi tak tahulah jika air mata itu jatuh berterusan atau hanyalah sementara ...

*****

"Jihah." panggil Pak Ya.

"Ye, abi," sahut Najihah tetapi mata dan tangannya masih fokus menjahit baju-baju tempahan daripada pelanggan-pelanggannya.

"Meh sini makan kuih. Abi baru beli kat pasar malam tadi," pelawa Pak Ya. Kuih-muih seperti tepung pelita, seri muka dan karipap dihidangkan di dalam pinggan.

Najihah angguk. Bingkas dia bangun dari duduknya dan menjeda kerjanya. Suis mesin jahit mudah alih itu dimatikan. Usai mencuci tangan, dia tempatkan duduk di atas kerusi berhadapan ayahnya. Eloklah ayahnya bawa makanan, memang perut tengah berkeroncong lapar dari tadi.

"Abi tengok kamu makin busy ni. Banyak ke tempahan baju tu?" tanya Pak Ya.

"Haah. Semalam dapat satu tempahan baru. Jadi Jihah sekarang ni ada tiga baju nak kena siapkan."

"Amboi! Sakan aih anak abi ni menjahit baju. Tu belum masuk musim raya lagi."

"Syukur alhamdulillah. Rezeki tu, abi." Najihah pancarkan senyum. Pak Ya pula tertawa kecil. Rezeki pun rezekilah asalkan kesihatan dan tanggungjawab tak terabai.

Perbualan terhenti seketika. Seketul karipap digigit sedikit demi sedikit. Petang-petang, makan hidangan ringan macam ni sedap juga.

Pak Ya pandang wajah anaknya itu. Kelihatan berselera sungguh menikmati kuih. Entah memang betul-betul berselera atau dibuat-buat saja. Tiba-tiba hati menjadi gusar.

"Kamu betul ke nak berhenti ajar mengaji?" Pak Ya putuskan jua melontarkan soalan yang bermain-main di fikirannya dari tadi.

Berhenti mengajar mengaji. Itulah keputusan rawak yang dibuat Najihah beberapa hari lepas. Agak tiba-tiba jugalah padahal sudah lima tahun Najihah mengajar al-Quran, tak pernah-pernah dia mengeluh.

Najihah diam. Dia ambil sedikit masa untuk menjawab soalan ayahnya itu.

"Ya, abi. Jihah nak fokus menjahit. Lagipun pelajar-pelajar Jihah ramai yang dah khatam."

"Semua ni tak ada kaitan dengan Syafiq dan Damia, kan?"

Kalau diikutkan, Pak Ya cuba mengelak dari mengaitkan pasangan yang baru bernikah itu, tetapi dia paksakan untuk bertanya. Demi kepastian. Dia amat risau kalau Najihah bersedih.

Sewaktu hari pernikahan mereka, Pak Ya satu-satunya menjadi wakil bagi pihak Syafiq. Dia tidak keberatan pun jika Damia ialah pilihan lelaki itu tetapi bagi Najihah?

Memang Najihah turut hadir sewaktu proses nikah itu, siap beri ucapan selamat lagi. Tapi jauh di sudut hatinya sebagai seorang ayah, dia tahu anaknya itu sedang menyembunyikan rasa.

Najihah tertunduk lagi. "Tak adalah, abi. Jihah memang dah fikirkan lama dah pasal benda ni. Cuma baru kali ni je Jihah berani buat keputusan muktamad."

Pak Ya cuba tersenyum. "Abi tahu anak abi ni kuat. Abi sebenarnya tak kisah sangat Jihah dah tak nak ajar mengaji tu. Cuma abi harap Jihah tak kecewa dan bersedih atas apa yang berlaku."

"Abi ni ... pasal Syafiq laju je nak buka topik." Najihah pura-pura mencebik. Ayahnya hanya tertawa. "Jihah tak kecewa pun dengan Syafiq. Malah Jihah tumpang gembira atas pernikahan dia dengan Damia. Diorang sama cantik sama padan," sambungnya lagi.

"Jihah, abi tahu perasaan Jihah kat Syafiq selama ni. Tapi abi tahu Jihah wanita yang tabah, kan?"

Najihah angguk sambil memberi segaris senyuman. Nafas dihela panjang. Perlahan-lahan senyumannya kian memudar.

"Abi sendiri pernah pesan kat Jihah. Utamakan cinta kepada Allah dahulu sebelum mencintai manusia ... sebab cinta kepada Allah ni kekal abadi. Mencintai Allah melebihi segalanya. Kalau tak, diri akan kecundang," terang Najihah.

Pak Ya mengangguk-angguk kepalanya. Sejuk benar hati yang dirasa ketika ini. Betapa bertuahnya dia dapat mendidik anak perempuannya itu sehingga tahap sebegini. Terlalu tabah dan cekal, tak tumpah seperti arwah isterinya. Dalam tak sedar, matanya sudah pun berkaca-kaca.

Kewajipan tiga rakaat ditunaikan. Selesai sahaja memberi salam, tangan ditadah memohon doa kepada Sang Pencipta. Sesungguhnya, setelah apa yang dia luahkan kepada ayahnya petang tadi, sebenarnya itu masih tak mencukupi selagi rasa itu belum diluahkan kepada-Nya.

Akhirnya dia bertekad untuk memohon mendapatkan ketenangan dan keredaan Ilahi. Hanya Dia yang mampu Najihah luahkan sepenuh rasa yang membelit perasaan selama ini.

Mulut terkumat-kamit berdoa. Doa dipinta dengan khusyuk. Merayu kepada Yang Esa untuk tabahkan hati yang duka lara. Biarlah tangisan yang menjadi saksi pada malam ini.

Ya Allah Ya Tuhanku. Hanya Engkau yang mengetahui isi hatiku ini. Sesungguhnya aku hamba yang lemah dan tak berdaya. Kau ubatilah hatiku ini. Tabahkanlah diriku untuk cekal menghadapi segala ujian-Mu. Air mata terus-menerus menitis. Wajah Syafiq kini menjadi bayangan di layar fikiran. Dia cuba untuk melupakan lelaki itu, tetapi kenapa terasa sukar?

Aku terima segala qadak dan qadarMu. Aku hanya mahukan yang terbaik untuk lelaki itu. Dan untuk diriku sendiri. Jika dia bukan jodohku, aku reda Ya Allah. Aku reda. Tangan diraup pada muka usai mengaminkan doa. Air mata semakin galak mencurah.

Hidup perlu diteruskan. Lupakan si dia yang telah menjadi milik orang lain. Itu sahaja yang terbaik untuk dirinya lakukan kerana Allah sentiasa ada bersama.

Bersambung...

Jadi, bermulalah episod berumah tangga antara Syafiq dan Damia setelah banyak halangan diorang tempuh. Bersatu gak hero n heroin kita ni haha. Tapi, kehidupan berumah tangga la yang mencabar. Mesti makin banyak konflik yang akan datang menerpa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience