Bab 7

Romance Series 297502

TERJAGA saja daripada tidur, mata Hayl melingas mencari wajah si isteri. Namun tempat tidur di sebelahnya kosong. Matanya digosok-gosok perlahan. Hayl mengeliat kecil sebelum bangun daripada pembaringannya.

“Sayang...” panggilnya.

Namun tiada sahutan. Pelik. Selalunya dia akan bangun dahulu sebelum Aileen. Hayl terus turun daripada katil. Langkah diatur menuju ke kamar mandi. Mahu membersihkan diri sebelum menunaikan solat subuh.

Lebih kurang lima belas minit selepas itu, Hayl keluar daripada kamar mandi. Dia sudah selesai mandi.

“Sayang,” tegurnya. Dia lihat Aileen yang sudah siap memakai telekung itu duduk di birai katil.

Aileen tersenyum kecil. “Morning abang.”

“Morning. Abang nak tuntut morning kiss abang tapi sekarang ni tak boleh lagi sebab kita ada wuduk.”

Aileen ketawa kecil. “Pergi pakai baju cepat. Dah masuk waktu subuh.”

Hayl mengangguk. Dia mencapai baju melayu dan kain pelikat yang tergantung. Aileen yang sediakan untuknya.

Aileen hanya memandang gerak-geri suaminya itu. Dia cuba memadam ingatannya tentang hal semalam. Sakit jika diingat kembali. Dia cuba melayani Hayl seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Usai solat subuh, Aileen terus bangun dan menggantung kembali telekung yang dipakainya tadi.

“Leen tak nak sambung tidur ke?” soal Hayl. Jika hari minggu begini, kebiasaannya Aileen akan tidur kembali selepas solat subuh.

Aileen menggeleng. “Kan abang cakap tak elok tidur lepas subuh.”

Hayl ketawa kecil. “Kalau Leen nak rehat, apa salahnya. Lagipun kita tak ada apa-apa plan pagi ni. Cuma lepas zuhur nanti kita kena pergi butik untuk fitting baju.”

“Takpalah. Leen nak turun bawah. Nak buat breakfast.”

Dahi Hayl berkerut halus memandang Aileen. Kenapa Aileen tiba-tiba berubah? Bangun lebih awal daripadanya, tak sambung tidur lepas subuh. Pelik.

“Sayang okay ke?”

Aileen ketawa mendengar soalan Hayl. Geli hatinya. Tambah-tambah bila tengok reaksi wajah Hayl.

“Leen okaylah. Leen tengah dalam fasa nak belajar jadi isteri yang baik untuk Hayl.”

“Come.” Hayl tarik tangan Aileen duduk di birai katil. Di sebelahnya.

“Sayang tak perlu ubah apa-apa. Abang terima semuanya. Abang tak minta pun untuk sayang jadi isteri yang sempurna sebab abang tahu abang sendiri bukan suami yang sempurna. Abang ada kekurangan abang juga.” Tangan Aileen digenggam erat.

Aileen tersenyum nipis. Dia mengangkat wajah memandang Hayl. Anak matanya bergerak-gerak merenung mata suaminya itu.

Hayl sudah cukup sempurna di matanya. Cuma satu kekurangan lelaki itu. Hayl tidak mampu melupakan kisah lamanya. Hayl tidak mencintainya. Dan Aileen benci hakikat itu.

“Terima kasih.” Aileen mengucap perlahan pipi Hayl.

“Leen nak turun bawah buat sarapan dulu.” Aileen mahu bangun namun tangannya ditarik kembali oleh Hayl.

“Awal lagi. Jom baring semula.” Hayl terus tarik Aileen berbaring di katil. Pinggang isterinya itu dirangkul erat.

Mereka saling menatap tanpa sepatah bicara buat beberapa ketika. Hanya pandangan mata yang mewakili suara mereka.

MASA berjalan pantas. Hari ini adalah persandingan Hayl dan Aileen di sebelah pihak Hayl. Majlis diadakan di sebuah hotel. Berbeza dengan majlis mereka sewaktu di kampung Aileen. Tidak perlu susah-susah nak masak sendiri, semuanya sudah siap terhidang. Tinggal nak sediakan duit je.

Aileen kelihatan anggun dengan busana songket berwarna coklat lembut. Sepadan dengan Hayl. Ketika mereka berjalan menuju ke pelamin, mata para tetamu terpegun melihat kecantikan pasangan itu. Mereka kelihatan begitu sepadan.

Ahli keluarga Aileen daripada kampung juga hadir. Mereka bertolak daripada kampung semalam. Hayl sudah menempah bilik hotel untuk mereka bermalam.

“Sayang okay?” soal Hayl. Dia perasan muka isterinya itu kelihatan sedikit pucat.

Aileen menggangguk perlahan. Senyuman masih terukir di bibir. Nanti apa pula kata tetamu kalau dia tak senyum. Dah macam kahwin paksa pula gayanya nanti.

Entah kenapa pagi tadi kepala Aileen terasa sakit sangat. Badannya juga terasa hangat. Sungguh dia tidak selesa sekarang ini. Tetapi majlis perlu diteruskan. Takkanlah nak biarkan Hayl bersanding seorang-seorang pula. Kasihan suaminya nanti.

“Sayang betul-betul okey?” soal Hayl risau.

“Leen okey.” Sikit lagi Leen, sikit lagi. Aileen cuba bertahan walaupun dia rasa macam nak pitam sekarang ni.

Majlis terus berlangsung. Tetamu mula datang ke arah mereka untuk bergambar. Sewaktu Aileen bangun daripada duduknya, kepalanya tiba-tiba terasa pusing. Pandangannya jadi kelam.

“Sayang!” Hayl pantas menyambut tubuh isterinya itu. Riak kerisauan terpancar di wajahnya.

Suasana menjadi gamat seketika. Masing-masing terkejut bila tengok pengantin perempuan pengsan. Tanpa berlengah, Hayl terus mencempung tubuh isterinya itu.

PERLAHAN-LAHAN Aileen membuka kelopak matanya. Wajah Hayl menyapa pandangan.

“Sayang! Sayang dah sedar.” Hayl terus menggenggam erat tangan Aileen. Dia menarik nafas lega melihat isterinya itu sudah sedarkan diri.

“Abang... Leen pengsan ke tadi?” soal Aileen. Dia lihat tubuhnya masih lagi tersarung persalinan songket tadi. Cuma aksesori yang dipakainya sudah dibuka. Dan sekarang ini dia berada di bilik hotel mereka.

“Ya, sayang pengsan tadi. Abang dah panggil doktor datang periksa sayang tadi. Doktor cakap sayang terlalu stress. Ada apa-apa ke yang buat sayang stress?”

Aileen terdiam. Mungkin sejak kebelakangan ini dia terlalu banyak berfikir. Tambah-tambah bila tahu Hayl masih menyimpan lukisan-lukisan wajah Dhia. Siap ada bilik khas lagi.

“Leen banyak kerja sikit dekat ofis.” Aileen memberi alasan.

“Kesian isteri abang. Lepas ni jangan terlalu stress lagi. Abang tak nak sayang sakit lagi.” Rambut Aileen diusap lembut.

Aileen tersenyum nipis. “Leen minta maaf abang. Dah rosakkan majlis kita.” Rasa bersalah pula pada Hayl dan keluarga suaminya itu. Majlis belum pun berakhir tetapi pengantin sudah tiada.

“It’s okay. Diorang semua risaukan keadaan sayang tadi. Tak ada apa yang lebih penting daripada kesihatan sayang.”

Aileen ingin bangun daripada pembaringannya tetapi Hayl menghalang. “Nak pergi mana?”

“Leen nak tukar baju.” Dia mula rasa tak selesa memakai persalinan songket itu. Hayl pun dah buka bajunya. Diganti dengan sehelai t-shirt kosong berwarna hitam. Cuma seluarnya masih belum ditukar.

“Tak apa. Biar abang tolong tukarkan,” tawar Hayl.

“Eh, tak apa. Leen dah okey. Leen boleh tukar sendiri.” Segan oi! Walaupun Hayl itu suaminya, dia masih segan dengan lelaki itu. Lagipun dia masih lagi boleh bangun. Lainlah kalau dia tak boleh nak bangun.

“Abang pergi ambilkan baju sayang.”

Aileen mengangguk. Dia duduk di birai katil sambil memandang Hayl yang sedang mengambil pakaiannya di dalam almari.

MALAM ini Aileen dan Hayl bermalam di rumah keluarga Hayl. Saja mahu bermalam di sini. Mahu meluangkan masa bersama dengan mereka. Jarang-jarang dapat berkumpul ramai-ramai begini.

Selepas makan malam tadi semua duduk berbual di ruang tamu. Termasuk Aileen. Bila Aileen nampak adik iparnya, Hani ke dapur. Dia cepat-cepat bangun dan mengikut langkah gadis itu.

“Nak pergi mana?” soal Hayl.

“Leen nak pergi dapur sekejap.”

Hayl mengangguk. Dia sambung berbual kembali dengan ahli keluarganya.

“Hani,” sapa Aileen.

“Eh, Kak Leen. Kak Leen nak apa-apa ke?”

Aileen menggeleng. “Hani nak bancuh air ke?”

“Aah. Sambil-sambil borak tu. Boleh minum kopi.”

“Nak akak tolong?” tawar Aileen.

“Tak apalah. Kak Leen rehat je. Hani boleh buat. Tak susah pun nak bancuh air ni.”

“Hani, akak nak tanya sikit boleh?” soal Aileen.

“Apa dia?”

“Abang Hayl tu pandai melukis ke?”

Hani terdiam seketika. Dia terus memusingkan tubuhnya memandang Aileen. “Abang Hayl memang pandai melukis. Dulu dia selalu juga lukis gambar kami. Tapi... Lepas dia berpisah dengan ex girlfriend dia dulu, dia dah tak melukis lagi.”

“Dhia?”

“Kak Leen tahu?” Hani terkejut.

Aileen mengangguk perlahan. Jadi lukisan-lukisan gambar Dhia di dalam bilik kerjanya itu semuanya Hayl yang lukis?

“Ish, tak patutlah abang cerita pasal perempuan tu dekat Kak Leen.”

Aileen tersenyum nipis. “Tak apa. Lagipun dia cuma masa lalu Abang Hayl je kan.”

Masa lalu? Memanglah Dhia itu masa lalu Hayl. Tapi sehingga kini Hayl masih tersekat di masa lalunya itu.

Happy reading!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience