Bab 16

Short Story Series 55082

Seperti yang telah dijanjikan oleh Aqil kepada keluarga Shofwah akhirnya waktu perkahwinan mereka bakal tiba setelah empat bulan lamanya Showah menanti dengan penuh kesabaran. Aqil dan Shofwah sibuk menguruskan majlis perkahwinan mereka yang bakal berlansung dalam masa dua hari saja lagi. Akad nikah akan dilakukan di rumah Shofwah dan keluarga besar Tan Sri Mansur sudah mula beransur-ansur bertandang ke rumah mereka. Memandangkan rumah Tan Sri Mansur sangat besar dan mempunyai banyak bilik tetamu mereka boleh tidur di mana saja mereka suka tetapi dilarang untuk masuk ke dalam bilik hujung di tingkat dua. Bilik itu akan dikunci dari luar dan hanya Mak Sofi yang dibenarkan masuk.

Pada awalnya mereka tidak mahu mengambil tahu mengapa Tan Sri Mansur tidak membenarkan sesiapa masuk ke dalam bilik itu tetapi apabila salah seorang daripada anak mereka memberitahu pernah mendengar suara kanak-kanak menangis dari dalam bilik itu mereka mula berasa yakin bahawa ada seseorang yang tinggal di dalam bilik itu tetapi mereka tidak berani ingin bertanya kepada Tan Sri Mansur kerana mereka kenal dengan perangai lelaki itu yang tidak suka orang mencampuri peribadinya. Adakah Tan Sri Mansur sudah berkahwin dengan wanita lain tanpa sepengetahuan mereka dan tidak mahu memperkenalkannya kepada sanak saudara. Atau adakah Tan Sri Mansur menyimpan perempuan simpanan di dalam bilik itu sehingga mempunyai seorang anak? Mereka mula berperasangka buruk.

“Mansur, aku ini sepupu kau. Jadi aku kenal baik buruk kau. Kau ada sembunyikan sesuatu ke daripada kami semua?” Encik Mahfuz bertanya apabila mereka berdua duduk di hadapan rumah menikmati teh panas selepas makan malam bersama.

“Apa maksud kau?” Tan Sri Mansur berpura-pura tidak mengerti dengan apa yang dibicarakan oleh Encik Mahfuz.

“Aku tahu kau faham maksud aku. Aku tidak mahu mencampuri urusan kau tetapi sebagai ahli keluarga kau yang paling rapat aku tidak mahu mereka yang lain berperasangka buruk pada kau.” Encik Mahfuz cuba memujuk lagi agar Tan sri Mansur mengangkat bicara.

“Apa yang mereka fikirkan?” Tan Sri Mansur memandang tepat ke arah Encik Mahfuz. Dia juga mahu tahu apa yang digosipkan oleh sanak saudaranya sendiri di dalam rumahnya. Dia menyedari mereka semua memandangnya dengan pandangan lain macam tidak seperti biasanya.

“Bilik di hujung di tingkat dua itu ada penghuninya kan? Ada seseorang yang tinggal di dalam bilik itu. Jangan cuba kau nafikan kerana jika tiada orang suara siapakah yang cucu aku dengar daripada dalam bilik itu? Cucu aku masih kecil Mansur, dia tidak mungkin berbohong.” Encik Mahfuz menyisip air teh di dalam gelasnya selepas bicara.

“Sampai bila kau mahu menyembunyikan perkara serius seperti ini? Adakah kau sudah berkahwin lain tetapi tidak mahu memperkenalkan kepada kami atau adakah kau melakukan perkara yang dimurkai oleh Allah?” Encik Mahfuz menyambung bicara lagi sambil kali ini dia menentang pandangan mata Tan Sri Mansur.

“Apapun yang cuba aku sembunyikan di dalam bilik itu, aku berani bersumpah bahawa aku tidak melakukan sesuatu perkara yang dimurkai Allah. Biarlah nanti suatu hari aku cerita buat masa sekarang biarkan ia menjadi satu rahsia. Aku masih belum bersedia mahu berkongsi cerita Mahfuz. Aku tiada kekuatan untuk bercerita kerana perasaan malu aku pada keluarga. Aku tidak peduli apa kata mereka di dalam sana kerana aku hanya mahu kau mempercayai aku itu sudah cukup buat aku.” Tan Sri Mansur menunduk seperti sedang berusaha menahan sebak di dada. Dia berasa malu kepada Encik Mahfuz dan ahli keluarganya yang lain atas perbuatan Haikal kepada Rina. Dia masih tidak bersedia mahu menceritakan apa yang telah menimpa keluarganya kerana dia masih tidak mendengar daripada mulut Rina sendiri. Dia masih menanti saat menantunya itu bangun dan bercerita semuanya apa yang telah berlaku antara anaknya dengan wanita muda itu.

“Adakah Aqil juga mengetahui rahsia bilik itu?” Encik Mahfuz bertanya lagi dan dia melihat Tan Sri Mansur mengangguk.

“Bagaimana dengan bakal menantu kau?” Encik Mahfuz terningatkan Shofwah yang bakal menjadi menantu pertama di dalam rumah itu.

“Aku serahkan kepada Aqil untuk memberitahu Shofwah atau tidak. Dia bakal menjadi ahli keluarga aku jadi dia harus tahu apa yang terjadi di dalam rumah aku ini.” Tan Sri Mansur mendongak ke atas sambil melihat langit gelap tanpa bintang malam itu seperti sebentar lagi bakal hujan.

“Ini soalan terakhir aku dan aku tidak akan bertanya apa-apa lagi selepas ini. Aku percayakan kau dan menunggu kau bercerita kepada aku. Boleh aku tahu siapa nama anak kecil yang menangis itu?” Encik Mahfuz bertanya buat kali terakhir.

“Namanya Muhammad Qalifh Althar.” Tan Sri Mansur menjawab tanpa melihat wajah Encik Mahfuz. Perbualan diantara mereka senyap begitu saja tanpa seorangpun berbicara lagi.
Ketika itu di dalam bilik Aqil pula lelaki itu duduk termenung di dalam biliknya. Dia melihat komputer riba di hadapannya. Gambar-gambar Rina sebelum berpurdah dipandangnya lama dan dadanya berdegup kencang tidak sama seperti ketika dia memandang Shofwah. Aqil berkurung di dalam biliknya kerana berasa serabut duduk di bawah bersama ahli keluarganya yang sering mengusiknya tidak henti-henti.

Tiba-tiba telefon pintarnya berbunyi dan melihat Shofwah yang menghantar pesanan ringkas melalui aplikasi Whatsapp.

"Abang, maaf Shofwah mengganggu. Macam mana khabar abang hari ini? Shofwah berasa tidak sedap hati seperti ada sesuatu yang akan berlaku." – Shofwah

"Biasalah tu, banyakkan berdoa ya." – Aqil

"Abang, abang janji dengan Shofwah yang abang tidak akan mengecewakan dan mensia-siakan Shofwah." – Shofwah

Aqil tidak membalas sebaliknya dia hanya memandang paparan skrin itu dengan pandangan kosong. Akhirnya dia membalas juga pesanan ringkas daripada Shofwah apabila wanita itu berkali-kali menghantar mesej.

"InsyaAllah." – Aqil

Aqil mencampak telefonnya ke hadapan. Dengan pantas tangannya mencapai tetikus di sisi kanannya dan memadam semua gambar Rina. Tiada satu pun yang tertinggal.

"Kau masa silam, Rina. Aku akan melupakan kau dan bahagia bersama Shofwah. Dia wanita baik dan soleha yang tidak boleh aku sia-siakan." Aqil berbicara sendiri.

Malam itu hujan turun dengan lebatnya apabila sudah sebulan tidak turun hujan. Di dalam bilik Rina, Makcik Sofi tertidur di sebelah Rina dan ditengah-tengah mereka ada Qalifh yang turut sama tertidur. Makcik Sofi terlupa untuk menutup tingkap apabila angin bertiup kencang sehingga aksesori yang digantung di atas tingkap berbunyi-bunyi apabila saling berlanggar sesama sendiri. Tangan Rina tiba-tiba bergerak-gerak. Bola matanya juga bergerak-gerak kelihatan pada matanya yang tertutup rapat. Dahinya disimbahi peluh dingin dan kepalanya bergerak ke kiri dan ke kanan berkali-kali.

"Tolong..." Kedengaran sayup-sayup keluar dari mulut Rina.

"Kasihani saya, bukakan pintu ini." Rina menggumam lagi. Air matanya bercucuran. Dia berada di dalam ketakutan ketika itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience