Bab 13

Romance Series 106380

JUWITA termenung sendiri. Baru sekejap tadi dia terserempak dengan Adrian. Puaslah dia mengelak namun, Adrian tetap juga menghampirinya. Entah kenapa sejak kebelakangan ini, Adrian asyik mengejarnya. Kemana saja dia pergi, pasti akan ada Adrian. Naik seram Juwita dibuatnya.

"Hoi nok... menung apa tu?" sergah Zailani. Terkejut Juwita dibuatnya. Dia mengurut lembut dadanya.

"Kau ni kenapa? Main sergah-sergah pulak." Marah Juwita. Wajah Zailani mula masam mencuka.

"Kau tu kenapa? Dari tadi termenung je. Tuan Mansur suruh kau jumpa dia. Banyak kali telefon kau berdering tapi kau tak jawab." Zailani menjelaskan kenapa dia menyergah Juwita.

"Huh? Alamak... Aku lupalah." Juwita mencapai tiga buah file yang berada di atas mejanya, lalu bergegas untuk naik ke tingkat 26 untuk menemui Tuan Mansur.

Zailani yang memerhati tersenyum gelihati. Entah apa yang mengganggu fikiran Juwita sehinggakan terlalu asyik termenung. Agaknya dah sampai ke Planet Pluto kot.

Zailani menuju ke pantry untuk membancuh segelas nescafe. Entah mengapa matanya terasa agak berat ketika itu. Nak kata tidur lewat, tak pula. Memang kebiasaan dia akan tidur sebelum jam dua belas malam. 

Usai membancuh nescafe, Zailani berjalan menuju ke tempatnya semula. Namun belum pun sempat sampai ke tempatnya dengan tidak semena-mena, dia dirempuh dan nescafe panas itu tumpah mengenai badannya. Menyeringai Zailani apabila air panas itu mengenai tubuhnya. Dia segera angkat kepala untuk melihat siapakah gerangan yang merempuhnya. Buntang mata Zailani saat terpandang wajah Zack yang tersenyum mengejek. 

"Sakit ke dik?" soal Zack seraya ketawa. Zailani diam tidak berkata. Malas mahu memanjangkan cerita. Dia segera melangkah ke bilik air untuk membersihkan kesan nescafe dibajunya.

Zailani tarik keluar baju dari seluar. Kelihatan perutnya kemerah-merahan akibat dicurah air panas. Dia pejam mata seketika sebelum membersihkan kesan melekit pada perutnya. Baju juga dilap guna tisu basah. Namun, belum mampu menghilangkan kesan nescafe. Zailani tersandar lesu di dinding bilik air.

Entah apa yang Zack tak puas hati dengannya. Malah sejak dari hari pertama lagi Zailani nampak Zack tidak sukakannya. Adakah kerana perwatakkannya yang lembut membuatkan Zack sering mencari pasal dengannya? Zailani buntu. Dia melepaskan keluhan berat. Apabila berasa sedikit tenang, zailani kembali semula ke pantry.

"AWAK pasti?" Soal Tuan Mansur ketika meneliti dokumen yang berada di depannya. Juwita angguk kepala.

"Kalau tuan tengok pada kos barang untuk projek Seri Idaman dengan Seri Kayangan, Seri Kayangan punya kos lagi tinggi sedangkan projek ni mempunyai keluasan yang sama. Malah material yang digunakan juga dari supplier yang sama. Tak mungkin jumlah yang dikeluarkan lebih besar dari Seri Idaman." Juwita telah lama meneliti perbelanjaan Seri Kayangan. Malah sejak dua bulan kebelakangan ini kos bagi projek Seri Idaman semakin meningkat.

Tuan Mansur tersandar lesu. Wajah Juwita direnung lama. Wajah itu mengingatkan dia pada seseorang. Seseorang yang sangat dirindui. Entahkan hidup, entahkan mati. Jika mati, dimana kuburnya?

Juwita pelik melihat Tuan Mansur termenung. Berkali-kali dipanggil namun, tiada satu pun panggilannya mendapat perhatian dari Tuan Mansur. Penyudahnya ditepuk kuat meja di hadapannya. Terkejut beruk Tuan Mansur dibuatnya.

"Aduh... kamu ni kenapa Juwita. Mujur saya ni tak ada sakit jantung tahu tak?" Marah benar Tuan Mansur dengan tingkah Juwita. Wajah Juwita berubah masam mencuka.

"Tuanlah buat saya cakap sorang-sorang. Penat saya panggil tuan, tuan buat tak tahu je." Geleng kepala Tuan Mansur dengan bebelan Juwita. Salahnya kerana termenung.

"Maaf. Saya tiba-tiba teringatkan seseorang. Setiap kali saya tengok awak, setiap kali tulah saya akan teringatkan dia." Juwita mula panas punggung. Sungguh dia seboleh-bolehnya tak mahu bercerita hal peribadi bosnya itu.

"Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu tuan." Juwita segera melangkah keluar sebaik saja mendapat keizinan dari Tuan Mansur.

Juwita perasan akan beberapa pasang mata yang merenungnya saat dia melangkah keluar dari bilik Tuan Mansur. Malah bukan dia tak tahu mengenai gosip liar tentang hubungan mereka. Namun, Juwita sengaja memekakkan telinga.

Semenjak Juwita membongkarkan kes penyelewengan dana Yayasan Tuan Maznah Zaleha, Tuan Mansur seringkali memanggilnya untuk meneliti beberapa akuan setiap projek yang dijalankan. Malah Juwita juga menjadi orang kepercayaan Tuan Mansur.

"Muka cantik, tapi perangai entah apa. Kesian mak bapak dia dapat anak macam ni. Jual muka nak hidup senang." Hati Juwita terguris saat ibu dan arwah babanya terpalit sama.

"Bukan jual mukalah. Jual badan! Sebab tu boleh pakai mewah-mewah." Juwita diam lagi. Entah mengapa semakin dia mendiamkan diri, semakin menjadi-jadi kata-kata yang tak sepatutnya dikeluarkan mengenainya.

Selama ini dia bersusah payah untuk mendapatkan apa yang dia punya sekarang. Berjimat cermat demi keselesaan dia dan keluarganya.

"Entah berapa ramailah yang dah terpedaya dengan dia ni, kan? Ish... muka nampak baik tapi perangai nauzubillah. Kalah perempuan lorong." Makin sakit hati Juwita.

Dengan tak semena, Juwita mencampakkan file yang dipegangnya tepat ke atas meja dua orang wanita yang sedang bergosip dengannya.

"Kak, tahu tak menfitnah tu lagi besar dosanya dari membunuh. Akak mengata pasal saya ni berasaskan bukti apa? Apa bukti saya jual badan? Akak jangan sampai saya ganyang muka akak tu. Elok-elok laki berselera, kang kena ganyang dengan saya, laki akak-akak lari cari pompuan lain." Dada Juwita berombak kencang.

Kalaulah boleh dilihat, pasti kelihatan asap keluar dari telinga Juwita. Puaslah dia bersabar dengan dua orang wanita itu selama ni. Setiap kali dia naik menemui Tuan Mansur, pasti dirinya akan dijadikan bahan mengumpat.

"Dahla tu sedap je nak babitkan mak bapak saya. Kalau akak-akak nak tahu, bapak saya dah lama mati! Jangan nak kaitkan dengan mereka. Sekali lagi saya dengar akak mengata saya, jangan tanya kenapa muka akak-akak ni herot saya kerjakan." Puas menghamburkan apa yang terbuku di hati, Juwita segera melangkah ke lift.

Sebal hatinya ketika itu. Kalau tak mengengangkan Tuan Mansur, memang dah kena tibai mak cik-mak cik bawang tu. Muka tak cantik tak pe. Ni hati pun sama tak cantik. Juwita menahan rasa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience