BAB 1

Mystery & Detective Series 5545

LINDA menyedut milo ais yang sudah tinggal separuh gelas. Sesekali matanya melilau memerhati sekeliling. Fira yang duduk semeja dengannya dari tadi ralit menilik wajah di cermin kecil. Linda  mengeluh. Gelas diletak kasar. Fira terperangah lalu menjeling sekilas.

"Mana pula minah ni. Janji lepas habis kelas nak jumpa."

"Ala rileks la babe. Kejap lagi sampailah tu." Balas Fira selamba tanpa memandang wajah bengis sahabatnya itu. Bebola matanya bagai nak terkeluar dari soket. Linda menjeling.

"Kau cakap macam kita baru duduk dekat sini 5 minit je kan. Kau sedar tak kita dah tunggu dia lebih 30 minit?"

Dengan kelam kabut Fira melihat jam ditangan. Dahinya berkerut. Serentak dengan itu dia memukul lembut mulutnya. Tidak berani untuk menatap wajah sahabatnya itu. Jelas kedengaran air disedut dengan kasar. Tidak cukup dengan itu ais pula dikunyah. Macam makan biskut. Fira terus mengunci mulut. Jus oren yang sudah hampir hilang sejuknya diambil lalu disedut perlahan.

Beberapa minit kemudian barulah kelibat Nisa mula kelihatan.

"Ha, itupun Nisa dah datang!" Jerit Fira sehingga membuatkan Linda sedikit terkejut. Telefon pintar jenama Apple yang masih ada bau kedai hampir saja terlepas dari tangannya.

"Cakap elok-elok boleh, kan? Tak payahlah nak menjerit. Aku cepuk juga kau ni karang." Balas Linda sambil mengangkat tangannya seolah-olah ingin memukul wanita itu. Fira menikus.

"Ha, eloklah tu. Dahlah datang lambat boleh pula melenggang kangkung dekat situ. Besar kecil besar kecil je aku tengok minah ni."

Bebel Linda lagi. Panas betul hatinya apabila melihat Nisa yang berkepit dengan teman lelakinya itu. Seolah-olah tiada lagi hari esok untuk mereka berdua.

"Hai korang! Dah lama ke sampai?" Tanya Nisa dengan tangan yang masih merangkul lengan teman lelakinya.

"Eh tak adalah. Kita orang pun baru je sampai. Baru 40 minit duduk dekat sini. Kan, Fira." Perli Linda. Fira sekadar tersengih menunjukkan barisan giginya yang rapi.

"Sorrylah korang aku tak sengaja. Carl ni yang lambat." Ujar Nisa.

Megat Haiqal yang berdiri disebelahnya tidak memberikan sebarang reaksi. Sepertinya itu bukan kali pertama dia diperlakukan sedemikian. Kerusi kosong ditarik sebelum melabuhkan punggungnya. Nisa mengambil tempat di sebelahnya.

"Tinggal sebulan je lagi sebelum peperiksaan akhir tamat. Apa plan kita kali ni?" Linda membuka bicara. Itulah tujuan mereka berkumpul pada hari tersebut.

Tahun ini sudah masuk tahun ketiga Linda dan Nisa lakukan aktiviti sebegini. Setakat ini masih lagi konsisten setiap tahun. Tapi kali ini agak berbeza sedikit kerana Fira akan menyertai mereka.

"Apa kata kita pergi bercuti?" Fira memberikan cadangan. Hampir serentak Linda dan Nisa melihat ke arahnya. Nisa mengangkat kening seolah-olah menantikan penjelasan yang lebih lanjut untuk cadangannya itu.

"Pulau. Apa kata kita pergi bercuti dekat pulau. Boleh hilangkan stress. Aku dah lama teringin nak pergi pulau dekat Sabah tu."

"No, thanks." Sepantas kilat Linda membalas. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Terbit riak kecewa diwajah Fira apabila cadangannya itu ditolak.

"Sebenarnya Linda ni fobia dengan laut jadi pulau memang akan dipangkah siap-siap." Jelas Nisa. Fira mengangguk faham.

"Kalau kita pergi camping nak tak?"

"Camping? Hmm..."

"Kita kan belum pernah pergi camping lagi. Jadi sekaranglah waktunya. Kali ni kita buat sesuatu yang ekstrim sikit. Barulah gempak!"

Linda dengan penuh bersemangat memberikan cadangannya. Nisa berfikir sejenak.

"Nak pergi camping dekat mana?" Tanya Fira ingin tahu jika wanita itu sudah mempunyai cadangan di mindanya. Malangnya Linda menggeleng.

"Belum. Tugasan tu aku serahkan pada kau untuk cari tempat yang best untuk kita pergi nanti. Jangan hampakan aku." Ujar Linda sambil mengenyit mata nakal.

"Eh kenapa aku pula? Kau yang beria nak pergi camping, kaulah yang cari." Tolak Fira.

"Macam mana? Setuju ke tak?"

Tanpa menghiraukan kata-kata Fira, Linda mengalihkan perhatiannya kepada Nisa yang masih belum memberikan sebarang respon.

Carl yang sedari tadi hanya memasang telinga turut melirik ke arah teman wanitanya itu. Air barli sejuk yang baru dihantar oleh pelayan disedut perlahan. Memikirkan sikap teman wanitanya yang lembut dan manja dia tertanya-tanya adakah Nisa mahu lakukan aktiviti lasak seperti itu.

"Okay, on! Tapi dengan syarat aku nak Carl ikut sekali. Boleh?"

Terbeliak biji mata lelaki itu apabila namanya dipetik. Nasib baik tidak tersembur biji barli yang sedang dikunyahnya. Tanpa rasa bersalah Nisa memandangnya dengan senyuman melebar diwajah.

"Mana boleh. I dah ada plan lain dengan kawan I." Haiqal menolak. Tak mungkin dia akan membatalkan rancangan telah dirancang selama berbulan-bulan bersama rakan demi mengikut kehendak teman wanitanya itu. Nisa menarik muka masam. Merajuk dengan jawapan yang berikan oleh Haiqal.

"Apa susah kau ajak jelah kawan-kawan kau tu join sekali. Tak adalah kau sorang je lelaki yang join nanti. Bosan juga aku nak kena hadap muka kau setiap hari. Kalau ada yang lain boleh juga aku cuci mata." Ujar Linda. Hujung bibirnya terjongket sedikit.

"Please..." Nisa merayu manja. Haiqal menghela keluh pendek.

"Hmm... yelah. Nanti I tanya kawan I tu dulu. Tapi tak janji tau."

Nisa tersenyum lebar sambil memeluk lengan lelaki itu.

"Thank you sayang."

*****

SEMINGGU KEMUDIAN

Notifikasi telefon pintar Nisa berbunyi menandakan ada mesej baru yang masuk. Dia yang baru selesai mandi segera mencapai telefon pintarnya yang sedang dicas di atas meja di sisi katil.

Pukul 3.00 petang. Dekat tempat biasa. - Fira

Fira yang telah ditugaskan oleh Linda untuk mencari lokasi menarik untuk mereka pergi berkhemah telah meminta mereka untuk berkumpul di Star Café. Nisa melirik jam di dinding biliknya. Ada masa lebih kurang 4 jam lagi. Dia kemudian menghubungi Haiqal untuk memaklumkan perkara tersebut.

Sekitar jam 2.50 petang Fira tiba di café tersebut. Disangkakan orang yang terawal rupa-rupanya dia orang yang terakhir tiba. Linda, Nisa dan Haiqal sudah berada di sana serta siap memesan minuman masing-masing.

"Wah, awal betul korang sampai. Belum pukul 3.00 lagi." Ujarnya sambil mengambil tempat di kerusi yang masih belum bertuan.

"Apahal kau nak jumpa kita orang?" Soal Linda

"Hari tu kau juga yang suruh aku cari lokasi untuk kita camping nanti. Sekarang ni aku nak tanya pendapat koranglah. Nanti kalau aku buat keputusan sendiri ada yang tak puas hati pula." Balas Fira berbaur geram. Linda tertawa kecil.

"Aku main-main je. Tak payahlah serius sangat."

"Ish korang ni dah macam anjing dengan kucing. Cepatlah bagitahu dekat mana tempat tu."

Fira dengan senang hati mengeluarkan sekeping sampul surat bersaiz A4 lalu diletakkan di atas meja. Nisa segera membuka sampul tersebut lalu mengeluarkan beberapa keping kertas lalu diberikan kepada Linda.

"Dekat sini?" Soal Nisa. Fira mengangguk laju.

Linda dan Nisa membaca dengan penuh teliti. Sesekali dahi mereka berkerut seperti ada sesuatu yang mengganggu fikiran.

"Hutan Berbisik?" Bisik Linda di dalam hati.

Belum pernah lagi dia dengar nama tersebut. Padahal boleh dikatakan aktiviti berkhemah itu sudah sebati dengan dirinya. Hampir setiap ceruk hutan dia sudah pergi. Tetapi belum pernah lagi dia mendengar nama Hutan Berbisik.

"Ini gambar yang kawan aku bagi. Cantik, kan?" Seraya Fira menghulurkan telefon pintar miliknya kepada Nisa. 

Riak wajahnya berubah. Kepala diangguk laju. Ternyata permandangan di situ sangat cantik dan memikat hatinya. Matanya tidak lekang melihat gambar-gambar tersebut. Sempat dia menunjukkan gambar tersebut kepada Haiqal.

"Dekat mana ni?" Soal Linda lagi. Masih berbaki rasa kurang senang dihatinya berkaitan tempat tersebut.

"Bukit Awan Putih. Kawan aku baru je pergi dekat sana bulan lepas."

"Bukan ke tapak perkhemahan dekat situ dah lama tutup?" Haiqal menyampuk. Pernah sekali dua dia mendengar tentang bukit tersebut.

"Yup, rasanya dah dekat 10 tahun kot. Dan disebabkan tempat tu dah lama tutuplah orang ramai tak pergi ke sana. Tapi serius tempat dia lawa gila. Air terjun dekat situ pun sejuk sampai ke tulang. Kecantikkan alam semula jadi dekat situ sangat terjaga. Kalau tak percaya kau tengok sendiri gambar yang kawan aku bagi tu." Balas Fira panjang lebar. Sedaya upaya menyakinkan mereka semua.

Tidak dinafikan Kota Warisan merupakan salah satu tempat yang sangat terkenal dengan keindahan panorama yang mampu membuat orang tidak berkelip melihatnya. Sungguh mempesonakan. Bukit Awan Putih tidak terkecuali.

"Aku setuju. Lagipun kita dah semester akhir. Lepas ni belum tentu lagi kita boleh luangkan masa macam ni lagi." Ujar Nisa penuh semangat. Kelihatannya seperti sudah tidak sabar untuk ke sana.

"Hmm... Nanti kau bagi aku semua gambar-gambar tu termasuk nombor telefon kawan kau tu sekali." Tambah Linda yang akhirnya bersetuju untuk pergi berkhemah di Hutan Berbisik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience