POV Warda Sofea.
"DI... Di... Di... Kong, kong..."
Aku tersenyum melihat gelagat anak kecil yang berambut pony itu. Comel sekali gelagatnya. Aku anggarkan umurnya sekitar tiga tahun melalui kepelatannya bercakap, datang bersama dengan bapanya. Si bapa mendepangkan tangannya lalu terus didukung anak kecil itu.
"Baby daddy ni nak makan apa?" tanya si bapa dengan sangat lembut. Aku yang berada di belakang kaunter hanya mendengar perbualan dua beranak itu sambil tersenyum.
"Baby na air cekelet...ngan kek syekali..." jawab si anak dengan petah dan pelat.
"Lagi?" soal si bapa lagi.
"Hmmm..."
Aku melihat jari kecilnya digosok-gosokkan di bawah dagu, sedang memikirkan apa yang patut dipesannya lagi. Ah! Sangatlah comel gayanya. Geram dibuatnya sehingga aku ingin sahaja cubit wajah budak itu.
"Uget dan fen fries," ujarnya lagi setelah beberapa saat dia berfikir. Bapanya pura-pura terkejut mendengar jawapan si anak.
"Boleh habis ke nanti?" soal si bapa, saja menguji anaknya. Sedangkan dia tahu anaknya bakal tidak menghabiskan makanan yang dipesannya.
"Tak leh. Peyut titew tecik..." Mengakunya seraya terkekeh-kekeh, buatkan aku ikut tergelak.
"Siapa nak habiskan nanti?" soal si bapa sambil mengangkat kening.
"Didi dan mimi..." jawabnya, polos dan bersahaja.
Aku pula entah kenapa terjentik dengan seloroh dua beranak itu. Aku sukakannya tapi jauh dilubuk hatiku ada rasa sayunya.
"Ha! Gemuklah nanti daddy dengan mummy," seloroh si bapa.
"Takpe muk," balasnya selamba bersama dengan kekehannya.
"Hei, mana boleh macam ni..." Si bapa terus menggeletek tubuh si anak menyebabkan tawanya makin mengilai.
"Untuk mummy dan daddy nak beli apa?" soal si bapa lagi apabila tawa dua beranak itu mula reda.
"Mimi, air toberi. Didi tak yah"
"Eh, mana boleh macam tu. Daddy pun nak air juga." Si bapa sudah buat muka sedihnya.
"Didi takyah air. Didi minum air baby je... titew oci..."
Aku melihat si bapa sudah buat muka terharu. Mungkin jiwanya terusik mendengar kata-kata anaknya. Aku juga turut terharu.
"Baiklah kita kongsi sama-sama."
"Yeah!" Anak kecil itu bersorak kegembiraan.
Si bapa mula memandangku untuk membuat pesanan dan aku seperti biasa, mestilah perlu ramah melayan mereka sebagai pelangan di kafe tempat aku mencari rezeki ini.
"Ya, encik. Nak order apa?"
"Saya nak kek coklat tu satu, chocolate frappe satu, smoothie strawberi satu... hmmm... hot latte satu. Makan saya nak one set nugget, fettuccine carbonara dan juga chicken chop."
Jari aku laju menekan apa yang dipesannya pada skrin komputer.
"Itu sahaja ke?" soalku lagi untuk memastikan tiada lagi pesanannya.
"Itu je dulu. Berapa ya?"
Aku mengangguk dan mengulangi pesanannya sebelum aku memberitahu jumlah perlu dibayarnya. "Semua sekali RM 87.40. Cash or card?"
"Card," jawabnya sambil mengeluarkan kad kreditnya dari dalam dompet.
Aku melihat agak payah untuk si bapa mengeluarkan kadnya, kerana dia sedang mendukung anaknya. Bila kad kreditnya berjaya dikeluarkan terus dihulurkan kepadaku, dan aku menghulurkan mesin kad kredit kepadanya untuk membuat transaksi. Setelah semua transaksi selesai dilakukan, aku mengoyakkan resit kad kredit dan juga resit pesanannya lalu aku serahkan kepadanya. Aku juga turut memberikan plat bernombor agar mudah nanti pesanannya dihantar ke meja.
Sempat aku mencuit lengan anak kecilnya dan dia mengekeh ketawa. Geram betul aku dengan budak itu. Pelangan tadi terus mengucapkan terima kasih lalu pergi ke arah meja yang sudah ditunggu si isteri. Anak kecilnya sempat melambai-lambai tangan kepadaku dan aku membalas lambaiannya semula.
Dari jauh aku melihat betapa bahagianya keluarga kecil itu. Cemburu aku melihat layanan ibu bapa kanak-kanak itu terhadap dirinya. Kalaulah aku juga dapat merasai seperti kanak-kanak itu rasa, alangkah seronoknya. Namun, aku tahu perihal itu takkan berlaku ke atas diriku kerana kewujudan aku di muka bumi ini tidak pernah disambut oleh insan bernama ayah. Selama aku hidup tidak pernah lagi aku merasai kasih sayang sebuah keluarga yang sebenar. Selama aku hidup 23 tahun, aku ibarat mengemis kasih sayang daripada insan yang dipanggil ayah. Aku sendiri tidak tahu di mana salahnya sehingga ayah kandungku langsung tidak menerima kewujudanku. Nak kata aku ni anak tidak sah taraf, tidak! Tapi, entahlah. Aku sendiri tak tahu.
Apa yang aku tahu, ibuku berkahwin dengan Tan Sri Zubari secara sembunyi daripada pihak keluarga Tan Sri sendiri. Mengikut cerita arwah nenekku, Tan Sri Zubari datang ke kampung tempat tinggal kami satu masa dahulu untuk urusan perniagaannya. Pada masa itu, ibu dan Tan Sri Zubari berkenalan, dan Tan Sri berkenan dengan ibu untuk dijadikan suri hatinya. Nenek pada masa itu terus bersetuju dengan pinangan Tan Sri Zubari tanpa berfikir panjang. Baginya menikahkan ibu dapat meringankan sedikit bebannya dan juga jika dia tiada nanti sudah tentu ada yang menjaga ibu. Waktu itu, nenek dan ibu tidak tahu status sebenar Tan Sri Zubari dan dia juga mengaku pada nenek bahawa dia seorang bujang. Oleh sebab itu, nenek terima sahaja pinangan itu tanpa ragu-ragu. Namun, siapa sangka itulah permulaan kehidupan ibu sekeluarga makin parah.
Mereka berdua berkahwin dan perkahwinan yang ibu rasa bahagia itu hanya bertahan beberapa bulan sahaja. Selepas beberapa bulan berkahwin, Tan Sri Zubari menghilangkan diri tanpa khabar berita. Dia telah berjanji hanya pulang ke rumah keluarganya sekejap sahaja untuk menyelesaikan beberapa urusan. Selesai sahaja urusannya, dia akan pulang ke pangkuan ibu dan akan memperkenalkan ibu kepada keluarganya. Tapi, semua itu dusta sahaja. Dia terus menghilangkan diri sehinggalah aku dilahirkan. Aku dilahirkan tanpa bapa di sisi. Orang yang sepatutnya mengazankan dan mengiqamatkan aku tiada. Jika tiada sebab kematian, boleh dimaafkan, tetapi ini hilang tanpa khabar berita. Entahkan hidup, entahkan mati? Tidak tahu!
Sehinggalah aku berumur 10 tahun tidak silap aku, bayangnya masih tidak kelihatan. Tetapi, ibu dengan penuh bersabar terus menanti kepulangan suami yang dicintainya. Kalau dulu aku turut bersedih melihat ibu setia menunggu sang suami yang tidak muncul jua. Tapi, sekarang aku rasa betapa bodohnya ibu kerana menunggu buah yang tidak gugur.
Selepas kematian arwah nenek, ibu nekad ingin mencari Tan Sri Zubari, dan memang rezeki tak pernah salah alamat. Ibu dapat menjejaki Tan Sri Zubari apabila ibu terbaca satu artikel mengenai kehebatan dan kejayaan Tan Sri Zubari, seorang peguam yang mempunyai syarikat guaman yang agak besar di Kuala Lumpur. Berpandukan maklumat yang dimiliki oleh ibu, ibu nekad untuk pergi ke Kuala Lumpur dengan bekalan wang yang hanya cukup-cukup makan sahaja.
Tapi… bermulanya mimpi ngeri kami dua beranak. Tan Sri Zubari tidak mengaku ibu adalah isteri sahnya dan aku sebagai anak kandungnya. Dia hina kami anak beranak. Diherdiknya kami! Dan dia layan kami seperti kucing kurap. Sakitnya rasa pada waktu itu hanya Allah sahaja yang tahu. Apa yang lebih mengejutkan ibu adalah Tan Sri Zubari yang selama ini mengaku bujang sebenarnya sudah mempunyai isteri dan juga anak. Ibu telah ditipu hidup-hidup! Aku melihat betapa kecewanya ibu pada waktu itu. Tapi, apa yang buat aku dan ibu bertambah sedih adalah bila isteri pertama Tan Sri Zubari, Puan Sri Aira menuduh ibu, sengaja menggoda suaminya sehingga suaminya terpaksa berkahwin dengan ibu. Huh! Hebat betul permainan dia pada waktu itu. Kalaulah aku pada waktu itu sudah berakal, dah semestinya aku mempertahankan maruah ibu yang dipijak-pijak itu. Aku takkan lupa sampai bila-bila dengan kata-kata cacian mereka terhadap ibu aku. Aku takkan lupa!
TEPUKAN pada bahu menyedarkan aku semula ke dunia realiti. Aku terus berpaling untuk melihat gerangan yang menepuk bahu aku tadi. Vanida, sahabat baik aku sedang memandangku hairan.
“Kau tenung apa sampai berkerut aku tengok muka kau tu?” soalnya dengan lehernya dipanjangkan untuk melihat apa yang sedamg aku pandang sehingga mengelamun jauh.
“Tak ada apa-apalah. Aku tengok family tu. Sweet je aku tengok. Jealous aku,” balasku, perlahan sambil menyambung semula tugasku.
“Apa yang sweet? Biasa-biasa je aku tengok.” Aku terdengar balasan Vanida. Aku hanya tersenyum hambar. Bagi orang lain memang biasa sahaja, tapi tidak bagiku. Ah! Mana mungkin orang lain faham dengan perasaanku ini. Mereka bukan rasa apa yang aku hadapi selama ini.
“Kau jaga kaunter, ya. Aku nak ke belakang. Nak rehat. Dah sampai turn aku rehat ni.” Aku menukar tugasku dengan Vanida. Vanida hanya mengangguk saja.
Aku terus berjalan ke arah belakang kafe dan cari tempat yang agak tersorok untuk aku berehat. Aku melabuhkan punggung dan mengeluarkan buku catatan yang aku bawa bersama tadi. Itulah rutinku, jika ada masa terluang aku akan menelaah pelajaran. Aku tidak suka membuang masa dengan bermain telefon bimbit seperti rakan-rakan sebayaku.
Oh, ya! Pasti ada orang tertanya kenapa aku panggil ayahku sendiri dengan panggilan Tan Sri, bukan ayah, papa, daddy atau apa-apa sahaja panggilan untuk seorang bapa. Jawapannya sebab permintaan daripada dia sendiri. Selepas kematian ibu yang terlibat satu kemalangan ngeri waktu dia meniaga kuih di kaki lima, aku terpaksa tinggal bersama dengan Tan Sri Zubari. Walaupun pada awalnya dia tak nak pun jaga aku, tapi disebabkan surat beranak aku berbintikan dia, nak tak nak dia terpaksa jaga aku. Itu pun aku tinggal dengan dia bersyarat. Syarat pertama sudah tentu dia tidak benarkan aku memanggilnya dengan panggilan ayah atau papa. Dia suruh aku panggil dengan gelaran yang dimilikinya, Tan Sri dan Puan Sri. Syarat kedua, memang segala makan, pakai dan pendidikan aku ditanggung oleh dia tapi, sebagai pulangan, aku kena mengemas dan menguruskan rumah itu. Aku dah macam orang gaji di dalam rumah itu. Ya! Memang orang gaji pun sebenarnya. Dia orang tak pernah anggap aku sebagai ahli keluarga pun. Bagi mereka aku ni pembawa sial dan pemusnah rumah tangga dia orang je.
Aku ingat lagi, rumah tangga mereka hampir runtuh kerana kehadiran aku dan ibu pada waktu itu. Sebab itu agaknya, Tan Sri Zubari amat membenci diriku ni. Mungkin dia mendoakan aku tak pernah dilahirkan ke dunia ini. Aku pun tak minta lahir ke dunia ini terutama lahir dalam keluarga bangsawan ini.
Sebab itu juga, aku bekerja part time di kafe ini. Sebab aku dah tak nak susahkan hidup dia lagi. Pakai duit dia lagi. Aku ingin berdikari sendiri. Segala kos pembelajaran aku sekarang aku ini, aku tanggung sendiri. Walaupun agak payah sebenarnya sebab aku kena bahagikan masa sebaiknya, tapi aku kena kuat. Sudahlah status ayah kandungku itu menyebabkan aku tidak boleh memohon mana-mana biasiswa atau meminjam PTPTN sekalipun. Aku langsung tak layak padahal aku pun memerlukannya juga.
Assalamualaikum dan hai semua. Terimalah karya terbaru saya. Kali ni saya cabar diri bawa POV 1. Hope xkecundang. Cerita ni akan di uckan ye. Segala kekurangan saya mohon maaf.
Share this novel