Bab 70 : Bila Lelaki

Romance Series 403807

"Bila seorang lelaki itu betul-betul mencintai, betul-betul menginginkan dan memerlukan wanita yang dia kasihi untuk dimiliki, menghentam gunung-ganang untuk dijadikan lautan juga dia mampu lakukan. Tak cukup lagi ke kasih sayang dan sifat prihatin yang dia tunjukkan dekat kau selama kamu berdua bergelar suami isteri ni Anne?" Kesunyian bilik itu pecah dengan gemersik suara Sabrina.

"Baru je jumpa abang adik-beradik susuan kau, terus kau ceramah kan aku dengan lenggang-lenggok bahasa puitis. Patutnya kau bela aku Sab. Ini tidak, balik-balik aku yang kena. Marah aku dekat kau tak habis lagi tau." Omel Anne yang sedang mengunyah dan menikmati kuih donat dari Sekilau Donat, pemberian Sabrina.

"Yalah, kau marah aku cukuplah. Spare my brother, please! Aku tahu abang aku tu ada sejarah yang tidak menyenangkan mana-mana manusia pun, tapi selaku orang yang tahu apa yang dia dah lalui, orang yang tahu bagaimana strugglenya untuk keluar dari satu dunia yang kita tahu adalah mustahil untuk keluar, aku kesian juga dekat dia.

Aku tak ada apa-apa permintaan lain dah Anne. Aku cuma berharap sangat-sangat, , hubungan kau dengan dia ni kekal sampai bila-bila. Aku tak nak kau dengan dia tak kekal lama. Sebab aku sayang kau." Pujuk Sabrina.

"Entah lah Sab. Aku tak pandai nak memaafkan orang. Aku tak mampu. Aku memang macam ni." Balas Anne pendek.

"Anne, kau cakap macam ni, sama macam kau salahkan Allah sepenuhnya sebab buat kau tak pandai memaafkan. Padahal, Allah tu sendiri Maha Mengasihani, Maha Memaafkan. Yelah, aku tahu aku ni tak layak nak cakap pasal agama sangat. Sebab aku sendiri pun belum betul-betul mengamalkan ajaran Islam.

Tapi aku nak kau nampak betapa salahnya untuk kita menghukum manusia sedangkan dia dah mencuba sedaya upaya untuk berubah. Orang yang berdosa ni walaupun dia baru sekadar berniat untuk bertaubat pun Allah dah terima niat baik dia, apatah lagi bila dia betul-betul memilih untuk menjadi orang yang lebih baik.

Macam kau pernah berhujah dengan Kelly dulu, tak ada pendosa tanpa masa depan, dan tak ada orang yang baik tanpa sejarah silam. Aku tahu kau bukan macam ni. Kau cuma marah, betul kan?" Duga Sabrina.

Kening Anne keduanya terjungkit. Entah mahu menafikan, entah mahu mengiyakan.

"Apa yang abang aku kena buat supaya kau boleh maafkan dia?" Bahu Anne diusap perlahan.

"Tak ada apa-apa. Kalau dulu ya, mungkin ada. Sekarang dah terlalu lambat untuk apa-apa usaha." Balas Anne perlahan, masih berdegil dan berkeras apabila nama Idris menjadi topik perbualan dia bersama Sabrina.

"Ustaz Don ada cakap, tak pernah ada istilah terlambat bagi orang Islam untuk berbuat apa-apa kebaikan. Kalau pun esok kiamat, dan ditangan kita ada biji benih, tanam lah biji benih itu tanpa perlu kita risaukan hal kiamat yang akan berlaku tu Anne." Pujuk Sabrina lagi.

"Fikir betul-betul. Kalau tak nak pun, selesaikan betul-betul. Jangan kumpul dosa melawan suami, protes dalam diam. Okey?" Sabrina yang tahu akan kedegilan Anne itu akhirnya hanya mampu pasrah dan membiarkan Anne memilih hala tujunya sendiri untuk masa depan rumahtangganya.

Perjalanan pulang ke rumah dari hospital setelah balutan simen pada kedua kakinya dibuka terasa begitu lama. Sedangkan jarak dari hospital ke rumah bukan lah jauh mana. Sekadar 15KM, andai Idris memecut laju sedikit tentu tidak akan memakan masa lebih dari 10 minit lamanya.

Hampir empat bulan pergerakannya terkekang dek terpasung simen itu, hari ini buat pertama kali kakinya terasa ringan. Ada rasa gatal pada kedua betis yang kelihatan lebih kecil berbanding bahagian atas badannya. Selepas simen ditanggalkan tadi, ada sedikit bau yang kurang enak menyapa hidung.

Kata doktor, itu normal. Memandangkan hampir empat bulan kaki itu tidak 'mandi'. Hampir sahaja dia tergelak tadi untuk menutup perasaan segannya, namun tatkala terpandangkan mata Idris yang sedang merenungnya tajam, Anne membatalkan hasratnya itu. Sebaik mungkin dia cuba menahan tawanya agar tidak terlepas di hadapan Idris yang entah kenapa moodnya berubah.

Hampir 20 perjalanan, kereta yang dipandu Idris baru sahaja tiba di persimpangan lampu isyarat Permatang Badak. Ya Allah, kenapa lambat sangat nak sampai rumah ni? Kegatalan pada kakinya sudah terasa seperti menggigit. Anne terbayangkan sejuk air paip itu menyimbah kaki setelah lama berbalut. Tentu nyamannya sampai ke hati.

Jari-jemari Idris yang menukar stesen radio itu berhenti bergerak tatkala satu saluran stesen radio itu sedang memutarkan lagu Battle Scars dendangan Guy Sebastian bersama Lupe Fiasco. Sempat Anne mencuri pandang wajah Idris yang pandangannya lurus ke hadapan. Tanpa sedar, Idris turut menyanyikan lagu itu sambil mengetuk stereng seiring dengan irama lagu itu.

I wish I never looked, I wish I never touched
I wish that I could stop loving you so much
Cuz I'm the only one that's trying to keep us together
When all of the signs say that I should forget her
I wish you weren't the best, the best I ever had
I wish that the good outweighed the bad

Cuz it'll never be over, until you tell me it's over
These battle scars, don't look like they're fading
Don't look like they're ever going away
They ain't never gonna change
These battle scars don't look like they're fading
Don't look like they're ever going away
They ain't never gonna change
These battle

Kenapa terasa seperti Idris sedang menyindirnya dengan sengaja menyanyikan lagu itu terutamanya pada bahagian korus. Idris betul-betul menyesali perasaannya pada Anne? Betul semuanya antara mereka akan tamat bila Anne mahukan dan katakan begitu? Tak kisah lah, mafia, tentu lah sesuai dan sekufu dengan orang dari dunia yang sama seperti mereka. Kan? Bukan dia sekadar perempuan kampung yang mempunyai kerenah yang menyebalkan ini.

Anne menarik nafas lega sebaik sahaja kereta yang dipandu Idris sudah tiba di perkarangan rumah ayahnya. Dada yang terasa berat dan sempit mahukan ruang yang lebih besar yang tidak membuatkan dia berdua-duaan dengan Idris. Perasaannya sukar di mengerti sejak Idris mengakui identitinya yang sebenar.

"Eh dah bukak simen!" Fauziah pantas bangkit dari sofa tiga tempat duduk itu untuk memberikan laluan kepada Anne untuk duduk dengan selesa.

"Anis nak mandi mak. Mak tak payahlah bangun." Balas Anne sambil dia menepuk bahu Idris perlahan supaya menurunkan dia di ruang tamu itu supaya dia boleh mendapatkan kerusi rodanya yang tersedia diruang tamu untuk kegunaan dalam rumah itu.

"Tak apa, abang bawak masuk bilik terus." Ujar Idris yang memahami Anne tidak selesa berada dalam keadaan begitu.

Tapi dia suka. Bila lagi boleh dia manfaatkan peluang yang ada untuk berdekatan begini dengan isteri sendiri. Adakalanya saja dia buat-buat tergesel pipinya dengan pipi Anne. Sekejap sahaja pipi Anne akan bertukar ronanya. Merah-merah tanda malu. Comel, dia suka!

Kalau tak suka, takkan lah dia sanggup gadaikan diri untuk keluar dari dunia gelapnya. Tiada lagi orang yang berjaya membuatkan dia setekad itu. Kalaulah boleh dia belah kan dada untuk menunjukkan perasaannya yang ikhlas itu.

"Pergilah mandi cepat. Lepas tu keluar tengok drama Korea ni dengan mak. Ya Allah, lelaki ni mak memang lah tak boleh tengok. Dari cerita dia jadi maharaja dalam The Last Empress tu lagi mak suka dia. Apa sahaja watak yang dia bawak, memang jadi. Dah la handsome!" Fauziah sudah mula membuat reviu hero yang disukainya dalam drama Vagabond itu.

"Jalan cerita entah apa-apa pun mak suka ke? Cerita ganas-ganas mafia macam ni." Sempat Anne memerli Idris.

"Mafia pun tak apa asalkan handsome." Selamba sahaja Fauziah membalas.

Anne sudah tersedak air liurnya sendiri sedang Idris terkebil-kebil melihat telatah isteri. Haaa, perli orang lagi. Kan dah kena dekat diri sendiri.

"Dapat menantu mafia pun tak apa lah eh mak? Asalkan handsome?" Duga Anne sambil melirik sekilas ke arah Idris yang sedang berdiri sebaik sahaja dia meletakkan Anne ke sofa tatkala dia tersedak tadi.

"Tak apa, alahhh, kalau dia nak kahwin tu mestilah dia mafia yang dah bertaubat. Alhamdulillah, kembali jugak ke pangkal jalan. Tanggungjawab kita pulak lah menyokong dia supaya tak kembali ke dunia lama dia. Allah suka hamba-Nya yang bertaubat Nis.

Manusia yang buat salah, selagi tak mensyirikkan Allah, kemudian bertaubat, maka dia adalah dari kalangan mereka yang disayangi oleh Allah. Kalau bukan sebab Allah sayang dan Allah izinkan, belum tentu mereka boleh kembali ke pangkal jalan.

Macam kisah bapa saudara Rasul kita yang paling baginda kasihi. Bagaimana baginda berusaha sekalipun, bapa saudara Rasulullah S.A.W tetap tak mengucapkan dua kalimah syahadah sampai baginda bersedih memikirkan nasib bapa saudara yang dikasihinya di akhirat nanti.

Jadi, siapalah kita untuk menilai manusia. Kalau betul dia bertaubat, kita sokonglah sama-sama." Panjang lebar pula celoteh Fauziah, padahal mereka mula menyembang hal perihal drama Korea yang ditonton olehnya.

Idris mendiamkan diri. Air mata yang bergenang ditubir matanya entah bila-bila masa boleh mengalir menuruni pipinya. Kalau arwah umi masih ada, tentu arwah umi pun akan ucapkan perkara yang sama. Kalau lah arwah umi masih ada, tentu dia tidak terjebak sehingga hubungannya dengan Anne bergelojak begini.

"Jom mandi dulu." Pandangannya sudah berbalam-balam, berusaha menghalang air mata tumpah di hadapan Fauziah.

Sekali sauk sahaja, Anne sudah berada dalam pangkuan Idris. Hampir sahaja Anne terjerit dengan perbuatan Idris yang tergesa-gesa itu.

"Keluarlah, saya mandi sendiri." Badan Idris ditolak perlahan sebaik sahaja Idris mendudukkannya pada kerusi plastik di dalam bilik air itu.

"Tak apalah, abang tolong sental kaki ni sikit. Tadi kan doktor cakap, masa mandi urut-urut sikit supaya darah mengalir dengan baik. Lepas tu sapu losyen. Barulah kulit mati dekat kaki ni tercabut. Kaki pun cepat sihat.

Sayang boleh buat sendiri ke dengan keadaan perut macam tu? Nak tunduk sikit makan nasi pun semput, inikan nak sental kaki. Abang tak kisah je kaki sayang lambat baik. Abang boleh dukung sayang sampai bila-bila. Abang lagi suka." Usik Idris.

Aahhh, lelaki, bermanis mulut itulah kepakaran mereka.

"Yelah, awak keluar dulu. Saya tukar pakai kain basahan." Muka Anne masam mencuka.

Idris sorok senyuman yang hampir terukir di wajahnya itu. Kalau isterinya nampak, entah bagaimana anginnya pula nanti.

Enjoy reading! :) Love, N

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience