Saraa mengeluh sejurus melangkah masuk ke dalam biliknya. Biliknya itu agak bersepah kerana pergelutan yang terjadi antara dirinya dengan Haris tempoh hari.
"Ingatkan bolehlah aku nak terus berehat, tapi bilik ni bersepah pulak," gumamnya sendiri.
Dia menutup pintu lalu mula mengemas bilik tersebut. Sedang dia mengemas, dia berhenti seketika dan melihat bayang dirinya sendiri dalam cermin. Perlahan-lahan, bibirnya mula menguntum senyum.
Setelah selesai mengemas bilik, dia menuju ke ruang tamu untuk menonton televisyen. Sufrina yang sedang mengajar Mikail subjek Matematik di meja yang berada di antara sofa dan televisyen hanya melihat sahaja perlakuan Saraa yang menghidupkan peralatan elektronik tersebut.
"Wah cerita Tom and Jerry lah," ujar Mikail apabila melihat rancangan kartun tersebut disiarkan.
"Mika nak tengok ni ke?" tanya Saraa mesra.
"Nak! Ni kartun favorite Mika tau Kak Saraa," Mikail terus melepaskan pensel yang dipegangnya.
"Mika, latihan ni belum siap lagi kan? So jangan berangan nak tengok kartun dulu," tegur Sufrina lalu mengarahkannya untuk menyiapkan latihan Matematik tersebut.
Mikail terus memuncungkan bibir tanda merajuk.
"Biarlah dia nak tengok sekejap. Lepasni dia buatlah lagi latihan tu," ujar Saraa yang kasihan melihat wajah kecewa Mikail.
"Dia ni tak dapat nak dimanjakan sangat, nanti terus tak nak buat latihan. Takpe akak tengok je rancangan yang akak nak tengok, jangan dilayan sangat perangai si Mika ni," jawab Sufrina. Nadanya kini amat berbeza dari kebiasaannya. Lembut.
Saraa yang perasan akan perubahan nada percakapan Sufrina mula tersenyum sinis.
"Kesian kat dia. Biarlah dia tengok dulu. Habis je rancangan ni pandai-pandailah akak pujuk dia buat latihan tu. Kalau Suf ada hal tak dapat nak ajar dia, biar akak yang volunteer ajar dia lepas ni," pujuknya.
"Tapi...,"
"Tapi kenapa? Suf tak nak dia rapat ngan akak?" tebak Saraa tiba-tiba.
"Eh tak. Suf tak maksudkan macam tu pun," Sufrina menidakkan.
"Ha kalau macam tu biar dia tengok rancangan kartun kegemaran dia dulu,"
Sufrina mengeluh kecil.
"Hmmm baiklah. Kalau macam tu biar Suf tolong ibu kat dapur dulu," Sufrina mengalah lalu meninggalkan mereka berdua dan menuju ke dapur untuk menolong ibunya.
Saraa tersenyum puas.
"Mika, jom duduk sini," panggilnya sambil menepuk-nepuk tempat kosong di sebelah kanannya supaya Mikail duduk di situ bersamanya.
Mika menutup buku latihan Matematiknya dengan riang lalu mendekati Saraa dan duduk di sebelahnya.
...
Usai solat isyak, seperti biasa, Saraa hanya berbaring di dalam bilik dan mendengar muzik dari dalam telefonnya. Dia tidak mahu keluar dari biliknya selagi Maksu sekeluarga belum selesai makan malam.
Tok! Tok! Tok!
"Eh siapa pulak yang ketuk pintu bilik aku ni?" rungutnya lalu mematikan lagu yang dimainkan di telefonnya dan terus membuka pintu.
Dia agak terkejut melihat wajah gerangan yang mengetuk pintu biliknya tadi.
'Paksu? Buat apa dia ketuk pintu bilik aku? Buang tabiat ke?' bisiknya dalam hati. Hairan.
"Saraa, jom makan malam sama-sama. Maklang dan anak-anak dia pun ada tu," ajak Paksu tiba-tiba.
Makin terkejut Saraa dibuatnya. Dahinya sudah berkerut seribu.
'Diorang ada plan nak kenakan aku ke?'
"Takpelah. Korang makan je, Saraa tak lapar," dia cuba menolak ajakan tersebut.
"Paksu tahu Saraa lapar. Maksu cakap tengah hari tadi pun Saraa belum makan lagi. Jomlah," ajak Paksu lagi.
"Ummm," Saraa masih berkira-kira untuk bersetuju dengan pelawaan tersebut.
"Kak Saraa, jomlah makan sekali dengan kami," Mikail mendekati mereka berdua lalu menarik tangan Saraa untuk menyertai mereka makan malam.
"Arrr emm okey. Jap akak tutup pintu bilik dulu," Saraa sudah kehabisan idea apabila Mikail mula menarik tangannya untuk menyertai mereka. Perutnya juga sudah berkeroncong menahan lapar.
Saraa mengekori Paksu dan Mika dari belakang untuk menuju ke dapur. Semua orang sudah berada di dapur termasuk... Haris.
"Ha tu pun Saraa. Jom Saraa, duduk sebelah Maksu," panggil Maksu.
Saraa mengangguk lalu mengambil tempat di sebelah Maksu. Senyuman terukir di bibirnya.
Dia hanya mengendahkan sahaja kehadiran Haris yang duduk di hadapannya. Haris memandang wajah Saraa dengan rasa bersalah manakala Saraa hanya menunjukkan wajah selamba.
"Saraa nak makan lauk apa?" tanya Maksu sambil mencedokkan nasi untuk anak saudaranya itu.
"Tak apa. Nanti Saraa ambil sendiri lauk yang Saraa nak makan," ujar Saraa lalu mengambil pinggan yang berisi nasi di tangan Maksu.
"Saraa...," panggil Syaza tiba-tiba.
Saraa memandang wajah wanita mengandung yang memanggilnya itu. Senyuman yang terukir di bibirnya mula pudar.
"Aku nak mintak maaf sebab banyak buat salah kat kau selama ni. Terima kasih sebab dah sedarkan aku haritu," ujarnya ikhlas.
"Nanti, bila anak aku dah lahir, aku akan berpisah dengan Haris," sambungnya sayu lalu memandang wajah Haris.
Haris hanya mengangguk tanda mengiyakan.
Saraa masih mendiamkan diri. Tiada sepatah perkataan pun yang keluar dari mulutnya.
"Dah dah lah tu. Tak payahlah bercerita tentang hal ni dulu," sampuk Maklang untuk menghilangkan suasana yang tiba-tiba terasa tegang.
"Paksu pun nak mintak maaf. Paksu sedar yang Paksu pun banyak sangat salah kat Saraa. Paksu tahu susah sangat untuk Saraa maafkan Paksu tapi Paksu harap sangat Saraa dapat maafkan Paksu," Paksu pula bersuara. Jelas kedengaran nada kekesalan dalam kata-katanya.
Saraa memandang wajah Paksunya pula. Kemudian, dia mula memandang wajah semua yang berada di situ satu persatu.
"Hihihi!" dia menepuk tangan secara tiba-tiba dengan teruja.
Semua yang berada di situ terkejut melihat perlakuannya yang sebegitu.
"Kita kan keluarga, mestilah Saraa maafkan korang. Semua Saraa dah maafkan," dia tersenyum lebar.
"Be..betul ni?" Syaza bagai tidak percaya bahawa Saraa akan memaafkan mereka semua begitu sahaja.
"Betullah. Takkan nak tipu pulak. Lagipun aku dah penat dah nak hidup macam ni," Saraa meyakinkan semua yang ada di situ.
"Alhamdulillah," Maklang menadah tangan tanda kesyukuran pada Yang Maha Esa.
"Dahla jom kita makan. Saraa lapar ni,"
Mereka semua mengangguk lalu menikmati makanan yang tersedia.
'Dah.. Leng...kap!' sorak Saraa dalam hati.
Share this novel