Aqilah sibuk bermain dengan gajetnya melayari laman sosial peribadi miliknya sehingga tidak menyedari Jun yang berada disebelahnya tidak senang duduk. Sejak daripada tadi dia asyik menjegukkan kepalanya ke arah bangunan pusat kesihatan di hadapan mereka. Rina masih belum keluar daripada bangunan yang dicat putih itu dan itu lebih menambahkan kegusaran di dalam hatinya.
"Kenapa Rina tak keluar lagi ni?" Jun mengerling ke arah jam tangan yang dipakainya di tangan kiri. Sudah setengah jam berlalu tapi sahabatnya itu masih belum kelihatan.
"Sabarlah, mungkin banyak orang yang sakit di dalam tu." Aqilah memandang sekilas ke arah Jun sebelum melihat kembali telefon di tangannya.
"Waktu macam inilah nak banyak orang." Jun merengus geram. Dia tidak bermaksud mahu memarahi Aqilah tetapi kata-kata itu semulajadi keluar dari mulutnya.
"Kau ni kenapa? Biasalah kalau pusat kesihatan banyak orang dah nama pun tempat awam. Itulah, tadi aku suruh kau temankan dia masuk ke dalam kau tak nak. Sekarang dah panas duduk dalam kereta ni nak marah-marah pulak." Aqilah meggelengkan kepalanya melihat gelagat Jun yang kadang-kadang itu menjengkelkan dirinya.
"Bukan aku tak nak, tapi aku takut nak ikut Rina masuk ke dalam." Akirnya Jun membuka cerita kegusaran yang bermain di dalam fikirannya. Jun membalas pandangan mata Aqilah yang duduk di tempat duduk pemandu.
"Kau nak takut apa? Bukan kau yang sakit dan yang kena suntik. Kenapa kau nak takut melebihi Rina ni?" Aqilah masih tidak memahami maksud tersirat Jun itu.
"Kau tak perasan ke? Sudah sebulan Rina tak datang bulan. Selalunya selepas aku datang bulan, Rina pula akan datang bulan tetapi dalam sebulan ini Rina tidak datang bulan dan sering mual-mual. Kau tak rasa ada yang pelik ke?" Jun menjeling ke atas apabila melihat wajah Aqilah yang kosong itu.
“Apa yang peliknya? Biasalah perempuan, kalau sudah stress mesti hormon akan terganggu. Aku pun kadang-kadang macam itu dan sebab itulah kita paksa dia ke pusat kesihatan ini sebab dia sakit. Nanti dapat ubatlah tu daripada doktor. Tak payah risau sangatlah.” Aqilah masih tidak memahami apa yang cuba dikatakan oleh Jun.
“Aqilah, fikirlah. Lepas apa yang terjadi pada Rina hari itu dia tidak datang bulan dan mual-mual! Kau rasa apa petandanya?” Jun menekan setiap ayat yang dia ucapkan agar Aqilah memahami maksud yang cuba dia sampaikan.
"Maksud kau, Rina pregnant?" Aqilah mula menangkap apa yang menjadi kegusaran di dalam fikiran Jun. Aqilah membetulkan duduknya dan memandang Jun, wajahnya berubah mejadi serius tiba-tiba.
"Itulah yang aku risaukan. Kalau dia betul mengandung macam mana dengan universiti? Ini semester akhir kita sebelum latihan industri dan graduate. Macam mana kalau pihak universiti tahu? Silap-silap dia kena buang." Jun cuba bertenang walaupun tidak boleh.
"Boleh je kita cakap dia sudah khawin." Aqilah cuba memberi penyelesaian.
"A'ah, memang boleh. Menikah sebab kena tangkat khalwat, macam itu ke? Rina tu nama suami sendiri pun dia tak tahu. Surat nikah dia pun ada pada suami dia yang tak guna tu. Kalau Rina mengandung macam mana dengan nasib anak dia?" Jun memberitahu Aqilah tentang semua masalah yang akan timbul jika Rina mengandung.
Aqilah diam sejenak. Dia tidak pernah terfikirkan tentang perkara itu. Aqilah tidak menyangka Jun berfikir sejauh itu tentang kehidupan Rina. Memang kawan yang sangat prihatin. Dia menjadi malu seketika kerana sepatutnya dia juga turut merasai kebimbangan kawan baik mereka itu.
"Eh, itu Rina sudah keluar. Jun jangan tanya apa-apa pada dia selagi dia tidak beritahu kita." Aqilah sempat mengingatkan Jun sebelum mengajak sahabatnya itu keluar daripada kereta.
Aqilah dan Jun melambai ke arah Rina yang baru saja keluar daripada klinik. Wajah sahabatnya itu sedikit pucat dan matanya merah menandakan Rina baru saja habis menangis tetapi mereka memilih untuk tidak bertanya apa-apa biarlah sahabat mereka itu sendiri yang membuka cerita jika dia sudah bersedia mahu berkongsi dengan mereka.
"Macam mana dengan assignment Encik Ibrahim? Kau berdua dah siapkan?" Rina memecah kesunyian dari arah tempat duduk belakang apabila sebaik beredar daripada perkarangan pusat kesihatan mereka bertiga hanya mendiamkan diri. Suara radio yang terpasanag tidak menarik minat mereka untuk mendengarnya.
"Aku dah siap. Kau masih belum siapkan ke? Selalunya kau selalu awal daripada kami semua." Jun menoleh ke belakang membuat seperti tiada apa-apa yang berlaku.
"Nanti malam kut aku siapkan, aku tak sedap badan sejak beberapa hari ni." Rina membuang pandang ke luar kereta melihat kelapa sawit yang terbentang luas. Universtinya memang terletak di pedalaman sedikit dan harus melewati ladang kelapa sawit jika mahu ke bandar.
"Aku ada benda nak cakap." Tiba-tiba Rina bersuara kembali apabila suasana kembali sunyi.
Aqilah sempat menoleh ke belakang melihat wajah Rina sebelum memokuskan kembali pemanduannya sementara Jun sudah menolehkan badannya kepada Rina tidak sabar mahu mendengar perkara yang mahu dikatakan oleh Rina itu.
"Ingat tak aku pernah cakap aku nak pakai purdah? Aku rasa aku sudah bersedia untuk menutup separuh wajah aku. Apa pendapat kau berdua?" Rina memandang Jun dan Aqilah silih berganti.
Jun dan Aqilah sama-sama melepaskan nafas lega. Ingatkan apalah yang mahu disampaikan oleh Rina itu. Mahunya Aqilah menekan brek mendadak jika mendengar berita yang ditakuti oleh Jun dan dirinya sebentar tadi.
"Kau betul-betul sudah bersedia? Perkara ini bukannya boleh dibawa main-main Rina. Kalau niat kau cuma ingin mengikut peredaran zaman sekarang lebih baik tidak perlu dulu untuk memakai purdah. Tapi kalau kau sudah benar-benar ikhlas Lillahitaala aku sokong saja keputusan kau. Kau lebih tahu apa yang terbaik untuk diri kau." Jun memberikan pandangannya kepada Rina apabila diminta sendiri oleh Rina untuk mendengar pendapatnya.
"Betul tu, aku sokong Jun. Purdah itu hanya sunnah tapi kalau kau sudah yakin mahu memakainya aku hanya mampu mendoakan agar kau istiqomah." Aqilah juga turut menyokong jika itu adalah keputusan Rina.
"Terima kasih atas nasihat kau berdua, aku akan sentiasa mengingatnya. InsyaAllah, aku memakai purdah kerana ikhlas Lillahitaala." Rina mengucapkan terima kasih diatas pendapat kedua-dua orang sahabatnya itu yang sentiasa memberikan tindak balas yang postif.
Mereka tiba di kawasan tempat letak kenderaan pelajar pada pukul lima petang. Kebanyakan pelajar pada waktu-waktu seperti itu beriadah di padang sukan khas yang disediakan oleh pihak universiti. Mereka bertiga berjalan beriringan untuk balik ke asrama. Untuk ke asrama mereka harus melepasi Pusat Islam iaitu masjid di universiti mereka, kompleks sukan dan kafeteria. Jun dan Aqilah berbual antara satu sama lain sementara Rina lebih suka melayani perasaannya sendiri.
"Assalamualaikum, Jun dari mana ni?" Tiba-tiba Iqmal iaitu sahabat Syahiran menegur Jun yang sedang asyik bercakap dengan Aqilah.
"Waalaikumsalam, Iqmal. Jun dari bandar, Iqmal nak ke mana?" Jun berbasa basi walaupun dia tahu lelaki itu mahu beriadah dari melihat pakaiannya yang berseluar sukan dan t-shirt bewarna merah hati.
"Nak bermain badminton dengan Syahiran dan budak-budak RPI yang lain." Iqmal menunjukkan raket yang disandangnya. Itulah rutin setiap petangnya menghabiskan masa beriadah bersama dengan rakan-rakannya.
"Syahiran mana?" Aqilah bertanya kepada Iqmal apabila tidak melihat batang hidung Syahiran berhampiran Iqmal. Selalunya kedua-dua orang itu seperti belangkas yang tidak dapat dipisahkan.
"Syah, jumpa Syuhada dulu di kafe." Iqmal mencebik apabila mendengar nama Syahiran. Budak tu kalau sudah berjumpa dengan kekasih hati pasti akan melupakan dirinya. Tak guna betul punya kawan!
"Kenapa kau jealous ke?" Tiba-tiba Iqmal serkap jarang apabila Aqilah bertanya tentang Syahiran.
"Eh, baik sikit kau. Aku dah ada calon sendiri lagi handsome dari Syahiran tu. Kau lah, cepat sikit luahkan perasaan pada Jun sebelum dikebas orang." Aqilah menyiku Jun disebelahnya yang sudah tersipu malu apabila diusik oleh Aqilah.
Iqmal juga turut tersenyum mendengar usikan Aqilah itu. Sememangnya perasannya kepada Jun tidak lagi menjadi rahsia umum apabila Iqmal jelas-jelas menunjukkan minatnya terhadap Jun cuma dia masih belum mampu untuk memberitahu Jun tentang perasaannya itu.
"Mal, jomlah. Nanti tak dapat gelanggang pula." Aqil yang entah dari mana datangnya menepuk bahu Iqmal mengajak Iqmal berlalu pergi daripada situ.
"Aduh kau ni! Kacau daun betullah. Aku nak berbual dulu dengan kawan-kawan aku ni. Kau pergilah dahulu ke sana." Iqmal masih tidak mahu berganjak dari tempatnya. Masih belum puas ingin berbual dengan Jun yang jarang sekali dapat dilakukan jika tidak bersama kawan-kawan yang lain.
Aqil senior mereka daripada kursus lain menggelengkan kepala melihat gelagat Iqmal itu. Dia merupakan pelajar terakhir di universiti mereka dalam kursus pengurusan perniagaan. Aqil juga merupakan pengerusi kelab Rakan Pusat Islam (RPI) dan merupakan penolong pengerusi di dalam Majlis Persatuan Pelajar (MPP) jadi tidak hairan jika hampir semua pelajar lelaki di universiti berkawan denganya. Remaja lelaki itu juga tidak pernah memilih untuk berkawan dan sikapnya itu sering menjadi bualan pelajar-pelajar terutama pelajar perempuan.
Aqil sempat menoleh memandang ke arah Rina yang seperti tidak menyedari kehadirannya kerana gadis itu seperti sedang termenung jauh. Rina merupakan satu-satunya gadis yang ingin dia kenali dengan lebih dalam walaupun banyak gadis yang cuba mendekati dirinya. Mereka bersahabat di alam maya, mereka sering berbalas mesej tanpa seorang pun yang mengetahuinya tetapi mesej mereka itu tidak pernah menyimpang jauh tentang masalah perasaan kerana dia tidak pernah tahu perasaan gadis itu terhadap dirinya.
Aqil mengeluarkan telefonnya dan menaip mesej dengan laju sebelum dihantar kepada Rina sebelum dia berlalu pergi dari situ dengan segera takut ada yang menyedari perbuatannya itu.
Rina yang termenung terkejut dengan bunyi getaran telefon Nokia 360 milknya. Hanya itulah telefon yang mampu dimilikinya buat masa sekarang kerana kebutuhan hidupnya lebih diutamakan daripad gajet yang sering bertukar mengikut peredaran zaman. Rina melihat si pengirim mesej dan membuka mesej yang dihantar oleh Aqil.
'Kenapa termenung tu? Tak baik, nanti syaitan senang ganggu.' – Aqil
Rina hanya memandang kosong mesej itu sebelum dimasukkan semula ke dalam beg sandangnya. Rina mendekati sahabat-sahabatnya yang rancak berbual dari satu ke satu topik. Tidak penat ke berdiri lama-lama sedangkan dia sudah mula merasakan lenguh dikakinya.
"Aku balik dulu ke bilik ya. Iqmal aku pergi dulu." Rina sempat menegur Iqmal sebelum berlalu pergi meninggalkan mereka bertiga.
"Aku tak perasan pun ada Rina tadi. Diam saja tak macam selalu. Selalunya kalau bukan si Aqilah ni dia yang suka menyakat aku. Dia sakit ke? Pucat saja aku tengok mukanya." Iqmal baru menyedari kehadiran Rina apabila gadis itu menegur dirinya.
"Alah kau, kalau dah jumpa si Jun ni semua orang kau tak nampak. Podah! Dah aku nak balik bilik jugak. Kau Jun, nak ikut sekali ke masih nak berbual lepaskan rindu dengan si Iqmal ni?" Aqilah masih sempat menyakat kedua-duanya sebelum berlalu pergi.
"Tunggu akulah!" Jun mengejar Aqilah yang sudah jauh meninggalkan dirinya. Dia sempat melambaikan tangannya ke arah Iqmal yang boleh membuatkan lelaki itu tersenyum sampai ke telinga.
Iqmal dengan hati yang senang dan berbunga-bunga itu menyanyi kecil apabila dapat berbual dengan Jun. Gadis itu yang sudah menganggu lena malamnya sejak daripada semester satu lagi. Nasib baik mereka berlainan kursus dan bangunan kalau tidak pasti dia tidak dapat memfokuskan dirinya. Cinta itu memang buta! Langkahnya mula diatur ke gelanggang badminton kerana pasti Aqil dan kawan-kawannya yang lain sedang menanti dirinya dan juga Syahiran.
Share this novel