Bab 39

Short Story Series 55082

Aqil masuk ke dalam bilik pejabat Tan Sri Mansur dan melihat bapanya itu sedang berdiri termenung menghadap bangunan menara berkembar yang berhadapan dengan syarikat mereka. Aqil tidak berkata apa-apa, dia berdiri di sebelah bapanya itu sambil kedua tangannya di masukkan ke dalam poket seluar. Dia turut melakukan hal yang sama seperti yang dilakukan oleh Tan Sri Mansur iaitu termenung sambil memikirkan sesuatu.

“Papa sudah membuat keputusan Aqil. Papa akan ceritakan perkara yang sebenar kepada Haikal. Papa tidak mahu lagi dia bergelumang dalam dosa. Malu papa dihadapan Rina tadi mendengar pengakuan Rose. Nasib baik dibawanya Rose ke rumah kita kalau dia tidur di hotel pasti mereka sudah melakukan kemaksiatan.” Tan Sri Mansur mengeluh sambil melihat Aqil yang diam daripada tadi.

“Adakah papa yakin abang akan menerima Rina? Sepanjang dia tinggal bersama kita semenjak balik daripada luar negara tidak pernah sekalipun Aqil melihat dia menyebut tentang isteri yang ditinggalkannya. Bahkan seperti lelaki bujang saja lagaknya seperti dia tidak pernah mempunyai seorang isteri.” Aqil menjawab dengan nada yang ditahan rasa amarahnya. Dia berasa sakit hati dengan perlakuan Haikal yang lancang membawa wanita lain ke rumah sedangkan Rina berada di dalam rumah itu. Pasti Rina berasa sedih dengan apa yang dilihatnya.

“Papa yakin Haikal akan berubah. Kamu harus menolong abang kamu berubah demi kebaikan kita semua. Papa mahu melihat Haikal bersama Rina dan Qalifh. Papa tidak mahu melihat keluarga kecil mereka hancur. Papa kasihankan Qalifh, papa tidak mahu dia merasakan kehilangan yang sama seperti yang dirasai oleh Haikal. Haikal jadi seperti itu kerana kurang kasih sayang keluarga. Papa tidak mahu Qalifh juga merasakan perkara yang sama.” Tan Sri Mansur menuju ke tempat duduknya meninggalkan Aqil disampingnya.

“Lalu bagaimana dengan perasaan Rina, papa? Papa sendiri tahu Rina tidak mahu meneruskan perkahwinan ini kerana dia sudah cukup terseksa. Apakah tidak zalim kita membiarkan dia berkeadaan seperti itu selamanya?” Aqil berasa bimbang dengan keputusan terburu-buru Tan Sri Mansur itu yang hanya akan membuat Rina bersedih.

“Papa akan pastikan Rina baik-baik saja sepanjang dia tinggal bersama kita. Haikal tidak akan berani menyakiti Rina jika kita ada bersama. Tugas kita adalah melindungi Rina sehingga Haikal jatuh cinta kepada isterinya itu. Papa tidak akan biarkan keluarga papa dipersendakan oleh orang lain. Tidak pernah di dalam sejarah keluarga kita hidup bercerai. Sekali menjadi menantu Tan Sri Mansur selamanya dia akan menjadi menantu keluarga ini. Papa tidak akan membiarkan sesiapapun menghalangi impian papa itu.” Tan Sri Mansur memandang Aqil dengan pandangan tajam seperti mahu memberi amaran agar tidak masuk campur dalam urusan perkahwinan Adam Haikal dan Rina Altafunisa.

Aqil diam selepas mendengar kata-kata Tan Sri Mansur itu. Nampaknya Tan Sri Mansur masih memikirkan status kedudukannya di mata masyarakat berbanding hati Rina yang akan terluka. Memikirkan perkara itu membuatkan Aqil bersedih hati tetapi tidak berani dia mahu membantah kata-kata Tan Sri Mansur kerana rasa hormatnya terhadap bapa angkatnya itu. Di dalam dasar hatinya yang paling dalam Aqil berdoa agar Allah sentiasa melindungi Rina Altafunisa.

Aqil kembali ke dalam bilik pejabatnya selepas Tan Sri Mansur mendapat panggilan telefon daripada rakan perniagaannya. Aqil duduk di atas kerusi kerjanya dan menyandarkan kepalanya ke belakang sambil memejamkan matanya. Tiba-tiba perbualannya dengan wanita yang bernama Rose di pagi hari tadi bermain kembali di mindanya.

“Maafkan saya Cik Rose. Saya harap cik tidak tersinggung dengan pertanyaan saya yang kurang sopan ini. Benarkan yang cik katakan tadi sewaktu kita bersarapan bahawa cik dan abang Haikal tidak melakukan apa-apa?” Aqil bertanya dengan berani sewaktu dia dan Rose berada di dalam dapur yang kebetulan masing-masing mahu menyimpan pinggan yang kotor ke dalam sinki selepas bersarapan.

“Demi Allah saya dan Haikal tidak melakukan hubungn seksual. Apa yang saya ceritakan tadi adalah benar dan tidak ada tokok tambahnya.” Rose tersenyum cuba memahami situasi ketika itu. Sesiapa juga pasti susah untuk percaya bahawa dia dan Haikal tidak melakukan sesuatu walaupun itu kenyataannya.

“Alhamdulillah, saya berterima kasih sangat kepada cik kerana tidak melakukan itu kerana saya tidak mahu Rina terluka dengan perbuatan abang saya.” Aqil memberitahu alasannya kerana tidak mahu Rose menyangka bahawa dia seorang yang penyibuk.

“Tidak mengapa saya mengerti. Saya yang bersyukur kerana Allah mempertemukan saya dengan keluarga awak yang sangat baik terutama Rina. Kalau saya boleh teka pasti awak yang bernama Aqil.” Rose bertanya sambil memandang wajah Aqil sehingga lelaki itu menundukkan pandangan matanya. Rose tersenyum melihat gelagat itu. Tidak pernah ada lelaki yang tidak mahu menatap wajahnya tetapi lelaki di hadapannya itu berbeza daripada lelaki-lelaki yang dikenalinya.

“Benar, saya Aqil. Mengapa cik bertanya? Adakah abang berkata sesuatu tentang saya?” Aqil bertanya kepada Rose kerana berasa hairan wanita itu mengetahui namanya.

“Bukan abang awak tetapi kakak ipar awak. Dia mendoakan kebaikan awak dunia dan akhirat dengan linangan air mata. Saya tidak pernah melihat orang yang mendoakan orang lain dengan begitu kushyuk seperti yang dilakukan oleh kakak ipar awak. Sehingga saya juga mahu mendoakan awak agar sentiasa dirahmati Allah kerana kebaikan awak selama ini terhadap Rina. Awak adik ipar yang baik. Lindungilah Rina dan anaknya semampu kudrat awak kerana mereka tiada sesiapa lagi di dalam dunia ini kecuali kamu dan bapa kamu.” Rose tersenyum sekali lagi melihat wajah Aqil yang kebingungan sebelum berlalu ke hadapan mendapatkan Rina yang sedang mengemas meja makan selepas bersarapan.

“Encik Aqil.” Tiba-tiba lamunan Aqil terhenti apabila terdengar suara setiausahanya Faiz memanggil namanya.

“Kenapa Faiz?” Aqil berdehem kecil dan menegakkan tubuhnya sambil membetulkan bajunya yang sedikit tidak rapi itu.

“Hari ini encik tidak mahu melawat kawasan tapak pembinaan yang baru ke seperti minggu lepas?” Faiz mengingatkan tentang jadual atasannya itu.

“Tidak perlu pergi hari ini Faiz. Saya tidak sedap hati pula tiba-tiba. Saya mahu pulang ke rumah awal hari ini.” Aqil melihat jam di tangannya yang sudah hampir waktu untuk balik daripada pejabat.

“Betul ke encik tak apa-apa? Mahu saya hantarkan ke hospital?” Faiz bertanya khuatir melihat keadaan Aqil sejak daripada tadi pagi asyik termenung sahaja. Semua temujanjinya dengan rakan perniagaannya juga dibatalkan dan minta ditunda ke hari yang lain.

“Tidak mengapa Faiz. Saya cuma pening kepala saja. Saya balik ke rumah dulu.” Aqil menepuk lembut bahu Faiz sebelum berlalu pergi meninggalkan bilik pejabatnya tidak perasaankan Tan Sri Mansur yang baru juga keluar daripada bilik pejabatnya.

“Faiz, Aqil mahu pergi ke mana tu? Melawat tapak pembinaan ke?” Tan Sri Mansur bertanya kepada Faiz yang kebetulan baru keluar daripada bilik pejabat Aqil.

“Encik Aqil mahu pulang ke rumah katanya tan sri kerana sakit kepala katanya.” Faiz memberitahu Tan Sri Mansur tentang keadaan Aqil.
Tan Sri Mansur segera memanggil pemandu peribadinya yang berada di pantri dan meminta lelaki itu menghantarnya pulang ke rumah kerana dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan keadaan Aqil yang terburu-buru mahu pulang ke rumah itu kerana selalunya Aqil akan berpamitan dahulu dengan dirinya jika mahu pulang ke rumah atau mahu ke mana-mana.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience