BAB 8

Horror & Thriller Completed 659

“Puan... bawa bertenang.” Dia cuba memujuk. Tetapi diam-diam dia turut berjaga-jaga. Nampak sahaja wajah Iklimah polos. Wanita ini pada bila-bila masa boleh sahaja bertukar ganas. “Saya perlu tahu bagaimana puan lakukannya?” Izz Shazzy mengaju soalan apabila dia lihat Iklimah semakin dapat bertenang. Mujur mereka tidak perlu menggunakan kekasaran untuk menenangkan wanita ini.

“Tak susah. Senang saja.” Tiba-tiba Iklimah tergelak pendek. Tangisannya terhenti. Hanya ada sisa air mata di wajah. Air mukanya kembali pekat dengan keazaman. Dia merenung jauh seolah-olah mengingati kejadian hari itu. “Saya bubuh ubat tidur dalam makanan... dalam air. Pagi tu sebelum mereka nak ke masjid, mereka makan dan minum sungguh-sungguh. Macam setahun tak makan. Bila satu persatu rebah, saya mulakan pengajaran saya. Anak-anak semua saya heret masuk ke dalam bilik. Ikat mereka dan kunci pintu.” Iklimah terhenti seketika, mengambil nafas sebelum menyambung.

“Pertama sekali saya tikam mak dan bapa mentua dengan pisau. Tikam mereka kat perut bertubi-tubi. Tapi hati saya tak puas. Saya hempaskan telefon rumah ke kepala mereka. Hampir setiap hari mak mentua telefon suami tanyakan hal kami. Penyibuk sangat hingga semua benda nak tahu!” Nada suara Iklimah berat dengan perasaan dendam. Seolah-olah dia berasa puas melakukan kekejaman itu. Segala beban yang ditanggungnya, terlepas dengan pembunuhan.

“Kedua, saya heret perempuan tak guna tu ke bilik dia. Ikat kaki dan tangan dia pada katil. Kemudian saya ambil penyapu dan sula dia. Gatal sangat... merenyam pada adik ipar sendiri. Terhegeh-hegeh nakkan perhatian. Langsung tak tahu nak jaga hati saya. Dah ada suami pun masih nak menggoda suami orang!” Wajah Iklimah kelihatan puas. Seolah-olah terbalas rasa sakit hati yang ditanggungnya selama ini.

“Ketiga, adik ipar saya, Nur. Muda-muda lagi mulut dah macam puaka. Ikut sedap dia saja nak suruh-suruh kita itu ini. Tak padan dengan umur mentah, tapi mulut macam orang tua. Padan dengan muka dia saya sumbat dengan air sabun. Celopar sangat! Lepas beri pengajaran pada Nur, saya ajar pula tiga orang abang dia... Abidin, Fairuz, Kahar. Bidin yang tak tahu jaga bini. Biarkan saja bini dia buat sesuka hati termasuk menggatal dengan adik dia sendiri. Fairuz dengan Kahar... langsung tak tahu bersyukur. Ada saja yang tak kena dengan pemberian saya. Sudahlah dia yang meminta. Kita memberi dengan rela. Tapi ada saja yang kurang. Mulut sama puaka dengan adik perempuan mereka tu!” Masih ada lagi sisa-sisa kemarahan yang tidak dapat dilepaskan terhadap ipar-iparnya walaupun dia telah memberikan pengajaran abadi.

Iklimah menarik nafas dalam-dalam. Dia bersandar pada kerusi. Pandangan matanya masih tidak terfokus kepada mana-mana objek secara spesifik walaupun dia seperti memandang ke arah dinding. “Akhir sekali... suami saya. Suka sangat merokok tak henti-henti. Bila minta belanja dapur, selalu tak cukup. Tapi beli rokok berkarton-karton, banyak pulak duit dia. Rasakan bila saya nyalakan semua rokok dan sumbat padat-padan dalam mulut dia. Itu pun lambat sangat ajalnya. Tikam dengan spanar baru dia diam.” Setitik pun air mata Iklimah tidak menitis. Dia kelihatan pasrah dan redha. “Lepas saya bunuh semua orang, barulah saya dapat menikmati hidangan raya dengan aman damai. Rasa puas sangat hati...” Iklimah kembali bersandar pada kerusi. Mukanya dihadapkan semula ke lantai di kaki.

Izz turut bersandar pada kerusi. Dia menoleh seketika ke arah cermin. Sudah pasti kesemua yang mendengar pengakuan Iklimah sedang berperang dengan pelbagai perasaan. Iklimah tidak gila. Dia lakukan kesemua jenayah itu dalam keadaan waras dan sedar akan akibatnya. Dendam yang sudah lama terhimpun akhirnya meledak dicetuskan oleh satu mesej yang diviralkan di WhatsApp.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience