Bab 20 : Gangguan Berakhir

Horror & Thriller Completed 71148

Cik Jah menjerit-jerit ketakutan. Dirinya yang terapung di awangan seakan cuba menggapai apa yang ada di sekelilingnya. Namun cubaanya gagal, Cik Jah hanya mampu menjerit dan menangis ketakutan.

Syafiq yang melihat Cik Jah diperlakukan sebegitu terkejut, lalu berlari ke arahnya. Syafiq kemudiannya mencapai kaki Cik Jah lalu cuba untuk menariknya ke bawah. Namun cubaan Syafiq juga gagal kerana kekuatan yang menahan Cik Jah itu lagi kuat berbanding dirinya.

Namun Syafiq tidak mengalah, dia terus mencuba sambil menenangkan Cik Jah. Kelihatan Cik Jah mulai lemah. Kudrat tuanya itu semakin sedikit. Dia ketakutan, namun kerana dia tiada daya, maka dia hanya mampu memanggil-manggil nama Ustaz dan Syafiq perlahan.

"Syafiq, kamu tepi sikit." Ustaz Kamal memberi arahan sambil membaca sesuatu di bibirnya.

Syafiq yang betul-betul berada di bawah tubuh Cik Jah, mengambil satu langkah ke belakang. Dia sentiasa bersedia untuk menyambut Cik Jah kerana Syafiq risau sekiranya Cik Jah jatuh, Cik Jah akan mengalami kesakitan yang amat sangat.

"Allahuakhbarrrrr!!" Jerit Ustaz Kamal kuat sambil menunjukkan tangan kanannya ke arah Cik Jah.

Tubuh Cik Jah yang tadinya terapung di awangan, dengan serta merta mulai jatuh ke bumi. Syafiq yang tidak jauh dari situ, menyambut Cik Jah pantas lalu meletakkan tubuh Cik Jah yang layu di atas katil.

Cik Jah tidak sedarkan diri. Dahinya dibasahi peluh. Tubuhnya lemah. Syafiq yang berada di sebelah Cik Jah melihat ke sekeliling biliknya itu lalu mencapai sebiji botol air mìneral yang betul-betul berada di atas meja Alif. Dibukanya pantas air mineral itu lalu dituangkan sedikit di atas telapak tangannya. Kemudian Syafiq menyapu perlahan air itu di muka Cik Jah.

"Bismillahirrohmanirrohim." Syafiq membaca lafaz basmalah sebelum menyapu air itu di muka Cik Jah.

Ustaz Kamal masih berdiri di hadapan mereka. Bibirnya dari tadi dibasahkan dengan zikir dan bacaan suci ayat Al Quran sebagai pelindung dan juga penguat diri. Matanya memerhati ke kanan dan kiri bilik itu, seakan mencari di mana kedudukan lembaga itu tadi.

Tiba-tiba mata Ustaz Kamal terhenti di satu sudut di dalam bilik itu. Ditenung tajam tempat itu lalu, kelihatan bibirnya semakin rancak digerakkan. Tangan kanannya yang memegang seutas tasbih, diangkat perlahan mendekati mulutnya itu. Sekali lagi dibacakan sesuatu, lalu dilibasnya ke arah sudut itu.

Satu percikan api keluar, seiring dengan jeritan lembaga hitam itu. Syafiq yang hanya memerhati dari belakang, terkejut. Lalu kedengaran mulutnya berzikir dan berdoa untuk memohon perlindungan dari sebarang gangguan.

"Baik kau menyerah wahai Iblis. Aku masih berlembut dengan kau ni. Jangan sampai aku bunuh kau malam ni." Kata Ustaz Kamal perlahan tapi penuh ketegasan.

"Aku tak akan menyerah kalah, selagi budak tu belum menjadi milik aku. Aku tak takut dengan kau wahai manusia, aku lagi kuat dari kau. Hahaha." Balas lembaga itu penuh bongkak.

"Baik. Kalau kau tetap berdegil, aku dah tak ada pilihan lain." Kata Ustaz Kamal lalu memejamkan matanya.

Ustaz Kamal berdiri tegak. Matanya dipejam erat. Bibirnya dibasahkan lagi dengan zikir dan bacaan ayat Al Quran. Kali ini lembaga itu pasti tidak akan terlepas, Ustaz Kamal tidak mampu lagi bertolak ansur dengan lembaga itu.

Bacaan Ustaz Kamal mulai kedengaran kuat dilafazkan. Syafiq yang duduk di tengah-tengah di antara Encik Hafiz dan Cik Jah hanya mampu melihat, kerana dia tidak tahu mahu melakukan apa untuk membantu Ustaz Kamal.

Bacaan yang semakin kuat itu membuatkan lembaga hitam itu tidak keruan. Lampu bilik nya itu mulai berkelip dan bergoyang seakan ditiup angin. Bunyi bising dari dalam almari mulai kedengaran, seakan akan ada seseorang dari dalam yang mengetuknya kuat.

Ustaz Kamal tidak berganjak walau seinci pun. Syafiq pula mulai tidak keruan, malah merasa seram sejuk melihat keadaan biliknya itu. Dia menyandarkan badannya di dinding yang betul-betul berada di belakangnya itu. Diangkat kakinya itu lalu Syafiq memeluk lututnya perlahan. Syafiq benar-benar ketakutan.

Tiba-tiba pintu bilik mereka dibuka perlahan. Dalam situasi penuh mendebarkan itu, kelibat Alif mula kelihatan. Syafiq yang melihat roomatenya itu di muka pintu sedikit lega lalu cuba bangkit dari kedudukannya itu untuk menghampiri roomatenya itu.

"Syafiq, dia bukan roomate kamu." Kata Ustaz Kamal serius.

Langkah Syafiq terhenti. Dia bingung dengan kata-kata Ustaz Kamal itu. Namun bila memikirkan kejadian yang baru menimpanya tadi, mungkin ada betulnya juga apa yang diperkatakan oleh Ustaz Kamal itu padanya.

"Syafiq, apa semua ni? Kenapa Cik Jah pengsan? Ustaz, Ustaz buat apa dekat sini?" Tanya Alif yang terkejut melihat semua ini.

"Betul ke kau ni Alif?" Tanya Syafiq mahukan kepastian.

"Kau sendiri nampak kan aku ni siapa. Tak kan masih tak percaya dengan apa yanh kau nampak. Aku ni Alif lah, roomate kau." Tambah Alif lagi.

"Jangan lihat dengan mata kasar Syafiq, lihat dengan mata hati. Pejamkan mata dan baca selawat banyak kali. Kemudian buka dan tengok lah siapa yang berada di depan mata tu." Kata Ustaz Kamal yang mulai melangkah ke hadapan.

Syafiq menurut kata Ustaz Kamal itu lalu dia terkejut kerana jasad yang dilihat sebagai Alif sebentar tadi telah pun bertukar menjadi satu lembaga hitam yang menakutkan. Langkahnya goyah ke belakang, lalu dia tersungkur sedikit di bucu meja itu.

Melihat lembaga itu semakin melampau, satu demi satu surah lazim Ustaz Kamal lafazkan. Kemudian dia mulai membaca satu persatu ayat dari surah yang lain. Diselang selikan pula dengan zikir bagi melengkapkan lagi bacaannya.

"Dengan nama Allah yang maha pemurah lagi maha mengasihani. Dengan segala kekuatan, dan juga kebesaranmu Ya Allah, aku memohon perlindungan Mu dari sebarang gangguan Iblis dan golongannya yang direjam." Lafaz Ustaz Kamal tiba-tiba.

Kemudian dia mendiamkan dirinya seketika. Sekali lagi matanya dipejamkan, lalu kedua dua tangannya itu memegang erat tasbih yang ada.

"Dengan nama Allah, yang maha berkuasa lagi maha melindungi, aku sumpah kau wahai iblis laknatullah, untuk tidak menggangu kesemua anak cucu keturunan adam lagi. Dan sekiranya engkau ingkar sumpahan ini, maka panahan petir pasti akan mematikan engkau nanti!" Jerit Ustaz Kamal lalu menekup tangannya yang berisi tasbih ke lantai bilik itu.

Lembaga itu menjerit kuat. Syafiq yang tidak tahan mendengar jeritan itu menutup telinganya menggunakan kedua tanganya. Tidak lama selepas itu, lembaga itu menghilangkan diri. Kelibatnya sudah tidak kelihatan, malah keadaan bilik itu menjadi seperti sedia kala.

Cik Jah dan Encik Hafiz pula mulai sedarkan diri mereka. Keduanya kelihatan pucat malah melihat penuh ketakutan ke kanan dan kiri bilik itu. Masing-masing merasa lega apabila lembaga itu sudah pun tiada.

"Alhamdulillah, segalanya dah selesai." Kata Ustaz Kamal sambil tersenyum melihat Syafiq.

Cik Jah dan Encik Hafiz yang turut berada di situ turut tersenyum. Syafiq pun sama, tersenyum mendengar kata-kata Ustaz Kamal itu. Namun bagi Syafiq, banyak persoalan mula muncul dalam fikirannya.

Kerana tidak mahu menggangu Ustaz Kamal yang keletihan, dia simpan sahaja persoalan itu di dalam benak fikirannya. Entah kenapa kepala Syafiq mulai sakit, hatinya tidak tenang dan dirinya terasa seram sejuk. Namun dicekalkan hati, dan Syafiq hanya mendiamkan dirinya.

Tiba-tiba kedengaran bunyi telefon seseorang berbunyi. Encik Hafiz yang tercari cari telefonnya itu, bangkit lalu menarik keluar sebuah telefon bimbit dari dalam kocek seluarnya itu.

"Waalaikumsalam wbt, ye saya Pak Mail..... Haaaaa Ustaz ada dengan saya ni.... aah dengan si syafiq ni sekali...... apa? Dekat mana tu Pak Mail? Okok tak apa, kami datang sekarang." Kedengaran jelas suara Encik Hafiz berbual melalui telefonnya itu.

"Ada apa Hafiz? Macam kecemasan je bunyinya." Tanya Ustaz Kamal ingin tahu.

"Saya tak boleh cerita dekat sini Ustaz, kita kena bergerak ke tempat kejadian dulu. Sekarang Ustaz, Syafiq, Cik Jah. Jom kita gerak." Kata En Hafiz gelabah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience