Gantung 2 - Bab 46

Romance Completed 54093

PERLAHAN makanan disuap ke mulut. Puteri Uzma yang berada di depan Megat Ariff merenung adik lelakinya itu. Dia tahu ada sesuatu yang mengganggu fikiran Megat Ariff. Malam itu, mereka berjumpa dan makan malam di rumah Puteri Uzma.
“Ariff okay?” soal Puteri Uzma sambil menuang air ke dalam gelas di kiri meja. Megat Wazir yang masih kusyuk menjamu selera, turut memandang wajah Megat Ariff sekilas. Megat Ariff menolak pinggan yang masih berbaki makanan, ke kiri meja. Dia mencapai gelas yang sudah berisi air dan diteguk perlahan. Kemudian, di letak semula gelas tersebut ke meja.
“Sikit sangat kau makan. Tak sedap ke Kak Uzma masak?” sengaja Megat Wazir berkata sebegitu. Niat di hati mahu mengusik Megat Ariff, tetapi isterinya pula yang terasa. Puteri Uzma memandang wajah suaminya geram. Megat Wazir tersenyum mengejek.
“Kak Uzma masak sedap. Cuma Ariff tak berselera sangat,” balas Megat Ariff tenang. Wajah Puteri Uzma di pandang sambil tersenyum pahit.
“Tell me, why? Kan I cakap pada you, if anything you nak share dengan I, Im here,” pujuk Puteri Uzma dengan senyuman segaris. Terdengar keluhan berat dilepaskan dari mulut Megat Ariff. Sungguh susah untuk dia meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Tetapi, apabila dia melihat wajah Puteri Uzma, hatinya menjadi sayu. Disebabkan wanita itulah dia tahu segala fitnah dan khianat Toh Puan Ulya terhadap Tihani. Dia dan Puteri Uzma tidak membenci ibu mereka, cuma rasa terlalu terkilan dan kecewa dengan apa yang berlaku.
Sampai hati Bonda!
“Ariff dah jumpa, Hani,” tutur Megat Ariff tanpa nada. Megat Wazir yang mendengar kata-kata Megat Ariff, turut berhenti menjamah makanan. Dia memandang wajah Megat Ariff dengan penuh tanda tanya.
“Penyiasat mana yang jumpa tu?” soal Megat Wazir ingin tahu. Mana tidaknya. Dia dan Puteri Uzma telah mengupah beberapa peyiasat untuk mencari Tihani, namun ke semuanya gagal. Seolah-olah wanita itu telah lenyap dari muka bumi ini. Tiba-tiba Megat Ariff yang baru bercadang untuk mengupah penyiasat beberapa minggu sebelum ini, sudah pun berjumpa dengan Tihani. Malah belum sempat pun dia mengupah penyiasat tersebut.
“Ariff ternampak dia,” balas Megat Ariff tenang. Dia menyandar ke dada kerusi. Nafas di tarik dalam. Dadanya mula terasa sempit apabila mengingati segala cerita Tina tentang Tihani. Matanya mula berkaca.Wajahnya diraup berkali-kali. Perasaan cuba dikawal.
“Ariff dah bercakap dengan Hani?” soal Puteri Uzma perlahan. Dia nampak wajah Megat Ariff suram. Dia tahu Megat Ariff rasa bersalah atas semua perbuatannya terhadap Tihani. Entah kali yang ke berapa keluhan dilepaskan dari mulut Megat Ariff. Dada yang terasa sesak cuba dilonggarkan. Mata dipejam perlahan.
“Belum. Ariff tak tahu macam mana nak bersemuka dengan Tihani dan anak kami, Tarif,” esakan mula kedengaran di mulut lelaki itu. Air mata mula meleleh keluar dari mata yang tertutup rapat itu. Megat Ariff cuba menahan esakannya, namun gagal. Makin di tahan, makin dia rasa terseksa. Puteri Uzma bangun daripada duduknya. Dia menghampiri Megat Ariff dan memeluk adik lelakinya itu. Megat Wazir serba salah, tidak tahu apa yang perlu dia lakukan. Sama ada meneruskan makan atau berhenti.
“Tarif? Nama anak Ariff?” soal Puteri Uzma tersenyum. Bahu Megat Ariff digosok lembut. Perlahan mata Megat Ariff dibuka. Dia memandang wajah Puteri Uzma yang berada di sebelah sisi kanannya. Air mata yang meleleh di kesat dengan belakang tangan.
“Ya. Tarif nama anak kami. Anak istimewa kami, Kak Uzma. Hes syndrome down,” tutur Megat Ariff perlahan. Wajahnya tertunduk semula ke lantai. Bahunya kembali terhinjut-hinjut menangis teresak-esak. Puteri Uzma terkedu. Dia mencengkam kuat bahu Megat Ariff.
“Semua salah Ariff. Ariff kejam dengan Hani. Dia bersalin tanpa Ariff di sisi dia. Ariff halau dia dari rumah. Ariff tak tahu macam mana nak berdepan dengan Tihani dan Tarif,” tersekat-sekat suara Megat Ariff menutur kata. Dia tidak dapat tahan sedih di hatinya lagi.
“Sister, please. Beritahu Ariff apa yang Ariff perlu buat? Ariff takut Hani tak mahu maafkan Ariff. Ariff takut Hani benci Ariff,” tambah Megat Ariff masih dengan esakan. Nafasnya tersekat-sekat di saat dia menuturkan kata-katanya. Puteri Uzma turut menangis. Dia mengusap belakang badan Megat Ariff.
“Ariff kena hadapi semuanya. Ariff harus bertanggungjawab setiap perbuatan Ariff terhadap Tihani,” tutur Puteri Uzma. Dia sendiri sebak dan sedih dengan apa yang telah menimpa rumah tangga adiknya. Namun, segalanya sudah tertulis. Tiada takdir yang terjadi tanpa sebab.
“Tarif adalah kesan dari dosa Ariff pada Hani. Tuhan sedang menghukum Ariff,” tangis Megat Ariff dengan penuh kekesalan. Dia tidak tahu bagaimana caranya untuk mendekati Tihani semula. Dia bimbang wanita itu menjauhinya seperti mimpi yang di alaminya setiap malam.
“Ariff, Tuhan layak dan berhak menghukum. Jika kau rasa ini hukuman buat kau, perbaiki. Bertaubat dan serah segalanya pada Tuhan. Dia sebaik-baik perancang dalam hidup kita. Jika jodoh kau dengan Tihani masih kuat, Tuhan akan kekal dan dekatkan. Jika tidak, kau kena reda kerana setiap apa yang berlaku, adalah yang terbaik untuk kau. Tuhan tidak kejam Ariff. Yang kejam itu manusia,” tutur Megat Wazir panjang lebar. Dia terasa bangga seketika kerana berjaya memberi nasihat yang dikira bernas untuk kali ini. Selalunya dia cuma menjadi pemerhati sahaja.
“Kak Uzma doakan, Tihani boleh maaf dan terima Ariff semula,” celah Puteri Uzma pula. Megat Ariff tersenyum tawar. Dia mengesat air matanya dengan telapak tangan. Diraup wajahnya perlahan. Malu kerana menangis seperti kanak-kanak di depan Megat Wazir dan Puteri Uzma.
“Bila Ariff nak berjumpa Hani?” soal Puteri Uzma ingin tahu. Dia juga teringin mahu bertemu dengan anak buahnya, Tarif. Sudah terbayang-bayang wajah comel si kecil itu.
“Ariff tak pasti lagi,” balas Megat Ariff. Dia tidak mahu terburu-buru. Dia bimbang Tihani akan membawa Tarif lari jauh darinya.
“I teringin nak jumpa Tarif. Nanti, kalau you dah jumpa Hani dan Tarif, beritahu I, okay.” Puteri Uzma menepuk lembut bahu Megat Ariff. Lelaki itu hanya tersenyum hambar sambil menganggukkan kepalanya.
“You dah berapa lama tidak pergi ke rumah Bonda, sister?” soal Megat Ariff mengubah topik perbualan. Kesedihannya mula reda sedikit. Puteri Uzma mengeluh kecil sambil berjalan kembali ke tempat duduknya.
“Bonda sudah tidak anggap I anak dia. I tak berani nak pergi ke sana. Bimbang di halau Bonda,” balas Puteri Uzma sambil tersenyum tawar. Megat Ariff ketawa kecil.
Sejak peristiwa Puteri Uzma dihalau Toh Puan Ulya dari syarikat mereka, selama itulah dia tidak pulang ke rumah agam milik Bondanya itu. Sungguh dia tidak mampu untuk menjejak kaki ke sana. Cukuplah hati dan jiwanya terluka. Selama dia di sisi Toh Puan Ulya, Puteri Uzma sering menjadi mangsa pelepas kemarahan Bonda walaupun dia selalu menurut kehendak wanita itu.
“Ariff?” soal Puteri Uzma pula. Megat Ariff hanya tersenyum hambar. Dia juga sama seperti Puteri Uzma. Sudah lama dia tidak menjenguk Toh Puan Ulya. Dia teramat kecewa dengan apa yang berlaku. Dia nekad, selagi hubungannya bersama Tihani tidak pulih, selagi itulah, dia tidak akan berjumpa dengan Toh Puan Ulya.

KEESOKKAN harinya, Tihani menyediakan bahan-bahan untuk tempahan tengah hari nanti. Dia mengeluarkan segala bahan mentah dan diletakkan ke table top dapur. Dia menoleh ke arah Tina yang sudah pun bersiap untuk ke pejabat.
“Boleh ke you hantar I lagi ni Hani? Kereta I petang ni baru siap,” ujar Tina sambil menghirup air teh yang disediakan oleh Tihani itu. Tihani tersenyum sambil mencapai tudung sarungnya yang sudah pun dia letakkan di kepala kerusi.
“Boleh, Tina. Jadi, petang ni, perlu tak saya ambil Tina?” soal Tihani sambil menyarung tudung ke kepala dan dirapikan sedikit. Tina menjamah kuih muih yang masih panas itu. Sebelum ke pejabat, dia harus mengisi perut terlebih dahulu, jika tidak, mahu sehingga ke tengah hari nanti, baru dia dapat makan.
“Tak perlu. Saya balik naik kereta,” balas Tina. Setelah selesai bersarapan, Tina bangun daripada duduknya. Dia ke bilik Tihani untuk mengambil Tarif yang masih lena itu. Tarif akan di hantar ke rumah Zainab dan Jalal sehingga lewat petang. Sementara Tihani menyiapkan tempahan untuk dihantar sendiri kepada pelanggan. Itulah sumber pendapatan Tihani untuk membesarkan Tarif ketika ini. Dia bersyukur kerana segalanya dipermudahkan dan dia merasa cukup dengan apa yang dia perolehi.
Mereka pun keluar dari rumah dan menuju ke motor Tihani. Dengan berhati-hati, Tina memanjat motor tersebut sambil mendukung Tarif yang masih lena di bahunya itu. Kemudian, Tihani bergerak ke rumah Zainab dan Jalal yang berada di sebelah taman perumahan berdekatan dengan rumah mereka.
Tanpa mereka sedari, Megat Ariff yang dari pagi sudah berada di situ, mengekori mereka. Megat Ariff berhati-hati dan cuba menjaga jarak dari terlihat oleh dua wanita itu. Dia yang ternampak Tarif di dalam pelukan Tina, sangat teruja untuk berjumpa dengan si kecil itu.
Setelah beberapa minit, mereka pun sampi di rumah Zainab dan Jalal. Megat Ariff terkejut kerana rumah itu adalah rumah ibu bapa Khairul. Dia pernah ke sana atas jemputan Khai sendiri sewaktu makan malam setahun yang lalu. Dia masih ingat kerana masakan ikan keli sambal hijau dirumah itulah yang membuatnya berselera. Megat Ariff juga tidak menyangka bahawa Tina mempunyai hubungan saudara dengan Khairul.
Dengan sabar, Megat Ariff menunggu sehingga dua wanita itu keluar dari rumah tersebut. Sebaik sahaja Tihani dan Tina beredar dari situ, Megat Ariff berjalan menghampiri rumah Zainab dan Jalal.
“Assalamualaikum,” salam diberi. Megat Ariff menanti dengan penuh sabar. Tidak lama selepas itu, muncul Khairul di muka pintu. Megat Ariff terkejut. Wajahnya berubah riak.
“Eh, bro. Kau buat apa datang sini? Mana tahu aku ada sini?” soal Khai. Megat Ariff terdiam. Dia merenung Tarif yang berada dalam pelukan Khai. Si kecil kelihatan selesa dan mesra dengan lelaki itu. Megat Ariff tersenyum paksa.
“Aku....aaa..Pagi tadi aku call Shida. Dia beritahu kau cuti,” balas Megat Ariff menipu. Padahal dia langsung tidak menelefon ke pejabatnya di Singapura itu.
“So, aku datang sini mahu berjumpa kau. Ada perkara nak dibincangkan tentang projek di Italy,” tambah Megat Ariff lagi. Dia berdoa agar Khai tidak mensyaki apa-apa. Mujur memang projek di Italy sedang berjalan.
“Apasal kau tak call sahaja, boss. Sampai susah-susah datang sini,” balas Khai. Dia membuka pintu pagar dan mempelawa Megat Ariff masuk. Megat Ariff membuntuti Khai sambil matanya tertumpu pada Tarif yang melentokkan kepalanya dibahu lelaki itu.
Sudah besar handsome boy, daddy, gerutu Megat Ariff dalam hati. Sungguh, dia rindukan Tarif. Dia reda dengan apa yang Tuhan berikan padanya. Walaupun Tarif tak sesempurna kanak-kanak lain. Tetapi, Megat Ariff merasakan Tarif telah menyempurnakan hidupnya dan membuat dia bergelar bapa.

MEGAT ARIFF termenung sejak tadi. Skrin komputer dipandang kosong. Dia sabar menanti seseorang. Jantungnya berdegup kencang apabila pintu bilik pejabatnya diketuk. Megat Ariff bangun dan berdiri di tepi pintu. Dia memberi kebenaran untuk susuk tubuh itu masuk ke dalam. Sebaik sahaja wanita itu masuk, Megat Ariff mengunci pintu biliknya dan dia berdiri menghalang pintu. Dia tidak mahu wanita itu melarikan diri.
Tihani menoleh ke belakang apabila tersedar pintu di kunci seseorang. Hilang segala semangatnya apabila melihat wajah lelaki itu. Jantungnya berdegup kencang dan laju. Tubuhnya mula menggigil. Wajah lelaki itu dipandang sekilas.
“Hani apa khabar?” soal Megat Ariff lembut. Wajah Tihani direnung dengan penuh rasa cinta. Namun, wanita itu tidak menjawab apatah lagi mahu memandangnya.
“Hani ada bawakan makanan abang?” soal Megat Ariff lagi. Dia cuba menghampiri Tihani. Wanita itu berganjak ke belakang. Wajah Tihani membahang dan pandangan matanya mula kabur dek air mata yang bertakung di kolam matanya.
Abang? Tihani memandang sinis ke arah Megat Ariff. Dia benci mendengar panggilan itu. Air mata yang mula meleleh dikesat dengan lengan baju. Dia mahu keluar dari situ, tetapi lelaki itu telah menghalang pintu keluar. Seolah-olah Megat Ariff sudah tahu akan kehadirannya. Tetapi, dari siapa?
“Tolong ke tepi. Saya nak keluar!” Keras suara Tihani menutur kata. Dia tidak mahu menjual makanannya kepada lelaki itu. Dia benci!
“Mana makanan abang? Abang lapar. Dinda, teman abang makan boleh?” pujuk Megat Ariff lembut. Daripada riak wajah Tihani dia tahu wanita itu terluka hati dan perasaannya.
“Banyak perkara abang mahu tahu dari dinda. Tentang dinda, tentang anak kita.” Perlahan Megat Ariff menutur kata. Sehabis lembut suaranya di lontarkan agar wanita itu terpujuk. Namun, wajah Tihani masih tegang. Tiada langsung riak senyum yang terukir.
“Anak? Soalan bodoh apa tuan tanya pada saya ni? Anak siapa?” soal Tihani mula memberanikan diri. Dadanya terasa perit dan sakit. Megat Ariff terdiam. Dia masih merenung wajah Tihani yang dingin itu. Dia tidak menyalahkan Tihani kerana semua adalah salahnya sendiri.
“Anak kita, dinda,” balas Megat Ariff ringkas. Dia cuba mengukir senyuman. Namun wajah beku Tihani itu mematikan hasratnya. Tihani tersenyum sinis. Dia benci dengan soalan bodoh dari lelaki itu. Seolah-olah dia telah lupa segala perbuatan kejamnya.
“Tuan lupa ke, yang tuan cakap anak dalam kandungan saya itu, bukan anak tuan. Itu anak saya hasil dari saya menjal***g dan menyun**l dengan bekas suami saya!” keras suara Tihani menutur kata. Dada Tihani mula turun naik menahan sesak di dada.
“Tolong ke tepi!” suara Tihani mula naik setingkat apabila melihat lelaki itu masih mendiamkan diri dan terus merenungnya.
“Teman abang makan.” Megat Ariff cuba mengambil makanan dari tangan wanita itu. Dia seolah-olah tidak mempedulikan kata-kata Tihani itu tadi.Tihani berganjak ke belakang setapak. Matanya merenung tajam ke arah Megat Ariff.
“Tuan nak makan?” Tihani mencampak makanan tersebut ke kaki Megat Ariff. Terkeluar segala isi makanan di dalam bungkusan tersebut. Megat Ariff terkejut. Makanan tersebut telah mengotori seluar dan kasutnya. Wajahnya membahang cuba menahan marah. Dia merenung Tihani dengan tajam.
“Tuan ingat tak masa tuan campak makanan yang saya ambil dari pusat gelandang dulu? Tuan halau saya dari situ! Ini adalah bayaran untuk perbuatan tuan atas sikap zalim dan kejam tuan pada saya!” Dada Tihani turun naik. Suaranya bergetar menahan tangis yang makin menyesak di dada. Dia tiada niat mahu membalas perbuatan Megat Ariff. Tetapi, apabila melihat lelaki itu seolah-olah tiada langsung rasa bersalahnya, Tihani jadi sakit hati. Megat Ariff mungkin sudah lupa perbuatannya pada Tihani. Tetapi, tidak bagi wanita itu.
“Hani...” Megat Ariff terkedu setelah mendengar kata-kata Tihani itu. Renungan yang tajam tadi berubah sayu. Hatinya terus lemah apabila Tihani mengungkit perbuatannya suatu ketika dulu. Dia tahu, maafnya ketika ini tidak laku kerana hati wanita itu mula keras untuk mendengar pujuk rayu darinya.
“Lagi satu, anak yang saya kandungkan sewaktu tuan halau saya dari rumah dulu, dah mati!” tambah Tihani lagi. Dia tidak mahu Megat Ariff tahu mengenai Tarif. Dia pasti, jika Megat Ariff melihat Tarif, lelaki itu tetap tidak mengaku Tarif anaknya. Keturunan baik-baik pasti tiada anak sebegitu. Jadi, cukup hanya dia dan keluarga Tina menyayangi Tarif. Dia tidak perlukan keturunan Megat Ariff untuk menyayangi anaknya.
Megat Ariff hanya merenung wajah Tihani. Dia tahu wanita itu menipu. Dan dia pasti, jika Tihani tahu dia sering berjumpa Tarif, pasti Tihani membawa Tarif jauh darinya. Jadi, dia juga harus berpura-pura percaya dengan kata-kata Tihani.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience