Chapter 2 – A Whole Heart, Too Big for Herself

Romance Series 17063

Tahun 2136 – Midford, Hereven

“Cukup ke?” soalnya, sambil mengisi cawan kosong di hadapan seorang pengemis dengan dua keping duit kertas yang tercetak 20. Si gadis itu bercangkung di hadapan seorang wanita yang sedang mengemis di tepi jalan. Terkejut wanita itu apabila si gadis itu tadi memberikannya wang berjumlah 40HRD secara keseluruhan.

“Nak, banyak sangat ni, sudah la tu,” ujar si wanita itu, serba ketakutan melihat wang yang diletakkan di dalam cawannya.

Si gadis tadi tersenyum sahaja. “Takpe, makcik… Saya ikhlas. Makcik buat la untuk belanja. Nah, saya tambah lagi satu,” katanya sambil meletakkan sekeping lagi wang kertas berjumlah 20HRD. “Makcik jangan lupa makan, ya? Saya pergi dulu.” Tambahnya, tersenyum manis dan berangkat pergi dari situ.

Cepat-cepat sahaja dia berlari ke arah seorang wanita yang baru sahaja keluar dari sebuah kedai. “Mama!” jeritnya sambil membuka kedua-dua lengannya dan memeluk wanita berkenaan. Wanita berambut coklat itu hampir terjatuh kerana anaknya merempuhnya dengan satu pelukan manja.

“Kamu buat apa tadi, sayang?” soal ibunya, melihat ke belakang anak perempuannya. Matanya tertumpu ke arah seorang pengemis di tepi jalan yang sedang menyimpan wang berjumlah besar ke dalam bajunya. Wanita itu terus memandang anaknya.

Si gadis itu tersenyum busuk. “Mama, jangan bagitau papa tau yang Lily menderma lagi. Nanti papa bising,” pesan si gadis itu, Lily, kepada ibunya.

“Kamu dah tau perangai papa kamu, tapi kamu masih lagi buat apa yang papa kamu larang. Kalau dia nampak ni, mama nak kena buat apa? Papa kamu tu kalau marah, mama suruh bertenang pun tak boleh,” keluh ibunya, sudah masak dengan suaminya yang susah untuk ditenangkan sekiranya sudah marah.

Lily menderam sendirian. “Mama, Li dah tak kisah kalau papa nak marah. Anak mama ni dah kebal.”

“Iyelah, kebal dengan benda yang salah.” Ujar ibunya, mengeluh sedikit. “Ada nak beli apa-apa tak?” soalnya lagi.

“Mama, Li nak pergi kedai buku sekejap boleh?” soal Lily sambil kakinya menendang angin dengan lembut.

“Pergi lah, mama tunggu,”

Wajah Lily berubah menjadi sayu. Kedua-dua jari telunjuknya bersentuhan. “Mama, temankan la Lily pergi. Lily takut nak pergi sorang,” Lily memberi alasan.

“Tengok tu, takut dengan benda yang tak sepatutnya. Nasib baik la mama sayang kamu,” ibunya tersenyum panjang sambil memicit pipi Lily.

Si gadis itu merintih kesakitan kerana pipinya dicubit oleh ibunya. Sebaik sahaja ibunya berhenti mencubit pipinya, dia dapat merasakan pipinya merah dan bengkak. Ibunya bukanlah seorang yang kecil dan lemah gemalai seperti ibu kanak-kanak yang lain.

Ibunya, Milly Wright, adalah seorang wanita yang tinggi dan dianggap sasa oleh orang lain. Walaupun begitu, ibunya merupakan individu yang menjadi sebab Lily seorang yang pemurah dan baik hati. Apa yang dilihatnya ketika dibesarkan oleh ibunya, itulah caranya berkomunikasi dengan orang lain.

Lily Wright, seorang anak tunggal kepada Milly Wright dan seorang menteri pengangkutan di Hereven, Bennet Wright. Dalam 16 tahun pengalaman hidup, Lily sudah tahu untuk membezakan mana yang betul dan mana yang salah. Selain itu, Lily juga merupakan seorang yang kuat pendirian walau…

“Tak boleh,” ujat Bennet keras. “Dah berapa kali papa cakap; papa tak setuju untuk kamu jadi penyanyi. Jadi penyanyi boleh jamin masa depan kamu sejauh mana?” soal Bennet lagi. Tali lehernya direntap dan dicampakkan ke sisinya, terletak di atas sofa.

Raut wajah Lily bertukar masam. “Lily tak cakap apa-apa pun. Lagipun, kalau Li jadi penyanyi sekalipun, Li bukannya bergantung untuk jadi penyanyi je. Li kerja la kerja lain.” Lily berkeras, menyambung membuat kerja sekolahnya.

“Kerja apa? Li tau apa je pasal dunia bekerja ni? Li baru 16 tahun tau? Jangan ingat umur dah 16 tu maksudnya dah tau semua benda, dah boleh nak buat macam-macam.” Tegas suara Bennet memarahi anak tunggalnya.

Dada Lily terasa seperti ditumbuk dengan beban yang berat. Kemarahannya dijentik. “Papa takde hak nak cakap Li tak tau apa-apa kalau papa sendiri tak reti nak basuh baju sendiri, nak harapkan mama je. Tali leher tu,” Lily berhenti, menuding jarinya ke tali leher milik Bennet yang dilemparkan di atas sofa sebentar tadi. “…papa campak macam tu nanti siapa yang kutip? Kalau nak uruskan baju sendiri pun harapkan orang, papa takde hak nak cakap pasal hidup Li!” jerit Lily, tidak beranjak dari tempatnya.

Dia tahu sebentar sahaja lagi bapanya akan membalas semula kata-katanya dengan kemarahan. Sudah lali, bapanya bukan jenis individu yang tenang, malah baran. “Li, jangan jadi biadap. Papa cuma nak yang terbaik untuk kamu. Jangan nak besar kepala sangat. Ni papa, bukan kawan-kawan kamu.” Bennet berdiri sambil mencekak pinggang.

“Papa cakap la apa pun, Li akan tetap dengan pendirian Li. Apa pun yang jadi, Li akan jadi penyanyi dengan restu mama dengan papa.” Lily memberontak, marah.

“Berangan!” jerit bapanya. “Papa takkan bagi restu papa.” Tambah Bennet, sekeras-kerasnya.

Lily menarik nafas, cuba untuk tidak memburukkan lagi keadaan. Sekali lagi dia mamandang bapanya. “Dah la, orang tak buat apa pun kena marah. Asyik-asyik nak marah je,” ujar Lily dengan nada geram. Dia berpusing untuk pulang ke bilik tidurnya.

“Lily!” jerit Bennet namun tidak diendahkan oleh Lily. Anaknya terus mendaki tangga dan beredar masuk ke biliknya.

Milly masuk ke ruang tamu, wajahnya mempamerkan keletihan. “Setiap hari ada je yang abang gaduhkan dengan anak tu. Cuba abang bawa bertenang sikit.” Pesan Milly, melabuhkan punggungnya di atas sofa di sebelah Bennet. Milly menarik tali leher milik Bennet yang didudukkannya. “Apa ni, campak-campak? Abang ni pun… haish…” keluh Milly.

Bennet bersandar dan menutup matanya, merehatkan biji mata yang sudah kepedihan menenung skrin komputer di tempat kerja.

* * *

TOK! TOK! TOK!

Tiada jawapan. “Sayang, mak ni,” tidak lama selepas itu, pintu dibuka. Lily mengheret kedua-dua kakinya ke katil. “Li, Li okay ke? Macam tak bermaya je. Mereka berdua terdiam buat seketika. Milly tidak mengalihkan matanya daripada memerhatikan gerak-geri Lily. “Kenapa ni?” soal Milly, lembut.

Lily hanya berwajah sugul. “Kenapa mama kahwin dengan papa eh?” Milly terdiam. Raut wajahnya tidaklah marah tetapi terfikir sejenak, ingin memahami maksud Lily.

“Kenapa ni sayang? Apa yang kamu cakap ni? Mama tak faham,”

Lily menarik nafas dalam. “Mama tengok la papa tu, sikit-sikit nak marah. Orang tak buat salah apa tiba-tiba kena marah. Li pun ada perasaan, ma…” ujar Lily. Nafasnya jadi tersekat-sekat. “Bila bercakap tu macam…” Lily berhenti. Air matanya mulai mengalir. “Li penat la, ma. Lily taknak jadi apa yang papa nak Lily jadi. Kenapa pun kalau Li jadi penyanyi and nak cari income tambahan dengan kerja sampingan? Salah ke, Ma? Cara papa cakap dengan Li pun macam la Li ni benak sangat tak tau apa-apa pasal dunia bekerja ni…” hingusnya meleleh ke lubang hidung.

Luluh hati Milly melihat anaknya menangis. Badan Lily keras kerana menahan marah dan tangisan. “Li, sayang mama, jangan la menangis macam ni… Mama sedih tengok Li menangis macam ni. Mama minta maaf sangat sebab selalu terlepas pandang.” Kata Milly, memeluk erat puterinya dalam dekapan. “Dulu papa kamu tu baik sangat. Dia tak baran, tapi lepas je dunia dilanda pandemik Chimera’s Breath, papa kamu jadi takut. Dia nak yang terbaik untuk kamu. Tapi papa tak boleh desak kamu macam tu sekali.”

“Li dah tak tahan dengan baran papa. Li rimas sangat, ma. Itu tak boleh, ini tak boleh.” Milly mengusap-usap belakang badan Lily.

“Mama pun tak pasti kenapa papa kamu jadi macam tu. Mama minta maaf ya, sayang…” Lily hanya memeluk semula tubuh ibunya. Dia hanya diam membisu, tidak mengeluarkan sepatah perkataan.

Sebaik sahaja Milly keluar dari bilik Lily, Bennet sudah pun berdiri di hadapan pintu bilik anak mereka. “Dia kata apa?” soal Bennet.

“Dah la, bang… Esok-esok saya cerita.” Ujar Milly, letih. Matanya kuyu melihat lantai yang dipijaknya. Dilirikkan matanya ke tangan Bennet yang kosong. Tubuh Bennet bergerak ke arah pintu bilik Lily. Pantas tangannya bergerak, Milly terus menghentikan tangan Bennet. “Abang, jangan sekarang. Bagi dia masa,” rayu Milly.

Kembang kempis hidung Bennet. Anak matanya bergegar. Ditoleh ke pintu Lily untuk beberapa saat sebelum berpusing dan beredar dari situ. Milly hanya mampu mengeluh dan mengalihkan rambut panjangnya ke bahu kanan.

* * *

Keesokan harinya, mereka bangun seperti biasa. Lily memasuki ruang makan dan menarik kerusinya. Punggungnya dilabuhkan di atas kerusi. “Selamat pagi, anak mama,” sepinggan pancake diletakkan di hadapan Lily.

“Morning, ma,” ucapnya sugul. Langsung tidak memandang bapanya berada di hadapannya sambil membaca senaskah surat khabar.

Surat khabar yang dipegang oleh Bennet dilipat. “Selamat pagi, Lily,” ucap Bennet. Nadanya selamba sahaja seperti tiada pertengkaran berlaku diantara anak perempuannya dan dia pada malam sebelumnya. Lily hanya memandang bapanya untuk dua saat sebelum memandang ibunya yang baru sahaja duduk di sebelahnya.

“Mama, boleh tak mama temankan Lily cari barang sekolah sekejap lagi?” soal Lily, mengendahkan sapaan bapanya dengan sengaja. Milly menjeling Bennet sekilas pandang. Suaminya jelas sekali kelihatan tersinggung dengan tindakan Lily.

“Hmm…? Nak keluar? Hmm…” Milly berhenti, berfikir. “Boleh. Kita pun nak kena beli barang dapur ni,” ujar Milly sambil mengambil sekeping roti bakar. “Nanti lepas makan, Li pergi bersiap, okay?”

Laju Lily mengangguk. “Baik, mama,” jawabnya sambil menuang sirap maple, membanjiri pancakenya. Sebaik sahaja dia berhenti menuang sirap itu, Lily mulai makan dan setelah pinggannya dilicinkan, pinggannya terus diangkat ke sinki dan dibasuh terus.

Walaupun Lily dan keluarganya merupakan golongan Gentri dan kaya, bapanya enggan mengambil atau mengupah siapa-siapa untuk menjadi pembantu rumah. Bennet cukup risau sekiranya virus Chimera’s Breath menghampirinya. Tiada golongan Gentri yang sanggup mengambil upah menjadi pembantu rumah.

Bennet juga tidak mahu mendekati golongan Guoris, apatah lagi Ploriat. Oleh sebab itu, dia hanya meminta Milly untuk menguruskan rumah. Duit belanja yang diberi kepada Milly juga banyak sehinggakan dia tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan duit yang diterima. Disebabkan Milly terpaksa menguruskan hal-hal di rumah, Lily cuba mengurangkan beban ibunya sebaik mungkin.

Pakaiannya dibasuh dan disidai sendiri, pinggan dan mangkuk semuanya dibasuh sendiri. Ada kalanya dia sendiri yang memotong rumput di laman rumah.

Mata mereka melihat Lily beransur keluar dari ruang makan. Bennet terkejut apabila menoleh semula ke makanannya, Milly sedang merenung wajahnya. “Apa awak ni?” ujarnya sambil mengusap-usap dadanya.

“Tengok, dia tak nak cakap dengan abang dah. Saya tak kira, abang kena pujuk dia balik.” Ujar Milly, marah.

“Biar aje… Nanti dia okay la tu,”

Milly mencacakkan pisau jem ke dalam balang kaca yang mengandungi jem marmalade. Tegak pisau itu apabila dilepaskan oleh Milly. “Abang kalau tak pujuk dia dalam tempoh tiga hari ni, saya taknak masak untuk abang.” Ugutnya dengan tegas.

Kemarahan Milly telah menyebabkannya melipat roti bakar secara tidak seimbang. “Yalah, nanti abang cuba,” Bennet mengeluh sendiri.

Check Fb Emi (Emilia Khan) untuk tahu lebih lanjut tentang peta Hereven dan sistem sosial novel ni ya. Pic profile fb sm dengan profile np. Thank you everyone! :))) ps: HRD = Hereven Dollar

Share this novel

Che Da(Ayunifalin)
2023-04-21 03:37:25 

Che da ada tinggalkan mesej di messenger FB,


NovelPlus Premium

The best ads free experience