BAB 10

Horror & Thriller Completed 33324

“Tak apalah. Sudah ajal Mat. Tapi satu yang makcik hairan, lepas balik dari rumah Wak Leman malam tu, muka Mat pucat. Badannya tidak bermaya. Seolah tiada setitik darah pun dalam tubuhnya. Dua hari selepas tu, dia meninggal.” Mak Mat Kepoh mula menangis.

Aku semakin menaruh syak pada Wak Leman. Masa kenduri dulu, dia asyik mengasap kemenyan. Mesti ada sesuatu yang dirahsiakan dari orang kampung. Malah tetamu yang hadir tika itu seperti dipukau saja lepas makan pulut kuning. Ini tak boleh jadi. Aku mesti siasat hal yang sebenar.

MALAM itu, aku memberanikan diri ke rumah Wak Leman. Dengan lampu suluh kecil, aku menyuluh jalan yang gelap menuju ke arah rumahnya. Dari jauh aku lihat, rumah Wak Leman terang dengan cahaya lampu gasolin. Aku mesti buat perhitungan.

Tiba di laman rumah Wak Leman, aku masih tercegat kaku di situ. Masih memikirkan apa yang perlu aku lakukan. Tiba-tiba pintu rumah berkeriuk. Terbuka perlahan. Cik Leha dengan kebaya merah tersenyum manis di muka pintu. Aku terkedu. Senyumannya sungguh memukau. Berkali-kali aku genyeh mata. Pipi aku tampar kuat.

“Wak ada?” Aku mula bersuara.

Cik Leha masih senyum. “Ada. Masuklah!”

Aku melangkah perlahan masuk ke rumah. Ruang tamu rumah itu masih seperti dua bulan yang lalu. Tiada satu pun berubah. Aku masih berdiri di muka pintu sementara Cik Leha memanggil suaminya.

“Ada apa Samdol?”

“Apa yang Wak telah buat pada kawan saya Mat?” Aku tidak menjawab soalan Wak Leman sebaliknya aku pula yang menyoal.

“Kalau ya pun duduklah dulu. Leha! Buatkan air dan hidangkan pulut kuning pada abang Samdol ni!” Wak Leman melaung dari ruang tamu. Cik Leha sudah ke dapur menyediakan kopi panas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience