Suatu hari, aku membantu Mak Pah menyediakan hidangan tengah hari. Hampir ke pukul satu, bayang Helmi masih belum kelihatan walaupun ayahnya sudah lama pulang. Dengan penuh rasa tanggungjawab, aku memohon keizinan Mak Pah untuk memanggil Helmi di rumahnya (rumah sewaan mereka).
Saat kulaung namanya, tiada yang menyahut. Aku mengetuk pintu. Pintu itu berkeriut. Tidak berkunci sebenarnya. Kutolak perlahan-lahan sambil memanggil nama Helmi. Jangankan Helmi, batang hidungnya pun aku tak nampak.
Aku menapak perlahan-lahan agak takut-takut. Pertama kali mengunjungi kediaman Helmi. Sebaik sahaja pintu utama terkuak lebar, aku dapat melihat seluruh isi di dalamnya. Keluasan ruang tamu yang agak terhad tetapi masih tampak bersih dan kemas. Mungkin dikemaskan Mak Pah seawal pagi tadi.
Gambar-gambar bergantungan di dinding. Aku menghampirinya. Perlahan-lahan kubaca kenyataan di bawah sekeping gambar seorang lelaki sedang menerima scroll ijazah, Muhammad Syamsul Helmi bin Mohd Amri, Ijazah Sarjana Sastera (Komunikasi), Universiti Michigan Barat, Amerika Syarikat. Apa? Helmi ada master? Aku terkedu. Anak muda yang hangit peluhnya dibakar panas mentari, menternak kambing,ayam,itik dan sebagainya itu bukan calang-calang orang rupanya.
“Hana,” Aku tersentak dengan sapaan itu.
“Kenapa Helmi tak pernah bagitahu Hana?”
“Hana pernah tanya ke?” Soalanku dibalas dengan soalan juga oleh Helmi. Memang aku tidak pernah bertanya. Malahan aku tidak pernah terfikir, anak muda kurus kering berkulit agak gelap ini rupa-rupanya berpelajaran tinggi.
“Apa nak dibanggakan dengan segulung ijazah,” Helmi bagaikan menjawab teka-tekiku.
“Mak dan ayah memang mahukan anak-anaknya berpelajaran tinggi. Helmi pula sejak kecil lagi memang minat dalam bidang pertanian terutamanya memelihara binatang. Lagipun semua binatang yang Helmi bela, menjadi-jadi belaka. Subur dan membiak dengan cepat. Sebab itulah, selepas menamatkan pengajian, Helmi pulang ke kampong mengusahakan tanah kebun ayah,” terang Helmi panjang lebar. Aku menumpukan perhatian dengan penuh khusyuk.
“Lagipun, Helmi juga ingin memberi peluang kepada Abang Hakimi untuk menggapai cita-citanya,” Hakimi ialah abang sulung Helmi. Mereka hanya dua beradik. Dulu, Helmi belajar di luar negara manakala Hakimi pula di dalam negara kerana tidak mahu berjauhan daripada mak dan ayah.
Kini, tugas menjaga mak dan ayah telahpun diambil alih oleh Helmi. Hakimi tidak perlu risau lagi. Sesekali, dia ada juga pulang ke kampong tetapi aku belum berkesempatan untuk bertemunya kerana saat kepulangannya adalah waktu cuti sekolah dan waktu itu, sudah tentu aku juga sudah pulang ke bandar untuk bertemu mama, papa dan adik-beradikku.
“Rumah sebelah ni, rumah Abang Kimi. Dulu, kami berdua berkongsi rumah tetapi bila Abang Kimi dihantar bertugas di Sabah, Helmi balik tinggal di bilik di rumah. Sekarang ni, mak kata, Helmi boleh tinggal di rumah ni sebab bilik di rumah tu hendak didiami oleh Cikgu Hana,” Helmi tergelak kecil saat menyebut namaku. Aku tersipu-sipu.
Patutlah aku tidak nampak barangan mereka di rumah. Rupa-rupanya mereka telah diberikan rumah masing-masing. Tidak termampu kubalas budi mereka kecuali dengan ucapan terima kasih.
Perhubunganku dengan Helmi semakin membibitkan kemesraan.
Share this novel