“KITA kahwin.”
Sudu dan garfu di tangan terus diletakkan kembali di tepi pinggan. Keluhan berat terlepas daripada bibir. Terus hilang selera makannya.
“Berapa kali I nak cakap Riel? I tak ready lagi nak berkahwin.”
Azriel membetulkan duduknya. Dipandang lama wajah si kekasih hati. “Kita bukan muda lagi Zahra. Tahun depan I dah nak masuk 3 series. Lagipun kita bukannya baru berkenalan. Dah hampir enam tahun kita berkawan Zahra.”
“Riel, zaman sekarang ni kalau you kahwin lewat pun tak ada siapa yang kisah. Ada jer yang kahwin waktu umur 40-an. Tak ada masalah pun. Nak dengan tak nak jer. Lagipun buat apa nak dengar cakap orang? Kita hidup bukannya nak puaskan hati orang,” bidas Zahra keras.
“Cuba you beritahu I, apa lagi yang buatkan you tak bersedia untuk kahwin?” soal Azriel. Kadang-kadang dia tak faham mengapa Zahra menolak setiap kali dia mengajak gadis itu berkahwin. Berbeza dengan jawapan gadis yang lain apabila diajak berkahwin.
“I nak stabilkan business I dulu. I tak nak mengharapkan duit lelaki macam perempuan-perempuan dekat luar sana tu. I nak berdiri atas kaki I sendiri tanpa mengharapkan bantuan daripada sesiapa. Bagilah I masa sikit.”
Azriel ketawa mendengar alasan Zahra. “Itu bukan alasan yang I nak dengar Zahra. Listen, I tak pernah halang you nak buat apa yang you suka. I sentiasa support apa sahaja yang you buat. Jadi tak ada masalah pun kalau kita berkahwin sekarang.”
Zahra meraup wajahnya perlahan. Susah cakap dengan Azriel. “I juga tak bersedia nak galas tanggungjawab sebagai seorang isteri. Jadual I padat. I tak sempat nak jaga makan pakai you. Lepas tu nanti nak uruskan anak pula. No way! I tak ready nak buat semua tu.”
“I ajak you kahwin sebab nak jadikan you isteri I. Bukannya orang gaji I. I boleh jaga makan pakai I sendiri. I faham kesibukan you. Soal anak, kalau you belum bersedia, I boleh tunggu. Tak perlu tergesa-gesa.”
“Sekarang bolehlah you cakap macam tu. Nanti bila dah kahwin, lain pula jadinya. I tak nak ada masalah besar yang akan datang nanti kalau I silap buat keputusan sekarang. Ini melibatkan masa depan I.” Bukannya Zahra tak kenal Azriel. Lelaki itu sangat sukakan budak-budak. Tak mustahil nanti Azriel memintanya anak selepas mereka berkahwin nanti.
Azriel menghela nafas berat. Susah sangat nak ajak Zahra kahwin. Tiap kali dia mengajak gadis itu berkahwin pasti di hujungnya nanti mereka akan bertengkar. Di ajak melakukan perkara yang baik pun ditolak. Tak faham sungguh.
“Kalau macam tu, kita bertunang dulu.”
“Riel...” Zahra mengeluh panjang.
“What? I ajak you bertunang jer. Kita ikatlah enam bulan ke. Setahun ke. Sekurang-kurangnya ada ikatan antara kita.”
“Belum tentu dalam masa enam bulan atau setahun kita akan berkahwin. Nanti kalau kita bertunang lama-lama, apa pula kata family kita. Kenapa you macam terdesak sangat nak kahwin ni Riel?”
“You cakap I terdesak? Seriously Zahra?” soal Azriel tak percaya.
Zahra ketap bibir. Sedar keterlanjuran bicaranya. “Sorry... I didn't mean it. I tak suka bila you mendesak I macam ni.”
“I boleh tunggu you Zahra. Tapi I dah penat nak explain dekat family I. Dia orang minta I kahwin dalam masa yang terdekat. Risau anak teruna dia ni jadi bujang terlajak.”
“I tak tahu pula family you pun masih anggap kahwin lewat itu satu masalah besar zaman sekarang ni. Zaman dah berubah Riel. You patut explain pada family you zaman sekarang tak sama macam zaman dia orang dulu. Kita bukan duduk zaman Pak Kaduk lagi.”
Azriel diam. Hatinya sedikit terguris apabila Zahra seolah mengkritik keluarganya.
“Takpalah kalau you tak ready nak kahwin sekarang. I tak akan paksa lagi. Makanlah.”
Zahra jadi serba salah. Bukannya dia tidak cintakan Azriel. Malah terlalu cinta. Lelaki itu cinta pertamanya. Cuma berkahwin bukanlah keutamaannya buat masa sekarang. Dia mahu mengejar impian menjadi seorang pereka fesyen yang terkenal. Mahu membina nama di negara-negara jiran juga. Demi impiannya, dia perlu menunda dulu perkahwinannya dengan Azriel. Tak akan tak lari gunung dikejar. Bila sudah tiba masanya nanti, mereka akan berkahwin juga.
“You marahkan I ke?” soal Zahra perlahan.
Azriel yang sedang menyedut jus tembikainya hanya menggeleng perlahan. Dia sudah penat nak bergaduh dengan Zahra. Asyik bertengkar hal yang sama pula tu. Mereka bukan budak-budak lagi.
“Kenapa tak makan?” soal Azriel. Zahra sibuk dengan telefon di tangannya. Makanan di dalam pinggan langsung tidak diusik.
“I tak lapar. Riel, I minta maaf. I kena minta diri dulu. Ada urgent meeting dengan client. Nanti kita jumpa lagi. Bye!” Tergesa-gesa Zahra bangun daripada duduknya. Tas tangannya disandang ke bahu. Tanpa berlengah, dia terus berlalu keluar meninggalkan Azriel di dalam restoran itu.
Azriel tersandar lemah. Pinggannya yang masih penuh dengan spageti carbonara ditolak perlahan. Hanya sesuap saja dia makan. Seleranya juga hilang. Pelipis dahinya dipicit perlahan. Serabut kepalanya memikirkan tentang hala tuju hubungan dia dan Zahra. Kalau beginilah cara Zahra, alamatnya bila rambut sudah bertukar putih nanti baru dia merasa bersanding di atas pelamin.
BARU beberapa langkah dia masuk ke dalam rumah, suara Datin Hanim menampar gegendang telinganya.
“Macam mana? Zahra setuju nak kahwin?” soal Puan Hanim teruja.
Azriel mengeluh panjang.
“Amboi... Panjang mengeluhnya tu. Jangan cakap dengan mummy yang Zahra tolak Riel lagi.” Puan Hanim seperti dapat meneka apa yang berlaku antara Azriel dan Zahra tadi.
“Zahra belum bersedia mummy. Takkan Riel nak paksa pula.”
“Tak bersedia apanya lagi? Sampai bila nak bersedia? Dah dua tiga kali Riel ajak dia kahwin, jawapannya tetap sama. Nak tunggu dah tua kerepot nanti ke baru nak berkahwin?” Datin Hanim merengus geram. Lelah dengan sikap kekasih anaknya itu. Kadang-kadang dia terfikir, benar ke Zahra cintakan Azriel? Atau cuma Azriel yang tergila-gilakan Zahra?
“Zahra tu bukan macam perempuan lain mummy. Dia wanita bekerjaya. Jadi Riel kena tunggu dia sampai dia betul-betul bersedia untuk galas tanggungjawab sebagai seorang isteri,” jawab Azriel tenang.
“Orang lain pun ada kerjaya juga Riel. Kalau dah macam ni gayanya, Riel cari ajelah perempuan lain. Tak usah ditunggu lagi perempuan macam tu,” cadang Datin Hanim.
Azriel terkedu mendengar cadangan ibunya itu. Tak mungkin semudah itu dia mahu menggantikan tempat Zahra di hatinya. Lagipun tak akan ada perempuan yang boleh gantikan Zahra.
“Mummy, kenapa cakap macam tu pula? Riel dengan Zahra tu bukan baru kenal semalam. Dah enam tahun kami berkawan.”
“Sebab Riel dengan Zahra dah lama berkawanlah mummy suruh Riel cari orang lain jer. Dah orang tak sudi, angkat kaki jalan jer lah. Mummy tak suka tau anak mummy terhegeh-hegeh kejar cinta orang yang tak sudi,” bidas Datin Hanim tegas.
“Zahra tu bukannya tak sudi nak berkahwin dengan Riel. Dia cuma perlukan sedikit masa jer mummy. Kita patut bagi dia masa. Tak bolehlah nak paksa-paksa macam ni. Kita kena hormat juga keputusan dia. Bila kami berdua betul-betul dah bersedia nanti, kami kahwinlah.”
“Itulah Riel. Bagi muka sangat! Sampai bila nak ikutkan kehendak dia? Dia ingat Riel tak laku ke? Kalau dia tak nakkan Riel, biar mummy carikan pengganti dia. Senang!”
Azriel menggeleng perlahan. Boleh pecah kepalanya macam ni. Dia tersepit di tengah-tengah antara Datin Hanim dan Zahra. Dua-dua hati perlu dijaga. Tapi dia pasti di akhirnya nanti pasti ada hati yang terluka dengan keputusan yang diambil.
“Dah lah mummy. Riel tak nak cakap pasal hal ni lagi. Riel letih. Riel nak naik atas dulu.” Azriel menyusun langkah mendaki anak tangga menuju ke tingkat atas.
Datin Hanim hanya memandang kosong belakang tubuh anaknya itu. Dia bukannya mahu mengatur hidup Azriel. Tapi dia kesian dengan anaknya itu. Sampai bila Azriel nak menunggu Zahra? Kawan-kawan sebayanya semua sudah mendirikan rumah tangga. Dah ada anak dah pun. Tapi Azriel? Kahwin pun belum.
BAU haruman kek coklat yang sudah siap dibakar menusuk hidung. Segera Aya mengatur langkah menuju ke dapur.
“Hmm... Sedapnya bau. Dah siap ke kek coklat umi?” soal Aya. Panjang lehernya menjengah Puan Murni yang sedang mengeluarkan kek daripada ketuhar.
“Dah siap. Nak tunggu Aya tolong umi, tahun depan pun belum tentu dapat makan kek coklat ni,” sindir Puan Murni.
Aya mencebik. Umi ni, sajalah tu nak perli orang.
“Aya bukannya pandai sangat nak baking. Umi kan power buat kek.”
“Ni dah bersiap cantik-cantik ni, nak kemana?” Puan Murni pandang anaknya itu atas bawah. Sehelai dress labuh berwarna putih tersarung di tubuh Aya. Rambutnya yang panjang separas bahu dibiarkan lepas.
“Nak keluar dengan Faris,” balas Aya.
“Lah, nak keluar dengan Faris rupanya. Tak dapatlah jumpa dengan aunty Hanim sekejap lagi.”
Luas biji mata Aya bila terdengar sebaris nama itu.
“Aunty Hanim nak datang rumah kita ke umi?” soalnya teruja.
Puan Murni mengangguk. “Siang tadi aunty Hanim beritahu dia nak datang. Sebab tu umi masak lebih sikit hari ni.”
“Abang Riel pun ada ke?” soal Aya lagi.
Puan Murni angkat bahu. “Tak ada pula aunty Hanim beritahu umi dia datang dengan siapa.”
“Kalau macam tu, Aya tak jadilah nak keluar dengan Faris.”
Berkerut dahi Puan Murni. “Kenapa pula? Kan dah janji dengan Faris. Kesian dia.”
“Tak apa. Faris okay jer umi. Paling kurang pun dia merajuk dengan Aya sekejap jer.” Aya tersengih. Tak kisahlah kalau Faris merajuk sebab dia batalkan rancangan mereka di saat akhir. Tahulah dia nak pujuk lelaki itu nanti. Yang penting dia dapat bertemu dengan Azriel. Walaupun dia tak pasti sama ada lelaki itu turut datang ke rumahnya bersama Datin Hanim atau tidak.
“Macam tu pula. Budak ni kan...” Puan Murni menggeleng perlahan. Bukannya dia tidak tahu Aya teruja mahu berjumpa dengan Azriel. Itu yang sanggup batalkan rancangannya untuk keluar dengan Faris.
“Biar Aya tolong umi.” Kek di tangan Puan Murni diambil.
Puan Murni mencebikkan bibirnya. Dan-dan lah nak tunjuk rajin anak dara seorang ni.
TENGAHARI itu seperti yang dijanjikan, Datin Hanim datang ke rumah sahabat baiknya, Puan Murni. Sudah lama mereka tidak bertemu. Masing-masing sibuk. Terutama Datin Hanim. Dia perlu menguruskan butiknya. Datin Hanim tidak datang bersendirian. Diheret sekali Azriel bersamanya.
Pada awalnya Azriel menolak. Disebabkan dia tidak mahu Datin Hanim terus mengungkit tentang dia dan Zahra, terpaksa dia mengikut wanita itu ke rumah sahabat baiknya.
Kedatangan Datin Hanim dan Azriel disambut baik oleh Puan Murni. Aya masih lagi di dapur. Sibuk menghidangkan lauk pauk yang Puan Murni sudah masak tadi.
“Aya mana?” soal Datin Hanim. Sudah lama juga dia tidak bertemu dengan gadis itu.
“Ada dekat dapur tu. Azriel mana? Tak masuk sekali ke?” Puan Murni menjengah ke luar rumah. Entah kemana Azriel menghilang. Cuma Datin Hanim yang sudah masuk ke dalam rumah.
“Katanya nak amik angin dekat luar dulu. Biarlah dia.” Bukannya Datin Hanim tak kenal anak bujangnya itu. Azriel lebih suka menyendiri. Kalau dia tak paksa Azriel ikut dia datang ke sini, jangan haraplah anaknya itu nak jejakkan kaki ke sini.
AYA buka pintu dapur. Plastik sampah yang sudah penuh dibawa keluar. Mahu buang di luar. Sewaktu dia berjalan mahu ke luar pagar, entah mana silapnya kakinya tersadung. Membuatkan tubuhnya jatuh melayang ke atas lantai.
Gedebuk!
Macam nangka busuk Aya jatuh terduduk di atas lantai. Sampah yang dibawa bersamanya tadi habis bersepah kerana plastiknya sudah koyak.
“Argh!” Aya menjerit bengang. Kenapalah malang sangat nasibnya? Tak pasal-pasal nak kena kutip semula sampah yang sudah bertaburan.
“Pftt...Hahaha!”
Laju kepala dia menoleh saat telinganya menangkap suara orang ketawa. Jatuh rahang Aya saat melihat susuk tubuh yang tegap itu berdiri di belakangnya sambil ketawa.
“Abang Riel...”
Tak cukup malang lagi ke hidup kau Aya? Sudahlah tergolek jatuh macam nangka busuk. Disaksikan pula oleh si pujaan hati. Mana nak letak muka oi?!
Share this novel