JADI lepas mendengar cerita dari mama Dali, Mak Long terus cari Dali di rumah anak yatim. Pasti Dali dah jumpa dengan Mak Long dulukan. Mak Long bersemuka dengan Mahani. Dari Mahani kami tahu serba sedikit cerita tentang Dali. Bila balik Mak Long kata Dalilah memang calon yang sesuai dengan Ahmad berbanding Durrah,” jelas Hajah Salmi terperinci
Jauh di lubuk hati Dalilah rasa pilu sangat. Datin Nora memang terang-terangan ingin mengharukan hidupnya. Pandai Datin Nora mempergunakan Dato Mokhtar untuk menggesa Dalilah menerima keputusan ini dengan pasrah.
“Oooo begitu. Tapi Dali tidak secantik Kak Durrah, ibu,” jawab Dalilah merendah diri.
“Dali, dengar ibu cakap ni. Pepatah ada menyatakan, kecantikan adalah satu benda yang abstrak untuk dizahirkan dengan kata-kata. Ianya berbeza dari kaca mata setiap individu. Bagi ibu, kecantikan Dali adalah dari budi bahasa Dali yang cukup ikhlas. Seorang anak yang mendengar kata walaupun perkara itu merubah masa depannya. Yang paling ibu suka ialah Dali tak meniru orang lain, Dali jadi diri Dali sendiri. Ibu cukup bahagia dua hari ini ditemani Dali di rumah,” pujuk Hajah Salmi sambil memegang jari Dalilah.
“Terima kasih ibu. Tapi mata Dali ni sepet. Ibu tak kisah ke cucu ibu nanti bermata sepet macam Dali...tak lawa,” ucap Dalilah polos.
“Jadi Dali terima Ahmad walaupun dia pengembala lembu? Dali tak mengesal?” soal Hajah Salmi.
“Menyesal? Untuk apa ibu. Bila papa dah terima maknanya itulah jodoh yang sesuai buat Dali. Pengembala lembu pun satu pekerjaan yang halal kan. Selagi abang berusaha tingkatkan ekonomi keluarga dengan tulang empat kerat selagi itulah Dali akan bersamanya dengan izin Allah,” jawab Dalilah ikhlas dan pasrah.
“Dali tak ada pilihan hati?” cungkil Hajah Salmi lagi.
“Maksud ibu boyfriend? Hahaha...tak sempat nak cari boyfriend dah kena pinang,” kongsi Dalilah polos.
“Hahaha... kalau macam tu bercinta dengan anak ibu sajalah. Ahmad tu nampak je poyo tapi dalam hatinya ada taman rama-rama,” gelak Hajah Salmi kelucuan.
“Payah Dali nak tangkap rama-rama ni ibu. Dali ni jenis takut dengan binatang. Dengan kucing pun, Dali takut. Eeeee geli,” cerita Dalilah.
“Hahahaha... kelakarlah Dali.”
“Betul ibu, Dali tak tipu. Dali sanggup berdiri atas meja bila kucing tu datang nak meleser kat kaki Dali. Geli,” cerita Dalilah sambil bahunya terangkat kegelian.
“Hahahaha...” Lagi panjang tawa Hajah Salmi.
“Ibu nak tahu... sekarang ni Dali tengah fikir bagaimana Dali nak bantu abang di ladang jika nampak lembu pun Dali dah mencicit lari. Tak dapat Dali bayangkan betapa kelakarnya Dali waktu itu.” Dalilah turut sama ketawa kecil.
“Hal itu nanti tahulah Ahmad nak buat macam mana nanti,” ucap Hajah Salmi penuh makna.
Airel yang berdiri di balkoni kamarnya mendengar setiap patah perbualan Dalilah bersama Hajah Salmi, tersenyum nakal. Ada saja akal untuk menguji Dalilah. Semalam disuruhnya Dalilah masak lauk kampung pun, berjaya dilepasi sehingga dua tiga kali Airel menambah nasi. Hajah Salmi dan Haji Tahir panjang sengehnya melihat telatah Airel.
“Mana boleh Dali lulus saja ujian yang aku berikan. Hari ini pun dia lulus. Bukan senang nak buatkan ibu gelak kuat macam tu sekali. Dali telah berjaya. Ibu dah jatuh cinta tahap gaban kat Dali. Aku? Apa hati aku rasa? Entah tak ada rasa pelik yang istimewa pun...tak ada cinta maka lambatlah nikah... hahahaha,” gelak Airel.
“Hai Airel, apa yang cakap sorang-sorang itu?” soal Haji Tahir di muka pintu bilik Airel.
“Ayah! Tak ada apa-apa pun. Ingatkan mesyuarat kat office tadi,” temberang Airel.
“Tentang tender pembersihan tiga biji kapal gula kita tu ke?” soal Haji Tahir.
“Ha’ah! Dengar cerita ada sebuah syarikat Jepun berminat untuk membida projek tu. Esok petang Airel jumpa dengan CEO dia,” cerita Airel.
“Mmmm... syarikat Jepun? Siapa pemiliknya?”
“Airel sudah selidik. Dulu syarikat ini dimiliki oleh orang Malaysia namun sekarang sudah diambil alih oleh orang Jepun bernama Anzu Dalilah Amuro. Menurut maklumat, baru seminggu pengambilalihan ini berlaku. Airel kurang pasti kapasiti syarikat ini. Sebab itu Airel nak jumpa dulu sebelum membenarkan mereka turut membida dalam projek kita ni ayah,” jelas Airel.
“Bagus juga tu, tapi ayah rasa tak salah kalau Airel beri peluang. Orang Jepun ni kalau bab kerja memang bersungguh. Tengok apa cadangan mereka. Lagi pun tarikh tutupnya pun seminggu saja lagi. Kalau dia betul serius dia akan bekerja mati-matian untuk menyiapkan dokumen tender itu. Bukan mudah Airel,” jelas Haji Tahir.
“Betul tu ayah. Tengoklah dulu esok macam mana. Ayah, Airel nak bawa Dali keluarlah malam ni,” pinta Airel.
“KE mana?” soal Haji Tahir sambil senyum meleret.
“Pasar malam?”
“Buat apa?”
“Shopping,” sengeh Airel nakal.
“Di pasar malam? Kamu tahu tak Airel, Dali itu anak Dato Mokhtar bukannya Haji Mokhtar... Mahu meroyan juga budak Dali tu dengan perangai kamu ni Airel,” geleng Haji Tahir.
“Nak try test tengok aje ayah. Airel tak nak isteri yang boros berbelanja. Lainlah dia punyai syarikat sendiri. Dia nak beli branded setiap hari pun Airel tak kisah. Duit dia. Kalau duit Airel dia kena ikut citarasa Airel. Jimat,” jelas Airel tegas.
“Jimat ke kedekut, Hahaha… Ayah nak tengok bila hati dah terpaut nanti, kamu tu jimat lagi ke tidak dengan budak Dali tu? Kamu jangan menyesal aje nanti Airel. Tak baik mainkan perasaan orang,” nasihat Haji Tahir.
“KITA nak pergi mana ni bang?” soal Dalilah yang lebih selesa dengan seluar denim biru dan t-shirt putih.
“Shopping,” jawab Airel selamba.
“Shopping apa memalam buta ni? Tak payah susah-susahlah bang. Dali tak perlukan apa-apa benda baru pun. Cukup dah apa yang Dali ada.”
“Esokkan Dali mula kerja. Abang nak belikan sepasang baju untuk Dali. Abang nak bawa Dali ke pasar raya ternama abang tak banyak duit. Setakat berbelanja di PM Mall tu mampulah.” Airel siap dengan mimik muka kesian.
“PM Mall? Tak pernah dengar pun. Kat mana tu?”
“Bangsar,” jawab Airel selamba.
“Bangsar?” garu kepala Dalilah.
“Pernah pergi?” soal Airel.
“Tak,” balas Dalilah yang masih memikir.
Pelik sangat nama pasar raya yang dikatakan Airel tadi. Selama membesar di Hulu Langat dan bersekolah di Lembah Klang. Dalilah boleh dikatakan jenis yang suka buat tawaf pasar raya dengan empat lagi teman baiknya itu. Mencari kedai buku terpakai memang aktiviti rasmi mereka. Bangsar memang tempat yang selalu menjadi destinasi santai mereka sebelum terbang ke Jepun empat tahun dulu. Mungkin pasar raya baru kot, siapa tahu duga hati Dalilah.
“Jom kita dah sampai,” ucap Airel yang memberhentikan kereta di tepi jalan.
“Sini?” soal Dalilah.
“Ya sinilah.” Senyum Airel.
“Pa-sar… Ma-lam… Bangsar?” soal Dalilah teragak agak.
“Ya. PM Mall stand for Pasar Malam Mall,” jelas Airel.
“Laaa kenapa tak cakap nak ke pasar malam? Ishhh abang ni, buat Dali cuak je,” kata Dalilah penuh kelegaan.
“Cuak?” soal Airel pelik.
“Yalah cuak. Dali tak nak abang membazir tak tentu pasal. Abangkan nak kumpul duit untuk kenduri kita nanti. Kalau duit tak cukup macam mana kita nak kahwin?” soal Dalilah polos.
“Hah?” Tercengang Airel.
Lain yang dirancang lain pulak jadinya. Dalilah memang seorang yang jimat cermat. Nak dibelikan baju siap diteliti dulu pakaian itu. Tak menepati cita rasanya dan dirasakan tak berpatutan dengan harga, dia tidak akan membelinya. Garu kepala juga Airel melayan sikap cerewet Dalilah memilih pakaian.
“Dali, abang tak peduli Dali berkenan atau tidak. Abang tetap nak beli juga kebaya nyonya ini. Abang nak Dali pakai esok,” tegas Airel yang sudah kepenatan dibuli Dalilah.
“Abang, Dali ni kerja kerani saja. Mana ada kerani pakai kebaya nyonya yang warna terang macam ni pergi kerja. Mahu terjojol biji mata bos tengok Dali nanti,” gelak Dalilah.
“Kalau tidak warna ini, ambil yang hitam ni. Take it or you stand here till midnight. Abang dah penat nak jalan ni,” kata Airel sambil menumbuk-numbuk betisnya.
“Hahahaha… kata penggembala lembu. Takkan baru jalan satu pasar malam ini pun dah lenguh kot. Ini mesti abang curi tulang ni... kesian kat lembu,” sakat Dalilah.
“Ini penggembala lembu moden. Main tekan guna iPad je. Lembu semua ada Bluetooth tak payah main pukul buntut. Minggu depan kita pergi tengok lembu abang nak?” sengeh Airel lucu dengan usikan Dalilah.
“Hahaha… first time dengar lembu pakai Bluetooth. Canggih sungguh usahawan lembu depan Dali ini ya. Nasib baik tidak dibluetoothkan tunang dia.”
Oooo sudah pandai kenakan aku ya. Boleh tahan juga kepala sengal tunang aku ni ya. Aku blue-kiss tengkuk dia nanti ada yang tak angkat muka esok pagi. Nak cabar aku, tengok kaki lah, sengih Airel.
“Amoi, this color. M size,” suruh Dalilah terus ke sebelah sana.
Airel duduk di kerusi bulat memerhati Dalilah memilih dan menyarung kebaya nyonya itu di dalam gerai. Dalilah yang putih dipadankan dengan kebaya nyonya warna hitam berbunga merah memang menyerlah sekali penampilannya. Tak sabar rasanya nak tunggu esok untuk melihat Dalilah memakai kebaya. Ada yang tak tidur malam ini kang. Sengeh Airel berangan sendirian.
“Eh! Abang buat apa kat sini?” tegur seorang perempuan.
Share this novel