MATAHARI memancarkan sinarnya yang terik. Dalam cuaca yang panas membahang itu, orang ramai tetap memenuhi setiap pelosok jalan di ibu kota negara. Di sebatang jalan, sebuah kereta Lamborghini memecut dan memotong beberapa buah kenderaan lain. Deruman enjin kereta mewah tersebut telah menarik perhatian beberapa pengguna jalan raya. Terderik rasa teruja dan keinginan untuk memiliki kenderaan yang sama di hati mereka. Namun bagi kebanyakan orang, impian untuk memiliki kereta mewah tersebut hanyalah akan kekal sebagai angan-angan sahaja.
Bagi pemandu kereta itu pula, impiannya selama ini telah pun tercapai. Rizal yang sudah lama teringin untuk mengenderai kenderaan tersebut kini girang memandu, mempamerkan kemahirannya dalam mengawal pemanduan. Di sebelahnya, Amira sudah pun berdebar kencang jantungnya dan sesekali wanita itu terjerit kecil apabila Rizal memecutkan kenderaan. Beberapa hari yang lalu, mereka sudah pun kembali ke ibu kota setelah Amira bersetuju untuk tinggal bersama keluarga suaminya itu.
Tadi mereka baru selesai membeli belah di sebuah mall. Setelah berpuas hati berbelanja, suami isteri itu memutuskan untuk bersiar-siar di sekitar ibu kota sambil Rizal ingin mempamerkan aksinya dalam mengenderai kenderaan mewah yang sudah lama dia idamkan. Setelah membelok ke satu selekoh, Rizal mulai memperlahankan kenderaannya akibat pergerakan trafik yang sedikit sesak.
Sambil berbual dengan Rizal yang sedang memandu, Amira melemparkan pandangannya ke arah luar tingkap dan memerhati suasana sekeliling. Seketika kemudian, fikiran Amira sedikit terganggu. Dia mula mengimbau kenangan masa lalunya. Dia masih mengingati selok belok dan persekitaran di sana. Di situlah Amira pernah bergelandangan pada beberapa hari yang lalu. Ketika mereka melintasi sebuah perhentian bas, Amira terkenang kembali saat dia melarikan diri daripada anjing liar yang menggonggong kepadanya.
"Abang.. kat situ restoran Delisha.. tempat sayang kerja dulu.. jom kita singgah kat situ jap.." Pinta Amira kepada Rizal. Dia teringatkan jasa baik Delisha kepadanya selama ini. Selama dia bergelandangan, wanita itulah yang sudi membantunya. Memberinya makan dan tempat tinggal, malah menawarkan pekerjaan sementara kepadanya agar dia memiliki wang untuk kembali ke kampung. Amira tersenyum sendiri apabila mengenangkan kejadian lepas. Dia bahkan belum menerima gaji dari pekerjaannya itu daripada Delisha. Baginya, soal gaji itu tidak ingin dia hiraukan. Budi baik Delisha terhadapnya sahaja sudah tidak mampu dia balaskan. Dia menganggap dirinya bekerja di sana ketika itu, cukuplah sekadar untuk membalas jasa baik wanita tersebut.
Mendegar permintaan Amira, Rizal segera menghentikan kenderaannya apabila melihat satu petak kosong pada ruang parkir di sana. Selesai parkir, mereka suami isteri segera keluar dari kereta. Beberapa mata orang disekitar asyik memandang ke arah mereka. Masakan tidak, kenderaan yang dibawa oleh Rizal itu jarang sekali ditemui. Kereta yang harganya mencecah sehingga jutaan ringgit itu tidak mampu dimiliki oleh orang kebanyakan.
Amira dan Rizal kemudian segera melangkah menuju ke arah restoran Delisha. Menjejakkan kaki di hadapan pintu masuk restoran, Amira agak teruja untuk bertemu kembali dengan wanita yang pernah membantunya itu. Namun bagi Rizal pula, dia sedikit tidak senang kerana mengingatkan kejadian dimana Juana telah menyerang Amira dan telah memukul kepalanya. Hati Rizal penuh dengan rasa benci apabila mengenangkan Juana. Wanita itu menjadi salah satu punca kenapa Amira melarikan diri daripadanya. Malah dia sama sekali tidak akan memaafkan wanita yang sudah menyerang Amira dan cuba membunuh isterinya itu.
Masuk ke dalam restoran, Amira dan Rizal mendapatkan meja di suatu sudut dalam restoran tersebut. Menyedari kehadiran suami isteri tersebut, Delisha yang berada di meja kaunter segera mendatangi temannya itu.
"Mira... tak sangka awak nak datang lagi ke sini.." Delisha menyapa seraya bersalaman dan berpelukan dengan Amira.
"Awak dah banyak tolong saya selama ni.. saya takkan lupa jasa dan budi baik awak kat saya.. saya mesti datang lagi.. ke awak dah taknak jumpa dengan saya?" Amira berseloroh sambil membalas pelukan Delisha dan melagakan pipi mereka.
"Ish, apa pulak tak nak jumpa.. awak pun bukan orang lain, isteri Riz.. Riz dan saya dah lama berkawan.. keluarga kami pun rapat." Delisha membalas. Dia kemudian mengalihkan pandangannya kepada Rizal.
"Hai Riz.. how are you? lama tak jumpa.. awak datang baru ni pun, tak sempat nak bertegur, awak dah pengsan.." tanya Delisha sambil tertawa kecil. Dia mula terbayangkan keadaan Rizal yang cedera selepas menerima pukulan daripada Juana yang menggunakan pinggan porselin di restorannya. Namun lelaki itu cukup kuat untuk menerima pukulan tersebut. Dia bahkan sempat menampar Juana sebelum dirinya rebah, tidak sedarkan diri.
"I'm fine, as you look right now.." jawab Rizal sambil tersenyum. Amira memandang ke arah suaminya. Itu kali pertama dia mendengar suaminya itu berbicara di dalam bahasa inggeris, walaupun hanya sepotong ayat yang ringkas. Dia kembali teringat akan kata-kata Shahira suatu ketika dahulu. Rizal adalah lulusan Universiti dari luar negara dan sangat fasih berbicara bahasa inggeris. Cuma dia sama sekali tidak pernah mendengar suaminya bertutur menggunakan bahasa asing tersebut.
"Sorry la.. saya tak dapat pergi ke majlis kat rumah awak hari tu.. daddy i je yang pergi.. i masa tu sibuk nak urus restoran ni.. masa tu baru je bukak.. so, banyak benda yang tergendala.. kalau saya pergi hari tu, mesti dah kenal dengan Mira dari awal.. dah dua, tiga hari Mira kat sini, saya langsung tak tahu Mira ni your wife.. saya tahu pun sebab Juana yang bagitau.." Delisha memberi penerangan. Namun apabila nama Juana disebut, Rizal dan Amira mula berubah riak wajah mereka. Menyedari hal tersebut, Delisha segera mengubah topik perbualan.
"So, korang dari mana sebenarnya ni?"
"Kami jalan-jalan je, ronda-ronda KL.. kebetulan lalu kat sini, saya ajak Riz singgah kat restoran ni jap.." Amira segera menjawab.
"Oh, saya lupa nak bagi gaji awak hari tu.. hari tu, semua pakat kalut bawa Riz pergi hospital.. sampai saya pun lupa nak bayar gaji awak.. takpe, nanti saya bagi.." Delisha mulai teringat mengenai bayaran gaji yang tidak dilunaskan kepada Amira.
"Eh, tak payah la.. anggap je tu bantuan saya kat awak sebab dah bagi saya makan minum, tempat tinggal, pakaian masa tu.. budi baik awak tu, walau saya kerja seumur hidup kat sini pun saya tak mampu nak balas balik." balas Amira, cuba menolak bayaran yang akan diberikan.
"Mana boleh macam tu.. janji tetap janji.." Delisha cuba berkeras.
"Sekarang dia tak kekurangan duit pun.. dia tu menantu Tan Sri Hanafi.. berapa awak nak bayar gaji dia?" Rizal pula bersuara. Delisha menelan liur. Dia sedar, status dan kekayaan keluarga Rizal jauh mengatasi kekayaan keluarganya.
"Kerja tiga hari, kalau 50K cukup tak?" Delisha berseloroh seraya tertawa.
"Ha, bagi cepat.." Rizal menghulurkan tangan sambil ketawa.
Dalam mereka sedang tertawa dengan gembira, tiba-tiba Delisha mula perasan dengan satu kelibat di luar restoran. Melalui cermin kaca yang lut sinar, Delisha melihat Juana sedang berjalan di luar restorannya dan menuju ke arah pintu masuk. Dia segera melihat ke arah salah seorang pekerjanya seraya memberikan arahan.
"Tutup pintu cepat! kunci pintu, jangan bagi perempuan tu masuk!"
Pekerja restoran yang berada berdekatan pintu masuk segera melaksanakan arahan daripda Delisha. Pintu masuk restoran segera dikunci agar Juana tidak dapat masuk ke sana. Rizal dan Amira turur memandang ke arah kelibat Juana yang berada di luar restoran. Apabila wanita itu tiba dipintu masuk, dia cuba membuka pintu, namun gagal. Wanita itu kemudian menjerit bagaikan orang gila di luar restoran.
"Isha! buka pintu ni.. bagi la aku masuk!"
Jeritan wanita itu langsung tidak diendahkan. Delisha hanya tersenyum puas. Dia sama sekali tidak ingin berurusan dengan Juana.
"Kenapa? bukan ke dia tu your best friend?" tanya Rizal setelah pelik melihat layanan Delisha kepada Juana.
"Not anymore.. orang macam tu tak layak dibuat kawan.. i admitted, sebelum ni dia memang kawan baik i.. tapi sikap dia, perbuatan dia, saya tak boleh nak terima.. lagi-lagi apa yang dia dah buat kat you and your wife.. you and Mira also my friends. Tapi yang salah tetap salah.. saya takkan sokong perbuatan salah dia.. apa lagi sekarang ni dia dah positif HIV.. tak nak la saya berkawan dengan orang macam tu.. tak pasal-pasal berjangkit kat saya pulak." Delisha menjawab dengan terus terang.
"Positif HIV?" Amira terlopong. Rizal hanya mendiamkan diri. Delisha pula mengangguk seraya mengiyakan.
"Dia suka amalkan seks bebas.. sekarang, terima la akibatnya.."
"Astaghfirullah alazim.. nauzubillahi minzalik.." Amira yang terkejut segera beristighfar dan mengucap panjang.
Delisha kemudian segera mendapatkan telefon bimbitnya dan membuat panggilan kepada balai polis. Dia ingin membuat laporan mengenai gangguan yang dihadapi di restorannya oleh Juana yang sedang mengamuk. Tatkala itu juga, Eddy yang berada di ruang dapur muncul dan segera mendekati Delisha yang sedang bersama Rizal dan Amira.
"Hei Riz.. lama tak jumpa.. how are you?" Eddy langsung menyapa Rizal setelah menyedari kehadiran lelaki tersebut.
"I'm fine Eddy.. how about you?" Rizal berdiri dari kerusi dan bersalaman dengan Eddy.
Amira pula terbeliak matanya memandang ke arah Rizal. Dia menyedari sesuatu yang janggal pada suaminya itu.
"Abang, macam mana abang kenal Eddy?" tanya Amira, meluahkan persoalan yang bermain dibenaknya.
"Kami memang dah kenal lama.. hampir dua puluh tahun dah." jawab Rizal dengan selamba dan kembali meletakkan punggungnya dikerusi.
"Tak.. maksud sayang, macam mana abang ingat dengan dia? bukan ke abang dah tak ingat apa-apa?" Amira cuba mengingatkan suaminya jika lelaki itu dalam keadaan amnesia dan lupa ingatan. Padahal selama ini, Rizal langsung tidak mengingati apa-apa mengenai memori sebelum dua tahun lebih yang lalu.
"Ah, abang lupa nak bagitau.. sebenarnya lepas sedar kat hospital masa kena pukul hari tu, abang dah ingat kembali semuanya.. abang dah ingat pasal perkenalan kita.. pasal keluarga abang.. pasal kehidupan abang sebelum ni.." Rizal memberikan penjelasan. Setelah kepalanya dipukul oleh Juana dengan keras, dia sendiri tidak menyangka, memori lepasnya yang sudah hilang akhirnya didapati kembali. Awalnya lelaki itu menjadi bingung seketika setelah sedarkan diri dan selepas beberapa ketika, dia baru menyedari jika ingatannya pada masa lalu sudah dia dapatkan kembali.
"Tapi abang tak bagitau pun.."
"Hmm.. macam mana abang nak bagitau.. abang sedar lepas tu, tengok sayang dah takde.." Rizal memberikan alasan.
"Masalahnya, kita dah kembali bersama dah berapa hari? kenapa selama masa beberapa hari ni abang takde cakap?" Amira masih tidak puas hati.
"Emm.. entahlah.. abang takde masa nak bagitau.. lagipun tak penting pun kan.. bagi abang, kalau sayang ada kat sisi abang, itu dah cukup.. pasal memori, kenangan abang pada masa lepas, tak penting pun.."
"Apa pulak tak penting.. penting la.." Amira menjeling sambil memuncungkan mulutnya.
"Apa yang pentingnya? Abang tetap sama je kan? malah abang rasa, lebih baik abang tak ingat apa-apa.. abang menyesal dah dapat kembali ingatan dulu.."
"Eh, kenapa menyesal pulak?" Amira merasa pelik dengan penyataan suaminya.
"Hmm.. abang dulu sebenarnya jahat.. abang bukan macam yang sayang kenal.. tapi abang syukur sebab dah kenal dengan sayang.. sayang dah banyak ubah hidup abang, bawa abang ke jalan yang lebih baik.."
"Sayang tak tahu la perangai abang masa lalu.. tapi sebelum abang hilang ingatan pun, sayang rasa abang ni orang yang baik." Amira tersenyum menyampaikan pandangannya.
"Riz dulu baik? baik ada makna tu.." Eddy melepaskan tawa, cuba mengusik temannya. Delisha turut tertawa.
"Riz memang betul jahat ke dulu?" Amira bertanya.
"Emm.. nak kata jahat tu tidak la.. dia takde la merompak, menyamun ke.. hisap dadah pun tak.. tapi nakal anak muda tu, biasa la.. tapi, setidaknya sekarang dia jauh lebih baik.." ulas Eddy.
"Takkan la anak Tan Sri Hanafi nak merompak, menyamun.. habis tu, dia jahat macam mana?" Amira masih ingin tahu.
"Dia.. " Eddy cuba membalas. Namun lelaki itu menghentikan tindakannya apabila Rizal berdehem dengan keras beberapa kali.
"Aa.. rasanya, tak perlu la nak bercakap aib orang masa lalu kan.. lagipun Riz sekarang pun dah berubah.. saya tak nak cakap lebih-lebih.." Eddy menjawab sambil membuat isyarat menutup mulut dengan jari tangannya, seolah mulutnya dizip rapat.
"Risau la tu.. takut orang tahu perangai tak senonoh dia dulu.." Amira mengusik Rizal sambil mencucuk pinggang suaminya itu dengan jari telunjuknya. Rizal mendengus perlahan. Dia kemudian melihat ke arah Juana yang berada diluar restoran. Dua orang anggota polis mendatangi wanita tersebut dan menariknya pergi dari sana.
Rizal kesal. Dahulu dia pernah berzina dengan perempuan tersebut. Ingatannya kini sudah jelas. Bahkan dia sudah ingat jika mereka sudah pun memutuskan hubungan setelah Rizal mengetahui perbuatan Juana yang turut berzina dengan lelaki lain. Lebih teruk lagi, lelaki itu juga merupakan salah seorang kenalannya. Di dalam hatinya, Rizal benar-benar menyesali akan dosa masa lalunya. Dia beristighfar agar dosa lalunya diampunkan oleh Tuhannya yang Maha Pengampun.
Share this novel
yey, Riz dh dpt blik ingatan dia, skrg dh bhgia ngn Amira blik...tp bretul ke mama Riz tu boleh terima Amira sepenuhnya? wah jln² bwa lambo...