Bab 5

Romance Series 10414

KURANG daripada enam bulan, segala persiapan majlis sudah selesai. Semuanya diuruskan oleh Puan Mawar dan Puan Embun. Afka dan Ajana hanya mengikut apa saja pilihan orang tuanya itu.

“Kak, betul ke akak nak kahwin dengan Afka ni?” soal Ajmal. Dia baru je sampai Malaysia dua hari lepas.

Bila dia tahu yang kakaknya itu bakal berkahwin, dialah orang paling paling gembira sekali. Tapi bila tahu bakal suami kakaknya itu adalah Afka, Ajmal terkejut.

Bukannya dia tak tahu Afka itu musuh utama kakaknya. Pantang berjumpa, ada saja benda yang nak digaduhkan. Tiba-tiba nak kahwin pula. Pelik!

Keluhan panjang terlepas daripada bibir Ajana. Ikutkan hati dia juga tidak mahu. Tapi mengenangkan ibu dan abahnya, Ajana tak sampai hati nak kecewakan mereka.

“Akak cerita ni, jangan beritahu sesiapa tau,” pesannya.

Ajmal mengangguk.

“Sebenarnya akak terima lamaran daripada Cik Embun sebab ingatkan lamaran tu daripada Abang Afnan. Akak tahu lamaran tu sebenarnya daripada Afka,” cerita Ajana.

Ajmal nampak terkejut. “Dah tu kenapa akak tak beritahu ibu dengan abah hal yang sebenar je? Takkan akak sanggup nak kahwin dengan orang yang akak tak cinta.”

“Cakap memanglah senang. Tapi semudah tu. Semua persiapan dah dibuat. Akak tak nak ibu dengan abah kecewa.”

Ajmal garu kepalanya yang tidak gatal. Dia juga buntu. Tak tahu macam mana nak tolong kakaknya itu.

“Mal rasa Afka tu okey je kut. Zaman sekolah dulu biasalah, dia nakal sikit. Sekarang mungkin dah matang. Dah jadi lawyer dah pun.”

Ajana mencebikkan bibirnya. Baginya Afka langsung tak berubah. Tak habis-habis nak sakitkan hati orang. Kalau tak mengusik tu, bukan Afka lah.

“Jadi akak betul-betul dah fikir? Masih sempat lagi untuk akak patah balik.”

Ajana menggeleng. “Akak tak boleh nak pentingkan diri. Semua persiapan dah siap.”

“Mal tak tahu macam mana nak tolong akak. Tapi Mal doakan semoga rumah tangga akak dengan Afka akan bahagia macam orang lain.”

Ajana tersenyum nipis. Dia tidak meletakkan apa-apa harapan dalam perkahwinan ini.

“Tapi satu yang Mal yakin, Afka tak akan sakitkan akak.”

“Sakitkan hati tu mungkin.” Ajmal tayang sengih.

“Tahu pun!”

HARI ini berlangsungnya majlis pernikahan Afka dan Ajana yang akan diadakan di masjid berhampiran rumah keluarga Ajana.

Ajana sudah bersiap dengan mengenakan baju kurung moden yang klasik berwarna putih. Terdapat lace halus di bahagian lengan dan hujung bajunya. Solekan di wajahnya kelihatan natural saja. Atas permintaan Ajana sendiri.

“Kak, dah siap? Semua dah tunggu nak pergi masjid tu.” Ajmal menyoal di muka pintu.

Perasaan Ajana ketika ini bercampur-baur. Dia mula merasa gelisah. Betul ke dengan keputusan yang dia buat ni? Keputusan yang akan mengubah seluruh hidupnya.

Nafas ditarik dalam-dalam. Cuba menenangkan dirinya. Apapun yang berlaku, majlis tetap akan berjalan juga. Sebentar saja lagi statusnya akan berubah menjadi isteri Afka.

SEMUA ahli keluarga dan tetamu sudah berkumpul dengan wajah yang sangat ceria. Tidak sabar ingin menyaksikan pasangan pengantin itu disatukan.

Namun ada sedikit keresahan apabila Afka masih belum tiba. Tadi Afka kata mahu memandu kereta sendiri ke masjid. Jadi ahli keluarga yang lain tiba dahulu sebelumnya.

“Mana Afka ni?” soal Encik Bahar risau.

“Afnan, telefon adik kamu cepat,” gesa Puan Embun. Dia juga risau. Tu lah, tadi dia suruh Afka naik kereta sekali dengan mereka Afka tak mahu. Katanya mahu pulang berdua dengan Ajana selepas majlis akad.

Afnan hanya menurut. Dia bangun dan berlalu keluar daripada masjid. Jari pantas mendail nombor Afka.

Keluhan berat meniti di bibirnya. Panggilannya tidak berjawab. Ke mana pula Afka pergi ni?

“Sabar ya Ajana. Sekejap lagi Afka sampailah tu,” pujuk Puan Mawar. Dapat dia rasakan kegelisahan hati anaknya itu ketika ini. Tentu saja Ajana risau

Ajana hanya mampu tersenyum hambar. Dalam masa yang sama rasa risau melilit tangkai hati. Dia tertanya-tanya mengapa Afka tidak muncul. Adakah lelaki itu sengaja tidak mahu muncul hari ini? Entah-entah Afka sengaja nak malukan dia kut. Macam-macam yang bermain di minda Ajana ketika ini.

“Haa, Afka dah sampai.”

Ajana terus pandang ke arah pintu masjid. Afka sedang berjalan masuk. Akhirnya Ajana mampu menarik nafas lega. Wajahnya yang penuh dengan kerisauan tadi langsung berubah. Dia rasakan seakan ada beban besar yang sudah terangkat.

“Maaf sebab lewat,” ucap Afka. Wajahnya masih nampak tenang walaupun dalam keadaan terburu-buru.

Sewaktu dalam perjalanan ke masjid tadi, tiba-tiba nafasnya terasa sesak sehingga dia terpaksa menghentikan pemanduannya seketika. Sampai dia betul-betul rasa okey, barulah dia memandu kembali.

“AKU terima nikahnya Ajana Binti Aziz dengan mas kahwin sebanyak tiga ratus ringgit tunai.”

Dengan sekali lafaz Ajana sah menjadi isteri kepada Izz Afka. Sekelip mata statusnya sudah berubah. Rasa macam tidak percaya. Rasa macam dia tengah bermimpi tapi itulah hakikatnya saat ini. Dia sudah menjadi hak milik Afka sepenuhnya.

Afka bangun dan berjalan ke arah Ajana untuk sesi pembatalan air sembahyang. Afka duduk di hadapan Ajana. Matanya tak lepas daripada menatap wajah wanita yang sudah bergelar isterinya itu. Ajana nampak cantik sangat hari ni. Buat jantungnya berdegup kencang.

“Assalammualaikum isteri.”

Ajana terkedu seketika. Perkataan isteri yang terbit di bibir Afka berikan dia satu rasa asing yang tak mampu diungkap dengan kata-kata.

Perlahan-lahan Ajana angkat wajah. Beranikan diri bertentang mata dengan Afka. Afka langsung tersenyum saat pandangan mereka bertaut.

Senyuman Afka... Ajana tak pernah nampak Afka senyum begitu di hadapannya selama ini.

“Waalaikumsalam.” Perlahan saja suara Ajana menjawab salam.

Afka perlahan-lahan menyarungkan cincin di jari manis Ajana. Jari-jemari Ajana terasa dingin di bawah sentuhan Afka, menandakan debaran hatinya yang tak mampu disembunyikan. Setelah cincin tersarung, Ajana menyalami tangan Afka buat pertama kalinya. Hatinya berdebar-debar.

“Kenapa tangan kau sejuk? Kau takut eh?” Sempat lagi Afka mengusik.

Ajana tak membalas. Hanya jelingan dipulangkan pada Afka.

“Jangan takut.” Serentak dengan itu Afka menarik perlahan dagu Ajana. Dia tunduk menghadiahkan ciuman pada dahi isterinya itu.

Tindakan Afka itu buatkan Ajana terkejut seketika. Dan inilah permulaan mereka sebagai suami isteri.

“AKU ingat kau sengaja tak nak datang tadi,” ujar Ajana sebaik dia masuk ke dalam kereta Afka.

Majlis pernikahan mereka sudah tamat. Semua ahli keluarga sudah pulang ke rumah untuk membuat persiapan majlis resepsi mereka yang bakal berlangsung pada esok hari.

Afka senyum. “Kau ingat aku akan lari? Ni bukan drama TV3, Ajana.”

Ajana mencebik. “Manalah tahu kalau kau memang sengaja nak kenakan aku.”

“Kau takut kalau tak jadi kahwin dengan aku?” usik Afka.

“Jangan nak perasan. Aku cuma tak nak keluarga kita malu je kalau majlis tak jadi.”

“Jangan risau. Aku tak akan mungkir janji aku pada kau.”

Ajana terdiam. Dia langsung memalingkan wajah ke luar tingkap.

“Ajana, kau lapar tak?” soal Afka tiba-tiba.

Ajana pandang Afka kembali. Dia mengangguk. Afka pun lapar ke? Daripada pagi tadi dia belum menjamah apa-apa makanan.

“Kita pergi cari makan,” putus Afka. Nasib baiklah dia memandu sendiri. Sekurang-kurangnya boleh culik Ajana bawa pergi dating sekejap.

“Tak apa ke? Baik makan dekat rumah je.”

“Dekat rumah ramai orang. Confirm kita kena kerumun nanti.”

Sudahnya Afka membawa Ajana makan di sebuah kedai mamak. Waktu mereka sampai, pelanggan-pelanggan di kedai itu memandang mereka dengan pandangan yang pelik.

Ya lah, dengan pakaian nikah tersarung dekat badan lagi mereka dah singgah makan di kedai mamak. Mahu orang tak pelik. Nasib baiklah baju Ajana tak meleret-leret sangat.

Afka tersenyum melihat Ajana menikmati makanannya.

“Kesian isteri aku ni, lapar ya?” Sempat lagi dia mengusik Ajana.

“Sibuklah!” marah Ajana. Nasib baik Afka bawa dia pergi makan, tak adalah dia marah sangat sebab Afka datang lewat waktu majlis pernikahan mereka tadi.

Afka ketawa. Hatinya senang. Sungguh hari ini adalah hari paling bahagia dalam hidupnya. Siapa sangka kini Ajana sudah menjadi isterinya yang sah. Afka berjanji pada dirinya yang dia akan melindungi Ajana dan mencintai wanita itu sampai hujung nafasnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience