Bab 1

Romance Series 63831

ESAKAN manja Aneesa semakin memecah nyaring ketika munculnya Adham di depan mata. Tidak menunggu ditanya, lututnya yang lebam berdarah terus ditunjukkan kepada lelaki itu. “Abang, abang tengok. Kaki Anes… ada darah!“ Dia mengadu sebelum tangisannya kembali meledak.

“Kau jatuh?” soal Adham sambil menundukkan tubuh. Lutut Aneesa diamati lalu disentuh lembut.

“Jatuh sebab Ira tolak Anes!”

Riak Adham langsung berubah. Dia sudah mengagak semua itu sudah pasti perbuatan Nadirah tetapi adik bongsunya itu mana boleh ditegur. Anak mak sangat-sangat. Silap-silap, dia pula yang akan dimarahi oleh ibunya nanti.

“Aku sapu ubat. Jom, masuk dalam.”

Aneesa masih mencebik manja ketika Adham menarik tangannya. “Anes rasa Anes tak dapat jalan. Sakit,” renggeknya perlahan-lahan sebelum mendepangkan tangannya ke arah Adham.

Mahu tak mahu terpaksa jugalah Adham menurut. Mujur sahaja tubuh Anessa itu kecil molek, tidak segendut Nadirah.

Aneesa bercurian tersenyum ketika Adham mengangkat tubuhnya. Walaupun lelaki itu sentiasa terlihat dingin dan serius, namun tidak pernah sekali pun Adham menidakkan kemahuannya. Kadang-kala, layanan baik Adham itu jugalah yang selalu membuatkan Nadirah cemburu dan tidak berpuas hati sedangkan dia adik kandung Adham, Aneesa pula hanya orang luar yang menumpang hidup.

Ketika sudah berada di dalam ruang tamu, Adham terus meletakkan Aneesa di atas kerusi sebelum berebutan mengambil peti pertolongan cemas.

“Kenapa bergaduh? Kenapa Ira tolak kau?” soal Adham sambil mula merawat luka Aneesa. Sengaja dia mengajak anak kecil itu berbual kerana mahu mengalihkan perhatiannya daripada rasa pedih apabila luka itu dicuci nanti.

“Ira marah sebab Anes kata baju dia besar. Anes cuma kata baju dia je yang besar, bukan badan dia. Tu pun nak marah. Anes rasa Anes tak suka Ira. Sikit-sikit marah, sikit-sikit nangis.” Aneesa terus meluah bersama muncungan bibir yang comel.

“Lepas tu kat sekolah dia kata Anes yang rampas Syafiq daripada dia. Anes tak suka pun Syafiq tu, abang. Hari tu Anes cuma pinjam pemadam dia kejap je sebab pemadam Anes, Ira juga yang ambil. ” Bersungguh-sungguh bercerita tanpa sedar Adham sudahpun selesai mencuci lukanya.

“Boyfriend Anes cuma abang je. Masa Anes cakap kat Ira yang Anes ni girlfriend abang, dia pun marah jugak. Dia kata tak sesuai sebab abang dah tua. Anes tengok abang tak tua pun, rambut pun belum putih lagi. Kalau macam atuk Yan tu, baru tua kan abang?”

“Hmmm…” Adham hanya menggumam, tidak menanggapi langsung akan kata-kata Aneesa itu. Entah apalah yang direpekkan oleh budak kecil itu pun dia malas mahu melayan. Hal budak-budak hingusan dia tidak mahu masuk campur. Tak penting, merapu sahaja lebih.

Setelah selesai menampal plaster pada luka Aneesa, dia menyimpan peti pertolongan cemas tadi ke tempat asalnya semula. “Hari ni jangan main kat luar. Duduk elok-elok kat rumah.”

“Abang nak ke mana?” tanya Aneesa ketika melihat Adham mahu menaiki anak tangga.

“Bilik.” Adham membalas sepatah sambil menunjuk ke arah tingkat atas.

Aneesa terus mengeluh kecewa. Belum puas sebenarnya hendak berbual dengan lelaki itu walaupun tahu Adham jarang sekali mahu melayan perbualannya. Cara Adham memang seperti itu, sentiasa terlihat angkuh dan tidak mesra. Namun kebaikan hatinya, orang-orang terdekat sahaja yang tahu.

Adham merupakan anak sulung Ghazi bersama Kamilia, baru sahaja tamat tingkatan lima. Yang kedua pula ialah Hakeem. Hakeem muda lima tahun daripada Adham. Jika hendak dibandingkan antara Adham dengan Hakeem, Hakeem lebih ceria dan mesra. Cuma yang membuatkan Aneesa tidak suka adalah sikap Hakeem yang terlebih nakal dan suka mengusik itu sahaja. Meletakkan ular mainan di dalam beg sekolah Aneesa memang sudah menjadi kebiasaan Hakeem. Dia tahu Aneesa geli melihat ular dan disebabkan itu jugalah dia sanggup menghabiskan duit belanjanya untuk membeli beberapa jenis ular mainan. Walaupun begitu, dalam diam Hakeem juga selalu mengambil berat tentang diri Aneesa. Di sekolah, tidak ada yang berani membuli Aneesa mahupun Nadirah kerana masing-masing gerun dengan kenakalan dan sikap raja Hakeem itu.

KETIKA melihat kepulangan Ghazi, Aneesa terus berlari mendapatkan lelaki itu. Senang hati kerana sejak tadi lagi dia sudah tidak sabar-sabar mahu menyampaikan sesuatu kepada Ghazi.

“Papa, papa! Anes nak tunjuk ni! Papa tengoklah!”

Tersisa rasa penat setelah seharian bekerja di pejabat, namun Ghazi tetap gigih melakarkan senyuman manis untuk anak angkatnya itu. “Hmmm, Anes nak tunjuk apa?” soal Ghazi sambil mengusap belakang tubuh Aneesa dengan lembut.

“Anes dapat nombor satu kat kelas lagi, papa! Markah ujian Anes semuanya dapat 100! Ni, papa tengok ni!” ujar Aneesa sebelum menghulurkan buku kecil yang sedang dipegang.

Ghazi menyambut lalu menyelak helaian demi helaian. Terlalu bangga dengan kejayaan Aneesa namun ada satu rasa lain yang lebih kuat mencengkam hatinya ketika itu.

Sebak.

Kalaulah arwah Zahaidi masih ada, sudah pasti sahabatnya itu akan berasa sangat gembira melihat pencapaian Aneesa. Dalam bab pelajaran, Aneesa memang selalu akan berusaha melakukan yang terbaik.

“Wah, bijaknya anak papa. Tahniah, Anessa. Teruskan usaha tu lagi. Belajar rajin-rajin, pandai-pandai. Bila Anes dah besar nanti, papa nak Anes tolong papa kat office tu. Boleh?” Bibir lelaki itu tersenyum namun jari kasarnya masih lagi sempat mengesat air mata yang terlanjur jatuh setitis. Tak kisahnya kandung atau angkat sekali pun, dia tetap ikhlas menyayangi anak-anaknya sama rata.

“Boleh. Anes janji, besar nanti Anes akan tolong papa kat office. Tapi… boleh tak Anes minta hadiah?” Aneesa tersengih.

“Mestilah boleh. Anak papa nak hadiah apa? Nak yang mahal-mahal pun papa tak kisah, papa akan belikan!” ujar Ghazi sambil tersenyum senang. Dia menundukkan tubuh untuk menyamai ketinggiannya dengan Aneesa.

“Plasticine.”

Langsung berkerut muka Ghazi mendengar jawapan Aneesa itu. Ada banyak benda yang jauh lebih menarik untuk dibuat hadiah, kenapa tanah liat itu juga yang diminta oleh anak angkatnya itu?

“Plasticine? Kenapa pula nak plasticine?”

“Sebab Anes nak buat banyak bentuk biskut raya. Besar nanti, Anes nak buka kedai roti juga, papa.” Anes menjawab polos.

Ghazi kemudiannya menggeleng, namun kembali tersenyum. “Ya lah, esok papa belikan plasticine banyak-banyak untuk Anes. Okey?”

“Okey, papa. Terima kasih, papa. Sayang papa!”

“Papa pun sayangkan Anes juga. Ingat, belajar rajin-rajin tau? Papa naik dulu, nak mandi.”

Aneesa mengangguk, masih tersenyum gembira memerhatikan susuk Ghazi naik ke tingkat atas. Teruja, tak sabar pula dia hendak bermain dengan plastisin yang dijanjikan oleh Ghazi esok.

Aneesa memusingkan tubuhnya, juga berniat mahu menaiki tingkat atas. Namun pergerakannya itu langsung terhalang sebaik sahaja ada tangan lain yang tiba-tiba sahaja memukul bahunya dengan kasar.

“Tak malu! Minta hadiah kat papa orang!” tengking Nadirah namun tidak selantang biasa kerana bimbang Ghazi akan mendengar. Belum sempat Aneesa mahu membuka mulut, Nadirah terus menolak tubuhnya sehingga terduduk di atas lantai. “Mama dengan papa Anes dah mati! Papa Ira bukannya papa Anes! Kalau Anes berani minta hadiah dari papa Ira lagi, Ira akan bagitahu semua orang yang Anes sukakan Cikgu Mazlan!”

“Mana ada suka! Ira jangan suka hati cakap!”

Namun Nadirah tetap tak kisah, malah semakin seronok menjelirkan lidahnya ke arah Aneesa. “Besar nanti, Anes kahwin dengan Cikgu Mazlan. Dahlah muka dia tak hensem. Hitam, rambut depan pun bergulung-gulung macam ombak. Dia kan selalu puji Anes.” Nadirah tayang riak menyampah. Dia paling benci dengan Mazlan kerana guru kelasnya itu seorang yang sangat tegas dan selalu sahaja memarahinya.

Membayangkan yang dirinya akan berkahwin dengan seorang guru yang garang itu membuatkan Aneesa terus mencebik kalut. Dia terlalu takut jika kata-kata Nadirah itu akan menjadi kenyataan. “Tak nak! Cikgu Mazlan bukan boyfriend Anes. Anes cuma nak kahwin dengan abang Am je!”

“Abang Am tak sukakan Anes pun. Minggu depan abang Am nak pergi rumah Uncle Faizal, kat Australia. Abang Am nak belajar kat situ. Lepas ni, tak ada orang yang akan pedulikan Anes lagi dah. Nanti Ira suruh abang Akim letak ular banyak-banyak dalam beg sekolah Anes! Padan muka Anes!”

“Ira tipu! Abang Am akan kahwin dengan Anes. Dia tak akan tinggalkan Anes!”

“Kalau tak percaya, pergilah tanya. Wekkk!” ujar Nadirah dengan puas sebelum terus berlari meninggalkan Aneesa yang sedang menangis teresak-esak di situ.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience