Bab 18

Romance Series 11562

SUARA cengkerik dan belalang mengisi kesunyian malam. Berselang-seli kedengaran, seolah saling membalas dan bertanding suara sesama mereka. Suasana malam yang gelap mendapat sedikit cahaya daripada bulan yang bercahaya terang. Tidaklah terlalu cerah benderang, namun cukup sekadar bercahaya berbalam, sebagai pelita alam. Makhluk yang tidur siang mula berjaga dan melata mencari makan. Di kala manusia lain sudah ketiduran, Amira pula masih terkebil-kebil di pembaringan. Gadis itu masih tidak dapat melelapkan matanya.

Amira masih terbayang kejadian yang berlaku di restoran tadi. Dia terkejut dengan tindakan Rizal. Namun apa yang lebih mengejutkan, Amira bingung dengan diri dia sendiri. Entah kenapa dia tidak marah apabila Rizal cuba mendekati dan hampir menciumnya. Ya, dia geram. Namun pada masa yang sama, dia juga teruja. Jelas lelaki itu menyimpan perasaan terhadapnya. Amira juga turut sedar, jika dirinya juga sudah mulai tertarik dan menerima Rizal di dalam hatinya.

Namun gadis itu tidak menyangka, entah kenapa dia begitu berani meminta Rizal untuk melamarnya.

"Kalau awak betul-betul sukakan saya, jadikan saya halal dulu untuk awak." Ucapan Amira itu terngiang-ngiang sendiri di telinganya.

Gadis itu mengetap bibir. Wajahnya mula merona kemerahan. Sejenak kemudian Amira membenamkan mukanya ke bantal.

"Apa yang aku dah cakap tadi?..Aduh, malunya... Tapi Riz.. dia.. betul ke dia sukakan aku?.." Amira masih tertanya-tanya. Namun fikirannya kembali melayang mengingatkan kata-kata pujian Rizal terhadapnya. Malah lelaki itu juga hampir menciumnya. Kemudian Amira mengangkat tangan kirinya. Sebentuk cincin emas tersemat pada jari manis.

"Cincin ni.. dia nak melamar aku ke? takkan la hadiah hari jadi bagi cincin emas.." Amira terus tertanya sendiri. Pelbagai persoalan masih berlegar difikirannya.

Pada masa yang sama, beberapa kilometer dari rumah Amira, Rizal juga masih terbaring dengan kedua matanya terbuka luas. Lengan kirinya pula ditempatkan pada dahi. Sejak pulang dari restoran, fikiran Rizal agak terganggu. Dia masih rasa bersalah kerana tindakannya tadi. Dia sedar jika dirinya sudah melakukan kesilapan. Dia tidak sepatutnya mendekati dan cuba untuk mencium Amira. Gadis itu bukanlah sebagaimana perempuan lain yang pernah dia kenali. Jauh berbeza juga jika dibandingkan dengan bekas kekasihnya, Juana.

Amira adalah perempuan yang baik. Dia tidak sepatutnya berkelakuan sebegitu terhadap gadis tersebut. Rasa bersalah terus menghantui pemikiran Rizal.  Namun kata-kata terakhir Amira kepadanya turut terselit pada fikiran lelaki tersebut.

"Dia nak aku jadikan dia halal untuk aku.. apa maksud dia? dia nak kahwin dengan aku ke? Takkan la perempuan baik macam dia nak terima aku jadi suami.. aku ni jahat, kotor.. tak layak untuk dia.. lagipun dia kenal aku selama ni sebagai seorang cleaner je.. malah sekarang ni aku pun dah tak kerja.. takkan la dia nak lelaki macam aku ni jadi laki dia.." Rizal sendiri masih kebingungan.

"Takkan la ada perempuan yang nak lelaki takde duit jadi suami dia.. perempuan biasanya cari lelaki yang kaya, banyak duit.. Hmm, tapi lelaki lain yang miskin elok je kahwin, ada anak bini.."

Rizal terus termenung di pembaringan. Dia semakin bingung memikirkan keadaan yang berlaku. Dia khawatir jika Amira mula membencinya kerana kelakuannya tadi. Gadis itu malah terburu-buru meninggalkan dirinya selepas menampar Rizal. Namun kata-kata terakhir Amira pula meminta jika hubungan mereka dihalalkan terlebih dahulu.

Pada fikiran Rizal, mustahil untuk mereka berkahwin dengan keadaan dirinya yang masih tiada apa-apa. Dia bukan lagi anak orang kaya yang berlimpahan wang emas. Dia bukan lagi lelaki bergaya yang mampu menambat hati para wanita. Dirinya sudah dibuang keluarga dan tidak punya sesiapa. Dia bahkan sudah tidak layak mewarisi harta dan empayar konglomerat milik bapanya.

Jika ingin berumah tangga, fikir Rizal, dia setidaknya harus memiliki pekerjaan atau perusahaannya sendiri. Namun buat masa sekarang, dia masih tidak memiliki semua itu. Dia hanya seorang peniaga burger jalanan. Pendapatannya kini hanya cukup sekadar buat mengisi perutnya sendiri sahaja.

"Kalau macam tu, aku kena berusaha lebih.. aku kena buka cawangan burger secepat mungkin dan cari pekerja.. Mira, tunggu aku!" Rizal menyimpan tekad.

Lelaki itu terus berangan-angan. Namun dia bersungguh-sungguh untuk menjayakan rencananya itu. Segala perancangan mula disusun satu persatu di dalam mindanya. Rizal yakin, dia akan mampu melaksanakan impiannya. Malam semakin larut. Rizal perlahan-lahan semakin hanyut dalam angan-angan dan akhirnya terlena bersama impiannya itu.

Keesokan hari, Rizal mengumpulkan keberanian dalam dirinya. Dia meyakini dirinya sendiri jika dia perlu menemui Amira dan meminta maaf terhadap kejadian yang berlaku malam tadi. Dia sendiri tidak menjangka jika dirinya akan bertindak bodoh dan melanggar batasan perhubungan antaranya dan gadis tersebut. Setelah mendapat keberanian, Rizal akhirnya memecut motosikalnya, menuju ke arah rumah Amira.

Tiba di rumah Amira, Rizal langsung melihat kelibat Anas yang sedang berada di pekarangan rumah. Tanpa sempat mematikan enjin motosikalnya, lelaki itu segera bertanya kepada remaja tersebut.

"Anas.. Kak Mira ada kat rumah?"

"Akak keluar ke pekan tadi.. katanya nak beli barang dapur sikit.. rasanya tak lama lagi, balik la tu.. Abang Riz ada apa nak jumpa dia? Nampak kalut semacam je.." Anas menjawab.

"Ah, ada urusan sikit.. Emm... Kak Mira takde cerita apa-apa ke kat Anas?" Rizal sedikit ragu. Dia khawatir jika Amira menceritakan kejadian yang berlaku pada malam tadi ketika mereka berada di restoran.

"Cerita apa? Akak takde bagitau apa-apa pun.. kenapa bang?" Anas mulai curiga.

"Eh, takde apa la.. kalau macam tu abang pergi dulu la." Rizal segera meminta diri. Dia risau jika Anas mula mengesyaki apa-apa dan semakin banyak bertanya. Rizal harus segera menghindari remaja tersebut sebelum dia menemui Amira. Namun mendengarkan maklum balas daripada Anas, Rizal yakin Amira tidak bercerita mengenai mereka kepada adik dan ahli keluarganya. Dengan begitu, Rizal sedikit lega. Dia risau jika perbuatan memalukan yang dia lakukan malam tadi diketahui oleh orang lain.

Lelaki itu pun segera memecutkan kembali motosikalnya. Dia harus menuju ke pekan dengan segera untuk menemui Amira. Di dalam hatinya, Rizal berharap dia akan menemui gadis tersebut. Malah dia turut mengutuk dirinya sendiri kerana tidak memiliki telefon bimbit yang akan memudahkan perhubungannya. Padahal, jika dia memiliki telefon, pasti dengan mudah dia akan dapat menghubungi Amira. Namun disebabkan telefonnya sudah rosak, dia kini mengalami kesukaran untuk berhubung dengan orang dari jarak jauh.

Sampai di pekan, Rizal mula mencari keberadaan Amira. Akhirnya dia menemui motosikal Yamaha Ego S milik gadis tersebut yang sedang diparkir di tepi jalan. Tanpa berlengah, Rizal turut memarkirkan motosikalnya di sebelah kenderaan milik Amira. Daripada penjelasan Anas tadi, Rizal tahu Amira sedang mencari barangan dapur. Jadi lelaki itu sudah dapat menduga perempuan itu akan menuju ke kedai mana. Sudah menjadi kebiasaan Amira untuk membeli belah barangan dapur di kedai tersebut, jadi tidak sukar buat Rizal untuk mencarinya.

Rizal yang sudah menempatkan motosikalnya di ruangan parkir kemudian melintas ke seberang jalan.  Menuju ke arah kedai dimana Amira berada. Di kala itu juga, Amira baru keluar dari kedai sambil membimbit beg plastik. Gadis itu agak terkejut setelah menyedari kehadiran Rizal di sana.

"Mira.. jumpa jugak dengan awak akhirnya.." Rizal memulakan ucapan.

"Rizal.. awak buat apa kat sini? awak cari saya ke?" Amira langsung membalas.

"Tadi saya dah pergi rumah awak.. Anas cakap awak kat pekan.. tu yang saya datang sini.."

"Awak.. kenapa pulak kelam-kabut cari saya?" Amira merasa aneh dengan tindakan lelaki di hadapannya itu. Sejak semalam, lelaki itu benar-benar berubah dan terlihat berbeza. Amira sendiri tidak pasti puncanya.

"Saya.. saya nak minta maaf.. pasal malam tadi, saya sendiri pun betul-betul tak sangka.. entah kenapa saya bertindak bodoh macam tu.. saya tak dapat kawal diri saya.. saya minta maaf.. saya janji, takkan buat macam tu lagi." Rizal meluahkan rasa kesal terhadap tindakannya di restoran malam tadi.

Amira diam sambil menatap wajah Rizal. Terlihat keikhlasan dari sinar mata lelaki tersebut. Rizal ternyata menyesali perbuatannya malam tadi. Namun timbul pula keraguan di hati Amira. Apakah dirinya yang melebih-lebih untuk meminta dirinya menjadi halal bagi Rizal. Gadis itu malu sendiri. Dia tidak yakin jika Rizal menyimpan perasaan terhadapnya.

"Saya.. emm.. kita.. lupakan je pasal semalam." Amira tergagap-gagap. Fikirnya, Rizal mungkin tidak sengaja untuk cuba mendekatinya malam tadi. Namun mengingatkan ucapannya kali terakhir sebelum meninggalkan Rizal, Amira menjadi malu.

'Adakah aku hanya bertepuk sebelah tangan?' getus hati Amira.

"Pasal malam tadi.. awak.. betul-betul serius?" Rizal tiba-tiba bertanya.

"Ah?" Amira tersentak. Dia tidak tahu bagaimana untuk membalas pertanyaan lelaki di hadapannya itu.Tangannya yang sedang membibit beg plastik digenggam kemas. Kedua bibirnya dirapatkan. Wajah Amira perlahan-lahan merona menjadi kemerahan.

"Sekarang saya masih takde apa-apa.. tapi saya janji akan berusaha.. bila dah cukup duit, saya akan masuk meminang.. jadikan awak isteri saya. Saya nak halalkan hubungan kita." Rizal berkata dengan penuh yakin.

Amira terpegun seketika. Dia tidak menyangka akan mendengar ucapan itu dari mulut Rizal. Hati gadis itu bagai dihujani rasa gembira. Kakinya hampir melompat, dilonjak rasa bahagia. Perlahan-lahan bibir gadis itu menguntumkan senyuman.

"Jangan risau pasal duit.. duit bukan segala-galanya.. asalkan awak ikhlas, itu dah cukup. Kalau awak betul-betul nak halalkan hubungan kita, masuklah meminang.. jumpa ibu saya.." Amira mula membalas kata.

"Duit bukan segala-gala.. tapi kalau takde duit, segala benda pun tak boleh buat.. Nak meminang pun, takkan saya nak pergi dengan tangan kosong."

"Riz.. kan saya dah cakap, asalkan awak ikhlas, itu dah cukup! Saya tahu awak pasti akan berusaha.. tapi kalau awak ikhlas, insyaallah, niat baik awak, Allah akan permudahkan. Nak fikir apa lagi? Ni, cincin pertunangan awak saya dah terima. Sekarang awak cuma pergi jumpa keluarga saya, cuma sebagai memenuhi adat je.." Amira ingin meyakini Rizal sambil mengangkat tangan kirinya, mempamerkan cicin emas yang tersemat di jari manis.

Rizal pula terkesima. Hadiah cincin yang diberikan kepada Amira, benar-benar sudah dianggap sebagai lamaran daripadanya.

"Awak yakin untuk terima saya dalam hidup awak?" Rizal bertanya lagi untuk mendapatkan kepastian.

"Riz.. saya tahu awak lelaki yang baik.. saya takkan menyesal terima awak sebagai teman hidup saya.. saya tahu, awak pasti akan berusaha untuk bahagiakan saya." Amira menyuarakan pendapatnya. Dia yakin dengan pendapatnya. Kata-katanya itu muktamad.

Manakala Rizal pula terbungkam sambil menundukkan pandangan. Dia risau jika Amira tersalah menilai dirinya.

'Aku lelaki baik? Padahal aku kotor.. aku jahat Mira.. aku lelaki sombong dan sangat jahat.. selama ni, aku hidup dalam dosa dan maksiat! Tapi aku berjanji.. aku akan berubah.. aku akan berusaha untuk membahagiakan kau.. aku.. aku nak jadi manusia yang baik, sebagaimana yang kau fikirkan..' Rizal bermonolog di dalam hati.

Share this novel

Erna Md Nordin
2025-02-02 08:18:28 

Yey, Rizal akhirnya berubah..n berhasrat nk jdkn Amira isteri dia..


NovelPlus Premium

The best ads free experience