Bab 15

Romance Series 92994

“AWAK siapa? Macam mana awak boleh kenal suami saya?” soal Rhea.

Awalnya tadi dia takut juga mahu mengikut lelaki itu tapi bila lelaki itu sebut nama Hayyan, Rhea terus ubah fikiran. Sekarang ini mereka berdua berada di sebuah restoran berhampiran Pasaraya yang Rhea singgah tadi.

“You kenal Trisha?” soalan Rhea dibalas kembali dengan soalan.

Rhea mengangguk. “Awak kenal Trisha juga?”

“She’s my ex girlfriend.”

Rhea terkedu. Patutlah lelaki itu kenal Hayyan. Tentu dia juga tahu tentang hubungan Hayyan dan Trisha.

“Nama I, Luth.” Akhirnya dia memperkenalkan diri.

“And you?” tanyanya lagi.

“Rhea.”

Luth mengangguk. Wajah Rhea ditatap lama. Bodohnya Hayyan curang dengan perempuan secantik Rhea!

“I nak tolong you dapatkan Hayyan kembali.”

“Tapi kenapa awak nak tolong saya?” soal Rhea musykil. Mereka bukannya saling kenal pun. Pelik bila Luth bersungguh-sungguh mahu membantunya.

“I nak tolong pun you tak nak?” Luth jungkit kening. Boleh tahan sombong juga isteri Hayyan ni.

“Bukan macam tu... Saya... Saya cuma pelik bila awak nak tolong saya. Saya bukan orang kaya. Saya tak ada duit nak bayar awak.”

Luth tergelak mendengar ujaran wanita itu. Alahai... Pasti Rhea menyangka dia membantu Rhea kerana duit.

“Berapa yang you ada?” tanya Luth mengusik.

Rhea ketap bibir. Gayanya seperti sedang mengira sesuatu.

“I gurau je lah. I tak nak duit you.”

“Betul ke?” tanya Rhea meminta kepastian. Manalah tahu nanti kalau Luth tiba-tiba minta dia duit. Mana dia nak cari? Dia bukannya orang senang.

“Ya.” Luth mengangguk.

“You cintakan Hayyan?”

“Mestilah. Mana ada isteri yang tak cintakan suami,” balas Rhea tegas. Apa punya soalan entah Luth tanya.

Luth ketawa kecil. “I tanya je. Janganlah marah I. I tak pernah rasa dicintai sesiapa jadi I tak tahu.”

“Trisha? Awak cakap dia tu bekas kekasih awak.”

“Dia tak pernah cintakan I. Dia bersama dengan I pun sebab keluarga dia. Dia cuma cintakan Hayyan.”

Mendengar ayat terakhir Luth buatkan hati Rhea bagai dihiris-hiris. Walaupun dia adalah isteri Hayyan yang sah, dia tidak dapat menolak hakikat Trisha yang bertemu dengan Hayyan dahulu sebelumnya.

“Sabar ya.” Cuma itu yang Rhea boleh katakan.

Luth senyum. “I dah lebih daripada bersabar. Kalau I tak sabar, mungkin I akan bunuh kedua-duanya. Trisha dan Hayyan...”

Terus berubah wajah Rhea. Jantungnya berdegup kencang. Tiba-tiba dia jadi takut dengan Luth.

Melihat wajah cuak Rhea buatkan Luth ketawa besar. “Hei, relaks. I cuma bergurau. Tak berbaloi I nak musnahkan hidup I demi cinta.”

Bila Rhea tahu Luth cuma bergurau, barulah dia boleh menarik nafas lega.

“You tahu kenapa Hayyan dan Trisha putus dulu?” tanya Luth.

Rhea mengangguk. “Trisha tinggalkan Hayyan.”

“Kenapa you tak berterus-terang dengan Hayyan?” tanya Luth. Sepatutnya daripada awal lagi Rhea memberitahu hal yang sebenar pada Hayyan.

“Kalau saya berterus-terang pun belum tentu Hayyan akan percaya. Saya langsung tak wujud dalam memori Hayyan sekarang ni. Dia tak ingat langsung tentang saya...” Sebak suara Rhea kedengaran.

Luth simpati melihat Rhea. Dia faham perasaan wanita itu. Ini pasti sukar buat Rhea.

“I janji, I akan tolong you. Walaupun kita tak pernah kenal. I tetap akan tolong you.”

Rhea senyum segaris. “Terima kasih Luth.”

Luth mengangguk kecil. Awalnya dia tidak mahu ambil kisah pun tentang rumah tangga Rhea dan Hayyan. Tapi bila kali pertama dia bertemu dengan Rhea, ada sesuatu yang menjentik tangkai hatinya untuk membantu wanita itu. Bukan mudah menjadi Rhea. Banyak dugaan berat yang dilaluinya sendirian.

SEDARI tadi Hayyan memerhati isterinya yang sedang duduk di meja makan sambil termenung. Renungan Rhea kosong. Hayyan tak dapat meneka apa yang sedang bermain di dalam kepala isterinya itu.

“Rhea.”

Senyap.

“Rhea.” Sekali lagi Hayyan panggil.

Masih tiada respons.

“Rhea.” Hayyan panggil lagi. Kali ini suaranya lebih kuat daripada tadi.

Rhea terus angkat wajah. Dia tersentak melihat Hayyan tiba-tiba muncul di depannya.

“Abang?”

“Awak okey?” soal Hayyan. Dia tarik kerusi berhadapan dengan Rhea. Duduknya dilabuhkan di situ.

Rhea mengangguk. “Rhea okey.”

“Kenapa tak tidur lagi?” Tadi dia masuk ke bilik Armel. Tapi Rhea tiada. Rupa-rupanya isterinya itu di dapur.

“Rhea belum mengantuk.”

“Awak marah saya?” soal Hayyan terus-terang. Mungkin saja Rhea masih berkecil hati dengannya gara-gara kereta yang Trisha hadiahkan kepadanya.

Rhea menggeleng perlahan. “Buat apa Rhea nak marah abang. Kalau Rhea marah pun, bukannya abang kisah kan?”

“Rhea.”

Rhea meraup perlahan wajahnya. Sejujurnya dia masih kecil hati dengan Hayyan. Hayyan tak jujur dengannya. Kalau daripada awal Hayyan jujur dengannya, taklah Rhea semarah ini. Dan mungkin hatinya juga tak sesakit ini. Rasa macam diperbodohkan juga ada.

“Esok saya pulangkan kereta tu pada Trisha.”

Rhea terus panggung kepala memandang Hayyan. “Betul ke?”

“Saya dah agak. Awak masih marah saya sebab kereta tu.”

Rhea ketap bibir. Nampaknya Hayyan sengaja nak pancing dia.

“Rhea masuk tidur dulu.” Rhea terus bangun daripada kerusi. Dia sudah berkira-kira mahu masuk ke dalam bilik tapi Hayyan pantas melelar pergelangan tangannya.

“Saya betul-betul nak pulangkan kereta tu semula. Itu bukan hak saya.”

“Saya minta maaf Rhea,” ucapnya ikhlas. Entah kenapa dia jadi tak senang duduk bila Rhea berjauh hati dengannya.

“Malam ni, tak nak tidur bilik kita?”

Rhea terkedu. Biar betul Hayyan ajak dia tidur bersama? Sebelum ni Hayyan juga yang mahu mereka tidur berasingan.

“Abang tak kisah ke nak kongsi bilik dengan Rhea?” tanya Rhea kembali.

“Kita cuma tidur je kan.”

Rhea menghela nafas perlahan. Nampaknya Hayyan masih belum betul-betul menerimanya sebagai seorang isteri. Mungkin Hayyan cuma menganggapnya seperti seorang kawan. Mungkin...

“Rhea tidur dekat bilik Armel malam ni.” Rhea saja nak tengok, adakah Hayyan akan cuba memujuknya?

Wajah Hayyan langsung berubah riak selepas mendengar jawapan Rhea. “Rhea tak nak tidur dekat bilik kita?” tanya Hayyan lagi.

Rhea mengetap bibir menahan senyum. Alahai Hayyan... Comel pula! Kalau macam ni, tak sampai hatilah Rhea nak tolak. Perasaan marahnya juga beransur pergi.

“Abang nak Rhea tidur dengan abang ke?”

“Jomlah. Kita boleh sembang-sembang nanti.” Nampaknya Hayyan masih cuba memujuk.

“Abang pergilah masuk bilik dulu. Rhea nak pergi tengok Armel sekejap. Nanti Rhea datang.”

Terus lebar senyuman di bibir Hayyan. Kalau dia tak kawal diri, sikit lagi dia nak melompat di depan Rhea.

“Cepat sikit tau. Saya tunggu. Jangan tak datang.” Sempat Hayyan meninggalkan pesan sebelum berlalu ke biliknya.

Rhea hanya mampu senyum. Semoga suatu hari nanti ingatan Hayyan akan kembali. Dan waktu itu mereka akan kembali bahagia seperti dulu...

Baru Rhea nak pulas tombol pintu bilik Armel, matanya terpicing menahan sakit di kepala yang tiba-tiba saja menyerang.

Sejak dua tiga hari ni Rhea selalu sangat diserang sakit kepala. Dia sendiri tidak pasti puncanya. Mungkin saja kebelakangan ini dia terlalu stress. Nak ke klinik, Rhea tiada masa. Jadualnya padat. Lagipun dia yakin dia baik-baik saja.

Share this novel

17031969
2024-08-16 13:29:59 

Cerita yg tergantung

Hashim
2024-07-09 18:55:34 

Sambung lagi please tq

Anie Z Iman Alya
2024-07-03 21:09:59 

Update pliss sis tq


NovelPlus Premium

The best ads free experience