Farez memarkir keretanya di Taman Tasik Titiwangsa. Malam masih muda, namun suasana sepi terasa menekan dada. Sepanjang perjalanan tadi, Farez lebih banyak mendiamkan diri — jauh berbeza daripada dirinya yang biasa.
Alif hanya diam di sebelah, tidak berani bertanya. Dia tahu, Farez sedang bergelut dengan sesuatu. Lebih baik diberi ruang.
Farez menyandarkan tubuh ke kerusi pemandu, lalu merebahkan tempat duduk. Tangan kanannya menekap dahi — seperti menyusun ayat dalam kepala sebelum cerita mengalir keluar.
“Kau ni kenapa, Riz?” soal Alif perlahan.
Farez terus bangun, menyandarkan kerusi seperti biasa.
“Aku… aku jumpa kawan lama.” jawabnya ringkas.
“Oh ya? Baguslah kalau macam tu. Apa masalahnya?”
“Masalahnya… dia bagi aku harapan.”
“Harapan? Maksud kau? Aku tak faham.”
Farez menarik nafas panjang.
“Aku akan cerita segalanya... Tapi janji dengan aku, Lif. Jangan cerita kat sesiapa. Aku percayakan kau.”
Alif hanya mengangguk. Dalam hati, dia sudah dapat agak — ini bukan cerita biasa.
“Kawan aku tu... perempuan. Dulu kami couple, tapi bila dia masuk IPT, terus senyap tanpa berita. Hari ni, tiba-tiba dia telefon aku.”
“Jadi? Kau masih sayangkan dia?”
Farez tunduk. “Ya. Dia cinta pertama aku. Tapi... dia dah beritahu aku segalanya — dia dah beberapa kali terlanjur. Dengan bekas-bekas kekasihnya.”
Alif terdiam. Dia tidak terkejut, tetapi tidak juga tahu bagaimana harus memberi reaksi.
“Aku datang sini sebab nak tanya pendapat kau, Lif. Tapi terus terang... hati aku masih untuk dia.”
Alif menghela nafas. Perlahan, dia bersuara.
“Riz... soalan ni bukan untuk orang lain jawab. Ini antara kau dan hati kau. Kalau kau yakin dia benar-benar ingin berubah, maka terimalah dia. Tapi ingat, kisah silam dia bukan untuk dikongsi. Itu aib. Kau tak patut buka pada sesiapa, termasuk aku.”
Farez mengangguk perlahan. Tapi ada resah dalam matanya.
“Aku tahu. Tapi aku buntu, Lif. Aku rasa tercabar. Aku ni pun bukan baik sangat, tapi sekurang-kurangnya aku... tak pernah berzina.”
Alif menoleh padanya.
“Riz, ringan-ringan atau berat, dosa tetap dosa. Allah tak kata ‘ringan tak apa, berat baru haram.’ Semuanya sama di sisi hukum. Firman Allah dalam Surah Al-Isra’, ayat 32:
‘Dan janganlah kamu menghampiri zina; sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.’”
Alif berhenti sejenak, lalu menyambung.
“Rasulullah SAW bersabda, ‘Sekiranya kepala salah seorang daripada kamu ditusuk dengan jarum besi, itu lebih baik baginya daripada menyentuh wanita yang tidak halal.’ (HR At-Tabrani).”
“Dan janji Allah dalam Surah An-Nazi'at ayat 40 dan 41:
‘Sesiapa yang takut kepada kebesaran Tuhannya dan menahan diri dari hawa nafsu, maka syurgalah tempatnya.’”
Namun Farez hanya diam. Kata-kata itu seperti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Angau terlalu kuat mencengkamnya.
“Tapi Lif... dia janji nak berubah. Itu yang buat aku rasa nak terima. Mungkin ini peluang kedua kami.”
Alif tersenyum nipis. Dia faham. Dia tahu rasa itu.
“Kalau kau dah buat keputusan, teruskan. Jumpa keluarga dia. Cinta yang ikhlas tak akan takut pada masa silam. Tapi kena cepat, Riz. Bila bercinta lama-lama, syaitan takkan duduk diam.”
Farez mengangguk.
________________________________________
“Kau ni bila lagi, Lif? Jangan tunggu lama-lama. Kita makin tua. Nanti anak belum habis sekolah, kita dah pencen.” usik Farez.
Alif tertawa hambar. “Entahlah Riz... aku belum bersedia. Aku takut aku kecewakan hati perempuan. Aku bukan lelaki yang baik.”
“Kau tak cuba. Cuba buka hati tu. Kat pejabat kau tu ramai perempuan. Cuba kenal-kenal dulu.”
“InshaAllah. Aku serah pada Allah. Kalau ada jodoh, datang juga nanti.”
“Tapi jodoh bukan macam makanan terhidang atas meja. Usaha pun kena ada. Jangan berserah je.”
Alif mengangguk. “Kalau aku naik pelamin nanti, kau orang pertama aku jemput. Doakan aku.”
Namun jauh di sudut hatinya, Alif tahu... pintu hatinya telah lama tertutup untuk wanita. Bukan dia tak cuba, tapi dia tak mampu. Dan cerita Delaila malam ini... hanya menambahkan lagi luka kepercayaannya.
________________________________________
Farez menepuk bahu Alif.
“Lelaki dan perempuan saling lengkap-melengkapi, Lif. Hawa dicipta dari rusuk kiri Adam. Bukan dari kepala untuk dijunjung, bukan dari kaki untuk dipijak. Tapi dari sisi — dekat di hati.”
Alif hanya tersenyum tawar.
“Ye la, Riz. Aku cuba nanti. Kau jaga kawan kau tu elok-elok.”
Dalam hati, Alif tahu. Dia tidak bersedia — bukan kerana dia tak mampu menyayangi, tetapi kerana hati itu telah lama dimiliki seseorang yang tak pernah tahu.
Share this novel