...........................
Selepas shift kerja aku tamat, rakan sekerja yang lain mengambil alih di kaunter dan Syaukie telah membawa aku ke sebuah restoran. Pada asalnya, aku tak mahu masuk ke dalam restoran itu kerana, restoran itu adalah restoran bekas suamiku. Syaukie mana tahu apa-apa pasal masa laluku, terutama lapan tahun lalu ketika kami sama-sama terputus hubungan.
‘’Kau tak takut kena gosip ke, bawa aku keluar? Tadi pun, kau dah buat salah. Kalau remaja tu cam kau dan snap gambar kau, lepas tu dia upload masuk ke dalam laman sosial, nahaslah kau.’’ Aku bertanya kepada Syaukie ketika kami sedang menunggu pesanan kami. Aku tak mahu order pun sebenarnya tapi Syaukie yang tolong order bagi pihakku. Nak kata apa lagi. Bukan aku yang akan bayarkan.
‘’Gosip? Jadi public figure macam aku ni, buat baik pun kena gosip, buat jahat pun kena gosip, tak buat apa pun kena gosip. Ini pilihan aku, pahit macam mana pun, aku kena telan.’’ Selamba saja Syaukie menjawab pertanyaan aku. Yakin saja dia berkata. Aku pun setuju dengan kata-kata dia. Dia tu dikenali ramai, tak hairanlah kalau orang berminat untuk mengambil tahu tentang dia. Bagi aku, selagi kita bernama manusia, gosip tu tetap ada dan sesekali akan singgah juga dalam laluan kehidupan kita.
‘’Kalau kau dah cakap macam tu, tak apalah. Aku cuma takut, kau malu besar saja kalau kena gosip dengan aku. Kau tengok sendirikan, apa pakaian yang aku pakai ni.’’ Aku cuba mengingatkan Syaukie tentang kebenarannya. Siapa aku di mata masyarakat. Pakaian apa yang aku pakai dan bagaimana penampilan aku ketika ini.
‘’Kau dah banyak berubah Intan. Kenapa kau mendiamkan diri selama ini? Kita dah berjanjikan dulu, nak bersahabat hingga ke hujung nyawa. Kenapa kau tak datang dulu? Kami tunggu kau sampai malam. Jari aku ni hampir patah sebab dail nombor kau. Tapi, kau tak angkat pun. Kenapa kau berubah sampai macam tu? Apa salah kami pada kau?’’ Syaukie mengubah topik dengan tiba-tiba. Aku menarik nafas dan melepaskannya dengan berat. Perasaan aku memang berbelah bahagi. Haruskah aku ceritakan situasi aku kepada dia?
‘’Korang tak bersalah apa-apa pun. Hidup aku yang menguji aku. Kalau aku cerita pun, kau takkan faham masalah aku.’’ Aku cuba menyembunyikan hakikat sebenar. Untuk apa aku ceritakan semuanya? Sudikah mereka berkongsi semua masalah aku ini?
‘’Kalau kau tak cerita, macam mana kami nak faham! Aku dengar ayah dah ibu kau dah meninggal? Sampai hati kau tak bagitau kami. Tergamak kau ketepikan kami. Inikah namanya sahabat?’’ Syaukie menyalahkan aku lagi. Setahu aku ketika ayah dan ibu aku meninggal mereka sedang mencipta nama. Aku tak mahu menganggu urusan dan kerjaya mereka. Biarlah aku selesaikan semua masalah aku tanpa melibatkan mereka.
‘’Kau tahu?’’ aku bertanya Syaukie kembali. Dia mengangguk sambil merenung wajahku. Aku tersenyum pahit sambil memalingkan wajah ke arah lain, tapi, nasib tak memihak kepadaku. Saat aku menoleh, mata aku bertentang pula dengan mata bekas suamiku yang sedang memandang ke arah kami sambil mendukung seorang bayi perempuan. Anak dia dengan isteri barunya agaknya, sebab anak kami lelaki dan umurnya mungkin sudah tiga tahun sekarang ini.
‘’Dari mana kau tahu?’’ aku terus bertanya dan kembali bertatapan mata dengan Syaukie.
‘’Dari group WhatsApp rakan-rakan sekolah. Kenapa kau keluar dari group tu?’’ aku menghela nafas lagi. Aku tak berminat nak join mana-mana group whatsApp yang hanya berbual kosong dan berbincang masalah dunia. Hal akhirat langsung mereka tak layan. Aku bukan nak kata aku ni baik sangat, tapi sesekali ambil tahu juga hal akhirat. Lagi pun, group tu bercampur suami dan isteri orang. Berbual tanpa batas. Tak kira siang ataupun malam. Takut-takut, lain pula jadinya.
‘’Kau semakin glamour sekarangkan? Tak ada perancangan nak kahwin ke? Kalau kau kahwin mesti gahkan? Majlis besar gitu.’’ Aku pula mengubah topik perbualan kami. Syaukie sempat menjeling tajam ke arahku, sebaliknya aku sudah melepaskan tawa.
‘’Aku nak kahwin dengan kau!’’ selamba saja Syaukie berkata. Aku tahu dia hanya bergurau, sebab dulu kami dah buat perjanjian, antara kami berlima dilarang bercinta. Hanya bersahabat hingga ke hujung nyawa.
‘’Kau takkan cakap macam tu kalau kau tahu siapa aku sekarang ni..’’ aku bersuara perlahan sambil memandang ke arah depan restoran. Bekas suami aku sudah tiada lagi di tempat tadi. Aku menoleh kembali ke arah Syaukie.
‘’Aku tahu, Aiman tahu, Yana dengan Azrul pun tahu. Kau dah kahwin dan dah bercerai. Anak kau tinggal dengan bekas suami kau kan?’’ aku tercengang lagi mendengar kenyataan Syaukie. Sejauh mana mereka tahu pasal diriku. Tahukah mereka, keluarga aku sudah bankrup?
‘’Takkan kau tahu? Siapa yang bagitau kau?’’ aku mengajukan lagi soalan untuknya.
‘’Dari group whatsApp.’’ Tenang saja dia menjawab.
‘’Aku ingatkan orang glamour macam korang saja yang kena gosip. Aku yang tak ada apa-apa ni pun kena gosip juga ke? Apa lagi cerita pasal aku yang kau dengar?’’ nada suara aku sudah berubah tegang. Bahaya juga group whatsApp ini. Tak ada kerja yang nak dilakukan, semuanya mereka nak cerita. Cerita hal sendiri sudahlah! Hal peribadi orang lain pun nak cerita ke? Aku merungut di dalam hati.
‘’Aku tau kau kerja di pasaraya dari group whatsApp. Itu saja yang aku tahu. Ada lagi ke hal pasal kau yang kami tak tahu?’’ sambil menjawab soalanku, Syaukie menyoal aku lagi. Aku mengeleng lemah dan saat ini, mata aku terpandang seorang kanak-kanak lelaki sedang berlari-lari di dalam restoran dikejar seorang remaja perempuan. Hatiku menjadi sebak dengan tiba-tiba.
‘’Intan...’’
‘’Hmmm..’’ aku memandang kembali ke hadapan dan mata aku bertentang lagi dengan mata Syaukie. Dia menjungkit kening, mungkin sedang bertanya kenapa.
‘’Lapan tahun banyak mengubah kau kan Intan?’’ Syaukie bersuara dan memandang tepat ke wajahku. Aku tak mahu mengalah dan terus memandang wajahnya juga. Kami bermain mata seketika sebelum sama-sama melepaskan tawa.
‘’Apa yang berubah? Aku rasa aku yang dulu dan sekarang tak ada bezanya pun.’’ Aku cuba mencungkil apa yang ada dalam fikiran Syaukie. Yang aku perasan, tubuh aku saja yang sedikit berubah. Aku tak comel lagi macam dulu. Aku dah kurus, wajah aku sedikit cengkung dan aku tak pandai bergaya lagi macam dulu. Aku sekarang, seorang wanita yang sangat simple dalam berpakaian.
‘’Dulu, kau periang, ceria dan peramah. Kau berkongsi apa saja dengan kami. Sekarang ni kau ego, sensitif, emosional dan lebih pendiam..’’ aku membeliakkan mataku. Mengutuk aku ke?
‘’Pendiam? Ego? Sensitif?...buktinya? Sejak tadi aku pot-pet, pot-pet dengan kau, pendiam ke namanya tu?’’ aku berangin seketika. Yang geramnya, Syaukie sudah tergelak mendengar kata-kataku.
Share this novel