Haris duduk di salah satu sudut kafe, menghadap meja kecil yang dihiasi lampu lilin kecil. Wajahnya kelihatan murung, seperti membawa beban yang tidak terkatakan. Di hadapannya, Aira, gadis dengan senyum manis yang pernah menjadi dambaan hatinya sejak sekolah menengah, duduk dengan elegan sambil mengaduk kopi. Aira memang dari dulu gadis cantik dan popular di sekolah. Haris sentiasa teringat momen mereka berkenalan. Dulu Haris memang budak nerd. Fahri yang telah lama berkawan dengan Haris membantu Haris untuk mendekatkan Haris dan Aira. Sehinggalah sekarang Haris sentiasa menjadikannya wanita idaman. Mata Aira memancarkan kehangatan, membuat suasana yang tegang sedikit mencair.
“Haris,” Aira memulai, suaranya lembut namun tegas. “Kau nampak... lain kebelakangan ni. Cerita sikit, apa yang mengganggu kau?”
Haris menghela nafas panjang sebelum menjawab, “Aku… aku tak tahu dari mana nak mula, Aira. Tapi mimpi-mimpi tu… wajah lelaki yang aku tak kenal, dia terus muncul. Setiap malam, tanpa gagal. Aku bangun dengan peluh, kepala sakit, dan...” Dia menundukkan kepala, tangannya mengusap dahi, “Kadang aku rasa macam nak gila.”
Aira tersenyum simpati, senyum yang selalu menenangkan Haris. “Mungkin... mungkin kau kena berdamai dengan mimpi tu, Haris. Daripada cuba lari, cuba ikut petunjuk yang dia bawa. Siapa tahu, ada jawapan yang tersembunyi di dunia nyata?”
Haris tertawa kecil, getir. “Berdamai? Aira, kalau mimpi tu cuma ganggu aku waktu malam, mungkin aku boleh abaikan. Tapi dia muncul macam bayangan waktu aku sedar juga. Kepala aku sakit, macam ada ribuan suara berbicara serentak. Kau tahu rasanya?”
Aira meletakkan cawan kopinya, menatap Haris dengan serius. “Kalau semua tu terlalu berat untuk kau tanggung sendiri, Haris, kau boleh hubungi aku. Bila-bila masa. Aku sedia dengar dan bantu. Kau tak perlu hadap semua ni seorang diri. Dan kalau kau ada dapat apa-apa petunjuk, kau boleh minta tolong aku. Kita siasat sama-sama.”
Haris menatap Aira, rasa syukur memenuhi dadanya. Senyum kecil terukir di wajahnya. "Kau memang tak pernah berubah, Aira. Dari dulu... kau selalu ada cara buat aku rasa lebih tenang."
Aira mengangkat bahu dengan santai. "Yelah, sebab aku tak ada masa nak tengok kau terjun ke lubang hitam sendirian. Nanti aku pula kena cari kau dalam mimpi tu." Dia ketawa kecil, cuba mencairkan suasana.
Haris turut tersenyum, meskipun hatinya masih berat. Fikirannya melayang pada waktu dulu, saat dia dan Aira masih di sekolah menengah. Aira, dengan pesonanya yang memikat, adalah gadis popular yang selalu dikerumuni ramai orang. Namun, di balik itu, dia selalu menjadi dirinya—ramah, rendah hati, dan penuh perhatian. Aura indahnya tidak pernah pudar, malah semakin memancar.
Ketika Haris melamun, suara lain yang lebih nyaring mencelah suasana. Fahri muncul entah dari mana, dengan senyuman lebar dan segelas air di tangannya. "Eh, kau orang bercinta kat sini ke? Tak ajak aku?"
Aira tersenyum sambil melambai Fahri untuk duduk. “Jangan kacau Haris, Fahri. Dia tengah serius.”
“Serius apa? Serius fikir mimpi dia yang mungkin datang dari cicak yang dia bunuh minggu lepas?” Fahri menambah, sambil menahan tawa. “Mana tahu, kan? Cicak tu datang balas dendam dalam mimpi. ‘Haris, kau bunuh aku, aku takkan biar kau hidup tenang!’” Fahri meniru suara menakutkan, membuatkan Aira tertawa terbahak-bahak.
Haris memegang dahinya, menahan rasa malu bercampur geli. “Fahri, kau ni tak ada kerja lain ke selain buat lawak bodoh?”
“Lawak bodoh? Hei, ini teori aku yang paling canggih, okay? Mimpi kau tu pasti ada kaitan dengan dosa kecil yang kau tak pernah minta maaf. Contohnya, kau pernah ambil lebih dari dua ketul ayam masa kenduri orang?” Fahri mengangkat kening dengan dramatik.
“Fahri!” Haris hampir tersedak dengan kopi yang baru diminumnya. Aira tak berhenti ketawa sehingga matanya berair.
“Dahlah, jangan sakat Haris lagi,” kata Aira sambil mengesat air matanya. “Aku rasa dia memang perlukan rehat. Fahri, kau bantu dia cari jawapan kalau boleh, bukan buat dia lagi stress.”
Fahri mengangkat tangannya seperti menyerah. “Baiklah, baiklah. Tapi serius, Haris, kalau kau rasa tak boleh hadap mimpi tu seorang, aku ada. Kita boleh minta bantuan orang pintar ke, ustaz ke, atau—”
“Aira dah cakap benda yang sama,” sela Haris. “Aku tahu korang risau, tapi aku kena selesaikan ni sendiri.”
Suasana menjadi sejenak hening. Fahri dan Aira saling berpandangan, tahu bahawa Haris masih menyembunyikan kegelisahan di balik senyuman nipisnya.
Di sisi lain, di sebuah bilik kecil yang sederhana, seorang wanita muda sedang meletakkan beg tangan di atas meja. Dia meregangkan badan, keletihan jelas tergambar di wajahnya. Wanita itu adalah Rina, seorang detektif muda yang mandiri, baik hati, dan memiliki kecekalan yang mengagumkan.
Dia menjatuhkan dirinya ke atas katil, mengambil telefon dari begnya, lalu mulai menaip mesej kepada Fahri. “Fahri, Haris macam mana? Kau rasa dia okay tak?”
Tak lama kemudian, balasan dari Fahri muncul. “Rina, aku rasa dia makin teruk. Dia terus-terusan obses dengan mimpi dia tu. Aku risau, tapi dia keras kepala macam biasa. Susah nak cakap apa-apa.”
Rina tersenyum tipis sambil menggeleng. “Kau pun sama keras kepala. Dah, nanti aku cuba bantu tengokkan dia juga.” Dia menghantar balasan itu, lalu meletakkan telefon di atas meja sisi katilnya.
Matanya kemudian tertumpu pada sebuah gambar berbingkai di meja. Gambar itu memaparkan dirinya, Haris, dan Fahri berdiri bergandingan bahu, tersenyum lebar. Dia mengangkat bingkai itu, jari-jarinya menyentuh wajah Haris dalam gambar tersebut. Matanya terlihat lembut, penuh emosi yang sulit dijelaskan.
“Kenapa kau selalu buat aku risau, Haris?” bisiknya perlahan, seperti bercakap dengan bayangan lelaki dalam gambar itu. Senyum kecil kembali menghiasi wajahnya, tetapi di balik itu ada sesuatu yang lebih dalam—sesuatu yang hanya dia dan dirinya sendiri tahu.
Sementara itu, di kafe, Fahri kembali memecah kesunyian. “Ris, serius ni. Kalau mimpi tu betul-betul ganggu kau, kita panggil bomoh. Kalau tak boleh juga, kita panggil pengarah filem, jadikan mimpi kau ni skrip seram!”
Aira memukul lengan Fahri dengan lembut, “Fahri, jangan buat lawak lagi. Haris tengah serius.”
“Tapi seriuslah, Aira! Kalau mimpi dia ni jadi filem, mesti laku keras. ‘Bayangan Balas Dendam: Cicak yang Terlupakan.’” Fahri mengangkat tangannya seperti memegang poster filem, membuatkan Aira tergelak lagi.
Haris akhirnya ikut tertawa kecil, walaupun hatinya masih kacau. Dia tahu Fahri hanya cuba menceriakan suasana, tetapi jauh di dalam, dia tetap merasa resah. Mimpi itu bukan sekadar gangguan biasa. Ia seperti membawa mesej yang belum mampu dia fahami.
Share this novel