Chapter 32

Mystery Completed 14816

Bab 32

Tiba-tiba Leo teringat pada teman lamanya Affendi. Dia mengambil keputusan untuk ke rumah lelaki itu. Tetapi Affendi tiada di rumah.

Puan Faridah merenung wajah Leo, memegang pipinya dengan lembut bersama air mata berlinangan. Sekali pandang saja dia sudah tahu bahawa yang datang itu adalah Zakuan.

Suatu masa dulu, anak itu selalu berkunjung ke rumahnya dengan Affendi. Namun sejak hilang di hutan, berita tentang dirinya turut lenyap.

Puan Faridah mencium dahi Zakuan. Dia amat sayangkan anak itu dan menganggap dia seperti anaknya sendiri. Apalagi Zakuan kehilangan ibu sejak dilahirkan. Anak itu tidak pernah merasai kasih sayang seorang ibu.

“Zakuan…” seru Puan Faridah.

“Makcik tahu, kau masih hidup nak. Kami selalu bercakap pasal kau. Papa kau juga percaya kau masih hidup.”

“Makcik tahu di mana tempat tinggal papa saya yang baru?”

Puan Faridah diam. Dia menundukkan kepalanya.

“Kita tunggu Fendi balik. Biar Fendi yang bawa kau jumpa ayah kau, ya?” kata Puan Faridah sambil menanah sebak di dada.

Affendi terkejut apabila melihat Leo berada di rumahnya. Dia memeluk teman lamanya itu dengan erat.

“Ke mana kau pergi selama ni?” tanya Affendi ingin tahu.

Leo menceritakan yang berlaku kepadanya sepuluh tahun lalu.

“Jadi, Irfan memang potong tali tu supaya kau jatuh?”

Leo mengangguk.

“Dia memang niat nak bunuh kau! Tapi masalahnya siapa yang suruh dia buat macam tu?”

“Makcik Suriati,” kata Leo dengan yakin.

Affendi mengangguk.

“Memang logik.”

“Aku rasa pakcik Hamzah pun terlibat sama,” kata Leo lagi.

“Tapi kita tak boleh buat apa-apa. Tak ada bukti yang boleh disabitkan dengan jenayah yang dibuat oleh Irfan. Mereka akan terlepas. Lebih-lebih lagi sekarang, mereka adalah pemegang saham syarikat Omara Holding. Syarikat tu memang gah, disegani. Jadi, tiada sesiapa pun yang akan berani ‘usik’ Puan Suriati dan Irfan. Sekarang ayah kau... ayah kau dah tak ada,” kata Affendi beriring keluhan.

Leo terkejut mendengar kata-kata Affendi.

“Papa aku dah tak ada? Apa maksud kau?”

Affendi diam sejenak. Namun dia terpaksa memberitahu Leo hakikat itu.

“Papa kau dah meninggal Leo. Kau terlewat beberapa hari saja.”

Air mata Leo mengalir tanpa sedar. Dia menangis. Affendi menepuk bahunya beberapa kali, memberikan semangat.

“Aku tak berani menuduh, tapi aku rasa kematian papa kau akibat perbuatan khianat. Kalau Makcik Suriati tahu kau masih hidup, maknanya nyawa kau juga dalam bahaya, Leo.”

Leo memandang tepat ke wajah Affendi.

“Memang uncle Omar harap sangat kau balik. Dia nak serahkan Omara Holdings pada kau. Hasrat dia tu akan tetap tercapai juga. Kau patut berjuang untuk Omara Holdings. Ianya adalah maruah dan masa depan kau. ” Affendi senyum memandang Leo.

Leo merenung Affendi semula, juga tersenyum.

“Leo…. Sekarang bersedialah untuk kau ambil balik hak kau daripada Irfan dan Makcik Suriati. Aku akan sentiasa ada di belakang kau. Are you ready?”

“Ya, ready!” kata Leo dengan penuh bersemangat. Buat pertama kali dalam hidupnya dia rasa punya semangat dan keinginan yang lebih kuat dari sebelumnya.

Lalu ingatannya pada Amalina juga bercambah menjadi lebih besar.

“Aku rasa buat sementara waktu ni, biar kita kuburkan dulu nama Zakuan. Biarlah kau tetap jadi Leo, lebih selamat macam tu!”

Leo mengangguk setuju.

“Amboi! Cantiknya anak mama… Macam nak jadi raja sehari!” usik Puan Salimah, memerhati Amalina yang masih berdiri di hadapan cermin dengan gaun malam yang memukau. Gaun putih dari kain sifon beralas renda putih dan ditatah dengan batu-batu permata itu ditempah khas daripada pereka fesyen terkenal di ibu kota.

Malam ini adalah majlis pelancaran buku tentang kehidupan liar yang ditulis oleh Amalina. Pelancaran buku itu dibuat di Hotel KL Hilton. Majlis bakal dirasmikan oleh seorang menteri kabinet.

“Mak! Janganlah cakap macam tu. Malulah! Rasa nak tukar baju! Bukan niat Alin nak melaram, tapi…” Amalina merenung wajahnya di permukaan cermin, rambutnya yang dulu pendek sudah nampak agak panjang. Dia tidak akan memotongnya lagi.

Puan Salimah tertawa kecil. “Tak payah tukarlah! Nanti tak sempat. Pukul lapan Hashim datang kan?”

Spontan mata Amalina mengerling ke arah jam dinding yang hampir-hampir menunjukkan ke pukul lapan malam. Benar kata emaknya, tidak sempat hendak menukar baju lain. Baju itu dirasakan terlalu glamour. Agh! Rasa menyesal pula kerana menyarung gaun malam itu.

“Mak! Alin pergi dulu ya!” kata Amalina sambil mencium pipi emaknya.

Majlis bermula pukul sembilan malam. Pukul lapan empat puluh lima minit malam Amalina dan Hashim tiba di perkarangan Hotel KL Hilton. Banyak kereta berhenti, menurunkan pengunjung di hadapan pintu utama.

...bersambung

Bab akan datang:

Bagaimanakah keadaan semasa majlis itu berlangsung?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience