Bab 44

Short Story Series 55082

Aqil memandang rumah agam di hadapannya daripada dalam kereta. Jam sudah menunjukkan hampir pukul lima pagi. Dari semalam dia tidak balik ke rumah Tan Sri Mansur selepas daripada rumah Aqilah dia singgah di masjid untuk menunaikan solat maghrib dan bersambung ke isyak selepas itu dia tertidur sehinggalah dia bangun malam untuk menunaikan solat sunat. Dia berdoa penuh pengharapan kepada Allah untuk menunjukkan jalan keluar daripada permasalahan yang menimpa keluarga mereka.

Aqil melepaskan keluhan beratnya sebelum keluar daripada kereta dan masuk ke dalam rumah yang sunyi sepi dan gelap itu. Penghuni di dalam rumah itu masih belum bangun kerana subuh masih jauh untuk berkumandangnya azan. Aqil berjalan lemah menuju ke anak tangga sebelum Tan Sri Mansur menegurnya sehingga terkejut dia dibuatnya.

"Kamu dari mana, Aqil?" Tan Sri Mansur membuka suis lampu rumah di ruang tamu sehingga terang di kawasan itu. Bagaimana Aqil boleh tidak perasankan lelaki itu tadi ketika melintasi ruang tamu itu.

"Aqil dari masjid papa." Aqil menjawab perlahan sambil kakinya dibawa menuju ke arah Tan Sri Mansur.

"Mana kau sembunyikan isteri dan anak aku?" Tiba-tiba kedengaran suara Haikal di belakangnya. Sewaktu Aqil menoleh ke belakang satu tumbukan tepat kena pipi kanannya.

"Amirul Haikal, sudah cukup! Jangan ditambah masalah lagi. Kita bincang baik-baik." Tan Sri Mansur berdiri dari duduknya dan memisahkan Haikal daripada Aqil ketika anak lelakinya itu menarik kolar baju Aqil bersedia mahu menumbuk anak angkatnya itu sekali lagi.

"Tapi papa dia bawak lari isteri dan anak Qal." Haikal tidak berpuas hati apabila Tan Sri Mansur melindungi Aqil. Ikutkan hatinya mahu saja dia belasah Aqil sepuas-puasnya. Hilang sudah kasih kepada Aqil yang dianggap seperti adik kandungnya sendiri kini yang tinggal hanya perasaan dendam dan benci.

"Aqil, di mana Rina dan Qalifh sekarang? Bukankah papa suruh kamu bawa mereka pulang ke rumah?" Tan Sri Mansur memegang kedua-dua bahu Aqil dan merenung wajah anak angkatnya itu dengan wajah yang serius.

"Rina dan Qalifh berada di tempat yang selamat papa. Rina tidak mahu kembali lagi ke rumah kita." Aqil melarikan padangannya daripada Tan Sri Mansur kerana tidak mahu dia menjadi lemah di hadapan papanya itu.

"Aqil, di mana mereka?" Tangan Tan Sri Mansur memegang pula wajah Aqil supaya Aqil memandang wajahnya dan bercakap jujur. Dia bersyukur Rina dan Qalifh selamat tetapi dia berharap Aqil memberitahu dimana anak angkatnya itu sembunyikan menantu dan cucunya.

"Maaf, Aqil tidak boleh beritahu papa. Aqil sudah berjanji kepada Rina." Aqil menundukkan wajahnya dengan kecewa kerana dia tidak mampu melakukan hal yang satu itu. Dia sudah berjanji kepada Rina agar tidak memberitahu sesiapa dimana mereka disembunyikan. Dia tidak mampu melakukan apa-apa untuk wanita itu biarlah dengan menyembunyikan keberadaan mereka mengurangi rasa bersalahnya terhadap wanita itu.

"Baik kau beritahu kami di mana mereka sebelum aku telefon polis biar kau meringkuk dalam penjara sebab culik bini dan anak aku." Haikal menengking tidak sabar melihat kelembutan bapanya menghadapi Aqil. Jika dia, sudah lama ditumbuk dan ditendangnya Aqil sehingga lelaki itu memberitahu dimana Rina dan Qalifh disembunyikan.

"Telefonlah aku sedia di tangkap polis sebab menyembunyikan mereka tapi kau ingat aku juga saksi mata apa yang kau lakukan pada dia!" Aqil membalas tengkingan Haikal dengan tengkingan semula. Haikal masih tidak rasa bersalah atas apa yang lelaki itu lakukan kepada Rina malah mahu mengugutnya pula. Dasar lelaki berhati kering.

"Aqil, sanggup kamu mahu melaporkan abang kamu sendiri kepada pihak polis? Mengapa kamu jadi orang yang pentingkan diri seperti ini setelah papa berikan semuanya kepada kamu? Papa percayakan Aqil selama ini jangan sampai papa menyesal kerana mengambil kamu sebagai anak angkat papa. Ingat Aqil, Rina dan Qalifh itu menantu dan cucu papa dan isteri serta anak abang kamu. Kalau Haikal benar-benar melaporkan kamu pada polis, papa tidak akan menolong kamu. Papa akan berusaha semampu papa untuk menyelamatkan abang kamu daripada tuduhan. Lebih baik kamu beritahu apa di mana mereka dan kita lupakan apa yang sudah terjadi." Tanpa Tan Sri Mansur sedari dia telah menyakitkan hati Aqil dengan mengungkit asal usul Aqil.

Aqil terpempan. Terguris hatinya dengan kata-kata Tan Sri Mansur tadi. Tan Sri Mansur menyesal mengambil dirinya sebagai anak angkat hanya disebabkan dia melindungi Rina Altafunisa. Tan Sri Mansur tidak rela jika Haikal ditangkap polis tetapi bapanya itu tidak mahu menolongnya jika dia yang ditangkap polis. Apakah selama ini Tan Sri Mansur tidak pernah ikhlas mengambilnya sebagai anak sehingga timbul perkataan 'menyesal' dari mulut lelaki itu?

"Sebabkan Haikal anak kandung papa jadi papa mahu membela dia?" Aqil ketawa sinis dan menjauhkan diri daripada Tan Sri Mansur. Dia benar-benar kecewa dengan sikap tidak adil Tan Sri Mansur. Kata orang sayang anak itu berpada-pada.

"Jangan kurang ajar, Aqil. Papa tidak pernah mengajari kamu untuk menjadi kurang ajar!" Tan Sri Mansur mula meninggikan suara apabila melihat perangai Aqil yang berubah tiba-tiba itu. Aqil tidak pernah membantah keinginannya selama ini tetapi hari itu Aqil seperti bukan Aqil yang dikenalinya. Apakah hanya disebabkan seorang wanita yang bernama Rina Altafunisa?

"Sudahlah papa, tak payah nak membazir masa dengan dia ini. Telefon saja polis biar dia membusuk dekat penjara sana. Kita minta polis mencari Rina dan Qalifh. Haikal yakin kita pasti menemui mereka." Haikal membentak lagi. Dia sepertinya sudah obses dengan wanita itu kerana menganggap Rina adalah milik mutlaknya. Tiada sesiapa yang boleh mengambil haknya walaupun itu adiknya sendiri.

"Buat apa kau mencari mereka, Haikal? Tak cukup ke kau buat perempuan itu merana atas perbuatan durjana kau? Kenapa kau nak dia kembali kepada kau semula? Untuk kau seksa? Atau untuk melempiaskan nafsu serakah kau?" Aqil bertanya lantang. Dia tidak rela jika Rina harus kembali ke pangkuan lelaki seperti Haikal yang tidak pandai menghargai seorang wanita.

"Itu bukan urusan kau. Dia isteri aku dan aku ada hak atas dia!" Haikal merenung Aqil tajam seakan tidak sabar mahu menerkam Aqil.

"Isteri? Hak? Kau tak layak menjadi suami dia pun." Aqil ketawa dengan kata-kata Haikal itu. Ketawa yang jelas dibuat-buat dan menjengkelkan orang yang mendengarnya.

"Habis tu siapa yang layak? Kau?" Haikal bertanya pula dengan senyuman sinis di hujung bibirnya.

"Apa yang kamu merepek ni Haikal?" Tan Sri Mansur memarahi Haikal dengan pertanyaan mengarut anaknya itu.

"Papa tanyalah anak angkat kesayangan papa ini. Tanya dia apa perasaan dia pada Rina? Diam-diam dia tikam belakang kita. Selama ini kau ada perasaan pada kakak ipar kau sendiri! Kau cintakan isteri akukan?" Haikal menengking kembali berasa sudah menang dapat mengalahkan Aqil dengan kenyataannya. Buku merah seakan diari yang diambil dari belakang bajunya dicampak ke lantai berdekatan Aqil. Sebenarnya dia tidak mahu menunjukkan buku itu terutama kepada Tan Sri Mansur tetapi disebabkan dia begitu geram dengan sikap Aqil dibiarkan buku diari itu dibaca oleh Tan Sri Mansur.

"Aqil papa ingat kamu sudah buang perasaan itu jauh-jauh ketika kamu membuat keputusan untuk memilih Shofwah sebagai teman hidup kamu!" Tan Sri Mansur merenung Aqil tajam selepas membaca helaian kertas yang dilipat-lipat oleh Haikal. Semua helaian kertas yang dilipat itu adalah luahan rasa cintanya kepada Rina Altafunisa.

Buku itu adalah diari Aqil yang disimpan di dalam laci di meja kerja dalam biliknya. Haikal menyelongkar barang peribadinya! Sungguh keterlaluan.

"Apa maksud papa? Selama ini papa tahu?" Haikal bertanya terjekut dengan kenyataan Tan Sri Mansur yang tidak diduga itu. Tan Sri Mansur tahu bahawa Aqil mempunyai perasaan kepada Rina. Jadi mengapa papanya itu tidak berbuat apa-apa?

"Jawab papa Aqil!" Tan Sri Mansur tidak mengendahkan pertanyaan Haikal dan memandang Aqil dengan wajah yang merah padam menahan marah. Memang selama ini dia tahu pandangan Aqil kepada Rina bukan pandangan biasa tetapi pandangan yang mempunyai perasaan cinta. Dia mendapat tahu akan hal itu apabila berasa pelik dengan sikap prihatin Aqil terhadap Rina yang koma ketika itu. Tan Sri Mansur dengan sengaja memasuki bilik anak angkatnya itu ketika ketiadaan Aqil dan melihat komputer riba milik Aqil yang mempunyai gambar Rina dan puisi cinta untuk menantunya itu.

Awalnya dia berasa sangat marah tetapi apabila dia mengetahui Aqil sudah lama mengenali Rina sebelum wanita itu berkahwin lagi daripada Mak Sofi hatinya berasa sedih. Disebabkan itulah Tan Sri Mansur memaksa Aqil mempercepatkan majlis perkahwinannya dengan Shofwah dengan harapan Aqil akan melupakan Rina dan ikhlas jika wanita itu menjadi kakak iparnya. Dia sering mengingatkan Aqil untuk membantunya mempersatukan semula Haikal dengan Rina tanpa sepengetahuan menantunya itu. Dia yakinkan Aqil bahawa anaknya itu akan berubah jika mempunyai isteri seperti Rina Altafunisa. Tetapi kini dia berasa kecewa kerana Aqil masih mempunyai perasaan yang sama terhadap Rina. Dia tidak menyangka bahawa anaknya itu tidak boleh melupakan Rina walaupun Rina sudah mempunyai seorang anak.

"Ya! Memang saya cintakan Rina Altafunisa. Saya cintakan dia sehingga ke hari ini walaupun saya tahu dia isteri orang." Aqil mengakui cintanya kerana tidak ada gunanya dia berdalih lagi kerana mereka sudahpun mengetahuinya.

Pang!!!

Satu tamparan keras terkena di pipi Aqil. Tangan yang menamparnya itu adalah tangan Tan Sri Mansur. Haikal terkejut melihat tangan Tan Sri Mansur menggigil selepas menampar Aqil dengan kuat. Selama ini Tan Sri Mansur tidak pernah memukul anak-anaknya. Terbit rasa bersalah kepada Aqil tiba-tiba kerana walau apapun dia pernah menyayangi lelaki itu seperti adik kandungnya sendiri.

"Mulai hari ini kamu bukan aku lagi. Kemaskan barang-barang kamu dan pergi dari rumah ini. Aku tidak mahu tengok muka kamu lagi." Tan Sri Mansur membelakangi Aqil kerana berasa sedih harus menghalau anak angkatnya yang selama ini dijaga penuh kasih sayang.

"Papa tahu, kalau bukan disebabkan Aqil sayangkan papa lebih dari segalanya sudah lama Aqil bunuh anak papa ini kerana merosakkan maruah perempuan yang Aqil cintai. Aqil cintakan dia sejak kami di universiti. Aqil mahu melamar dia sebelum dia mulakan latihan industri tapi Aqil kecewa saat tahu dia mengandung. Aqil hina dia papa!!! Aqil tuduh dia perempuan murah dan Aqil bencikan dia. Tapi cinta Aqil pada dia menutupi kebencian Aqil sehingga Aqil sanggup jika menjadi bapa kepada anak yang dikandungkan." Aqil menitiskan air mata di hadapan Tan Sri Mansur dan Haikal buat pertama kali di dalam hidupnya disebabkan Rina Altafunisa. Dia meluahkan segalanya yang sudah lama terbuku di hatinya.

"Hancur perasaan dan harapan Aqil saat mengetahui bahawa Rina Altafunisa adalah isteri kepada abang Aqil sendiri. Aqil tahan perasaan Aqil pada dia tapi Aqil tak mampu membohongi diri Aqil, papa. Aqil ingin memilikinya tapi Aqil tahu semua itu tidak akan mungkin terjadi kerana dia milik abang, milik papa dan milik keluarga ini. Aqil akan pergi seperti yang papa mahukan tapi kasih dan sayang Aqil pada papa tak akan pudar. Terima kasih selama ini menjaga dan menyayangi Aqil. Aqil ingat budi baik papa sehingga Aqil mati." Aqil mencapai tangan Tan Sri Mansur dan diciumnya lama sebelum dia berlalu tanpa membawa barang-barangnya. Dia datang sehelai sepinggang sewaktu dibawa ke rumah agam itu dan dia juga akan keluar dalam keadaan yang sama.

Tan Sri Mansur masuk ke dalam bilik bacaannya meninggalkan Haikal di ruang tamu itu sendirian selepas kepergian Aqil. Hatinya juga hancur ketika melepaskan Aqil pergi. Bukan itu sebenar niatnya, dia tidak bermaksud mahu menghalau anak angkatnya itu pergi tetapi dia tidak mahu melihat Aqil kecewa dengan terus menerus mencintai Rina Altafunisa. Dia mahu Aqil dan Haikal bahagia seperti dahulu sebelum Rina Altafunisa muncul di dalam keluarga mereka. Diluar sana terdengar sayup-sayup azan subuh berkumandang dan air mata Tan Sri Mansur bercucuran memikirkan nasib Aqil, Haikal dan Rina dalam waktu yang sama.


Haikal masuk ke dalam bilik Rina yang kosong sebelum ditutup dari dalam. Dia mula menyelongkar semua sudut bilik itu untuk mencari sesuatu yang mungkin boleh digunakannya untuk menjejak wanita itu tetapi berakhir dengan hampa apabila tiada satupun yang dijumpainya kerana bilik itu terlalu 'kosong'. Jika perompak masuk ke dalam bilik ini juga tidak akan jumpa semayang emas sekalipun di dalamnya.

Betul ke wanita itu bukan mata duitan seperti yang dituduhnya? Haikal duduk di atas katil empuk itu dan meraup-raup wajahnya. Dia mula menyesal kerana mengasari Rina semalam dengan cuba melakukan perkara yang sama seperti tiga tahun yang lalu.

"Arghhh!!! Kenapa aku nak kasihankan dia pula? Memang patut pun perempuan tak guna tu kena ajar cukup-cukup." Haikal menidakkan hati nuraninya yang tinggal secebis itu.

Sebenarnya niat Haikal mencari Rina adalah untuk mengakhiri hubungannya dengan perempuan itu kerana dia mahu membina rumah tangga dengan teman wanitanya yang dia rasakan adalah pilihan yang tepat kerana mereka mempunyai banyak persamaan dan wanita itu tidak seperti wanita-wanita yang menggendengnya kerana mahukan harta. Mungkin disebabkan bapa kepada teman wanitanya itu adalah anak orang kaya jadi wanita itu tidak pernah mengkikis hartanya dan dia sudahpun berjanji mahu menikah dengan wanita itu.

Tetapi disebabkan Rina berada di rumah bapanya dia menjadi marah semula dengan menganggap wanita itu memang mata duitan seperti yang difikirkan olehnya. Tapi mengapa dia harus marah apabila melihat Aqil dan Rina sangat rapat? Ada perasaan cemburu di dalam dirinya ketika melihat Aqil memeluk Rina.

Haikal berbaring di katil empuk itu dan menggunakan bantal yang selalu digunakan oleh Rina. Bau wangi mula menusuk hidungnya. Bau wangian itu membuatkan Haikal terlena dan tertidur kepenatan kerana tidak tidur sejak dari semalam. Azan subuh yang mula berkumandang dibiarkan bagai angin lalu tidak dipedulikan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience