Rate

BAB 1 - MERISIK

Romance Completed 544525

HAZIYAH menekap telinga ke dinding kayu bilik. Cuba mencuri dengar perbualan abah dan tetamu yang datang. Senyuman terukir dibibir saat mendengar gelak tawa dan perbualan mesra antara abah dan keluarga Tengku Adham. Hati Haziyah berbunga riang.

Tok!Tok! Tok!

Serta merta Haziyah menoleh ke arah pintu. Lantas dia bangun dari duduknya dan berjalan menghampiri pintu bilik. Daun pintu dibuka. Kepala menjengah sedikit ke luar mencari gerangan orang yang mengetuk pintu sebentar tadi.

Kak Halimah!

"Ya, tolong akak hidangkan makanan pada keluarga bakal suami Ya," sengaja Halimah mengusik. Haziyah tersipu malu. Wajah mula terasa panas. Namun, segalanya cuba dikawal agar Halimah tidak terus menerus mengusiknya lagi.

"Baik, Kak Imah," tudung dibetulkan sedikit agar kelihatan kemas. Kemudian, dengan penuh yakin dia melangkah keluar dari bilik membuntuti Halimah.

Segala makanan sudah pun disiapkan sebelum tetamu sampai lagi. Hanya perlu dihidangkan kepada mereka. Semuanya diletakkan ke dalam dulang bulat yang bercorak bunga rose merah milik arwah ibu. Halimah pula menatang dulang minuman.

Setelah memastikan semuanya sudah di ambil, mereka sama-sama berjalan membawa hidangan tersebut ke ruang tamu.

Semakin kakinya hampir ke ruang tamu, jantung Haziyah semakin berdetak kencang dan kuat. Nafas ditarik dalam-dalam agar tidak kelihatan gugup di depan para tetamu nanti.

Perlahan Halimah meletakkan dulang ke atas kain saprah di tengah-tengah rumah. Tetamu yang duduk mengeliling kain saprah itu masing-masing mengerling ke arah Haziyah dan mereka saling berbisik antara satu sama lain.

Haziyah meletakkan dulang makanan ke kain saprah dengan berhati-hati. Sempat dia mencuri pandang mencari kelibat lelaki yang bakal menjadi suaminya nanti. Namun, susuk tubuh lelaki itu langsung tidak kelihatan.

Hatinya terasa hampa. 'Tak datang sekali ke?' detik hati Haziyah. Keluhan kecil dilepaskan perlahan. Halimah menoleh ke arah Haziyah saat terdengar keluhan itu. Dia tahu pasti adik bongsunya itu kecewa kerana Tengku Adham tiada bersama dalam majlis merisik itu.

Setelah semuanya di susun di atas kain tersebut, Halimah dan Haziyah bangun dari situ dan berganjak sedikit ke belakang.

"Sebelum makan, terus sarung cincinlah. Senang," Dato' Tengku Rushdi bersuara. Datin Ani serta para tetamu yang lain menganggukkan kepala tanda setuju dengan cadangan Dato' Tengku Rusdhi itu.

"Haa.. molek juga," Daud mencelah. Lantas matanya di bawa ke arah Haziyah yang berada di sebalik langsir. "Ya, mari sini," arah Daud.

Jantung Haziyah mula berdegup kencang. Berdebar-debar saat namanya di sebut oleh Daud. Namun, seakan dijampi, tanpa sedar kakinya melangkah terus menghampiri Datin Ani tanpa disuruh.

Masing-masing ketawa melihat gelagat Haziyah yang spontan sahaja menghulur tangannya ke arah Datin Ani. Daud geleng kepala. Segan dengan tindakan anak bongsunya itu.

"Sini dulu, Ya!" Daud menggamit tangan memanggil Haziyah agar anaknya itu duduk di sebelahnya.

Terkebil-kebil Haziyah saat menyedari tindakan spontannya itu. Serta merta wajah merona merah. Malu dengan sikap gelojoh sendiri. Muka Datin Ani direnung. Wanita itu kelihatan tersenyum sambil ketawa kecil memandang ke arahnya.

"Maaf, Datin," ucap Haziyah dengan wajah yang tersipu malu. "Eh, takpe. Elok juga Ya datang pada mama terus. Meh sini tangan tu," balas Datin Ani bersahaja. Haziyah jadi serba salah. Dia memandang ke arah Daud.

"Hah.. bolehlah. Hulur tangan kiri tu," arah Daud. Sengaja dia memesan sebegitu. Bukan dia tidak tahu perangai anak bongsunya itu. Sikap Haziyah yang kelam kabut dan adakalanya berbuat sesuatu tanpa berfikir panjang dek kerana cemas sering sahaja mengundang rasa bimbang dihatinya.

Haziyah menoleh semula ke arah Datin Ani. Perlahan tangan kiri dihulurkan. Kemudian, Datin Ani menyeluk tangan ke dalam beg tangan berjenama berwarna merah jambu miliknya. Jari meraba ke dalam beg mencari bekas cincin yang disimpan di dalam beg tangan tersebut.

Sebaik sahaja bekas cincin berada di depan mata, perlahan Datin Ani membuka bekas cincin baldu berwarna biru itu. Kelihatan di dalamnya, sebentuk cincin belah rotan yang terukir sedikit corak berwarna emas putih dan ditengah-tengahnya, bertatahkan beberapa butir berlian. Cincin itu nampak begitu indah sekali di mata Haziyah. Mulutnya ternganga saat melihat cincin tersebut. Namun, cepat-cepat dia mengawal riak wajahnya agar bakal ibu mertuanya itu tidak perasan.

Datin Ani memegang hujung jari Haziyah yang sudah terasa sejuk seperti ais itu. Cincin disarung ke jari manis Haziyah. Kemudian, Haziyah bersalaman dengan Datin Ani. Pipi wanita itu turut dikucup lembut.

"Mama doakan, semoga semuanya berjalan lancar," ucap Datin Ani dengan senyuman manis. Haziyah tersenyum janggal. "Terima kasih, datin," balas Haziyah masih tidak biasa mahu memanggil wanita itu dengan panggilan mama.

"Alhamdulillahhh," ucap para tetamu saat cincin selamat disarungkan ke jari Haziyah. Daud mengangkat tangan berdoa tanda bersyukur kerana segalanya berjalan lancar.

Setelah itu, mereka semua menjamu selera. Haziyah dan Halimah bertungkus lumus melayan tetamu yang hadir dan dibantu oleh beberapa saudara terdekat sebelah Daud.

MALAM itu, Haziyah membelek cincin yang tersarung di jarinya. Dia tersenyum sendiri. Walaupun tidak dapat bertemu dengan Tengku Adham, dia tetap gembira. Cincin tanda itu membuatkan hati Haziyah berbunga riang. Tidak lama lagi, dia dan Tengku Adham akan membina mahligai cinta bersama-sama.

"Amboiiii... Tersenyum-senyum sejak dari tadi. Seronok sangat sampai Kak Imah ketuk pintu bilik pun tak dengar?" usik Halimah dengan kepala terjengul ke dalam bilik dari arah pintu.

Terangkat bahu Haziyah saat di terjah sebegitu. "Iiiisshhhh.. Kak Imahhh.. Terkejutlah adik!!!" marah Haziyah dengan nada manja. Bibir dicebik geram. Halimah ketawa mengekek melihat wajah cemberut adik kesayangannya itu.

"Itulah, asyik berangan pasal bakal suami sampai tak dengar Kak Imah ketuk pintu berkali-kali," bidas Halimah. Kakinya melangkah masuk ke dalam ruangan itu. Wajah Haziyah yang kembali ceria itu direnung. Dia turut tersenyum. Dapat dia melihat kegembiraan Haziyah dari raut wajah adiknya itu.

"Kak Imah nak tengok cincin tu sekejap boleh?" pinta Halimah sambil menghulur tangan. Berhati-hati Haziyah membuka cincin tersebut dari jarinya dan diberikan kepada Halimah.

Halimah membelek cincin tersebut dengan wajah teruja. "Cantiknya, dik. Pandai bakal suami adik pilihkan cincin untuk adik," puji Halimah melambung. Makin lebar senyuman Haziyah saat ini. "Dia takde telefon adik ke tanya apa-apa pasal tadi?" soal Halimah sambil menyerah kembali cincin tersebut kepada Haziyah. "Takde. Sibuk agaknya," Haziyah menyarung semula cincin itu ke jari manis dengan senyuman yang masih belum lekang dari bibirnya.

"Ni abah panggil. Ada benda abah nak bincang," Halimah mengajak Haziyah ke ruang tamu. Haziyah akur. Punggung di angkat dari katil. Dia membuntuti Halimah ke ruang tamu.

Kelihatan Daud sedang duduk dengan matanya tertumpu pada skrin televisyen. Haziyah dan Halimah masing-masing melabuhkan punggungnya ke kerusi. Sebaik sahaja adik beradik itu berada di situ, Daud mencapai alat kawalan jauh dan televisyen di matikan. Dia mahu menumpukan sepenuh perhatian pada anak-anaknya.

"Alhamdulillah. Abah syukur sangat majlis hari ni berjalan lancar. Sebahagian tugas abah hampir habis. Lepas ni, adik dah kahwin, jadi tanggungjawab suami adik. Bukan lagi abah," panjang sedikit mukadimah Daud kali ini. Dia sebenarnya sebak untuk menutur bicara itu. Hendak pula bila bercakap mengenai tanggungjawab pada anak-anak gadisnya.

"Alhamdulillah," ucap Halimah dan Haziyah serentak. Mereka saling tersenyum sesama sendiri. Haziyah lagilah, lebih lebar senyumannya.

"Imah nak abah carikan pengganti?" soal Daud tiba-tiba. Susah benar hati saat melihat anak sulungnya masih lagi tidak mahu berkahwin setelah kematian suami. Sudah 5 tahun pemergian Tamim, arwah suami Halimah. Namun, tetap sahaja pintu hati Halimah masih belum terbuka untuk berumah tangga.

Halimah mencebik bibir sambil dahinya berkerut seribu. "Apa abah ni. Kitakan tengah cakap tentang adik. Bukan Imah!" bentak Halimah geram. Haziyah yang duduk disebelahnya ketawa kecil.

"Yelah, abah tahu. Tapi, abah ni susah hati. Imah kena cari pengganti. Tak kanlah nak duduk dengan abah sampai bila-bila," bidas Daud tenang. "Imah nak jaga abah," pintas Halimah dengan tegas. Sungguh dia tidak mahu fikir lagi tentang mendirikan rumah tangga. Biarlah dia menjaga Daud sehingga akhir hayat lelaki itu. Dia tidak kisah.

"Abah boleh jaga diri abah sendiri," balas Daud selamba. Haziyah dan Halimah saling berpandangan. Tahu sangat perangai degil Daud itu. Suasana sunyi seketika.

"Adik balik ke kolej bila?" soal Daud mengubah topik perbualan. Dia tidak mahu memanjangkan lagi isu jodoh Halimah. Bimbang anaknya itu berkecil hati jika terus terusan di desak.

"Esok lepas Zohor bas adik. Abah tak payah hantar adik. Adik dah janji nak balik sama-sama dengan Nina," jelas Haziyah. Nina, sahabat baik Haziyah yang sama-sama menuntut di kolej yang sama di ibu kota Kuala Lumpur. Rakan sekampung yang membesar bersama. Pendek kata, rakan baiknya sejak dari kecil.

"Haa... Yelah. Jangan merayau tak tentu arah. Balik terus ke asrama. Kamu berdua tu perempuan, tak elok merayau sana sini. Nak pula adik tu bakal isteri orang. Jaga diri baik-baik," bebel Daud. Haziyah cebik bibir. "Iyelah abah. Adik tahulah," rengek Haziyah manja. Giliran Halimah pula ketawa saat melihat Haziyah dibebeli Daud.

"Nanti adik kahwin, lepas tanggungjawab abah. Adik kena taat pada suami. Jaga maruah suami. Dengar cakap dia. Jangan melawan," sambung Daud lagi. Halimah yang masih ketawa itu menoleh ke arah Haziyah. "Dengar tu," usik Halimah. Haziyah menggolek bola matanya tiga ratus enam puluh darjah ke arah Halimah.

"Menurut perintah, abahhh...," meleret suara Haziyah saat ini. Tangan kanan diletakkan ke dahi seakan memberi tabik hormat kepada si ayah. Mengekek Halimah ketawa melihat wajah Daud yang terkulat-kulat diusik Haziyah.

"Ada-ada je adik ni," gumam Daud sambil menggelengkan kepala melihat telatah anak bongsunya. Akhirnya, mereka bertiga ketawa bersama.

WAJAH Haziyah di pandang. Nina kerut dahi. Pelik dengan sikap Haziyah yang sejak dari tadi asyik tersengih sendiri. Macam orang angau. Wanita itu tidak sudah-sudah membelek cincin dijari. Nina cebik bibir.

"Tahulah dah disunting. Muka tu tak payahlah tersengih macam orang tak betul!" tegur Nina. Bibir ditarik senget ke kiri. Haziyah tersentak saat tangannya ditepuk Nina.

"Eeii.. terkejutlah!" marah Haziyah sambil menjeling manja ke arah Nina.

"Bila kau bertunang ni? Cepatlah sikit bertunang. Tak pun terus kahwin, bagi hilang angau tu!" tambah Nina lagi. Haziyah ketawa kecil. Geli hati melihat riak geram Nina terhadapnya.

"Haa.. Betullah aku terus kahwin. Takde bertunang. Bulan depan kami kahwin. Masa cuti semester," jawab Haziyah setelah tawanya mula reda. Nina angguk kepala. "Nanti kau dah tak duduk hostel lah kan?" soal Nina lagi. Dia sedikit sedih kerana kawan baiknya itu akan pindah keluar dari bilik asrama mereka.

"Iyelah. Lagipun, rumah Ad tu tak jauh dari kolej. Boleh kami sama-sama naik kereta. Dia hantar aku. Aku cium tangan dia. Dia cium pipi aku. Lepas tu, aku lambai-lambai tangan pada dia. Lepas tu...," belum sempat Haziyah menghabiskan angan-angannya, Nina memintas. "Dah..Dah... Aku tak nak dengar! Menyampah!" selamba sahaja Nina menutur kata. Meledak tawa Haziyah tatkala mendengar kata-kata Nina.

"Nanti bolehlah kau cerita pasal malam pertama kau pula. Seronokkan nak kahwin??" sindir Nina lagi. Mengekek Haziyah ketawa. "Yang tu, tak boleh cerita. Rahsia!" balas Haziyah dengan tawa yang masih bersisa. Nina memutar bola matanya tiga ratus enam puluh darjah.

"Kejap, assignment yang Miss Ruth bagi tu, kau dah buat survey harga kain yang dia nak tak?" soal Nina saat teringat akan tugasan yang mereka perlu siapkan untuk minggu depan. Haziyah angguk kepala sambil tersenyum. Nina hela nafas lega.

"Alhamdulillah. Untung aku ada kawan macam kau. Selalu bersedia," puji Nina. Haziyah mengukir senyum bangga. "See the leg lah!" jawab Haziyah selamba.

"Kau memang sentiasa bersedia. Aku rasa malam pertama kau nanti mesti kau yang terkam si Ad tu!" Nina mengusik pula. Haziyah menekup mulut menahan dari tawanya meledak kuat. Tidak tahan dengan kata-kata Nina itu.

"Kann?? Tak payah nak cover malu sangatlah!" tambah Nina lagi. Haziyah ketawa tidak bersuara. Terhinjut-hinjut bahunya saat ini. Nina memang selamba.

"Dahlah Nina. Kau ni buat aku malu je," balas Haziyah tersipu-sipu menahan bahang di wajahnya. Pada awalnya terasa kelakar. Tetapi kini, terbit pula rasa malu dan berdebar dengan kata-kata Nina itu.

"Eleh.. Malu konon," sindir Nina lagi. Haziyah geleng kepala. Wajahnya mula serius. Dia bukanlah gadis yang gatal mahu berlaki. Tetapi, dek kerana cintanya pada Tengku Adham yang dipendam sekian lama, dia jadi gembira dan tidak sabar mahu mendirikan rumah tangga bersama lelaki itu.

Namun, sejak semalam dia tertanya-tanya, kenapa sepanjang mereka di putuskan untuk di satukan, sekali pun Tengku Adham tidak menghubunginya. Langsung tidak bertanyakan khabar, apatah lagi mahu bertanya tentang majlis merisik semalam. Tetapi, Haziyah fikir mungkin kerana lelaki itu sibuk dengan urusan kerjanya.

Bibirnya terukir senyum manis sekali lagi. Nina yang sudah terlena di sebelahnya dipandang sekilas. Kemudian, pandangan dibuang ke luar tingkap bas. Perlahan mata ditutup dan akhirnya dia terlena.

nak pesan lagi nihh.. cerita ni klise.. heroin lembik.. hero otak seminit... hahahahaa... tapi bila hero dah jadi baik, otak dia kembali berminit². heroin pula kalau dah sedar beliau akan jadi heroin yang hatinya mula bercelaru..kahkahkah.. harap semua bawa bersembang.. eh..bawa bertenang... konflik memang ada.. mungkin awalan cerita konflik bermula... ai suka konfleks sebab biasa raya ai beli biskut konfleks madu..atau pagi² minum dengan susu.. eh.. melalut pula... lalalalaala... so, macam biasa yeppi readingggg yu all.. lep yuuu.. daaaaa..........

Share this novel

Lachimolala Jimin
2024-01-12 13:34:20 

tq

Lachimolala Jimin
2024-01-07 09:21:09 

nk tanya kalau dah keluar dari novel ni pastu bila masuk balil memang kene cari balik ke sampai mana yang kita dah baca

CT CT
2021-05-24 22:54:13 

kenapa x boleh nak baca


NovelPlus Premium

The best ads free experience