Biarlah orang kata tindakan yang diambilnya itu adalah tindakan yang bodoh. Dia tidak kisah semua itu. Duitnya bukan banyak sangat. Dia hanya mengharapkan duit pinjaman PTPTN sahaja. Untung sahaja dia tinggal bersama ibu bapanya dan ini bermakna dia tidak perlu kisah untuk membayar sewa rumah dan duit makan.
Yaya lantas mengeluarkan buku teks Bahasa Arab dan sehelai kertas kajang. Kemudian dia menyalin nota yang ada di dalam buku teks itu pada kertas kajang itu. Dia cuba meringkaskan nota tersebut untuk memudahkan dia memahami nota nota itu. Tujuan nota itu adalah untuk meniru dalam ujian Bahasa Arab nanti. Dia berasa malas mahu menghafal dan mengulangkaji nota nota Arab itu.
Sudah tujuh minggu berturut turut dia menghadapi ujian dan kuiz yang diberi oleh pensyarahnya dan selama tujuh minggu itulah dia perlu menghafal dan mengulangkaji pelajaran tanpa henti. Sudah sakit kepalanya dengan pelbagai nota. Sudah sesak otaknya dengan pelbagai fakta. Oleh sebab itulah, dalam ujian Bahasa Arab ini biarlah dia meniru sahaja.
Dia tahu perbuatan yang dilakukannya itu tidak baik dan tidak berkat. Dia tahu itu. Namun, akibat mahu lulus dalam ujian tersebut, dia terpaksa buat buat tidak tahu akan perkara itu. Dia tidak mahu mengambil mata pelajaran yang sama pada semester depan sekiranya dia gagal. Oleh itu, biarlah dia membujur lalu melintang patah dalam hal ini asalkan dia tidak mengulang lagi pada semester depan walaupun tindakan yang diambilnya itu begitu tinggi risikonya.
Sekiranya tertangkap sudah pasti dia akan gagal dalam ujian itu. Itu tidak mengapa lagi. Paling bahaya jika dia dikenakan tindakan disiplin oleh pihak kolej. Sudah pasti dia malu. Ibu bapanya tambah malu. Dia sendiri tidak tahu mengapa dia begitu berani untuk meniru dalam peperiksaan sejak dia menjejak kaki ke kolej ini. Ketika di sekolah menengah dahulu dia langsung tidak berani untuk meniru.
Share this novel