Bab 19

Young Adult Completed 7336

"Mesti seronok kau dengan kawan-kawan kau rasa dulu masa korang buli adik aku, kan? Yalah, dia tu lemah-lembut, bukan reti melawan," soal Suhaila  dengan nada yang rendah. Pun begitu, kebencian yang tersirat di sebalik pertanyaan itu tidak sedikit terlindung. Sebuah senyuman sinis mengiringi pertanyaannya tadi.

"Korang panggil dia babi gemuk, anak gajah. Habis bentuk badan dia kena cemuh. Tak cukup tu, korang panggil pula dia hodoh. Suruh dia pergi mampus." Suhaila lalu bermundar-mandir sebentar sebelum dia kembali duduk di atas permukaan hujung meja komputer tadi.

Kata-kata Suhaila yang tergantung tadi membuatkan jantung Mawar semakin berdebar. Ulang tayang dosa-dosanya bermain kuat di dalam minda. Dia ingat dengan jelas akan setiap satu hal yang disebutkan Suhaila tadi. Dan dengan setiap ingatan, timbul seribu penyesalan.

Geram melihat Mawar yang semakin tertunduk dan senyap seribu bahasa, suara Suhaila semakin lantang bergema, "Korang hina dia habis-habisan sampai dia muntahkan makanan setiap kali lepas makan. Nak tahu kenapa? Sebab adik aku yang lemah-lembut tu risau sangat korang akan panggil dia gemuk lagi!"

Terkuncup bahu Mawar disergah suara yang membelah tak ubah bagaikan halilintar itu. Dia yang hanya mampu terus duduk melutut pasrah dengan takdir yang bakal menimpanya.

Kini, tiada lagi air mata yang mengalir. Rasa takut yang menjerut bersisa hanya sedikit.

Sebuah keredaan menjalar. DIsertai penyesalan yang sama mekar.

Suhaila dengan amarah yang rakus berjalan ke arah pendosa yang diam seribu bahasa itu dengan pisau lipat yang digenggam kemas. Puas hati Suhaila melihat riak kesal yang menyala terang pada wajah pesalah itu.

"Tina, jaga pintu." Sempat Suhaila memberi arahan tegas.

"Syifa, pegang dia." Syifa tanpa menunggu arahan selanjutnya daripada Suhaila kini telah memaksa Mawar duduk di atas kerusi plastik yang diambilnya berhampiran dan ditekan tubuh Mawar agar dia kekal duduk.

Tanpa menunggu arahan Suhaila, Natasha mengeluarkan tali nilon berwarna biru yang dibawanya. Tali di dalam genggamannya itu digunakan untuk mengikat Mawar yang langsung tidak melawan ke kerusi.

Suhaila kekal memerhati dengan mata yang mencerlung tajam. Dia tahu Mawar cuba menyembunyikan ketakutannya, dan itu membuatkan dia sangat puas. Akhirnya dia dapat membalas semula apa yang telah dilalui Suhaiza dulu terhadap pembulinya.

Tina yang melihat dari arah pintu itu mulai redup pandangannya. Kesenyapan Mawar entah kenapa mengusik hatinya. "Suhaila... Kau betul ke nak teruskan ni?" tanya Tina perlahan.

"Diam, Tina! Kau tak faham perasaan aku! Aku tahu ibu aku takkan ambil tindakan pada sampah ni!" Lantang suara Suhaila membalas soalan bodoh tadi seraya jari telunjuknya diajukan ke arah kepala Mawar.

Tina terdiam kaku.

Dia tidak dapat menyangkal kebenaran di dalam dakwaan Suhaila tadi - benar, Tina takkan pernah mampu memahami perasaan Suhaila sepenuhnya kerana dia tidak berada di dalam situasi itu.

Tubuhnya dia palingkan. Kepalanya dia tundukkan.

***

Cikgu Haizi yang pertama masuk ke kelas pagi itu. Setelah para pelajar duduk selepas memberi salam kepada guru tadi, Ahmad Firdaus menjeling ke belakang. Risau mula memagut hatinya apabila dilihat tempat duduk Mawar masih kosong.

Teringat dia sejenak yang dia ternampak Syifa pagi tadi - salah seorang kawan Suhaila  - berjalan ke pintu belakang kelasnya. Dia tidak perasan pula selepas itu Mawar mengikuti gadis itu atau tidak. Ini masalahnya kalau dia dah menghadap buku. Ada masa dia tak perasan suasana sekeliling.

Membuang jauh-jauh sesal yang membibit itu, dia memaksa minda dan hatinya fokus kepada hal Mawar saat ini. Naluri hatinya kuat mengatakan Mawar pasti mengikuti Syifa pagi tadi. Tapi, ke mana? Tumpuannya mula terganggu. Dia tidak dapat memberi perhatian langsung kepada apa yang sedang diajar oleh cikgu Haizi di hadapan.

"Suhaila ada nak buat apa-apa ke pada budak baru tu?" Firdaus bersenandika.

Dijelingnya sejenak cikgu Haizi di hadapan. Ahmad Firdaus tahu cikgu Haizi merupakan ibu kepada Suhaila. Bibirnya terkatup. Dia tidak tahu sama ada cikgu Haizi sedar atau tidak akan apa yang telah Suhaila lakukan kepada Mawar sepanjang seminggu lebih ini.

Dia risau kalau-kalau cikgu Haizi tidak mempercayainya!

Tambahan, Ahmad Firdaus tidak mahu guru itu menyangka bahawa dia mahu memfitnah anak daranya. Bungkam sendiri jejaka itu di tempat duduknya.

"Bantulah saudaramu yang zalim dan juga yang dizalimi."

Pada waktu sebegini, teringat pula dia tiba-tiba kepada hadith riwayat Bukhari yang telah disampaikan oleh abang Rizal, naqib usrahnya di surau. "Argh! Lantaklah fitnah pun!" bentak Ahmad Firdaus perlahan.

"Cikgu Haizi!" kuat  suaranya memanggil guru itu.

***

Mulutnya terkunci langsung daripada meluahkan sebarang rasa sakit. Pada saat ini, segala belas kasihan, sesalan dan empati yang dia simpan terhadap Suhaila mula menghilang. Semua itu kini diganti pula dengan perasaan benci tidak berbelah bahagi.

Rasa ngilu pada pipinya semakin menggigit.

Darah yang mengalir hangat membuatkan kepalanya pening.

"Ah, sayang betul! Tak pasal-pasal kan muka kau dah berparut. Kenapa kau main dengan pisau ni, Mawar? Bodoh ke apa?" tanya Suhaila dengan nada mengusik. Tidak dapat dia kawal geli hatinya, dia mula gelak berdekah-dekah.

Sungguh dia terhibur saat ini.

Puas hatinya kerana dapat melunaskan dendam dan bencinya kepada gadis itu!

"Dekat mana lagi patut aku toreh, eh?" Sindiran dalam pertanyaan itu sama tajam menikam buat Mawar yang mendengar.

Pisau lipat itu lalu Suhaila leretkan di atas permukaan tudung Mawar. Sengaja hendak menyakat dan menakutkan pesalah yang berlagak kuat di hadapannya itu. Leretan tadi hanya dihentikan apabila pisau itu sampai ke bawah telinga kanan Mawar.

Huhu. Kisah Mawar ni dah nak hampir menemui penghujung.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience