(PAST) ~nightmare I~

Other Series 152486

Malam itu Rhico, Alpheus dan Angie meluangkan masa bersama di ruang tamu utama rumah.

Paula dan Georgia pula hanya menegur acuh tak acuh saja sebelum meminta diri ke bilik masing-masing kerana tak biasa dengan si bapa akibat sudah lama tak berhubung. Hanya Angie saja yang manja dengan Alpheus dan Rhico.

Romana pula semenjak kepulangan si suami, dia tak keluar dari bilik. Memerap sambil memikirkan apa yang harus dia lakukan agar Alpheus tak bercerai dengannya kerana perniagaan si bapa akan terjejas teruk.

Setelah penat berfikir, dia hanya punya satu jalan penyelesaian termudah dan yang paling menguntungkan. Jika rancangannya berjaya, dia akan mampu memperoleh pula harta Alpheus, si bangsawan Italy di samping mengekalkan dagangan dan penjualan EF Pharmaceutical.

Romana keluar dari biliknya dan mencuri dengar dari jauh. Suara ceria dan ramah suaminya cukup dia benci.

Walaupun memang salahnya pada awal kerana mempunyai lelaki lain, tetapi pada Romana, dia sepatutnya diberi peluang kedua.

Alpheus mendapat tahu perihal kecurangan Romana daripada mulut-mulut kenalannya yang terserempak dengan gadis itu keluar masuk ke hotel mewah di Black Forest sebelum ini.

Dan itu membuatkan Alpheus mencari bukti dan ternyata ianya benar. Dia bencikan pengkhianatan dan ianya berlaku.. terutamanya pada Romana, wanita yang sangat dia sayangi.

Disebabkan sakit hati dan bengang dipermainkan, Alpheus mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Romana secara rasmi.

Termasuklah hubungan dagangan perniagaan Rhico di Italy kerana Alpheus hanya menjalankan hubungan itu atas faktor kekeluargaan.

"Kamu serius ke dengan apa yang kamu nak lakukan ni Al?" Rhico bertanya tenang pada menantunya.

"Ye ayah. Saya sudah fikir masak-masak dan inilah keputusan saya.. Angie saya akan bawa bersama ke Italy nanti. Lagipun saya sunyi juga di sana, bila ada Angie, kuranglah sikit rasa tu.."

Jawab Alpheus penuh sopan dan keramahan. Sememangnya Alpheus punya budi pekerti yang baik dan Rhico amat menyukainya. Tapi tak sangka pula anaknya mencurangi menantunya itu.

Dia rela dan reda dengan keputusan Alpheus kerana lelaki itu punya haknya sendiri.

Mendengarkan jawapan Alpheus, Rhico hanya mengangguk perlahan tanda memahami. Dia tahu Al tak akan menukar fikirannya. Masalah perniagaannya akan dia cuba atas sendiri selepas ini.

"Tapi.. Angie tak nak pergi. Angie nak duduk sini." Suara comel Angie menyampuk perbualan.

Si atuk memandangnya sayang,

"Angie akan lebih suka dekat sana.. percayalah atuk okay?" ujar Richo lembut.

Angie tak bereaksi, tak mengangguk mahupun menggeleng. Dia terfikir..

"Saya minta maaf sebab saya ambil keputusan begini.. maaf ayah." tutur Al sopan, Angie yang kurang faham di atas riba Alpheus hanya memerhati kedua orang lelaki itu polos.

"Tak apa.. ayah faham.." balas Richo lembut. Mereka berbual rancak dan bergurau senda sesama sendiri..

bergembira..

bergelak-ketawa..

Itulah suasana yang sudah lama hilang di rumah besar itu kecuali apabila Angie bersama Richo atau mana-mana pembantu-pembantu saja.

Setelah meluangkan masa bersama hingga hampir ke lewat malam, Angie mula menguap mengantuk beberapa kali.

Alpheus terus meminta diri mahu membawa Angie ke atas kerana sudah berjanji mahu menidurkan si anak malam ini dan mereka semua pun berlalu ke bilik masing-masing.

"Sayang seronok tak tinggal sini? Dengan mak.. Paula.. Georgia.. dan atuk?" Setelah mereka berbual agak lama, barulah Al bertanya apa yang dia mahu dengarkan.

"Am... boleh Angie jujur?" Angie yang berwajah polos bertanya, Al memandang ke arahnya seraya mengangguk perlahan. Rambut lembut kuning kehitaman Angie dielus beberapa kali sebelum mengucup ubun-ubun si anak yang tidur di bawah ketiaknya itu.

Satu tangannya ditongkatkan menatap si comel. Al mengangguk mengiakan.

"Angie... suka duduk sini. Ada semua... tapi tak ada ayah. Erm.. Angie tak nak pergi dari sini sebab Angie nak teman atuk dan Angie tak nak tinggalkan Olin."

mulut itu mula berceloteh dengan suara comelnya.

"Siapa Olin?" tanyanya lembut.

"Olin kawan baikkkkkk Angie! Dia baik sangat.. Angie suka kawan dengan dia." bersinar mata biru itu bertutur.

Mereka berbual lagi, lagi dan lagi sehinggalah Angie mula mamai. Matanya memberat menyuruhnya tidur.

Al mendodoinya manja dan tak lama selepas itu, si anak pun tertidur. Al bangun perlahan-lahan sebelum mengucup dahi Angie dan berbisik padanya.

"Maafkan ayah sayang tapi.. keluarga ni tak layak untuk kita. Samada mak atau atuk.. mereka semua si tamak yang tak sepatutnya hidup hingga ke hari ni.. dan ayah akan tamatkan segalanya malam ni jugak."

Al berbisik halus padanya sebelum perlahan membawa diri keluar. Sebuah pistol yang terselit kemas di belakang seluarnya dibuka gelongsor memperlihatkan 6 biji peluru.

'Ramona.. Rhico.. patutkah aku bunuh semua orang malam ni? Boleh juga kan? Hmm..'

Tak seperti semua yang dilihat, Al sebenarnya merupakan seorang penghidap "Vindictive Mental Problem" (VMP) walaupun pada luarannya dia merupakan seorang yang sangat murah dengan senyuman dan penuh dengan kebaikan.

Dirinya yang sebenar merupakan seorang pendendam yang obses dengan targetnya dan malangnya..

Sasarannya ialah Romana Forrestor.

Apabila dia mahu membalas dendam, dia akan pastikan semua yang ada kaitan dengan Romana akan terima akibatnya..

Rakan-rakan.. keluarga.. semuanya. Tapi tidak anak kesayangannya..

Angel Emmerich Forrestor.

Dia berlalu ke bilik Romana yang sudah pasti sedang menunggunya. Seperti Al, Romana juga ingin membunuh lelaki itu untuk kepentingan sendiri. Kedua-duanya memasuki perangkap masing-masing.

Tok Tok Tok.

"Masuk jela.. aku tak kunci." Romana bercakap agak kasar dari dalam menyuruh si pendatang masuk. Bilik beradu mereka berdua memang berada di hujung tingkat membuatkan keadaan di situ agak sunyi.

"Awak apa khabar? Sihat Romana?" Sebaik mereka berdua bertentang mata, Al menegur ramah dengan senyuman manisnya.

"Kau tak payah nak berbuat baik dengan aku. Terus terang je tujuan kau ke mari. Jangan buang masa aku lagi."

Romana bertutur agak kurang ajar. Dia duduk bersilang kaki di kerusi meja soleknya sambil memeluk tubuh. Betul-betul menghadap pintu masuk. Pintu bilik tak ditutup rapat Al. Dia masuk merapati katil dan duduk di birai katil.

"Janganlah macam ni.. lagipun kita dah lama tak berjumpa.. Saya tak nak tamatkan hubungan ni dengan pergaduhan. Kita berbaik dulu ye?"

Al cuba berbaik lagi. Pistol di belakang pinggangnya sudah tersedia menunggu sasarannya.

"Kau nak ceraikan aku kan? Itu tujuan kau betul tak?! Aku tak kisah! Kita selesaikannya malam ni jugak!" Romana makin menggila. Dia tak sabar mahu menghabiskan riwayat si suami.

"Janganlah macam ni.. tentang kecurangan awak tu, saya maafkan.. apa kata kalau kita berbaik.. fikirkan tentang anak-anak Romana.. Saya masih cintakan awak.."

Al menggunakan taktik lain. Dia mahu melihat sejauh mana perangai dan ego Romana akan bertahan menggunakan imej baik dan tulusnya.

"Kau jangan nak tukar fikiran ek?! Aku tak sukakan kau! Aku dah tak cintakan kau! Aku tak akan terima kau dah! Sebab tu aku buat hubungan dengan Manuel!"

Semua amarahnya keluar melihatkan si suami baiknya mahu memulihkan hubungan mereka.

"Romana.. saya tak kisahkan hal tu.. kita mulakan balik hubungan ni. Fikirkanlah tentang Paula.. Georgia..dan Angie.. Awak tak sayangkan anak-anak dah ke?" pujuknya lagi lebih lembut.

"Aku sayangkan anak-anak aku.. tapi hanya Paula dan Georgia! Bukan anak kesayangan kau! Si angie sial tu!!" Romana meluahkan segala kebengangannya kapada Al yang masih tampak innocent.

"Angie anak kita.. bukan anak saya je.. dia anak awak juga Romana.." suara Al lembut tapi punya ketegasannya sendiri. Masih menegakkan kebenaran.

"Dia bukan anak aku lah! Die tu cuma budak tak guna yang bawa malang dalam keluarga ni! Anak aku hanya Paula dan Georgia! Tiada anak lelaki dalam keluarga aku!" entah apa yang dimarahkan sangat mengenai Angie. Hanya mereka berdua yang memahami.

Sedang mereka bertengkar kasar, tanpa sedar, seseorang mendengar pertelingkahan mereka.

Angie.

Dia terbangun dari lena sebaik saja bapanya menutup pintu. Angie mahu mencari Al kerana tak mampu melelapkan mata dan dia terdengar suara-suara orang bergaduh di bilik mak dan ayahnya.

Angie pun merapati pintu bilik yang tak tertutup rapat. Ruangan kecil itu diintainya.

Dia mendengar segala luahan si ibu yang amat membenci kehadirannya dalam keluarga itu malahan lebih teruk dari itu. Dia tak layak untuk lahir dalam dunia sekalipun.

Hanya Al saja yang tampak bertolak-ansur dan berlemah-lembut. Dialah hero Angie.. mempertahankan anak itu..

Tanpa sedar, air mata Angie mengalir perlahan tanpa esakan. Dia hanya memerhati dan mendengar segala-galanya sehinggalah satu ketika..

Si ibu mula berlaku agak agresif pada si bapa dengan memukul lelaki itu kuat menggunakan pasu. Al yang tak menjangkakan hal itu terkejut dan berdarah di bahagian kepala.

"Romana!!" baru saja pistol hendak dibawa keluar dari pinggang Al, Romana terlebih dahulu menembak dada lelaki itu berkali-kali.

Di depan mata Angie sendiri, Al dibunuh oleh ibunya. Dia tergamam.. takut.. Angie mengundur beberapa tapak ke belakang, sebuah meja bunga di koridor di langgarnya menarik perhatian Romana di dalam bilik.

Pistolnya yang sudah kehabisan peluru akibat menembak bertalu-talu pada tubuh Al tadi dicampak kasar ke lantai sebelum tubuh Al yang sudah berlumuran darah dibeleknya.

Ternyata lelaki itu juga punya senjata. Isinya dilihat sekilas sebelum pantas membuka pintu. Ingin mencari siapa yang sudah mengetahui kegiatannya itu.

Koridor yang gelap dilihat dari hujung.. ke hujung lagi satu. Kosong.. Sunyi..

Laluan koridor yang hanya diterangi cahaya bulan tak menghalangnya dari mencari orang itu. Dia akan membunuh siapa saja orang itu, tak kisahlah Paula.. Georgia.. Rhico mahupun Angie.

Romana bersiap sedia dengan pistol di tangannya, menjejak. Tapi.. hingga di tangga utama mansion itu, matanya tertancap pada sesuatu..

Anak patung singa bewarna biru...

"Aku dah tahu kau.. Angie. "

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience