Current – MALAYSIA
ARTS INTERNATIONAL COLLEGE UNIVERSITY: ARTICS CAFÉTARIA
KELIHATAN Lara Adam sedang duduk di satu sudut jauh daripada tempat para pelajar lain yang sedang ralit melakukan aktiviti masing-masing. Ada yang sedang menjamu selera... ada yang sedang membawang berjemaah... ada yang sedang duduk seorang diri dan bergelak tawa sendirian tanpa sebab... ada juga yang sedang menyiapkan tugasan assignment... pendek kata macam-macam hado la!
Sambil memerhati tingkah ragam manusia, jari-jemari Lara Adam terhenti di bahagian atas dada yang mempunyai parut daripada kesan tembakan.
**
FLASHBACK, 2013 (1)
“ARGHHH…!”
Aku masih menjerit dengan mata yang masih lagi terpejam erat sedang berentap dengan visual yang agak kabur tetapi sungguh menakutkan! Hanya mengingati kawasan gelap berhutan dan satu figura lelaki agak samar-samar menghadap satu figura wanita. Visual satu figura sedang berkata sesuatu tetapi tidak jelas butirannya dan… BANG!
Sayup-sayup aku terdengar suara seseorang sedang melaungkan zikir dan kata-kata semangat di halwa telinga sekaligus membuatkan aku merasa sedikit tenang lalu perlahan-lahan aku membuka mata tetapi hanya sekejapan cuma lantas aku segera menutupnya kembali kerana terkejut dengan biasan cahaya putih silau di atas siling menusuk terus masuk ke dalam anak mata.
“Sayang... perlahan-lahan buka mata tu. Ikut apa yang aunty sebut dan baca di dalam hati ya nak... kemudian perlahan-lahan buka mata.” suara wanita itu begitu lembut dan mendamaikan, aku menurut sahaja arahan wanita itu dan perlahan-lahan kembali membuka mata.
Wajah pertama yang aku lihat adalah seorang wanita di dalam lingkungan lima puluhan yang begitu ayu bertudung tersenyum padaku sambil mengusap ubun-ubun dan pipiku. Wajah kedua pula merupakan seorang lelaki segak dan kemas penampilannya yang juga di dalam lingkungan umur yang sama seperti wanita ayu bertudung ini... dan wajah ketiga merupakan seorang wanita di dalam lingkungan tiga puluhan yang berpakaian seragam serba putih.
“A...ir.” perlahan suara aku meminta tetapi masih didengari oleh mereka.
“Siti... tolong tuangkan air dan beri pada Dr. Marissa.” arah lelaki itu.
“Baik Tan Sri.” Wanita berpakaian seragam bernama Siti itu menuangkan air ke dalam gelas dan segera menghulurkan gelas tersebut kepada Dr. Marissa.
Aku rakus meneguk air sampai tertumpah-tumpah di mulut!
“Perlahan sayang ...” Wanita bertudung itu menegur aku tetapi aku endahkan sahaja teguran tersebut dan terus meneguk minuman dengan rakus.
Beberapa minit keadaan kembali tenang lalu aku mula bersuara.
“Awak semua siapa? Dan saya siapa?”
END FLASHBACK, 2013 (1)
**
“BAH! Termenung tak ajak!”
Terperanjat Lara Adam! Habis segala flashback bersepai di dalam kepala, siapa lagi kalau bukan puncanya daripada Nelly Nalisa yang menyergahnya! Sekilas dibuang pandang ke arah wanita itu dan beralih pandang pula ke arah tiga lagi sahabat baik Lara Adam iaitu Syida Fariha, Taufik Armand dan juga Harraz Ziqri.
Assalammualaikum dan Hai Readers :) Alhamdulillah karya MLAMB merupakan karya pertama Mell dan juga merupakan karya pertama yang akan diterbitkan dalam bentuk fizikal di bawah terbitan NovelPlus. Terima kasih atas peluang yang diberikan. Bermula dengan Bab seterusnya, karya MLAMB akan berada di status UNLOCK CHAPTER. Love, Mellbie ISR
Share this novel