Lima hari yang berlalu menyaksikan ketegangan di antara suami isteri itu tetapi kedua-duanya bijak mengelak. Apabila dapat dihidu Latifah dan Wahida, ada sahaja alasan yang diberikan. Wajah Aliya yang sentiasa ceria sebelum ini menjadi muram. Dia sedih dengan sikap Haziq kepadanya. Tidakkah lelaki itu mahu memberi peluang kepadanya?
“Haziq.. Aku nak keluar petang nanti. Aku nak pergi..”
“Okay.” Jawab Haziq sepatah dan dia terus keluar dari bilik. Tidak semena-mena air mata Aliya gugur. Kejamnya Haziq kepada dirinya. Aliya menguatkan langkahnya untuk ke katil. Dia memeluk patung monyet Kappo. Dicium-cium patung tersebut sebelum dipeluk erat.
“Kappo-boo..” Terngiang-ngiang panggilan Haziq kepadanya. Aliya jadi rindu. Dia rindu suara Haziq. Dia rindu gurauan Haziq. Dia rindu segala-galanya tentang Haziq. Ya Allah, perasaan apakah ini ? Inikah namanya cinta ?
“Ya Allah.. Aku rindu dia.. Aku rindu Haziq..” rintih Aliya kepada-Nya. Aliya berbaring di atas katil, sambil memeluk patung monyet Kappo tersebut. Dia tenggelam dengan perasaannya. Dia tenggelam dengan rasa rindunya kepada Alif Haziq.
Entah bila, Aliya terlena gara-gara melayan perasaan sedihnya. Haziq yang keluar selepas Maghrib tadi pulang ke rumah. Selepas menguak pintu bilik, semerta matanya tertancap pada Aliya. Dengan berhati-hati, Haziq mendekati Aliya.
Direnungnya wajah itu dengan penuh kasih. Aliya Raihana.. Hati Haziq diserbu rasa bersalah saat melihat ada air mata di mata Aliya. Dia mengesat air mata itu, lalu dahi Aliya dicium. Bukannya niat Haziq untuk melukai hati Aliya. Dia hanya mahukan yang terbaik buat Aliya. Jika Aliya bahagia dengan Farizul, dia rela walau hatinya terluka.
“Aku benci kau, Aliya..” Aku benci kau sebab buat hati aku macam ni.. Sambungnya di dalam hati. Kali ini, bibir Haziq mendarat di bibir Aliya. Lama. Haziq mengeluh kesal sebelum bangun semula dan masuk ke dalam bilik air.
Perlahan-lahan Aliya membuka matanya. Sememangnya dia sedar sejak tadi, cuma dia takut untuk membuka mata. Aliya tidak sanggup melihat wajah muram Haziq. Terketar jemarinya sewaktu mahu menyentuh bibirnya sendiri. Inilah pertama kali Haziq menciumnya. Tapi, kenapa Haziq cakap dia benci aku kalau dia kiss aku? Ya Allah…
Share this novel